10 May 2011

Kikis Sikap Berbohong Sejak Kecil


Melihat anak-anak sedang membesar, anda pasti berhadapan dengan pelbagai kerenah mereka. Antara tingkah laku anak-anak yang menyebabkan kadangkala kita hilang sabar ialah sikap suka berbohong.


Ketika anak masih kecil mungkin ada yang menganggap ia hanya sebahagian daripada proses pembesaran. Bagaimanapun, sikap ini harus dikikis sejak kecil. Dalam hal ini banyak faktor yang mempengaruhi mereka, seperti:

SERING MENGHUKUM
Antara sebab anak berbohong berpunca daripada sikap anda sendiri. Contohnya anda suka menghukum mereka walaupun disebabkan kesalahan kecil. Mereka terdorong untuk berbohong sebagai tindakan membela diri dan mengelakkan diri daripada dihukum.

TIADA PILIHAN
Disebabkan sering dihukum, mereka merasa kesalahan itu tidak terampun. Jadi, mereka sering dibayangi rasa takut terhadap kesalahan itu. Disebabkan mereka menganggap tiada pilihan lain, mereka berbohong untuk menyelamatkan diri.

BIMBANG KECEWA
Apabila ibu bapa terlalu menaruh harapan yang tinggi terhadap kejayaan anak-anak. Disebabkan itu, mereka berbohong kononnya mereka berjaya dalam sukan atau apa sahaja untuk tidak mengecewakan ibu dan ayah. Mereka mungkin tidak sedar suatu hari nanti tembelang itu akan diketahui orang.

BILA DIRI TIDAK DIHARGAI
Sikap ibu bapa yang tidak mempedulikan hasil kerja anak juga mendorong kepada sikap buruk ini. Si anak merasa apa yang diusahakan tidak mendapat balasan atau pujian yang setimpal daripada kedua-dua orang tua. Untuk itu, mereka mula mereka cerita yakni berbohong agar dapat menarik perhatian orang di sekeliling.

HEBAT DI MATA KAWAN
Ada juga yang berbohong untuk menunjuk bahawa mereka hebat di mata kawan-kawan. Contohnya, dia mempunyai mainan yang lebih bagus berbanding rakan sebaya yang lain.

TERDESAK
Mereka akan berbohong apabila terdesak, misalnya, gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Bagi mengelakkan daripada didenda mereka akan memberikan alasan bahawa buku tertinggal di rumah.

IMAGINASI
Mereka terbawa-bawa dengan sikap yang suka berimaginasi seperti kononnya dia berjumpa dengan puteri yang cantik atau berjaya melawan haiwan ganas.




CARA TANGANI ANAK BERBOHONG

Sebagai ibu bapa anda boleh menghukum mereka untuk tujuan mendidik. Namun hukuman itu biarlah berpada-pada, seperti tidak membenarkannya melihat siaran televisyen kegemarannya.


Bagaimanapun, ada cara lain yang lebih baik seperti menjadikan mereka seperti kawan yang boleh berkongsi apa sahaja cerita dan rasa tidak puas hati yang terpendam. Dalam masa yang sama, tetap ada batasan antara anda dan mereka. Jika terlalu kerap dihukum mereka akan takut dan kerap melakukan kesilapan yang sama.


Tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Jangan mungkiri janji dengan anak-anak kerana mereka akan mengikut apa yang anda lakukan. Misalnya, anda berjanji untuk membawa mereka keluar bersantai di hujung minggu, tetapi anda mungkir janji. Apabila anda selalu mengulangi sikap buruk itu, tidak mustahil anak anda juga menirunya. bak kata orang tua-tua, 'bapak borek, anak rintik'.


Tekankan sikap jujur serta berterus terang terhadap anak-anak. Dalam masa yang sama, terangkan secara perlahan-lahan betapa buruk dan bahayanya berbohong.


Anda sendiri harus bersikap terbuka terhadap anak-anak. Jangan sampai mereka takut untuk bersuara. Oleh itu, jadilah pendengar yang setia untuk mendengar apa sahaja luahan mereka.


Andai anda tahu anak anda berbohong. Jangan terus marah, sebaliknya gunakan pendekatan psikologi supaya mereka tidak mengulangi perbuatan itu.


Apa pun alasan, pendekatan agama adalah cara terbaik untuk mengekang masalah ini. Apabila diterapkan dengan didikan agama, mereka tidak akan membuat perkara yang dimurkai Allah kerana berbohong termasuk dalam dosa-dosa besar.



Sumber dari majalah keluarga harmoni.


Susah jugak kekadang nak mendisiplinkan anak2.. Sekarang ni anak2 dah pandai berbohong.. Tapi betul jugak artikel ini, kekadang anak2 berbohong untuk melindungi diri sendiri daripada dimarahi.. kena jugak praktikkan sedikit sebanyak untuk menghakis sikap suka berbohong anak2 dari kecil lagi..

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..