18 May 2011

Anak cermin cara didikan ibu bapa


“IBU janganlah terus kata tidak boleh, ibu fikirlah dulu atau bincang dengan ayah,” rayu Adam apabila permintaannya untuk dibelikan set catur mini ditolak selepas set yang sedia ada hilang beberapa ‘anggota’ akibat diusung ke sana ke sini. Biasanya apabila diminta sesuatu, ibunya berkata: “Ibu fikir dulu’ dan keputusannya tidak selalunya positif.


Adam tahu, apabila ibunya berkata ‘mahu fikir dulu’, bermakna ada harapan untuk permintaannya dipenuhi, tetapi pada masa sama, dia juga bersedia mendengar jawapan negatif. Ini antara rutin keluarga Adam yang sudah diamalkan sejak dia kecil lagi.


Menurut Perunding Psikologi Klinikal dan Pendidikan, Selina Ding, rutin adalah satu aspek yang sangat penting dalam hidup seseorang termasuk kanak-kanak kecil. Ia bukan saja membolehkan ibu bapa memupuk disiplin, tetapi perkara yang dijadikan kebiasaan akan membuat seseorang berasa selesa dan selamat.


Untuk menjadikan sesuatu itu rutin atau kebiasaan, ibu bapa perlu bersikap konsisten dan mematuhi peraturan yang mereka ditetapkan.

Tindakan dan pendirian yang berubah-ubah akan membuatkan anak keliru yang bukan saja membuka peluang untuk ‘buat perangai’, malah boleh menyebabkan mereka berasa kurang selamat walaupun bersama ibu bapa sendiri.


“Bagi kanak-kanak, keselesaan fizikal sangat penting untuk membolehkan mereka berasa selamat. Ia dibuktikan melalui kajian ke atas anak monyet yang disusukan dua ibu berbeza. “Ibu pertama hanya memberikan susu, tetapi bagi ibu kedua, penyelidik meletakkan tuala lembut untuk keselesaan anak monyet ketika disusukan.


“Selepas satu tempoh didapati anak monyet memilih untuk berada dengan ibu yang ada tuala lembut. Ini menunjukkan keselesaan boleh menimbulkan rasa selamat. Keadaan sama berlaku pada manusia. Walaupun masih kecil, bayi boleh mengesan keadaan di sekelilingnya. Kanak-kanak perlu berasa disayangi dan selamat untuk membolehkan dia membesar sebagai individu yang yakin, dapat menunjukkan rasa sayang dan simpati pada orang lain,” kata Selina.


Menurutnya, dia pernah menerima kes kanak-kanak perempuan yang memilih untuk menjadi bisu dan bercakap dengan orang tertentu saja (dipanggil bisu selektif). Setiap kali berjumpa pakar, kanak-kanak berkenaan akan membawa sesuatu sama ada anak patung beruang atau apa saja alat mainan yang boleh membuatkan dia berasa tenang.


Sejarah silamnya yang ditinggalkan ibu kandung sebelum dia diserahkan kepada ibu dan bapa angkat membuatkan kanak-kanak berkenaan kurang keyakinan diri dan berasa tidak selesa serta gelisah apabila berada bersama orang yang tidak dikenali.


Akibatnya, dia lebih senang untuk menjadi ‘bisu.’ Ini mungkin benteng pertahanan diri bagi mengelakkannya terluka lagi.


Jika tidak dibantu, ia akan menjejaskan pembentukan peribadinya, rendah keyakinan diri dan kurang sensitif terhadap perasaan orang lain. Inilah sebabnya ibu bapa perlu membentuk persekitaran selesa dengan rutin tertentu untuk anak-anak supaya perkembangan emosi mereka tidak terjejas.


Pada masa sama, ibu bapa sendiri perlu terus belajar membina keyakinan diri kerana mereka adalah guru pertama yang menjadi idola anak-anak, kata Pendidik Kekeluargaan, Charis Patrick.


Orang yang rendah jati dirinya akan menjadi individu yang tiada keyakinan diri dan perkara ini akan berterusan sehingga dia mempunyai anak.


“Orang yang tidak yakin dengan diri sendiri, tindakannya tidak konsisten. Keadaan mereka berubah-ubah daripada menjadi ibu bapa yang sangat penyayang kepada ibu bapa yang suka marah-marah atau garang. Anak-anak akan berasa keliru dengan sikap ibu bapa mereka yang tidak menentu. Mereka akan sentiasa berasa takut dan tidak selesa, bimbang ada perkara yang dilakukan boleh mencetuskan kemarahan ibu bapa.


