30 November 2011

6 Fakta Menarik Tentang Khasiat Mandi

Selama ini, kita berpendapat mandi hanyalah sekadar satu rutin harian biasa untuk membersihkan atau menyucikan diri dari kotoran. Jika tidak mandi, sudah tentulah badan terasa tidak selesa serta berbau. Rupa-rupanya, ada banyak lagi khasiat mandi ni. Malah ada beberapa kajian dibuat dan mendapati bahawa mandi membawa pengaruh besar terhadap aspek kesihatan anda.



Mari kita ketahui fakta tentang kelebihan mandi yang kurang diketahui umum;

 1  Ia boleh mengurangkan atau mengelakkan tekanan (stress) serta membantu meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan anda.

 2  Dengan merendamkan kaki anda ke dalam air panas selama beberapa minit, ia dapat membantu anda menyembuhkan pelbagai penyakit atau masalah yang menganggu kesihatan diri.

Antaranya seperti sakit kepala, selesema, hidung berdarah, sembelit dan imsonia.

 3  Mandi air panas pada suhu sekitar 32 - 35 darjah Celsius pula akan membuka ruang yang dapat mengeluarkan toksin, menurunkan paras gula, memelihara usus besar serta menyembuhkan masalah sakit otot anda.

 4  Menurut kajian para saintis dari Jepun pula, dengan berendam di dalam air panas selama 10 minit boleh memperbaiki tahap kesihatan jantung anda terutamanya golongan LELAKI.

 5  Manakala satu kajian yang dilakukan oleh New England Journal of Medicine mendapati dengan berendam selama 30 minit dalam air suam amat baik untuk penghidap DIABETES.

Ini kerana, cara di atas dapat menurunkan paras gula dalam darah sebanyak 13%.

 6  Sementara itu, mandi air sejuk pun ada kelebihannya. Ia berfaedah untuk meredakan ketegangan.
Caranya ialah dengan menambahkan sedikit "sodium bicarbonate" ke dalam air mandian yang sejuk tadi. Ia akan bertindak sebagai antiseptik seterusnya mampu mengatasi masalah penyakit kulit seperti gatal-gatal dan ruam.

Begitulah 6 fakta tentang kebaikan mandi untuk kesihatan anda. Jadi, rajin-rajinlah mandi lepas ni. Tapi janganlah terlalu kerap pulak. Secara puratanya, cukuplah sekadar mandi 2 atau 3 kali sehari.




Sumber dari http://petuasejagat.blogspot.com

29 November 2011

Khasiat Buah Betik

Betik atau nama saintifiknya, Carica papaya L, juga dikenali dengan nama ‘papaya’ oleh anak-anak . Betik tergolong dalam keluarga Caricaceae, betik adalah tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang.



Buah betik berbentuk bujur yang agak panjang hingga ke bentuk yang hampir bulat. Kulit buah betik yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Isi betik rasanya manis, dan aromanya seharum buah betik. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan, ia boleh menghasilkan toksik.


Buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi :
  • 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga,
  • 92.1g air,
  • 1.0g protein,
  • 0.1g lemak,
  • 13.5g karbohidrat,
  • 0.5g serat,
  • 0.5g abu,
  • 31.0mg kalsium
  • 0.8mg magnesium
  • 17.0mg posporus
  • 1.0mg zat besi
  • 2.0mg sodium
  • 337.0mg potasium
  • vitamin B sebanyak 0.08mg,
  • vitamin B2 (0.12mg)
  • niasin (0.1mg
  • vitamin C (69.3mg)
  • karotin (2431ug)
Selain mengandungi vitamin C yang amat besar, dua kali ganda dari kandungan buah limau, betik juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang mendera kandung hempedu. Hal tersebut ditemukan dalam kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih dari 13 ribu orang, baru-baru ini. Setelah menganalisis kadar darah para sukarelawan, para pengkaji menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah, ternyata risiko menderita penyakit kandung hempedu adalah tinggi.
Walaupun sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah papaya dalam ukuran sederhana (+/- 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. Ini adalah jumlah yang amat besar. Memandangkan penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang perempuan berbanding lelaki, jadi memakan buah ini amat baik diamalkan oleh perempuan.

Pucuk betik atau daun muda selalunya direbus dan dijadikan ulam. Ianya mempunyai banyak khasiat antaranya merendahkan tahap kolesterol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan.


