30 March 2012

3 Jenis Sunnah Nabi Yang Perlu Anda Ketahui



 1  Sunnah SURAH : iaitulah fizikal atau luaran nabi seperti rambut nabi, janggut nabi, pakaian nabi, serban nabi, shawl nabi, selipar nabi, celak nabi dan sebagainya.

 2  Sunnah SIRAH : iaitulah aktiviti harian nabi dari bangun tidur sampai tidur balik seperti cara berjalan, cara makan, cara solat, cara pakai baju, cara naik kenderaan, cara tidur, cara beristinjak, bacaan quran nabi, solat nabi, qiamullail nabi dan lain-lain lagi.

 3  Sunnah SARIRAH : iaitulah perkara spiritual atau dalaman nabi seperti zikir nabi, pedih hati nabi, tangisan hati nabi, kerisauan nabi terhadap ummat, kepedihan hati nabi melihat kerosakan ummat, kebencian nabi terhadap kemungkaran dan lain-lain lagi.





Sumber dari pakarhowto.com

29 March 2012

Berpisah Tanpa Menyakitkan


Berpisah selalunya menyakitkan tetapi tidak semestinya mencalarkan jiwa anda. Kalau sudah tidak menemui titik persefahaman, sebaik-baiknya berpisah adalah jalan terbaik. Bagaimana anda berpisah tanpa menyakitkan hati kedua belah pihak?

Pihak masa yang sesuai
Jangan berpisah dengan pasangan di khalayak ramai. Kalau ianya terjadi jangan meninggikan suara di hadapan pasangan. Ini bagi memastikan aib pasangan terpelihara dan tidak memalukan dirinya. Sebaiknya pilihlah masa yang sesuai untuk bercakap soal ini. Pilihlah juga tempat yang sesuai seperti rumah dan sebagainya.

Jangan bertangguh
Tidak dinafikan, memutuskan sebuah perhubungan tidak semudah untuk membinanya. Namun jika tiada jalan penyelesaian antara anda dan pasangan, sebaiknya kata putus perlu diambil. Berterus-teranglah dengan pasangan. Dia tentu akan bertanya mengapa hubungan ini mahu diputuskan dan anda perlu mempunyai jawapan yang kukuh. Anda harus bersedia mental dan fizikal.

Matang
Anda telah bersamanya dalam jangka masa tertentu. Seharusnya anda matang dalam berfikir. Jangan sesekali menghantar satu mesej pendek menamatkan hubungan anda dan dia. Beranilah hadapi situasi ini dan bertemulah dirinya untuk menyatakan bahawa perhubungan ini perlu ditamatkan.






Sumber dari majalah mingguan wanita


28 March 2012

Resepi Puding Jeli Berlapis - Bijirin Bayi Nestle Cerelec

Penyediaan: 20 minit untuk empat hidangan


Setiap hidangan mengandungi 1.5 gram protein, 13 gram karbohidrat dan 67 kalori (kcal) tenaga.

Bahan A
1 cawan air
50 mililiter susu
1/2 sudu teh esen vanila
1 sudu besar gula




Bahan B
4 sudu besar Bijirin Bayi Nestle Cerelac (varian beras dan buah-buahan)
2 sudu besar tepung kastard
1/4 cawan air
1 biji telur
1/2 paket (44 gram) jeli segera berperisa strawberi
200 mililiter air panas


Cara penyediaan

Gunakan periuk untuk panaskan bahan A. Kemudian, masukkan bahan B dan didihkan selama dua minit. Pastikan ia sentiasa dikacau.


Sementara itu, cairkan jeli segera dengan air panas.
Campurkan jeli yang dicairkan ke dalam acuan dan siap.
Puding jeli berlapis sedia dinikmati.




Sumber dari akhbar harian metro

27 March 2012

Berjalan Bersama Bayi


MEMBAWA anak keluar sama ada mengunjungi pusat beli-belah, bersantai atau ke rumah saudara-mara pastinya memberi pengalaman berharga terutama kepada ibu bapa yang baru saja memperoleh cahaya mata pertama.


Pada usia tiga bulan, si kecil sudah boleh dibawa keluar asalkan ibu bapa membuat persediaan rapi dengan menyediakan keperluan dan memastikan keselamatan mereka. Antara panduan yang boleh diikuti ibu bapa ialah:


● Jika perjalanan melalui udara, berikan susu atau makanan ketika kapal terbang berlepas dan mendarat untuk menghilangkan kesakitan di telinga.


● Bawa krim ruam lampin, beg untuk lampin terpakai serta lampin yang mencukupi sepanjang perjalanan.



● Jangan lupa bawa semua ubat-ubatan sebagai persediaan sekiranya anak selesema atau demam terutama sekiranya anda ingin bermalam di sesuatu tempat.


● Bawa topi, losen serta krim pelindung matahari (dengan perlindungan SPF15 atau lebih untuk bayi anda. Bayi di bawah usia enam bulan harus mengelak daripada cahaya matahari terutama antara jam 11 pagi hingga 3 petang pada hari yang cerah dan panas.


● Dapatkan tirai yang boleh ditanggalkan untuk tingkap kereta supaya dapat melindungi kulit dan mata bayi anda daripada sinaran matahari.


● Jika perjalanan dengan kereta, bayi patut sentiasa duduk di dalam kerusi kereta bayi yang menghadap ke belakang, sebaik-baiknya ia terletak di tempat duduk belakang kereta. Jangan letakkan kerusi kereta di tempat duduk penumpang hadapan.


Luangkan masa sebelum anda bertolak untuk memastikan kerusi kereta bayi dan tali pinggang keledar dipasang dengan betul pada kerusi kereta bayi. Pastikan alat penahan kerusi dipasang dengan ketat dan kukuh pada bayi anda.

