11 April 2011

Kuku Bermasalah Petanda Penyakit


Kulit muka, rambut dan bau badan adalah cermin tahap kebersihan seseorang. Begitu juga dengan kuku. Boleh diibaratkan sebagai 'duta', kuku mewakili setiap individu yang menjaganya dengan baik. Obsesi mewarnakannya dengan pelbagai bahan kimia seperti pewarna kuku dan kerap membiarkan ia dipenuhi dengan kotoran akan mengundang pelbagai penyakit. Kebanyakan daripada anda sedar akan masalah ini, tetapi ada segelintir dengan sengaja mengabaikan kebersihan kuku.

Bercerita mengenai kuku dan penyakit. beberapa perubahan pada kuku seperti perubahan warna, pengecutan, penebalan, kerapuhan, rekahan, keadaan seakan-akan tergores, titik putih kecil, lunula yang merosot, bentuk yang melengkung (cengkung), rata dan menggelembung boleh dikaitkan dengan tahap kesihatan seseorang.

Ia termasuklah sakit di bahagian badan yang lain, kekurangan nutrien, kesan dadah atau racun, atau mungkin juga kecederaan pada kuku itu sendiri. Kuku juga boleh menebal (onikogriposis/onychogryposis), menjadi longgar (onikolisis/onycholysis), dijangkiti fungus (onikomikosis/onychomycosis) atau menjadi lebih buruk (onikodistrofi/onychodystrophy).

Di bawah merupakan beberapa perubahan pada kuku yang dapat membantu doktor mengesan sesuatu penyakit :

  • Warna kebiruan pada pangkal kuku menandakan kitaran darah yang tidak lengkap dan merupakan gejala penyakit jantung
  • Apabila separuh bahagian di hujung kuku berwarna merah muda atau coklat sementara kutikel berwarna putih, itu merupakan gejala penyakit kerosakan ginjal yang kronik
  • Apabila timbul kerutan melintang dan kuku kelihatan kusam, itu menandakan kekurangan nutrien atau gejala sesuatu penyakit seperti demam campak, cacar air, masalah jantung serta keadaan seperti sindrom Reynaud (kejang pada urat jari tangan dan kaki akibat sangat sejuk)
  • Lapisan merah membujur pada kuku menandakan pendarahan pada salur kapilari. garisan-garisan berganda merupakan gejala penyakit darah tinggi
  • Apabila pertumbuhan kuku kelihatan lambat, tebal dan mengeras serta kekuning-kuningan, ia menandakan masalah sistem pencernaan yang kronik
  • Timbulnya bintil-bintik pada kuku, menandakan adanya penyakit psoriasis (penyakit kulit kronik)
  • Apabila terdapat lengkungan berlebihan pada pangkal kuku dan sekitar hujung kuku, itu menandakan gejala penyakit emfisema (gangguan pada paru-paru), penyakit kardiovaskular atau hati
  • Walau bagaimanapun, peningkatan usia akan menyebabkan struktur kuku berubah dan hal ini biasanya tidak mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan. Dalam masa yang sama, perubahan yang tidak ketara pada kuku juga tidak perlu dirisaukan, kerana diagnosis melalui kuku belum diisytiharkan sah sepenuhnya oleh semua doktor di seluruh dunia. Jika seseorang mengalami masalah kesihatan, digalakkan supaya berjumpa dengan pakar kesihatan berbanding menganalisis sendiri perubahan pada kuku.


Sumber dari majalah iSIHAT


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..