Persoalannya ialah bagaimana untuk menghias rumah seperti mana rumah idaman anda? Tip berikut mungkin boleh membantu anda:
CAT YANG SESUAI
Warna cat boleh menimbulkan persekitaran dan mood yang berbeza. Berhati-hati dalam soal pemilihan warna car terutamanya di kamar tidur anda. Pilih warna cat yang bersifat jangka panjang dan tidak menimbulkan kebosanan dalam jangka masa tertentu.
Kenali Fungsi Cat:
- Warna gelap akan membuatkan ruang kelihatan lebih kecil dan ruang akan menjadi agak suram. Justeru, untuk ruang kecil, manfaatkan warna lembut atau cerah agar persekitarannya tampak lebih sejuk dan lapang.
- Ketahui jenis cat dan kekuatannya. Bagi ruangan yang sering terdedah pada kotoran misalnya dapur atau bilik si kecil, pilih cat yang boleh dibersihkan. Biarpun harganya agak mahal, namun begitu berbaloi dalam jangka panjang.
- Buat tinjauan sebelum membeli. Anda boleh melihat laman web atau majalah dekorasi bagi mengetahui warna yang sesuai bagi ruangan di kediaman anda. Sama ada bersifat kontras atau tidak, pastikan warnanya boleh menyumbang kepada dekorasi ruang, bukannya menenggelamkannya.
LUASKAN RUANG KECIL
Ruang yang kecil bukanlah alasan untuk sukar menata hias kediaman. Ciptakan dimensi yang boleh memantulkan kesan yang lebih luas. Tidak perlulah membelanjakan wang untuk memecahkan ruang kediaman, sebaliknya berinteraksilah dengan ruang terbabit.
Caranya:
- Jadikan cermin berukuran besar bagi mencipta visual ruang yang lebih besar. Bagi ruang makan dan ruang tamu yang berada di dalam pelan yang sama, cermin akan membantu memancarkan keseluruhan ruang tampak lapang kala mata memandang ke arah cermin tersebut.
- Biarpun anda rambang mata melihat pelbagai perabot yang dipamerkan di kedai, namun pastikan anda tahu kesesuaiannya dengan ruang kediaman. Jangan berangan untuk memenuhkan kediaman anda dengan perabot yang besar sehingga tiada langsung ruang untuk bergerak.
BUKAN SEMUA PERLU BARU
Jika mahukan semua baru tentunya memerlukan perbelanjaannya yang cukup tinggi. Tidak perlu semua ini jika anda kreatif dalam mencorakkan kembali perabot lama anda. Biarpun ia kelihatan agak lusuh, apa kata cat sahaja dan baiki kerosakannya. Selain itu, gunakan kebijaksanaan anda untuk mencampurkan perabot bercita rasa moden bersama perabot lama bagi mewujudkan jalinan yang serasi.
Antara benda lama yang boleh diperbaharui ialah:
- Gambar hitam putih ketika usia kecil anda boleh dijadikan hiasan indah di dinding. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membingkaikannya sahaja.
- Manfaatkan juga kerusi lama dengan memasang fabrik atau sarung baru agar dapat memancarkan imej lebih ceria.
HIASKAN DINDING
Dinding tanpa hiasan agak membosankan. Kecualilah jika anda menggunakan kertas dinding yang mempunyai corak yang sarat. Justeru, cuba hiaskan dinding rumah anda dengan potret keluarga, lukisan, cermin ataupun piring hiasan. Namun, sesuaikan dengan fungsi ruang terbabit. Perhatikan hiasan yang ada di pasaran dan bandingkan dengan kesesuaian kediaman anda.
BANTUAN CAHAYA
Tidak semua ruangan perlu diterangi dengan efek cahaya yang sama. Pastikan anda tahu bahagian mana yang boleh diserlahkan dengan bantuan cahaya. Misalnya, lukisan atau potret di dinding. Anda boleh memasang lampu sorot yang hanya memancarkan cahaya ke arah lukisan tersebut. Efeknya pasti memukau.
Cara menyerlahkan ruang:
- Lampu duduk atau berdiri - Kesan kabur yang dipantulkan membuatkan ruang tampak romantik. Sesuai diletakkan di ruang tamu, ruang santai dan bilik tidur.
- Candelier - Memantulkan imej mewah terutamanya bagi menyerlahkan perabot baca, kristal dan berwarna keemasan. Sesuai diletakkan di ruang tamu dan ruang makan.
- Lampu gantung - Memancarkan cahaya yang lebih terang dan sering dijadikan pilihan di ruang aktiviti keluarga, ruang belajar, ruang tamu dan ruang makan.
Sumber dari majalah keluarga harmoni
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..