● Jika anda tidak menyusui bayi, bawa susu formula, botol susu, air panas serta makanan seperti roti atau biskut bagi memastikan anak tidak kelaparan ketika dalam perjalanan atau di tempat yang dituju.


● Bawa selimut bayi supaya anda boleh berhenti di taman untuk membenarkan bayi anda meregangkan kakinya atau melelapkan mata sejenak.


● Bawa sebuah beg yang berisi beberapa barang mainan kesukaan bayi anda bagi mengelak dia bosan ketika bersiar-siar.


● Sediakan juga baju simpanan anda dan bayi bagi memastikan anda dapat menukar pakaian dengan selesa sekiranya bayi muntah dan mengotorkan baju anda.


● Pakaikan pakaian bayi mengikut keadaan. Jika anda ingin ke pusat beli-belah, pastikan bayi anda memakai pakaian labuh menutup tangan dan kaki serta bawa selimut bersama. Jika anda keluar ke tempat yang panas, pastikan bayi anda memakai pakaian nipis bagi mengelak bayi anda tidak selesa dan meragam.


● Paling penting jangan lupa alat pembawa bayi untuk bayi yang masih kecil supaya dia dapat tidur nyenyak dalam dakapan anda. Anda juga mudah membawanya berjalan-jalan tanpa risaukan dia terjaga daripada tidur.






Sumber disunting dari akhbar harian metro

26 March 2012

Cirit-birit - Penyebab dan Penyembuh


Cirit-birit berlaku apabila pembuangan air besar adalah cair dan berair hingga tiga atau lebih kali sehari, atau keadaan yang tidak normal bagi seseorang individu. Cirit-birit adalah masalah biasa, dan dalam kebanyakan kes, ia boleh berlarutan selama 2 hingga 3 hari. Cirit-birit boleh disembuhkan dengan ubat tanpa preskripsi. Cirit-birit biasanya tidak teruk, dan berhenti dengan cepat tanpa banyak komplikasi dalam kalangan dewasa. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kes cirit-birit yang serius adalah mustahil, dan janganlah mengabaikan gejala atau tanda serius yang mungkin timbul.

Cirit-birit biasanya adalah satu tanda jangkitan gastrousus, yang boleh berpunca daripada pelbagai sebab, termasuk:
- Makanan dan minuman yang tidak bersih – dicemari bakteria, dan kuman lain.
- Makanan yang tidak dimasak dengan betul, seperti daging, makanan laut, atau produk tenusu (telur) yang tidak dimasak dengan betul.
- Makanan yang tidak disimpan dengan kaedah yang betul, seperti susu atau makanan sudah dimasak.
Ubat seperti antibiotik, yang membunuh bakteria baik dan bakteria jahat, menyebabkan ketidakseimbangan mikroflora dalam usus sehingga mengakibatkan cirit-birit.

Penyakit yang boleh menjejaskan perut, usus kecil, atau kolon seperti penyakit Crohn’s dan sindrom iritasi usus (IBS).

Cirit-birit tidak bermakna anda tidak boleh makan apa-apa sepanjang masa 24 jam pertama. Anda perlu berhati-hati dengan apa yang anda makan, dan mengelakkan jenis makanan tertentu. Makan makanan tawar seperti nasi kosong atau bubur, kentang rebus atau lenyek, pisang, roti bakar dan biskut tawar.

Untuk merawat ciri-birit, anda perlu menggantikan bendalir dan garam yang hilang. Minum banyak air kosong, atau minuman lain seperti jus buah-buahan tulen. Dalam kes cirit-birit sederhana hingga teruk, rumusan elektrolit, seperti rumusan rehidrasi oral atau minuman isotonik hendaklah diambil.

Elak makanan dan minuman:
- Susu dan produk tenusu, seperti aiskrim, keju.
- Minuman mengandungi kafeina, seperti kopi, teh.
- Makanan berminyak dan makanan bergoreng seperti mi goreng, ayam goreng.
- Makanan berserat tinggi, seperti buah-buahan sitrus.
- Makanan manis, seperti kek, biskut, kuih-muih tempatan.



Gejala Cirit Birit
Kebanyakan kes cirit-birit adalah sederhana dan tidak berpanjangan, jadi pesakit biasanya tidak perlu berjumpa doktor. Bagaimanapun, anda patut mendapatkan rawatan doktor jika mengalami gejala berikut:
- Demam panas, dengan suhu 38°C dan ke atas.
- Cirit-birit berlarutan selama lebih 2 hari.
- Sakit sederhana atau teruk pada bahagian abdomen atau rektum.
- Najis berdarah, atau bernanah.
Najis berwarna hitam seperti tar.
- Tanda nyahhidrat, yang mungkin termasuk kelesuan atau kelemahan, gayat, dan/atau air kencing berwarna gelap.

Cara terbaik untuk mengurangkan risiko anda mendapat cirit-birit ialah dengan menjaga kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap, terutama sekali selepas menggunakan tandas, kerana kuman mudah tersebar menerusi sentuhan.

Amalkan tabiat menjaga kebersihan apabila mengendalikan makanan, sentiasa basuh tangan dengan bersih selepas mengendalikan makanan, terutama daging mentah atau makanan lain yang belum dimasak. Daging dan ayam hendaklah dimasak dengan betul untuk membunuh sebarang bakteria, dan buah-buahan dan sayuran yang dimakan mentah hendaklah dibasuh dengan betul menggunakan air bersih.

Ramai antara kita biasa mengalami cirit-birit, tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh membawa komplikasi.