“Keselesaan di tadika juga sangat penting. Guru perlu faham bahawa mereka jadi pengganti ibu bapa buat sementara waktu. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang rapat dengan gurunya kurang mengalami masalah kelakuan,” katanya pada sesi Sentuhan Keselesaan Bersama Kleenex Untuk Ibu, baru-baru ini.


Komunikasi

Ramai ibu bapa kini mengeluh mempunyai anak yang nakal dan tidak mendengar kata. Sebenarnya, nakal dan aktif adalah sifat semula jadi kanak-kanak. Perkara yang dilarang itulah yang mereka hendak sangat lakukan.


Sebenarnya kanak-kanak lebih cepat menangkap perkataan perbuatan contohnya dalam ayat ‘jangan lari’ atau ‘jangan bising.’ Perkataan yang masuk dalam fikiran mereka ialah ‘lari’ dan ‘bising.’ Inilah sebabnya makin dilarang, makin ligat mereka berlari atau berbuat bising.


Cara kreatif yang dilakukan seorang guru tadika untuk menyuruh anak muridnya diam adalah meminta setiap orang meletakkan jari telunjuk ke bibir masing-masing, menandakan semua orang dikehendaki berhenti bercakap. Ibu bapa boleh berbincang dengan guru cara disiplin yang diamalkan di sekolah supaya ia dapat diteruskan di rumah.


“Kalau kita marah anak berbuat bising dengan berkata ‘diamlah’, mereka akan menggunakan perkataan yang sama apabila mahu menyuruh orang lain diam walaupun terhadap orang tua. Ia akan membuatkan anak-anak kita nampak kurang sopan.


“Anak-anak menjadi cermin pada cara didikan ibu bapa. Justeru, sebagai ibu bapa kita perlu berfikir dulu sebelum bercakap. Jika anak bising, jangan kata ‘diamlah’ sebaliknya gunakan pendekatan positif atau perkataan yang lebih manis didengar seperti ‘tolong diam.’


“Ramai ibu bapa cuba membetulkan kesilapan anak dengan memarahi mereka, tetapi tidak diterangkan kesalahan berkenaan atau cara yang betul supaya ia tidak diulang. Bagi mengelakkan anak bersikap negatif, ada ibu bapa membuat carta penghargaan dengan memberi satu bintang atau markah kepada anak yang berkelakuan baik.


“Sekali-sekala kita boleh menghukum anak kerana berkelakuan nakal, tetapi lebih baik jika ia dapat dicegah melalui pendekatan positif,” kata Charis.


Menurutnya, ada kala ibu bapa tidak perlu menggunakan bahasa untuk bercakap sebaliknya boleh berkomunikasi melalui gerak bahasa badan khususnya bagi kanak-kanak kecil (di bawah umur dua tahun).


Untuk kanak-kanak yang tidak pandai bercakap, bahasa badan boleh digunakan untuk menyampaikan mesej tetapi lebih baik jika ia disertai dengan kata-kata terutama ketika bermain bersama anak. Anak-anak akan belajar memahami apa yang anda sampaikan kepada mereka.


Bagi penyanyi tersohor tanah air, Datuk Sheila Majid, ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk bercakap dan mendengar pendapat mereka.


Apabila ibu bapa tidak sedia meluangkan masa untuk mendengar anak bercakap, anak akan mula menipu untuk mendapatkan perhatian.


“Komunikasi dengan anak-anak sangat penting dan saya berbincang dengan anak mengenai pelbagai perkara, tetapi ibu bapa yang perlu tentukan keputusan akhir.


“Saya tidak boleh bertolak ansur jika anak menipu, tidak memberitahu ke mana mereka pergi, berkelakuan biadab atau menggunakan perkataan kurang sopan.


“Bagaimanapun, ada kala saya tutup sebelah mata jika anak-anak bertengkar atas perkara kecil selagi ia masih terkawal.


“Ia juga bertujuan membentuk daya ketahanan emosi dan fikiran anak berhadapan dengan masalah.


“Anak-anak memang tidak suka dengar ibu membebel. Justeru sebagai ibu bapa, jangan kita ungkit kisah silam apabila mereka lakukan kesilapan. Anak akan jadi bosan dan memberontak. Akibatnya mereka akan cuba menjauhi kita atau lebih senang meluahkan perasaan kepada rakan sebaya yang tidak akan membebel,” katanya.


