19 May 2011

Kulit Sensitif


Kulit wajah yang bermasalah sememangnya merungsingkan. Pelbagai produk digunakan dan ada yang sanggup menghabiskan beratus ringgit untuk mendapatkan kulit wajah yang cantik tetapi masih menemui jalan buntu. Jadi, apakah cara dan langkah yang paling sesuai untuk mengatasi masalah kulit wajah yang sensitif ini? Cuba anda baca artikel di bawah, mungkin kebuntuan anda selama ini akan hilang.

JERAWAT
Jerawat seakan sudah sinonim dengan remaja. Ada yang besar dan ada juga yang hanya mengalami masalah jerawat nasi. Tetapi perkara itu tetap merungsingkan. Masakan tidak, apabila jerawat ada di wajah pasti apa jua yang disapu pada wajah tidak mudah melekat dan tahan.



Antara cara yang boleh anda aplikasikan:

1 Pertama, pilih pencuci muka yang benar-benar khas untuk masalah jerawat atau kulit berminyak.

2 Pastikan anda mencuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari.

3 Gunakan penyegar selepas mencuci wajah kerana penyegar berfungsi menutup pori-pori yang terbuka semasa wajah dicuci. Ia juga menyegarkan dan lanjutan kepada proses pembersihan muka iaitu menghilangkan sisa-sisa pencuci muka yang masih terlekat di wajah.

4 Amalkan meminum air putih setiap hari disamping pengambilan vitamin C.

5 Gunakan masker atau ubat jerawat agar jerawat cepat kering.

6 Elakkan daripada mengopek atau memicit jerawat menggunakan kuku, sebaiknya gunakan alat khas yang dibasuh dengan air panas sebelum menggunakannya.




JERAGAT ATAU BINTIK HITAM
Jeragat atau bintik hitam sememangnya mudah ditutupi dengan solekan. Hanya menggunakan foundation dengan kadar yang agak tebal dan jeragat pasti tidak kelihatan lagi. Tetapi tidak semua orang suka menggunakan foundation. Jadi menghilangkannya adalah suatu yang lebih baik daripada sekadar menutupi.
  • Gunakan set lengkap penjagaan kulit wajah merangkumi pencuci, penyegar dan pelembap.
  • Gunakan juga krim siang dan malam untuk penjagaan serta memulihkan kembali kulit wajah.
  • Amalkan penggunaan krim anti-aging.

BINTIK PUTIH (WHITEHEADS)
Walaupun bintik putih tidak terlalu kelihatan, namun kemunculannya juga akan menyukarkan proses bersolek dan terasa kasar pada permukaan hidung.
  • Gunakan juga set lengkap penjagaan kulit wajah merangkumi pencuci, penyegar dan pelembap.
  • Amalkan juga menyapu krim khas untuk whiteheads.
  • Skrub wajah setiap dua kali seminggu.

BINTIK HITAM (BLACKHEADS)
Bintik hitam lebih mengganggu daripada bintik putih. Ini kerana, bintik hitam boleh kelihatan dan juga sangat merimaskan. Walaupun kerap menggunakan alat untuk menghilangkan bintik hitam di hidung, namun masalah itu akan tetap berulang.
  • Kerap melakukan rawatan wajah sekurang-kurangnya seminggu sekali.
  • Gunakan masker terutamanya masker telur dan skrub wajah yang sesuai dengan jenis kulit wajah untuk kesan yang lebih cepat.
  • Boleh juga menggunakan krim wajah dengan fungsi 'whitening'.

PIGMENTASI
Masalah pigmentasi bukan sahaja boleh diatasi dengan penggunaan krim siang yang sesuai. Malah ia juga perlu bermula daripada pemakanan anda.
  • Amalkan pengambilan vitamin C yang mencukupi iaitu merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran dan suplemen yang disarankan oleh doktor.
  • Elakkan daripada kerap terdedah pada cahaya matahari dan pastikan wajah disapu dengan krim pelindung cahaya matahari.

RADANG ATAU RUAM
Radang kulit boleh berlaku apabila anda sering terdedah pada sinaran matahari yang terik. Bukan sahaja kulit wajah akan berminyak, malah akan muncul masalah yang pelbagai pada kulit wajah anda.
  • Amalkan penjagaan kulit yang konsisten. Elakkan daripada terus membasuh wajah apabila terkena panas matahari. Biar kulit wajah hilang rasa hangat terlebih dahulu dan baru cuci sebersihnya.
  • Gunakan produk yang sesuai untuk masalah radang dan pastikan ia atas nasihat doktor.
  • Jika timbul ruam atau jerawat yang banyak, elak daripada menggunakan skrub yang akan merosakkan lagi kulit wajah anda.
  • Gunakan masker wajah yang mengandungi vitamin C dan berfungsi bagi melembapkan kulit wajah.

GARIS HALUS
Terdapat juga remaja yang mengalami msalah garis halus pada wajah terutamanya pada bahagian dahi, tepi mata dan pada garis senyuman.

 1  Gunakan pelembap pada siang hari dan krim malam.

 2  Elakkan daripada menggunakan skrub dengan kerap bagi mengelak wajah kehilangan kelembapannya.

 3  Amalkan penggunaan krim atau masker anti-aging.



Sumber daripada majalah dara.com

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..