Sumber dari Utusan malaysia

23 March 2012

Ucaplah Laillahaillallah


Bila hamba Allah mengucapkan Laillahaillallah maka keluarlah dari mulutnya yang menggucapkan perkataan yang mulia itu seekor burung hijau. Maka burung hijau akan naik ke Arasy Allah dan berkicauanlah burung-burung tadi dibawah Arasy. Melihat kejadian itu malaikat yang menjaga Arasy Allah memerintahkan kepada burung-burung tadi supaya diam tetapi tidak dipatuhi oleh mereka. Oleh kerana arahan yang diberi tidak dipatuhi, malaikat yang menjaga Arasy mengadap Allah SWT menceritakan kejadian itu.


Maka Allah memerintahkan malaikat tersebut supaya memberitahu burung-burung supaya diam. Apabila perintah itu diberitahu kepada mereka. Maka berkatalah burung-burung itu... "wahai malaikat yang menjaga Arasy Allah, kami boleh mendiamkan diri kami tetapi dengan satu permintaan". bertanya malaikat "Apakah permintaan itu?". Berkata burung-burung itu" Jika Allah ampunkan dosa-dosa orang yang mengucapkan kalimah Lailahaillallah sehingga terciptanya aku, barulah aku akan tidak membuat bising disini". Berkata malaikat itu" baiklah aku akan sampaikan kepada Allah". Beredarlah malaikat dan menyembah Allah dan disampaikan permintaan tadi kepada Allah. Maka Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang menerima permintaan tersebut.


Malaikat pun pergi berjumpa dengan burung-burung itu dan mengatakan bahawa Allah telah menerima permintaan mereka. Maka dengan segera mereka tidak membuat bising dan mereka bergantungan di Arasy Allah sambil berzikir dan memohon keampunan untuk orang yang mengucap Lailahaillallah tadi sehingga hari kiamat. Oleh itu kita manusia sepatutnya tidak telepaskan peluang yang diberi oleh Allah itu dengan hanya mengucap kalimat yang disukai oleh Allah maka balasannya berterusan hingga hari kiamat. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.





Sumber dari blogtokwan.blogspot.com

22 March 2012

Spageti Makanan Laut Ala Thai


SPAGETI dalam bahasa Itali dikenali sebagai ‘tali kecil’ yang dihasilkan daripada sejenis tepung semolina bersama air.

Makanan ini menjadi lambang masakan Itali dan sering dihidangkan bersama sos tomato mengandungi pelbagai rempah ratus seperti oregano, minyak zaitun, daging dan cendawan.



Spageti makanan laut ala Thai

Bahannya:

180 gram spageti
10 gram bawang
5 gram serai
5 gram daun selasih
5 gram daun limau purut
10 gram cili padi
5 gram bunga kantan
15 gram udang
15 gram kupang
15 gram sotong
150 mililiter pati tomato
10 mililiter pati tomyam
15 gram lada benggala
10 mililiter sos ikan
Mentega untuk menumis






BAHAN...sediakan spageti, bawang, serai, daun selasih, limau purut, bunga kantan, cili padi, makanan laut, pati tomyam, pati tomato dan sos ikan.


PANAS...panaskan kuali, masukkan mentega mengikut keperluan.


TUMIS...kemudian tumis bawang dan bahan yang sudah dipotong seperti serai, daun selasih, daun limau purut, bunga kantan dan cili padi. Masak sehingga garing.

SOS...masukkan pati tomyam dan kacau.


TAMBAH...masukkan pati tomato dan kacau sehingga naik bau kemudian masukkan lada benggala.


MAKANAN LAUT...setelah garing masukkan udang, kupang dan sotong, kemudian kacau sehingga rata.


SPAGETI...setelah masak, masukkan spageti yang sudah direbus kemudian tambah perasa sos ikan.



Di Malaysia, spageti sudah dipelbagaikan cara masakannya iaitu digunakan dalam laksa Johor dan digoreng bersama masakan laut.

Spageti mengandungi kurang lemak berbanding mi kuning dan sangat sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet.




Mempelbagaikan teknik memasak spageti menggunakan campuran sayur-sayuran mampu memberi khasiat kepada tubuh selain mengekalkan berat badan.


Menurut Chef Sous Hotel Grand BlueWave Shah Alam, Chef Abdul Moit Samingan, makanan ini tidak harus dimasak terlalu lama supaya spageti tidak kehilangan zat yang banyak.

Bagi mengekalkan keasliannya, rebus spageti bersama secubit garam dan biarkan mendidih.

Kemudian angkat dan basahkan dengan air sebelum dihidangkan atau dimasak.

“Bagi mengetahui sama ada spageti benar-benar lembut, potong ketika masih di dalam periuk. Sekiranya mudah dikerat ini bermakna spageti sudah masak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menggoreng spageti, sebaiknya tidak membiarkan terlalu lama di atas api bagi mengelak spageti terlalu lembut sehingga mengurangkan rasa lemaknya. Ia sebaiknya dimasak dua atau tiga minit saja sebelum diangkat dan dihidangkan ketika masih panas.





Sumber dari akhbar harian metro

21 March 2012

Tabiat Buruk Merosakkan Kulit Wajah



 1  Tidur dengan tidak mencuci solekan pada wajah. Ini akan menyebabka kotoran dan minyak menutupi pori-pori pada kulit wajah sekali gus menimbulkan masalah kulit yang serius.

 2  Menggunakan barangan mekap yang sudah tamat tempoh. Mana-mana produk kecantikan mempunyai tempoh masa penggunaan. Justeru, berhati-hati memilih, jika sudah melebihi 12 bulan, sebaiknya hentikan penggunaannya.

 3  Membaiki solekan boleh membahayakan kulit, sebagai contoh, anda menambahkan alas bedak pada solekan sedia ada akan menyebabkan pori-pori tersumbat, menimbulkan iritasi dan juga jerawat. Sebaiknya, gunakan tisu kosmetik yang boleh membantu membersihkan dan meratakan solekan daripada anda asyik 'touch up' solekan tersebut lagi.