Pucuk betik mempunyai rasa yang agak pahit. Untuk mengubat penyakit di atas adalah dengan memakan pucuknya yang direbus ataupun meminum satu atau dua gelas air rebusannya.


Bunga betik selalunya terdapat pada pokok betik jantan dan pokok betik betina, boleh juga direbus dan dibuat kerabu. Bunga betik jantan lebih kecil daripada bunga betik betina. Walau bagaimanapun, cuma pokok betik betina sahaja yang berbuah. Jadi, jika anda menanam pokok betik dan hairan mengapa ia tidak berbuah walaupun banyak mengeluarkan bunga, jangan marahkan pokok betik tersebut. Ia sebenarnya pokok betik jantan.

bunga betik betina
bunga betik jantan

Daun betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit. Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu.


Daun betik tua, dikatakan boleh dibuat jus untuk mengubati penyakit denggi. Dengar khabarnya, platelet pesakit denggi akan segera bertambah jika meminum jus daun betik. Sejauh mana kebenaran ini, tidaklah diketahui.


Biji betik pula boleh digunakan untuk menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit pada kanak-kanak. Caranya ialah dengan mengambil segengam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut, tetapi awas, ia dipercayai tidak berapa sesuai untuk wanita yang sedang mengandung.

biji betik
biji betik (closed up) yang kering

Getah daripada daun, buah atau batang berguna untuk mengubati kaki yang pecah-pecah dan cara menyapu getahnya pada tempat berkenaan. Getah betik juga berguna bagi melegakan kesakitan gigi yang berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas.


Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.
Di samping itu berikut adalah khasiat lain betik ;
  • Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
  • Air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
  • Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
  • Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
  • Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah sentiasa awet muda.
Walaupun terdapat pelbagai kelebihan dan khasiat memakan buah betik dan daunnya untuk kesihatan, namun penggunaannya hendaklah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari kelak.




Sumber dari http://www.ridzalmersing.com

25 November 2011

43 Perkara Ringan Yang Menyekat Rezeki


Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara tersebut.

Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa'yi Wal Harakah yang disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang.

1. tidak sembahyang atau solat.
2. tidak membaca Bismillah ketika hendak makan.
3. makan atas pinggan yang terbalik.
4. memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.
5. menganggap ringan apa-apa yang terjatuh dalam hidangan makanan.
6. berwuduk' di tempat buang air besar atau air kecil.
7. suka bersandar pada pintu rumah.
8. suka duduk di atas tangga.
9. membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.
10. membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.
11. tidak membersihkan rumah.
12. membuang sampah atau menyapu dengan kain.
13. suka membersihkan rumah pada waktu malam.
14. suka tidur di atas muka.
15. membakar kulit bawang.
16. menjahit baju yang sedang dipakai.
17. mengelap muka dengan baju.
18. berdiri sambil bercekak pinggang.
19. tidur tidak memakai baju.
20. makan sebelum mandi hadas.
21. tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh.
22. pergi ke pasar sebelum matahari terbit.
23. lambat pulang dari masjid.
24. doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.
25. kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan.
26. suka memadam pelita dengan nafas.
27. membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.
28. membasuh kaki dengan tangan kanan.
29. membuang air kecil pada air yang mengalir.
30. memakai seluar sambil berdiri.
31. memakai serban sambil duduk.
32. mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.
33. makan dengan menggunakan dua jari.
34. berjalan di antara kambing.
35. berjalan di antara dua perempuan.
36. suka mempermainkan janggut.
37. suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.
38. meletakkan tapak tangan pada hidung.
39. suka menggigit kuku dengan mulut.
40. mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.
41. mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.
42. menguap ketika solat.
43. meludah di tempat buang air besar atau air kecil.


 selamat beramal...



24 November 2011

Bau Badan


Bau mungkin berbeza antara seorang individu dan individu lain. Apa yang kamu bau sebagai wangi, mungkin berbau busuk menurut rakan-rakanmu. Jadi, kamu harus lebih peka terhadap persekitaran dan gunakan tip-tip berikut:
  • Tukar baju dengan kerap dan jangan biarkan baju basah mengering pada tubuh kamu. Bawa pakaian ekstra sekiranya kamu akan bersukan.
  • Pakai baju yang longgar diperbuat daripada bahan yang ringan. Ia akan mengelakkan kamu banyak berpeluh.
  • Mandi dengan kerap. Jika kamu mandi sekali sehari, ia tidak mungkin mencukupi. Mandi sekali pada waktu pagi dan petang. Ia akan membuatkan kamu berbau wangi dan segar.
  • Gunakan deodoran dan kolon wangi. Kolon yang berbau ringan boleh disembur dengan jumlah sedikit. Jangan over sembur sampaikan sakit hidung dibuatnya!
  • Gunakan deodorat dan semburan kaki yang wangi. Ia berguna untuk mengelakkan bau kaki yang busuk. Soda penaik juga boleh menyerap lembapan dengan baik. Kamu boleh memilih untuk menggunakannya sekiranya kamu tidak berpeluh banyak.
  • Basuh baju kamu dengan sabun yang wangi. Biar ia kering sepenuhnya sebelum pemakaian. Ia akan memberikan kamu bau wangi dan bersih sepanjang hari.


