Ruam lampin adalah masalah kulit yang paling kerap dialami oleh kebanyakan anak kecil khususnya bayi. Walaupun ruam lampin bukanlah penyakit yang merbahaya namun terdapat sebahagian daripada ruam yang boleh menjadi serius sekiranya tidak diatasi dengan betul.
Ruam lampin lazimnya berlaku di sekitar bahagian yang ditutupi lampin iaitu kemaluan, punggung, kelangkang dan juga paha. Kulit di sekitar bahagian-bahagian tersebut akan berbintik-bintik kemerahan dan merengsakan bayi.
Masalah ruam lampin, biasanya terjadi apabila berlakunya jangkitan bakteria dan kulat ataupun disebabkan alahan kulit (ekzema).
PUNCA RUAM LAMPIN
Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya ruam lampin di kalangan bayi. Antaranya :-
- Apabila kulit bayi menyentuh air kencing yang disebabkan oleh pemakaian lampin dalam tempoh yang terlalu lama. Ammonia yang dihasilkan oleh air kencing akan mengganggu lapisan perlindungan kulit bayi dan ia menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.
- Selain air kencing, najis bayi terutama najis cair juga penyebab kepada ruam lampin. Najis yang merbahaya kepada kulit bayi ini terhasil daripada makanan bayi dan juga ubat-ubatan tertentu yang diberikan kepada mereka.
- Punca lain ialah bahan kimia yang terdapat di dalam sabun mandian bayi.
- Terdapat juga jenis lampin pakai buang yang menyebabkan alergi pada kulit bayi yang sensitif.
RAWATAN DAN PENJAGAAN
1 Ruam lampin boleh sembuh dengan sendiri jika anda mengamalkan penjagaan kulit bayi dengan betul. Tanggalkan lampin bayi dan biarkan bahagian yang terkena ruam terdedah kepada udara sekerap mungkin.
2 Anda juga perlu kerap menukar lampin bayi yang telah basah atau kotor dengan segera dan jangan sesekali melengahkan penukaran lampin bayi anda.
3 Setiap kali menukar lampin, cuci bahagian yang ditutupi lampin dengan air suam. Terdapat ibu-ibu yang hanya menggunakan tisu basah untuk mengelap kemaluan dan punggung bayi ketika menukar lampin. Harus diingat, cara tersebut tidak boleh diamalkan.
4 Selain itu, anda perlu peka dengan pemilihan lampin bayi. Kini terdapat pelbagai jenis dan jenama lampin bayi di pasaran yang mungkin dapat mengurangkan risiko kulit bayi anda akan dijangkiti ruam.
5 Kebiasaannya, ruam boleh hilang atau sembuh dengan sendirinya. Namun jika ia kelihatan makin serius walaupun anda telah mengamalkan cara penjagaan yang betul, buat rawatan pakar dengan segera.
Sumber dari majalah keluarga harmoni
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..