 4  Hindari menggunakan scrub daripada produk yang terlalu kuat bahannya. Sebaiknya, pilih produk dari bahan yang lebih ringan dan lembut.

 5  Hindari waktu mandai yang terlalu lama terutama apabila menggunakan air suam. Ia akan membantu menghilangkan minyak dari kulit anda. Selain itu, pastikan anda menyapu pelembap kulit untuk menjaga kelembapannya.

 6  Jangan gunakan berus solekan yang masih kotor. Ini kerana, ia boleh menyebabkan timbulnya pelbagai masalah pada kulit. Berus solekan yang tidak dicuci dan mengandungi sisa-sisa solekan biasanya bercampur dengan sel kulit mati dan juga bakteria. Ini menyebabkan timbulnya masalah pada kulit wajah.

 7  Berus solekan juga merupakan alat yang digunakan untuk mekap sehari-hari. Jadi alat-alat tersebut sebaik-baiknya dibersihkan selalu sekurang-kurangnya 2-3 kali seminggu jika digunakan setiap hari.

 8  Tabiat merokok boleh menyebabkan kulit anda cepat berkedut kerana kandungan bahan di dalamnya boleh mengakibatkan perjalanan darah anda kurang lancar. Jika anda adalah seorang perokok aktif, cara terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan mendapatkan rawatan kulit yang sesuai untuk anda. cara lain yang lebih baik adalah dengan berhenti daripada tabiat merokok, selain membantu hidup lebih sihat, kulit lebih cantik, ia juga dapat menjimatkan wang anda.

 9  Hindari terdedah pada sinaran matahari terutama pagi hari dari jam 10 pagi hingga jam 4 petang. Bagi anda yang banyak menghabiskan masa di luar, sebaiknya gunakan topi misalnya untuk melindungi wajah serta pilih pakaian yang boleh menutupi kulit anda dari terus terdedah pada sinaran matahari. Selain itu, anda juga digalakkan untuk menggunakan krim pelindung matahari sebelum keluar dari rumah.


Tip mendapatkan berus yang bersih

* Bersihkan berus solekan dengan cara mengelap dengan air. Lap basah akan membantu membersihkan berus dari kotoran, minyak dan sel-sel kulit yang mati sekali gus dapat menghindari timbulnya bakteria.

* Cuci dengan air suam dan syampu bayi serta tea tree oil. Ambil semangkuk air suam dan tambahkan satu sudu syampu bayi dan tiga atau empat titis tea tree oil. Masukkan berus ke dalam bekas tersebut lalu kocakkan ia atau bersihkan lebih kurang seminit atau lebih. Penggunaan syampu membantu mencuci segala solekan dan menanggalkan minyak yang melekat manakala tea tree oil berfungsi sebagai anti bakteris. Setelah itu, keringkan dengan menempatkannya di atas tuala atau kain.



Sumber dari majalah mingguan wanita


20 March 2012

Suai Padan Makan Tepat Beri Manfaat Berganda


Bijirin dan jus oren
Makanan ini merupakan antara menu sarapan yang rendah kolesterol. Makan semangkuk bijirin bersama segelas jus oren, gabungan ini menjadi makanan yang bersinergi antara satu sama lain serta mampu mengusir jauh kolesterol jahat di dalam tubuh.

Tomato dan brokoli
Khabar baik untuk anda yang gemarkan salah satu atau kedua-dua jenis makanan ini. Sesuai dipadankan bersama kerana kerjasama antara kedua jenis makanan ini sangat efektif untuk melawan kanser prostat.

Epal dan raspberi
Buah-buahan terkenal sebagai penghasil vitamin yang besar. Bagaimana pula jika memakan pelbagai jenis buah-buahan dalam sepiring salad buah? Salah satunya adalah seperti sinergi antara buah epal dan raspberi. Kombinasi kedua buah ini dapat memberi antioksidan yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan.

Salmon dan bawang putih
Salmon terkenal sebagai ikan yang memiliki omega-3 yang amat banyak. Jika digabungkan dengan bwang putih sebagai rencah atau bahan di dalam masakan, gandingan keduanya mampu menyingkirkan kolesterol.

Tomato dan avokado
Kandungan antioksidan likopen dalam tomato akan lebih baik diserap jika dimakan bersama lemak sihat seperti yang terdapat di dalam buah avokado. Jenis buah ini dapat dicampurkan di dalam hidangan salad mahupun di dalam jus. Rasanya juga tentu enak sekali.



Sumber dari majalah mingguan wanita

19 March 2012

Enam kesilapan tidur yang dilakukan ibu bapa dan bagaimana mengelakkannya

 

Kesilapan 1: Membiarkan anak anda tidur terlalu lewat

Setelah bekerja sepanjang hari, anda memang mahukan bayi atau anak kecil anda berjaga supaya anda dapat meluangkan lebih masa dengannya. Atau mungkin anda berharap dia akan menjadi begitu letih, lambat laun dia akan tertidur...

Apa pun alasannya, bukanlah satu idea yang baik untuk membiarkan anak anda berjaga. Apabila bayi dan anak kecil menjadi letih, lebih susah untuk mereka tidur dan terus tidur. Mereka cenderung untuk bangun lebih awal jika tidur lambat daripada jika mereka masuk tidur pada waktu yang lebih munasabah.
Adalah lebih baik untuk menetapkan
rutin tidur dan mengikutinya. Jangan tunggu sehingga anak anda menguap dan menggosok-gosok matanya sebelum menidurkannya. Tidur tambahan 15 hingga 20 minit boleh mendatangkan kesan yang baik.