Sumber dari www.kotex.com.my

23 November 2011

2 Kaedah Hilangkan Mabuk Darah

Sesetengah daripada anda berkemungkinan besar pernah mengalami mabuk darah. Malah, anda jangan terkejut plak jika ada doktor yang mengalami masalah ini. Mabuk darah ni agaknya langsung tak mengenal mangsa, kot? Tanda-tanda biasa yang menandakan anda mengalaminya adalah rasa pening atau nak pitam bila tengok darah. Keadaan ni mungkin juga akan membuatkan orang di sekeliling anda tetiba je panik atau tak tahu nak buat ape a.k.a "blur".


Oleh yang demikian, sekiranya anda atau sesiapa saja yang anda kenal mengalami mabuk darah, suruhlah mereka lakukan kaedah di bawah;

KAEDAH 1:

1. Segeralah duduk bila anda tiba-tiba rasa pening lepas tengok darah.

2. Kemudian, "bongkok"kan badan anda ke depan sehinggalah kepala terletak di antara kedua lutut.

3. Kekalkan dalam posisi begitu dalam masa 10 hingga 15 saat. Ataupun sehingga rasa pening anda tu hilang.

ataupun anda boleh mencuba dengan...

KAEDAH 2:

Jika anda mengalami luka dan berasa nak pitam bila tengok darah sendiri, sapukan luka atau darah tersebut dengan kain berwarna merah. Rasa pitam tu akan hilang secara beransur-ansur.

Begitulah 2 kaedah yang boleh anda praktikkan untuk hilangkan mabuk darah pada bila-bila masa saja.

Selamat Mencuba!

 


22 November 2011

Penyakit Chicken Pox (Cacar Air)




Chicken pox juga dikenali sebagai cacar air, jintungan atau bertih (mengikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh virus Varicella (kumpulan virus herpes) dan amat mudah berjangkit. Ia berlaku pada semua peringkat umur, biasanya pada kanak-kanak. Ia lebih teruk sekiranya berlaku kepada orang dewasa. Rebakan adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang dijangkiti. Rebakan juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala dari penghidap chicken pox.

Pengidap chicken pox boleh merebakan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping. Kayap (herpes zoster) ialah infeksi dari virus yang sama dan berlaku pada di masa hadapan (umur dewasa).

Tanda dan Gejala Penyakit Chicken Pox

Pengidap chicken pox akan mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam chiken pox akan timbul kurang dari 2 minggu selepas jangkitan berlaku.
Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan biji dan kemudian membentuk gelembung berisi air. Bila gelembung berisi air pecah ia menjadi kering dan berkeruping. Rasa gatal sederhana atau teruk menyebabkan pesakit akan menggaru dan akhirnya menyebabkan parut.
Gejala lain ialah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Penghidap juga ada batuk ringan, hidung berair dua hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Komplikasi/ Kesan Penyakit Chicken Pox

Ruam atau cacar air Chickenpox akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakala penyakit boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:
  • Bayi baru lahir, di mana ibu tidak penah mengidap chicken pox atau pelalian chicken pox.
  • Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap chickenpox seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi.
  • Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukaemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan pesakit asma dan sindrom nefrotik.
    Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema).

Komplikasi Akibat Penyakit Chicken Pox

  • Jangkitan kulit- menjadi lebam merah, bengkak dan sakit. Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga.
  • Kerosakan otak akibat radangan otak. Tanda-tanda radangan otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri.
  • Radang sendi- sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak
  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.

