17 August 2011
Nuzul Al-Quran
Sejarah penurunan al-Quran merupakan satu detik sejarah yang perlu diketahui oleh setiap individu muslim yang beriman. Al-Quran merupakan satu mukjizat yang terbesar kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang akan kekal abadi hingga hingga hari kiamat. Ia menjadi satu kegemilangan dan keagungan kepada umat Islam
keseluruhannya.
Istilah penurunan ini dipanggil sebagai nuzul al-Quran yang membawa maksud amat mendalam, di mana al-Quran diturunkan dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu luh mahfuz, kemudian diturunkan kepada nabi junjungan besar kita Muhammad S.A.W. secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan dan keperluan semasa.
Perantara bagi penurunan al-Quran ini ialah Jibrail alaihisalam yang ditugaskan untuk membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul. Penurunan ini memakan masa selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah menurut peristiwa ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. di dalam surah al-Syuri ayat 192 hingga 195 : Bermaksud : “sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah tuhan sekalian alam. Ia di bawa turun oleh malaikat Jibrail yang amanah ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang pemberi ajaran dan amaran kepada umat manusia, ia diturunkan dalam bahasa arab yang fasih serta terang dan nyata”.
Al-Quran merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dan bukanlah satu rekaan dari nabi S.A.W. sebagaimana yang telah didakwa oleh musuh-musuh Islam. Tuduhan ini adalah tidak benar sama sekalian, kerana keindahan al-Quran bukan satu tahap yang mampu direka atau dicipta oleh manusia. Allah S.W.T. mencari kepada manusia mahu pun jin, jika mereka mahu mencari kehebatan al-Quran maka kumpulkanlah sebanyak mungkin mungkin mereka yang hebat-hebat, namun sudah pasti mereka tidak akan mampu untuk melakukannya. Cabaran ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Isra ayat 88 : Bermaksud : “katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.
Al-Quran adalah kitab yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan kita. Tanda kerasulan Nabi Muhammad S.A.W semakin terserlah dengan kehadiran al-Quran, kerana pastinya kehadiran al-Quran menjadi pemisah antara yang hak dengan yang batil. Orang yang beriman pastinya merasa gembira dengan kehadiran al-Quran, kerana ia akan memberi khabar gembira dan mereka juga akan mengamalkan segala yang diperintahkan tanpa rasa ragu, namun bagi mereka yang ingkar kepada ajaran Allah sudah pasti ia tidak akan merasa takut, mereka hanya berpura-pura dan lebih menambahkan lagi kekufuran mereka. Kisah ini telah dijelaskan oleh allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat 124 yang bermaksud : “dan apabila diturunkan satu surah al-Quran maka di antara mereka (orang munafik) berkata siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan turunnya ayat ini? Ada pun orang yang beriman, turunnya surah ini menambahkan imannya sedang mereka merasa gembira”.
Al-Quran bukan sekadar untuk dijadikan hiasan, bukan dijadikan bahan simpanan yang memenuhi ruang almari dan rak-rak kita, tetapi al-Quran perlu di baca dan diamalkan isi kandungannya. Al-Quran selain menjadi penyembuh segala penyakit, ia merupakan satu perkara yang paling besar hikmahnya, ia memberi rahmat dan petunjuk kepada hati setiap orang yang beriman. Firman Allah S.W.T. di dalam surah Yunus ayat 57 : Bermaksud : “wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu satu pengajaran dan nasihat dari tuhanmu dan penyembuh apa yang ada di dalam dada, lagi petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman”.
Bagi yang mengamalkan bacaan al-Quran di dalam kehidupan sehari-hari, sebenarnya bukan sahaja ia memberi kebahagian dan ketenangan di dunia, tetapi ia juga akan memberi syafaat di hari akhirat nanti. Hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh imam muslim menjelaskan : Bermaksud : “bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat kepada pembacaan”.
Al-Quran perlu ditadbir dan dipraktikkan dalam kehidupan. Adalah menjadi perkara yang mudah untuk mengamalkan dan mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan, antaranya melalui doa harian yang kita baca setiap hari seperti doa menaiki kenderaan, doa kebaikan dunia dan akhirat, doa menuntut ilmu, doa penerang hati, doa ditetapkan iman dan berbagai doa lagi yang perlu kita amalkan. Selain dari itu cara mempraktikkan al-Quran ialah dengan cara selalu mendengar bacaan al-Quran sama ada radio atau kaset, mendampingi ahli al-Quran , menghadirkan kuliah dan ceramah agama, mengikuti kelas bacaan al-Quran, halqah, tadarus dan sebagainya. Secara tidak langsung ia sebagai membuktikan kita mengamalkan dan mendampingi al-Quran.
Hasil dari sikap kita yang mengamal dan menghayati al-Quran sudah pastinya akan memberikan kehidupan kita semakin baik, jiwa kita semakin tenang, rezeki akan bertambah serta berkat dan yang paling utama kita akan digolongkan ke dalam golongan orang yang mendapat syafaat al-Quran insyaAllah.
* Tips cara mudah mencari muka surat setiap juzuk dalam Al-Quran,
Contoh 1:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman berapa?
5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan, jadi juzuk 5 adalah pada halaman 82.
Rujuk pada Al-Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82.
Contoh 2:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman berapa?
10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18,
Letakkan no 2 selepas jawapan, jadi juzuk 10 adalah pada halaman 182.
Contoh 3:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman berapa?
23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44,
Letakkan no 2 selepas jawapan, jadi juzuk 23 adalah pada halaman 442.
SubhanAllah, semoga perkongsian ilmu ini akan lebih memberi memafaat bersama dan kita tidak akan tergolong dalam golongan orang yang meninggalkan al-Quran.
Sumber dari http://blog.scoreanetwork.com (Redz@Gjan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..