Kesilapan 2: Bergantung kepada pergerakan 

Pernahkah anda menarik nafas lega setelah bayi anda tertidur di tempat duduk kereta atau dalam sarung? Meskipun ini memberikan anda rehat yang diperlukan, jangan terperangkap sehingga bayi bergantung kepada pergerakan sebelum dapat tidur. Adalah tidak praktikal untuk membawa bayi anda bersiar-siar dalam kereta setiap malam. Dia juga tidak akan mendapatkan tidur nyenyak yang menyegarkan yang diperlukannya.

Adalah okey untuk menggunakan pergerakan untuk menenangkan bayi anda jika dia terganggu atau merungut. Cuma jangan jadikan ini sebahagian rutin waktu tidurnya yang biasa.


Kesilapan 3: Terlalu terangsang

Anda mungkin meletakkan mainan bergantung di katil bayi anda untuk menenangkannya. Namun, mainan berputar, bunyi-bunyian dan cahaya-cahaya boleh menjadi gangguan. Jika mereka asyik memerhatikannya, ia boleh membuat bayi berjaga dan mereka tidak akan mengerti bila tiba masanya untuk tidur malam.

Adalah lebih baik untuk meletakkan bayi anda tidur di dalam bilik yang betul-betul gelap. Jangan bimbang yang dia akan takut. Dia terlalu muda untuk mengerti perasaan ketakutan di waktu malam. Kipas atau album jenis white noise juga boleh membantu, sebab ia boleh menenggelamkan bunyi-bunyi lain dari seluruh rumah atau di luar.

Apabila anak anda lebih tua, cahaya malam yang lembut boleh menenangkan sebarang
ketakutan dia. Jangan biarkan dia menonton televisyen sebelum tidur. Tertidur semasa menonton DVD kegemarannya bermakna dia mungkin akan kehilangan tidur untuk selama setengah jam yang penting baginya. Ini boleh menjejaskan ketenteraman dan perangainya pada keesokan hari, yang anda tentu tak mahukan!


Kesilapan 4: Tidak mematuhi rutin waktu tidur

Ketika anak anda bayi, anda mungkin merasakan bahawa rutin yang terdiri daripada mandi, buku cerita dan lagu ninabobok tidak lagi diperlukan. Apabila anak anda meningkat usia, anda mungkin merasakan yang dia terlalu tua untuk rutin tidur. Atau mungkin anda berasa terlalu bosan untuk meneruskannya.

Tetapi mempunyai satu siri aktiviti-aktiviti sebelum tidur yang menenang serta menyenangkan adalah penting, sebab ia menyediakan anak anda untuk tidur. Orang dewasa juga mendapat manfaat daripada mengadakan beberapa rutin untuk mententeramkan diri setiap malam. Anda tidak boleh mengharapkan anak anda untuk terus tidur jika hari yang dilaluinya sebelum itu adalah sibuk. Sudah tentu dia tidak akan mendapatkan tidur yang diperlukan.

Anda boleh membuat apa-apa
rutin yang anda suka untuk anak anda. Hanya pastikan ia adalah satu siri langkah-langkah yang menyamankan yang berlaku dalam susunan yang sama pada masa yang sama setiap malam.


Kesilapan 5: Ketidakkonsistenan

Beberapa kali seminggu, apabila dia tidak mahu berenggang dengan anda, memang lebih senang untuk membawakan anak kecil anda ke katil anda dan menunggu sehingga dia tertidur. Atau mungkin anda meletakkan anak prasekolah anda di dalam biliknya tetapi membenarkan dia naik ke katil untuk bersama anda pada waktu malam. Tanpa disedari, katil pasangan suami-isteri menjadi katil keluarga.

Anak anda tidak akan memahami mengapa kadangkala anda membawanya ke katilnya sendiri tetapi di masa lain anda membiarkannya di katil anda. Dia akan terus mengamuk sehingga anda membiarkan dia bermalam dengan anda, setiap malam.

Jika anda mendapati diri anda dalam situasi ini, undurkan anak anda dari katil anda secara perlahan-lahan. Duduklah di sebelah katilnya semasa dia nak tidur. Kemudian, selepas beberapa malam duduklah di muka pintu, sebelum meninggalkan bilik terus. Terangkan kepadanya bahawa apabila tiba masanya untuk tidur, dia mesti tidur di tempat tidurnya sendiri. Bertegaslah secara berlembut dan anda akan dapat mengubah keadaan.


Kesilapan 6: Berpindah ke katil besar terlalu awal

Jika anda mengalihkan anak anda dari kot bayi ke katil terlalu awal, anda mungkin mendapati yang dia suka merayau di sekitar rumah pada awal pagi. Sebelum usia tiga tahun, anak anda tidak mempunyai pemahaman atau kawalan diri untuk tetap tinggal di sekitar sempadan katil yang kurang nyata baginya.

Jalan terbaik ialah dengan mengenakan tempoh percubaan baginya di katil besar. Jika selepas seminggu ini tidak mendatangkan hasil, maka tidak salah bagi mengembalikan dia ke kot. Cuba pindahkannya semula ke katil setelah beberapa bulan berlalu. Cuma ingat bahawa tiada kanak-kanak yang bersekolah yang masih tidur di kot, dan anak anda pun akan begitu juga. Cuba relaks saja tentang hal ini.

Sumber dari www.babycenter.com.my

16 March 2012

7 Kalimah Agung


Sabda Rasulullah S.A.W : " Barang siapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan."

 1  Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

 2  Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

 3  Mengucap 'Astagfirullah' jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk atau perkataan yang tidak patut.

 4  Mengucap 'Insya Allah' jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang. 

 5  Mengucap 'La haula wala kuwwata illa billah' jika tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk. 

 6  Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi musibah atau melihat kematian. 