Rawatan Bagi Penyakit Chicken Pox


  1. Ubatan anti-viral :
Acyclovir atau immuno globulin diguna untuk merawat chicken pox. Rawatan amat berkesan sekiranya diambil segera dalam tempoh 24 jam dijangkiti. Ia akan mengurangkan keterukan dan komplikasi akibat chicken pox. Semua orang dewasa mendapat kebaikan dari rawatan antiviral di awal penyakit terutama yang kurang sistem daya tahan (orang lanjut usia, pesakit diabetes, pengidap HIV& AIDS serta rawatan steroid).
  1. Rawatan antibiotik
Komplikasi akibat chicken pox ; radangan kulit dan radangan paru-paru memerlukan rawatan antibiotik. Pesakit yang mendapat radang otak hendaklah dimasukkan ke hospital untuk rawatan antivirus.
  1. Rawatan di rumah
    • Sapu losyen calamine.
    • Ubatan antihistamin kurangkan gatal-gatal
    • Panadol untuk demam

Pencegahan Penyakit Chicken Pox


Pelalian memberi ketahanan sepanjang hayat, diberi pada umur 12-18 bulan. Pemberian pelalian- bawah umur 13 tahun terima hanya 1 dos, selepas umur 13 tahun. 2 dos, selang masa 4-8 minggu antara dos 1 dengan dos 2. Pelalian aktif diberi kepada kanak-kanak berisiko (antara 1- 5 tahun) sekiranya ahli keluarga ada chiken pox.



Sumber: Penyakit Cacar Air (Chickenpox)

 


21 November 2011

Rambut Sihat Dengan Makanan Seimbang


Memiliki rambut yang cantik, sihat dan berkilau pasti menjadi idaman setiap gadis. Kaedah yang ringkas untuk merawat rambut boleh memberikan kesan yang meksimum. Pengambilan nutrisi yang tepat juga memainkan peranan. Berikut merupakan khasiat yang diperlukan untuk mendapat rambut yang sihat.

Air
Kandungan air di dalam rambut adalah 1/4 daripada berat setiap helaian rambut. Agar kelembapan rambut terjaga, pastikan anda minum banyak air setiap hari. Perlu diingatkan, minumlah sedikit demi sedikit namun secara terus menerus. Air bukan sahaja berfungsi untuk mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi. Air juga mampu membuatkan rambut anda lembut dan berkilau.

Vitamin
Vitamin A bermanfaat untuk kesihatan kulit kepala kerana pada asasnya vitamin ini amat baik untuk kesihatan kulit. Dapatkan vitamin A dari sayuran seperti lobak merah. Vitamin B dan C penting untuk melancarkan sistem peredaran darah, pertumbuhan rambut dan warna rambut. Kadar vitamin B yang cukup dalam tubuh akan terlihat daripada lembapnya rambut dan hujung rambut yang tidak pecah-pecah. dapatkan kedua-dua vitamin ini dari buah-buahan, sayuran, bijirin, telur, susu dan roti.

Protein
Protein dapat membuatkan setiap helaian rambut menjadi kuat. Oleh itu, makanan yang mengandungi protein seperti ikan, daging, susu, keju atau telur amat disarankan. Ambil protein yang cukup juga akan mencegah hujung rambut daripada bercabang.

Mineral
Zat besi akan membantu membawa oksigen ke rambut. Kekurangan zat besi akan mengakibatkan rambut dan folikelnya kekurangan oksigen. Ini bermakna, akar rambut tidak dapat menyalurkan nutrisinya ke helaian rambut secara efktif. Tingkatkan pengambilan zat besi dengan mengambil daging merah dan sayuran berwarna hijau tua. Zink pula mampu merangsang protein rambut yang berfungsi mencegah terjadinya kerosakan rambut. Daging dan makanan laut merupakan sumber zink yang paling baik.



Tip Mencegah Kerosakan Rambut

 1  Sekiranya kamu mempunyai rambut yang rosak dan tidak terurus, apa kata kamu meggunakan perapi dan syampu secara berasingan. Ini kerana kandungan syampu yang mengandungi perapi tidak cukup untuk memberi kelembapan yang diperlukan.

 2  Pemakaian perapi yang betul adalah hanya dengan satu garis perapi diletakkan di telapak tangan dan kemudian disapukan pada helaian rambut sehingga merata.

 3  Pilih perapi yang mengandungi protein (marine @ hydrolyzed wheat) keratin dan 'silk'. Kandungan ini boleh membantu mengembalikan khasiat rambut yang hilang akibat dadanan.

 4  Jangan mengeringkan rambut dengan menggosok-gosokkan rambut pada tuala. Gosokan ini akan menjadikan kutikel rambut kasar dan mengakibatkan rambut sukar disikat.