Bijak menolak permintaan anak

Salah satu masalah yang kerap dihadapi ibu bapa adalah tidak tahu bagaimana hendak menolak permintaan anak tanpa berkata tidak. Apatah lagi jika mempunyai anak yang suka mengamuk atau buat perangai di tengah khalayak apabila keinginan mereka tidak dipenuhi.


Ada kajian menunjukkan secara purata kanak-kanak mendengar perkataan ‘tidak’, ‘jangan’ atau ‘tidak boleh’ hampir 400 kali sehari. Benarkah?


Cuba kira dalam sehari berapa kali anda sebut perkataan ini kepada anak-anak terutama pada hujung minggu di mana anda menghabiskan sepanjang hari bersama mereka. Malah, pakar Barat juga berpendapat terlalu kerap berkata ‘tidak’, ‘jangan’ dan ‘tidak boleh’ menyebabkan anak-anak lali dan larangan menjadi kurang berkesan.


Menurut Selina, ada ibu bapa menggunakan pendekatan psikologi bertentangan yang dianggap baik. Ini kerana biasanya ibu bapa akan menyuruh anak berbuat sesuatu sambil menerangkan bahaya yang mung?kin dihadapi dan tidak mahu bertanggungjawab jika berlaku kecederaan.


Kaedah ini biasanya boleh membuatkan anak berfikir dan sedar mengapa ibu bapa melarang mereka melakukan satu-satu perkara.


“Ibu bapa kena terangkan kepada anak mengapa permintaan mereka tidak dapat dipenuhi. Mungkin permintaan itu keterlaluan, di luar kemampuan ibu bapa atau boleh membawa kemudaratan. Namun jangan asyik berkata ‘tidak’, sesekali kena kata ‘ya’ kepada anak-anak. Kanak-kanak sekarang cerdik, jika asyik berkata ‘tidak boleh’ mereka akan mempersoalkan tindakan kita.


“Dalam hal ini ibu bapa boleh berikan jawapan ‘ya’ dengan bersyarat. Contohnya mereka boleh makan aiskrim, tetapi selepas makan nasi atau bermain basikal di luar dengan syarat menyiapkan kerja sekolah terlebih dulu. Ibu bapa boleh bersetuju membelikan apa yang anak mahu (mengikut kemampuan dan kepentingannya) dengan syarat dia berjaya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran,” katanya.
Selain itu ada kaedah lain untuk menolak permintaan anak dengan:


Terangkan keadaan sebenar dan perasaan anda. Contohnya apabila anak menghempas barang permainannya apabila marah, katakan anda sedih dan tidak suka melihat kelakuannya. Kata-kata anda sedikit sebanyak akan masuk ke dalam hati dan fikirannya. Ia menunjukkan kelakuan mereka itu sebenarnya akan turut mempengaruhi atau memberi kesan kepada orang lain.


Beri mereka pilihan. Contohnya apabila anak bermain bola di dalam rumah, anda boleh memberi pilihan sama ada bermain di dalam tetapi bola hanya boleh dileretkan di atas lantai atau bermain di luar dan boleh menyepak bola sepuas hati. Dengan memberi pilihan, anda secara tidak langsung membuatkan anak berasa dia ada ‘kuasa’ untuk membuat keputusan - yang secara tidak langsung menggalakkannya berfikir.


Beri peluang anak melakukan apa yang diingini dengan cara yang lain. Contohnya jika dia suka dengan bayi atau kanak-kanak yang lebih kecil, cadangkan supaya dia mencium bayi berkenaan dengan lembut (asalkan anak anda atau bayi itu tidak demam atau selesema bagi mengelakkan jangkitan) atau memegang tangannya dengan lemah lembut.


Sesetengah kanak-kanak suka dengan haiwan peliharaan seperti kucing tidak tahu bagaimana hendak membelainya. Biasanya kanak-kanak akan menepuk-nepuk badan kucing dengan kuat tetapi beritahu supaya mereka berlemah lembut dan menunjukkan cara untuk mengusap haiwan terbabit supaya ia tidak melenting atau mencakar anak anda.


Minta kerjasama pasangan untuk terbabit sama dalam mengambil keputusan. Anak-anak akan lebih mudah menerima keputusan yang dicapai hasil perbincangan ibu dan ayah.


Berusaha menjadi ‘kawan’ kepada anak sendiri dengan mengikuti perkembangan mereka. Melalui cara ini anda lebih mudah untuk menolak permintaan mereka. Pun begitu, jika berkemampuan apa salahnya cuba memenuhi keinginan anak-anak selagi ia tidak keterlaluan, kata Sheila Majid.




Sumber dari berita harian

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..