 7  Mengucap 'La illaha illa Allah Muhammadur Rasulullah' sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya, amalkan selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah.





Sumber dari zikiribadat.blogspot.com dan johneox.wordpress.com

15 March 2012

Kentang Lenyek



BIASANYA kita menikmati kentang lenyek di restoran makanan segera. Makanan ini memang ramai penggemarnya.

Membuat kentang lenyek sebenarnya bukanlah sesusah mana. Ia boleh saja dibuat sendiri kerana cara membuatnya sangat mudah.

Sekiranya mahu menjadikannya hidangan makan malam, mula merebus kentang di siang hari. Ini kerana, kita sudah boleh menjimatkan masa untuk proses merebus kentang.

Membuat sos perang untuk dimakan bersama kentang lenyek juga menyeronokkan apabila mengetahui tekniknya. Ia juga boleh dimasak awal dan panaskan saja ketika hendak makan.



Kentang lenyek dan sos perang sedap dimakan begitu saja atau bersama salad, mayonis dan roti bakar. Ia hidangan yang mengenyangkan walaupun sedikit dan tanpa nasi.


Bahan kentang lenyek:

2 biji kentang (rebus sehingga empuk)
1 mangkuk air
1 sudu besar stok ayam
1 sudu kecil lada sulah atau lada hitam


Bahan sos perang:

2 sudu besar mentega
1 ulas bawang putih, dicincang
2 sudu besar stok ayam
2 mangkuk air
1 sudu kecil lada sulah atau lada hitam
3 sudu tepung gandum


RESIPI MUDAH...gunakan dua biji kentang.


LENYEK...kentang yang sudah direbus itu dibuang kulitnya kemudian dilenyek (boleh guna mesin pengisar untuk hasil lebih halus).


HANCUR...lenyek kentang sehingga hancur bersama semangkuk air.


MULA MEMASAK...masukkan garam, stok ayam dan lada sulah mengikut selera. Kentang lenyek dimasak di atas api sederhana sehingga mengering.


BAHAN SOS PERANG...bahan sos perang juga mudah disediakan.


TUMIS...panaskan dua sudu mentega dengan api sederhana, tumis bawang putih. Masukkan stok ayam.


TEPUNG...masukkan air dan biar mendidih. Tambahkan juga lada sulah atau lada hitam, selepas itu masukkan tepung gandum.


PUTAR...masak adunan menggunakan pemutar telur supaya tepung tidak berketul. Pukul adunan hingga ia pekat. Jika masih berketul, gunakan penapis untuk dapatkan sos yang halus.




Sumber dari akhbar harian metro


Sedapnya, selalu suka beli kat KFC.. Nak try buat la, tgk mcm senang jer.. Baru hari ni tau bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan sos dia..


14 March 2012

Pemanduan Berhemah


Antara amalan ringkas untuk pemanduan berhemah yang boleh dipraktikkan ialah:

 1  Apabila berada dalam kesesakan trafik, pastikan anda dalam keadaan tenang. Sentiasa nyalakan lampu isyarat sebelum bertukar lorong untuk menyatakan tujuan anda. Sekiranya anda dipotong pemandu lain, perlahankan kenderaan dan berikan ruang kepada pemandu tersebut untuk masuk ke laluan anda dan lemparkan senyuman kepadanya.

 2  Sekiranya anda berada di lorong laju dan seseorang ingin memotong, ke tepi dan biarkan kenderaan itu memotong. Anda mungkin memandu di lorong kanan dalam lingkungan had laju yang sepatutnya, tetapi anda mungkin membahayakan diri anda dengan menimbulkan kemarahan pemandu di belakang anda.

 3  Kekalkan jarak sekurang-kurangnya dua saat antara kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan. Sesetengah pemandu akan berasa marah jika diekori terlalu rapat. Sekiranya anda diekori terlalu rapat, beri isyarat dan beri laluan untuk pemandu di belakang anda untuk memotong.

 4  Gunakan hon jika perlu. Elak penggunaan hon secara berterusan sekiranya anda berasa marah dengan pemandu lain kerana perkara ini mengundang gejala samseng jalanan spontan.

 5  Kekalkan tangan anda di atas stereng dan elakkan membuat isyarat yang boleh menimbulkan kemarahan pemandu lain, termasuklah ekspresi “selamat” seperti menggelengkan kepala.

 6  Sekiranya ada pemandu yang naik marah, jangan memandang mata pemandu tersebut.

 7  Berikan ruang yang banyak kepada pemandu yang sedang marah. Sekiranya pemandu lain cuba untuk mencetuskan pergaduhan, jauhkan diri anda seboleh mungkin. Pergaduhan tidak akan timbul jika tiada orang yang ikut terlibat. Ibarat bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi.

 8  Dapatkan bantuan sekiranya anda merasakan diekori oleh pemandu yang sedang marah dan cuba untuk mencetuskan pergaduhan. Gunakan telefon bimbit untuk menghubungi polis. Jika tiada telefon bimbit, pandu ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti balai polis, pasar raya dan hospital. Jangan keluar dari kenderaan atau pulang ke rumah.

Amalkan sikap bersopan santun dan bertimbang rasa. Terimalah kenyataan bahawa anda akan bertemu dengan pelbagai kerenah pemandu di jalan raya, dan perwatakan seseorang akan berubah apabila tangannya memegang stereng kereta. Oleh itu, sematkan budaya biar lambat asal selamat.



Sumber dari pmr.penerangan.gov.my


12 March 2012

Tip Kekal Cergas


Banyakkan minum air masak
Pastikan ada bekalan air masak di meja kerja anda. Dengan mengamalkan cara ini, anda akan lebih cergas. Elakkan minuman bergula kerana ia akan membuatkan anda mengantuk. Minuman bersusu juga eloklah dihindari.