 5  Lakukan rawatan 'deep conditioning' seminggu sekali. Gunakan masker rambut yang mengandungi protein atau 'panthenol' yang boleh berfungsi untuk menyubur dan menguatkan rambut. Jika anda berambut nipis, anda boleh menyapu masker rambut sebelum rambut disyampu bagi mengatasi masalah rambut lepek.

 6  Gunakan produk dengan perlindungan 'themal' atau silikon. Cara ini akan menghasilkan lapisan di antara kepanasan alat pengering dan mencegah kerosakan rambut.

 7  Rambut kurang menyerap klorin atau air masin jika membasahkan rambut dengan air biasa sebelum berenang.

 8  Kurangkan pemakaian 'mousse' atau gel rambut beralkohol agar rambut terhindar dari masalah kekeringan.



Petua Rambut Berkilau

Rambut adalah mahkota, khususnya kepada wanita. Ramai yang inginkan rambut sihat dan berkilat. Berikut beberapa petua yang boleh anda ikuti untuk mendapatkan rambut berkilat.

* Ambil dua cawan pati santan, dua batang daun lidah buaya, lima helai daun pandan dan sebiji kuning telur. Kisar daun pandan bersama daun lidah buaya dan ambil airnya. Campurkan kuning telur dan kacau sebati. Sapukan di kepala sambil mengurut kepala selama lima minit. Apabila selesai, balut kepal dengan tuala bersih selama 10 minit. Kemudian, cuci dengan air bersih. Jika rambut berkelemumur tambahkan sedikit perahan air limau purut.

* Ambil segenggam kelapa yang baru diparut. Ketika mandi, kelapa tadi digosok rata-rata pada bahagian rambut. Amalkan selalu dan hasilnya rambut akan lebih sihat dan berkilat.

* Bersihkan biji betik dan jemur hingga kering. Gorengkan tanpa minyak sampai hangut. Kemudian, tumbuk atau giling hingga lumat. Pindahkan ke dalam piring dan bancuhkan dengan air. Sebelum menggunakannya, bersihkan rambut dan keringkan. Kemudian, sapukan bahan tadi pada rambut tanpa syampu. Hasilnya rambut akan berkilat dan lebih hitam.




Sumber dari majalah rapi

18 November 2011

Hasad Dengki


Umumnya bangsa melayu sering dikaitkan dengan penyakit hati yang dipanggil hasad dengki. Hakikatnya bukan bangsa melayu sahaja yang memiliki sifat tersebut, semua bangsa di dunia juga mempunyai sifat tersebut. Hasad dengki kalau ia hanya sekadar lintasan hati, ia adalah perkara biasa. Tetapi kalau ia melibatkan tindakan terhadap yang didengki maka itu sesuatu yang mendukacitakan.

Kayu pengukur untuk menilai samada sifat hasad dengki itu tebal atau tidak dalam hati kita mudah. Cuba kita tanya diri sendiri sejauhmanakah tingkat kegembiraan kita apabila melihat orang lain susah dan sejauhmanakan tingkat kekecewaan kita apabila melihat orang lain senang? Kalau jawabannya tahap kegembiraan kita tinggi apabila melihat orang lain susah dan tahap kekecewaan tinggi jika kita melihat orang lain senang, maka, itu tandanya sifat hasad dengki itu telah menyelaputi hati kita. Ciri-ciri seseorang itu memiliki sifat hasad dengki kronik adalah seperti berikut:-
  1. Raup wajah seseorang pendengki sentiasa masam bila mendengar orang memuji orang yang didengkinya.
  2. Tutur kata seseorang pendengki lebih banyak mencela, memburukan dan menghina orang lain.
  3. Tindakan seseorang pendengki sentiasa ingin menjatuhkan orang lain.
  4. Hati pendengki sentiasa susah apabila melihat orang lain berjaya.
  5. Pendengki adalah orang yang takabur.
Pendengki sentiasa menggunakan masanya yang terluang untuk menjatuhkan orang yang didengkinya, selalunya hasad dengki ini menyelumbungi orang-orang yang satu derajat, contohnya pelajar dengan pelajar, lelaki dengan lelaki, wanita dengan wanita, dekan dengan dekan, ketua jabatan dengan ketua jabatan dan begitulah selalunya. Pendengki adalah orang yang tidak bersedia untuk bersaing.

