16 August 2011

12 Hikmah Puasa


Terdapat hikmah di sebalik syariat Allah, khususnya puasa. Ada rahsia, hikmah dan tujuan puasa itu yang diketahui akal manusia. Namun ada juga yang tidak dapat dijangkau akal manusia. Berkenaan hikmah puasa, terdapat tidak kurang 12 jenis hikmah iaitu:

 1  Puasa menyempitkan aliran makanan dan darah. Aliran yang sama digunakan syaitan. Maka bisikan syaitan menjadi lemah.
 2  Puasa melemahkan nafsu, hasrat jahat dan keinginan berbuat maksiat. Ini membuatkan roh menjadi tidak ternoda dan kembali suci.
 3  Puasa mengingatkan pelakunya perihal kewujudan saudara-saudaranya yang kelaparan, memerlukan bantuan dan yang fakir serta miskin. Kesedaran ini menyebabkan orang yang berpuasa mahu mengasihi, menyayangi dan menolong mereka.
 4  Puasa juga adalah pendidikan jiwa, penyucian hati, pengendalian pandangan dan menjaga anggota tubuh daripada dosa.
 5  Puasa juga adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya. Hal ini ditegaskan dalam hadis Qudsi. Allah berkata, "Setiap amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya."
 6  Puasa adalah alat penyatuan kaum muslimin. Mereka berpuasa pada waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama. Mereka merasa lapar bersama dengan penuh persaudaraan. Penyatuan membuatkan mereka diliputi rasa cinta dan setiakawan.
 7  Puasa adalah penghapus kesalahan dan kejahatan. Muslim merekodkan Rasulullah berkata "Dari Jumaat ke Jumaat yang lain, daripada umrah kepada umrah yang lain dan dari Ramadan ke Ramadan yang lain adalah penghapus dosa. Ini selagi dosa itu tidak termasuk dosa besat."
 8  Puasa menyihatkan badan kerana ia mengosongkan perut daripada semua bahan yang merosakkan. Ia juga merehatkan pencernaan, membersihkan darah, menormalkan fungsi ginjal, hati dan jantung.
 9  Apabila orang itu berpuasa, dirinya terasa kerdil di hadapan Allah, hatinya mudah tersentuh dan rasa tamak menipis. Nafsunya terkawal sehingga dengan demikian doanya dikabulkan kerana dekat dengan Allah.
10 Dalam puasa terdapat rahsia agung iaitu ketaatan menyembah Allah. Muslim patuh atas segala perintahNya, tunduk kepada agamaNya, meninggalkan hasrat makan, minum dan bersetubuh hanya demi mencari keredhaan Allah.
11 Puasa adalah kemenangan muslim mengalahkan hawa nafsunya. Ia kemenangan muslim ke atas dirinya dan ia bukti kesabaran. Orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan, ia tidak mampu mengendalikan dirinya dan tidak dapat mengalahkan hawa nafsunya.
12 Puasa adalah latihan luar biasa jiwa supaya ia berada dalam keadaan bersedia 100 peratus. Jiwa yang tersedia ini mampu menanggung beban hidup sehingga Ramadan juga digelar sekolah istimewa. Selain itu dengan puasa, kita bersedia dan agung seperti jihad, mendermakan harta di jalan Allah dan berkorban.



Petikan Buku Keajaiban Ramadan oleh Jaffar Siddiq keluaran PTS Islamika


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..