Jangan terlalu asyik dengan kerja yang anda buat
Beri ruang kepada diri sendiri. Sambil bekerja, anda boleh melayari internet juga. Tak lah bosan sangat kan..

Sentiasa bersedia dengan bekalan snek sihat
Untuk mengelakkan rasa mengantuk, elok juga anda letakkan satu bekas kudapan ringan seperti kismis atau kekacang di meja kerja. Gula-gula berperisa pudina pun boleh juga.

Buat senaman ringkas
Pada waktu anda sudah letih. Tak susah, lakukan di hadapan komputer saja. Regangkan bahu, lengan, dan pinggang. Anda juga boleh berjalan sekitar pejabat untuk melonggarkan otot-otot yang keletihan dan sudah 'ketat' kerana terlalu lama duduk menghadap komputer.

Semburkan minyak wangi
Tahukah anda, bau harum dapat mengembalikan kecergasan seseorang? Bila mula rasa mengantuk, semburkan sedikit minyak wangi pada bahagian tertentu tubuh seperti pergelangan tangan atau leher. Ia umpama satu terapi yang menenangkan.



Sumber dari majalah rapi

09 March 2012

40 Keistimewaan Wanita - Menurut Islam


 1  Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.


 2  Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. dan orang yang takutkan Allah S.W.T. akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.


 3  Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah.


 4  Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah- olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.


 5  Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah S.A.W.) di dalam syurga.


 6  Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.


 7  Daripada Aisyah r.a. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.


 8  Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.


 9  Apabila memanggil akan engkau dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.


10 Wanita yang ta'at berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.


11 Wanita yang ta'at akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia ta'at kepada suaminya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).


12 Aisyah r.a. berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W., siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya.” “Siapa pula berhak terhadap Suaminya?” tanya Aisyah kembali, Jawab Rasulullah S.A.W. “Ibunya.”


13 Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta ta'at akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.


14 Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).


15 Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. menatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.


16 Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.


17 Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.


18 Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.


19 Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.


20 Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.


21 Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk dari pada 1,000 lelaki yang jahat.


22 Raka'at solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 raka'at solat wanita yang tidak hamil.


23 Wanita yang memberi minum air susu ibu kepada anaknya daripada badannya (susu badannya sendiri) akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.


24 Wanita yang melayani dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.


25 Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh Rahmat.


26 Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.


27 Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.


28 Wanita yang memerah susu binatang dengan “Bismillah” akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.


29 Wanita yang menguli tepung gandum dengan “Bismillah”, Allah akan berkatkan rezekinya.


30 Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.


31 Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.


32 Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.


33 Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.


34 Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.


35 Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.


36 Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2½ thn),maka malaikat-malaikat dilangit akan khabarkan berita bahwa syurga wajib baginya. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.


37 Jika wanita memicit atau mengurut suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.


38 Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.


39 Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.


40 Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.




Sumber dari blogtokwan.blogspot.com

08 March 2012

Sejarah Hari Wanita Sedunia



Macam mana boleh wujud Hari Wanita Sedunia?

Tanggal 8 Mac 1857 iaitu 153 tahun yang lalu, satu mogok besar-besaran telah di adakan oleh beratus wanita yang menjadi buruh di kilang kain dan pakaian di New York. Mereka melancarkan mogok kerana menentang kezaliman majikan dan masyarakat kapitalis yang mengekploitasi keringat dan tenaga dengan bayaran gaji yang amat rendah, masa kerja yang panjang serta keadaan suasana tempat kerja yang tidak berperi kemanusiaan. Lima puluh tahun kemudian di bulan Ogos 1910, Persatuan Wanita Sosialis Antarabangsa telah memilih tarih ini sebagai hari sambutan wanita sedunia. Pada tahun 1975 , Bangsa bangsa bersatu mula merayakan 8 mac sebagai sebagai hari wanita sedunia.(sumber:Perutusan Wanita Sedunia).

Dulu wanita sering ditindas dan menjadi mangsa keganasan. Dengan wujudnya Hari Wanita Sedunia, nasib wanita telah terbela kerana dua perkara telah diketengahkan iaitu untuk mengecapi keamanan, keselamatan, kemajuan tamadun, memartabatkan hak asasi manusia dan asas-asas kebebasan, kita memerlukan penglibatan yang aktif dari kaum wanita. Oleh itu kaum wanita perlu di beri layanan yang adil dan saksama kerana kemajuan wanita melambangkan kemajuan sesuatu bangsa. Selain itu, untuk memperakui dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam mengukuhkan keamanan, keselamatan dan keadilan sejagat.

Kini, tujuan sambutan Hari Wanita Sedunia lebih diperkukuhkan. Antaranya untuk mempromosikan langkah mengetatkan undang-undang dalam menangani isu wanita, contohnya isu pelaksanaan undang syariah di mahkamah syariah, isu undang undang yang lebih ketat kepada perogol, pendera dan penganas rumahtangga.

Selain itu, memberikan kefahaman kepada orang awam mengenai agenda wanita untuk perubahan. Pihak berwajib juga perlu untuk memperkemaskan latihan dan kemahiran serta penyelidikan dalam isu-isu wanita selain menghulurkan pertolongan kepada golongan wanita yang tidak bernasib baik agar wanita mendapat kualiti hidup yang lebih baik. Di samping itu, sambutan ini juga bertujuan untuk menyedarkan wanita betapa perlunya mereka mempunyai kesedaran berpolitik dan memantapkan ekonomi diri.



Sumber dari Azilas


"Selamat Hari Wanita Sedunia" buat semua para wanita di seluruh dunia..