Semoga kita bebas daripada penyakit hati ini kerana jika ia telah bersarang dalam hati kita maka ia umpama api yang memakan daun-daun kering terhadap amalan-amalan kebaikan kita. segala amalan kebajikan kita menjadi sia-sia jika kita memiliki sifat ini, umpama hangus dimakan api. Bukan itu sahaja, wajah kita juga cepat menjadi tua dan hilang sinarnya jika hati kita disaluti oleh sifat ini. Kita perlu yakin bahawa rezeki kita telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi, kedengkian tidak boleh mengubah rezeki orang yang kita dengki!







Sumber dari http://abcdelly.blogspot.com/

17 November 2011

23 Ciri Orang Yang Mencintai Kamu


 1  Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidak peduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.


 2  Jika kamu merayakan tahun baru dan kamu tidak mengundangnya ke pesta yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.


 3  Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain. Dia sentiasa menunggu kamu.


 4  Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS ‘good luck’ untuk memberi semangat kepada kamu.


 5  Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan senantiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan lingkungan yang mungkin membawa pengaruh buruk terhadap kamu. Dan jauh dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu, pernah dengar ‘jauh dimata, dekat dihati?’


 6  Jika kamu memintanya untuk mengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dengan sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia!. Bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. Dia tidak pernah mengelak dari memenuhi permintaan kamu walau sesulit apapun permintaan itu.


 7  Kalau kali terakhir kalian bertemu, kamu mungkin sedang sakit, dia akan sentiasa mengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu – karena dia khuatir tentang kamu, peduli tentang kamu.


 8  Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun ia kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Dia juga menyimpan surat-surat kamu di tempat khas dan segala pemberian kamu menjadi benda-benda yang berharga buatnya.


 9  Dan jika kamu cuba menjauhkan diri darinya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu, walaupun hal itu membunuh hatinya.


10 Orang yang mencintai kamu tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.


11 Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat-saat itu ialah saat yang berharga untuknya. Dan saat itu, matanya pasti berkaca. Kerana saat bersamamu tidak selalu berulang.


12 Orang yang mencintai kamu selalu mengingat setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya. Kerana dia menyematkan kata-kata mu di hatinya, berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kau tuturkan padanya, dan akhirnya kau musnahkan? Pasti kau lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.


13 Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu, bahkan mungkin meminjam CD milik kamu, kerana dia ingin tahu apa kgemaran kamu – kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun susah menggemari kesukaan kamu, tapi akhirnya dia biasa.


14 Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang tercantik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.


15 Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.


16 Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti ’selamat pagi’, ’have fun’, ’selamat tidur’, ‘take care’, dan lain-lain, walaupun kamu tidak membalas SMS-nya, kerana dengan kiriman SMS itu lah dia menyatakan cintanya, menyatakan dengan cara yang berbeza, bukan “aku CINTA padamu”.


17 Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.


18 Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggetarkan dunianya.

19 Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.


20 Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.


21 Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang sengal, seperti menelefon kamu 100 kali sehari. Atau mengejutkan kamu di tengah malam dengan mengirim SMS. Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.


22 Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.


23 Orang yang begitu mencintaimu, tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban kerananya. saat kau pinta dia pergi, dia pergi tanpa menyalahkan kamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta    soooo sweet dan manis kan......



16 November 2011

7 Khasiat Daun Kaduk

Pokok kaduk (Piper Sarmentosum) lazimnya dijadikan sebagai tanaman hiasan di halaman rumah oleh kebanyakan daripada masyarakat kita. Mungkin juga ada di antara anda tahu sebenarnya pokok kaduk ni fungsinya bukan setakat hiasan semata-mata. Lebih-lebih lagi daunnya, kan?

Pokok Kaduk

Selain pucuknya yang sering dibuat ulam dan daunnya sebagai penyedap masak lemak, khasiat lain yang boleh anda manfaatkan terhadapnya adalah merawat;

- sembelit

- sakit gigi

- demam malaria

- lemah dan sakit dalam tulang


Langkah-langkah merawatnya:

1. Ambil sebatang pokok kaduk termasuklah bahagian akarnya.

2. Bersihkan keseluruhan pokok kaduk tadi.

3. Rebuslah pokok kaduk sehingga mendidih.

4. Bila dah mendidih, biarkan air rebusan tadi hingga suam.

5. Tuangkan air rebusan yang telah suam ke dalam gelas dan minumlah perlahan-lahan.

Selain daripada 4 penyakit di atas, masalah cacing dalam perut, batuk dan panau pun boleh dirawati. Cuma caranya yang berbeza sikit. Sebab kali ini anda hanya perlukan daun kaduk saja. Langkah-langkah untuk 3 masalah yang terkemudian ni akan saya nyatakan satu-persatu di bawah.

