27 April 2011

8 Punca Metabolisme Tubuh Berkurangan


Ramai yang tidak sedar bahawa diet yang salah boleh menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun dan membuatkan program diet gagal dijayakan. Pengurangan kalori secara mendadak boleh menyebabkan metabolisme semakin lemah dan tubuh sukar untuk menjalankan proses pembakaran lemak dengan sebaiknya.

Biarpun anda berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh masa yang singkat, namun ia terus menjadi statik dan kemungkinan akan kembali meningkat dalam tempoh tertentu. Terdapat pelbagai kesalahan yang sering anda lakukan ketika berdiet yang boleh memperlahankan kadar metabolisme tubuh. Antaranya:-

KURANG MAKAN
Makanan penting bagi membakar kalori. Pengambilan makanan secara salah boleh memberi kesan buruk pada tubuh. Jika tubuh kekurangan bahan bakar untuk menjalankan fungsinya (sekitar 1200 kalori bagi wanita dan 1800 kalori bagi lelaki), tubuh akan menekan metabolisme. Ini akan menyebabkan pemecahan jaringan otot yang diperlukan tubuh untuk membakar kalori. Tidak perlu mengambil makanan yang banyak, cukuplah sekitar 430 kalori per waktu makan dan diselangi dengan 150 kalori kudapan untuk memastikan metabolisme tubuh berfungsi dengan sempurna.

MENGHINDARI KAFEIN
Kafein dianggap sesuatuyang membahayakan tubuh. Namun, kafein yang terdapat dalam kopi misalnya, boleh meningkatkan metabolisme sekitar 174 kalori per hari. Manakala, satu kajian yang dijalankan di Jepun menunjukkan, secawan teh hijau dapat meningkatkan metabolisme sebanyak 12 peratus. Para penyelidik percaya, zat antioksidan yang terkandung dalam teh dapat mempercepatkan metabolisme.

MENGURANGKAN PENGAMBILAN SERAT
Tidak menggemari sayuran dan buah-buahan merupakan punca metabolisme tubuh menjadi lemah. Kurangkan pengambilan karbohidrat dan tingkatkan pengambilan serat seperti roti gandum, pasta dan buah-buahan serta sayuran. kajian menunjukkan, penambahan serat boleh meningkatkan pembakaran lemak sehingga 30 peratus. Wanita yang banyak mengambil serat berupaya memperlahankan kenaikan berat badan ketika usia mulai meningkat.

KURANG MINUM AIR PUTIH
Gemar menikmati air berperisa berbanding air putih? Jika ini tabiat anda, cuba hentikan. Kajian dari Jerman menunjukkan individu yang minum sekurang-kurangnya enam gelas air putih (sekitar 1.4 liter) per hari, boleh meningkatkan metabolisme dan membakar sekitar 2.5 kilogram per tahun.

KURANG PROTEIN
Tubuh memerlukan protein bagi pembentukan otot selain bertindak sebagai molekul penting dalam proses metabolisme. tambahkan sekitar tiga auns daging bebas lemak, dua senduk makan kacang atau lapan auns yogurt rendah lemak ke dalam makanan seharian anda. Kajian membuktikan protein boleh membantu membakar kalori sekitar 35 peratus.

KURANGKAN SUMBER ZAT BESI
Makanan yang kaya dengan zat besi mampu menyebarkan oksigen ke otot. Oksigen sememangnya diperlukan untuk proses pembakaran lemak. Setiap bulan wanita akan kehilangan zat besinya sehinggalah mencapai menopaus. Jika tidak mengambil makanan yang mengandungi zat besi seperti kerang, daging tanpa lemak, bayam dan kekacang, tubuh boleh kehilangan tenaga dan menurunkan kadar metabolisme.

KURANG SUMBER VITAMIN PENTING
Vitamin D penting untuk menjaga jaringan otot untuk bekerja. Kita jarang mengambil makanan yang mengandungi vitamin D padahal tubuh memerlukan sekitar 400 IU per hari. Vitamin D boleh didapati dalam tauhu, susu yang diperkaya dengan vitamin D, salmon dan telur.

KURANG AMBIL SUSU
Kekurangan kalsium juga boleh menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun. Terdapat kajian yang menunjukkan, pengambilan kalsium daripada susu tanpa lemak atau yogurt rendah lemak mampu mengurangkan penyerapan lemak daripada makanan lain.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..