07 March 2012

Cara Mengatasi Kaki Berbau

 


* Jangan lupa membersihkan celah jari-jari kaki dan selalu keringkan kaki secara menyeluruh.

* Pastikan kuku kaki sentiasa pendek bagi mengelakkan pembiakan bakteria.

* Pakailah kasut yang diperbuat dari bahan semula jadi seperti kulit kerana ia memungkinkan kaki anda bernafas.

* Gunakan juga stokin dari bahan kapas yang dapat memelihara kaki agar tetap kering.

* Hindari memakai kasut sama dalam dua hari berturut-turut dan ganti stokin kaki sekali atau dua kali sehari.

* Jika perlu, usir bau kaki dengan menggunakan semburan atau bedak kaki kerana ia jauh lebih efektif.

* Antara rawatan yang baik untuk menghilangkan bau kaki selain membentuk kulit yang licin, menghilangkan daki dan karat pada lapisan kulit seseorang adalah teknik parafin iaitu sejenis rawatan menggunakan lilin cair panas yang membantu mengurangkan masalah kaki berbau.



Fakta

* Secara purata, setiap orang berjalan antara 8,000 hingga 10,000 langkah setiap hari.

* Tindakan memakai kasut yang hilang keseimbangan (seperti tapak yang haus pada kiri dan kanan), tidak sesuai dengan aktiviti, uzur dan kotor boleh mencederakan otot kaki.

* Risiko kaki berbau lebih besar kepada golongan yang gemar kasut tertutup kerana kulit kaki tidak dapat pengudaraan baik.

* Kadangkala bau kaki boleh menjadi gejala kepada masalah lain. Individu mungkin mengalami masalah kaki dimakan air (jangkitan fungus pada kulit di celah jari kaki).




Sumber dari majalah mingguan wanita



06 March 2012

Diet Terbaik Untuk Pengidap Kanser Hati


MAKANAN DAN MINUMAN YANG PERLU DIAMBIL

 1  Susu dan Yogurt
Susu dan yogurt dapat mengurangkan perkembangan barah hati. Anda harus memastikan bahawa susu dan yogurt yang diambil adalah bebas gula.

 2  Buah-Buahan Segar dan Sayur-Sayuran
makan 7 hingga 9 hidangan buah-buahan segar dan sayur-sayuran (organik dan bebas racun perosak). Anda harus mengambil sayur-sayuran dan buah yang mengandungi vitamin C dan vitamin B yang tinggi. pastikan sayur-sayuran dan buah-buahan itu adalah organik dan tidak menggunakan racun perosak. Menurut penelitian, mereka yang mengamalkan pemakanan sayur-sayuran kuning dan oren (labu, ubi jalar, ubi) dan sayur-sayuran seperti brokoli mempunyai peluang yang lebih rendah untuk mendapat barah hati berbanding mereka yang tidak memakan sayur-sayuran ini secara teratur.

 3  Teh
Teh hijau adalah salah satu minuman popular yang biasa digunakan sebagai minuman berkhasiat.

 4  Makanan Berserat Tinggi
Salah satu cara untuk melawan penyakit barah hati ialah pesakit haruslah mengambil makanan yang berserat tinggi seperti oat dan kekacang.

Ada dua kategori makanan berserat tinggi yang memberikan kesan yang berbeza pada tubuh kita. Pertama adalah serat larut dan yang kedua serat tidak larut.

Serat larut seperti kacang kering, kacang peas, oat dan biji rami. Ia juga terdapat pada jeruk epal dan lobak merah. Serat larut ini membantu mengatur gula dalam darah kerana ia terikat dengan asid lemak dalam perut dan memanjangkan proses pencernaan. Selain itu, ia juga turut menurunkan tahap LDL (Low Density Lipoprotein) atau dikenali sebagai "kolesterol buruk" dan membantu mengurangkan jumlah kolesterol secara keseluruhan.

Untuk serat tidak larut, kita boleh menemuinya dalam roti gandum, bunga kobis, kacang hijau, pada kulit buah-buahan dan sayur-sayuran berakar. Ini baik untuk proses pencernaan dan membantu pengeluaran toksin dalam badan serta mengimbangi keasidan dalam badan.

 5  Jus Delima
Pesakit barah hati dinasihatkan untuk mengambil minuman jus delima kerana ia membantu sebagai agen mencegah. Untuk lelaki, satu lagi manfaat jus delima adalah ia juga merupakan pilihan yang berkesan bagi rawatan kanser prostat.

 6  Minyak Zaitun
Minyak zaitun dapat membersihkan hati dan memberikan fungsi tubuh anda kembali ke tahap optimum. Bahkan ia meningkatkan tumpuan dan tenaga anda.

 7  Ikan Stim dan Rebus (Ikan Laut Dalam)
Ikan memberikan khasiat lemak sihat dan tidak memburukkan barah hati. bagi mereka yang sangat peka mengenai barah, ikan laut dalam adalah pilihan yang terbaik. Ianya merupakan sumber protein yang bagus.

 8  Diet Bebas Gula
Perkara yang paling mustahak dalam mencegah barah hati adalah pemakanan yang bebas gula. Ini kerana pesakit diabetes mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mendapat kanser hati.

 9  Lemak Haiwan / Lemak Trans
Pesakit barah hati harus mengelakkan daripada mengambil kedua-dua jenis lemak tersebut kerana ianya berbahaya bagi melawan penyakit kanser.

10 Daging Merah
Anda tidak boleh mengambil daging merah secara berlebihan atau elakkan dari mengambil daging merah.

11 Keju
Pesakit barah juga perlu menghindari dari memakan bijan, lada dan keju. Ini kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan barah tersebut.





Sumber dari majalah rapi