 Daun Kaduk

Cacing Dalam Perut

1. Ambil beberapa helai daun kaduk yang masih segar.

 
2. Ramas-ramaskan daun tersebut.

3. Kemudian, campurkan kesemua daun kaduk yang telah diramas dengan kira-kira sebaldi air.

4. Akhir sekali, siramkan air tersebut ke seluruh badan anda.

Batuk

1. Ambil beberapa helai daun kaduk dan bersihkannya.

2. Kisar daun kaduk tadi hingga halus dengan mencampurkan sedikit air.

3. Akhir sekali, sapukanlah pada bahagian leher anda.

Panau

1. Ambil beberapa helai daun kaduk.

2. Tumbukkan ia sampai lumat.

3. Kemudian, sapukanlah pada kawasan tubuh badan anda yang mengalami panau.

Selamat Mencuba!



Sumber dari http://petuasejagat.blogspot.com dan imej dari toptropicals.com

15 November 2011

9 Sebab Hubungan Tidak Mampu Bertahan



 1  Menipu
Menipu adalah "pembunuh" utama dalam sebuah perhubungan. Ia umpama ledakan gunung berapi yang meletus hebat. Ada yang menipu untuk "menyelamatkan" sebuah perhubungan, namun mereka tidak mahu hati pasangan terluka. Sesetengah orang tidak dapat menerima bahawa hati mereka telah dipermainkan.

 
 2  Harapan / Kebebasan
Ada pasangan meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada pasangannya malah mereka bergantung penuh kepada pasangan. Ada lelaki menyukai hal ini tetapi ada juga yang sebaliknya. Di sinilah timbulnya konflik yang mungkin menyebabkan hubungan terputus di tengah jalan. Ada pula lelaki yang inginkan kebebasan, tetapi dikongkong. Hal-hal beginilah membuatkan perhubungan tersekat.

 
 3  Terlalu Memikirkan Aspek Perkahwinan
Perhubungan yang sihat biasanya berlangsung dalam suasana yang sangat harmonis. Ia perlu diisi dengan kasih sayang dan sikap saling memahami. Bila semua ini ada barulah perhubungan boleh sampai ke peringkat serius. Tapi sesetengah wanita, yang baru saja berkenalan terus saja mengharap akan ia berakhir dengan perkahwinan. Mereka takut jika perhubungan dijalinkan hanya sia-sia sahaja. Jadi kalau timbulnya konflik ini, perhubungan boleh menjadi putus.

 
 4  Mengungkit Hal Yang Lalu
Menjadi kepantangan bagi sesetengah orang untuk mengungkit hal-hal yang lepas. Apatah lagi jika mengungkit akan kekasih lama. Belajarlah dari kesilapan, jangan mengungkit kisah lalu kalau anda sayangkan perhubungan.

 
 5  Berbeza Pendapat
Dalam menjalin sebuah perhubungan, perbezaan pendapat memang sering terjadi. Kita mempunyai idea yang berbeza dengan pasangan dan hal-hal inilah yang membuatkan pasangan sering berbalah. Ada yang mempunyai cita-cita tetapi tidak dapat ditunaikan hanya kerana pasangan tidak mengizinkan. Itu adalah antara perkara yang boleh membantutkan sesebuah perhubungan.

 
 6  Status Yang Tinggi
Ada sesetengah pasangan sangat gembira dengan perhubungan yang dijalinkan. Mereka sangat bahagia namun ada sesetengahnya begitu mementingkan status diri. Mereka memilih pasangan yang dirasakan sangat sesuai dengan diri mereka.

 
 7  Hal-hal Yang Menyakitkan Hati
Ada perkara yang dibuat oleh pasangan memang menyakitkan hati. Malah sanggup melakukan hal-hal bodoh semata-mata mahu menyakiti hati orang lain. Jadi kalau inilah yang terjadi, hubungan anda pasti tidak akan bertahan lama.

 
 8  Kehidupan Yang Sangat Mendesak
Ada sesetengah pasangan memang suka menyusahkan pasangannya. Mereka sering memberikan masalah dengan membuat pelbagai perkara hingga ia menyakiti hati pasangan. Kehidupan yang sangat terdesak ini adakalanya membuatkan perhubungan tidak berlangsung dengan baik.   

 
 9  Kawan-kawan dan Keluarga
Tidak mustahil, kawan-kawan dan keluarga juga boleh membuatkan sebuah perhubungan menjadi tidak stabil. Pengaruh dari kawan-kawan dan keluarga boleh mempengaruhi keputusan. Jangan salah sangka, orang yang anda sayang pun boleh terlepas dari tangan jika keluarganya tidak menyukai anda.




Sumber dari http://abcdelly.blogspot.com

14 November 2011

Pemakanan Betul Atasi Masalah Muntah



Muntah adalah proses aktif membabitkan pengecutan otot perut yang membolehkan kandungan di dalamnya dikeluarkan melalui perut. Proses ini berlainan daripada masalah regurgitasi di mana ia adalah proses tidak aktif yang menyebabkan sebahagian kecil daripada pemakanan bayi dikeluarkan. Proses ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang kurang daripada setahun.


Cara Kurangkan Masalah Muntah

Kelazimannya muntah disebabkan oleh infeksi virus yang membabitkan usus atau makanan yang kurang serasi dengan kanak-kanak terbabit. Selalunya, kanak-kanak yang muntah disebabkan oleh virus akan juga mengalami melebihi 24 jam tanpa cirit, dia mungkin mengalami masalah yang lebih sukar. Berapa lamakah masalah muntah ini wujud? Selalunya, ia akan berkurangan selepas enam hingga 24 jam. Pertukaran dari segi pemakanan boleh mengurangkan masalah muntah dan dehidrasi. Jika kanak-kanak juga mengalami masalah cirit ia boleh berlanjutan untuk beberapa hari.

Berikan kanak-kanak air dalam kuantiti yang kecil selama kira-kira lapan jam selepas muntah yang terakhir, bagi kanak-kanak yang kurang daripada setahun gunakan garam rehidrat. Pastikan air diberi menggunakan sudu. Jika tiada garam rehidrat gunakan susu yang diberi dengan kadar kecil.

Mulakan dengan kira-kira satu sudu teh atau sudu makan bergantung kepada umur anak anda. Berikan lebih kurang setiap lima minit, selepas lebih empat jam tambahkan kuantiti minuman anak anda. Jika masalah muntah terus berlaku, berhenti seketika selama kira-kira satu jam dan mulakan dengan kuantiti yang lebih rendah.

Setelah lebih kurang lapan jam tanpa muntah, anak anda bolehlah memulakan diet seperti biasa. Bagi kanak-kanak yang kecil mulakan dengan makanan seperti bubur dan adalah baik jika kuantiti pemakanan dikurangkan sedikit. Bagi kanak-kanak yang lebih berumur, bubur boleh juga diberikan seain makanan lain seperti roti, kentang putar, sup dan sebagainya. 

Bagi bayi yang menyusu badan pula, apa yang perlu dilakukan ialah meberi penyusuan pada kuantiti yang lebih rendah tetapi kerap. Penyusuan boleh diberikan selama 10 minit setiap satu jam, jika masih lagi muntah kuantiti penyusuan mungkin dikurangkan kepada lima minit setiap setengah jam. Gunakan garam rehidrat kira-kira satu sudu besar setiap 15 minit jika muntah berterusan.


Ubat-ubatan

Elakkan daripada memberi ubat melalui mulut. Ubat ini mungkin menyebabkan kanak-kanak muntah. Jika demam, penggunaan ubatdemam yang diberi melalui sumbatan punggung boleh dilakukan. Jika demam berterusan pastikan anda mendapatkan nasihat doktor.

Cara penjagaan salah yang kita lakukan adalah memberi sebanyak mana air yang diminta oleh kanak-kanak terbabit. Ini akan menyebabkan kanak-kanak itu terus muntah. Penggunaan ubat tahan muntah jarang dapat menyelesaikan masalah. Strategi pemakanan yang betul selalunya dapat menyelesaikan masalah muntah terbabit.


Bilakah Sepatutnya Mendapatkan Nasihat Doktor?

* Tanda-tanda kering/dehidrasi
* Darah dalam muntah
* Jika kandungan muntah mengandungi jus hempedu (billous vomiting), biasanya muntah berwarna hijau
* Muntah berterusan diikuti dengan cirit-birit yang terlalu kerap
* Anak anda lemah, tidak bermaya dan kelihatan lesu




Sumber dari akhbar berita minggu

11 November 2011

Sejukkan Dengan Wuduk

  
"Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.

Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk. Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.





Oleh Zulhafidz