08 June 2011
Kawal Kencing Manis Dengan Senaman
Statistik tidak pernah menipu. Pada tahun 2007, dianggarkan 2.1 juta rakyat negara ini menghidap diabetes dan jika trend ini berterusan, 12 peratus daripada warga Malaysia mungkin menghidap kencing manis menjelang tahun 2020. Bercakap mengenai diabetes, laporan akhbar mendedahkan, sekitar 1,000 minuman tin diminum oleh rakyat Malaysia setiap minit. Dan sekiranya orang ramai teruskan dengan makan makanan manis secara berlebihan, diabetes akan terus kekal sebagai masalah. Kepada yang percaya 'pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan', artikel di bawah barangkali boleh membantu anda.
1 Penyebab penyakit kencing manis
Berdasarkan kajian yang dijalankan, penyakit kencing manis berpunca daripada kurangnya jumlah insulin dalam badan. Insulin merupakan hormon penting yang berfungsi mengangkut gula dari dalam darah masuk ke sel. Selain itu, kekurangan sensitiviti badan terhadap insulin akan menyebabkan gula terkumpul dalam darah sehingga mengundang kepada penyakit ini.
2 Cara terbaik untuk mengawal kencing manis
Bersenam merupakan kaedah yang terbaik untuk mengawal penyakit kencing manis. Jika anda bersenam setiap hari, paras gula dalam darah dapat dikawal agar sentiasa berada pada paras normal.
3 Keberkesanan senaman dalam mengawal risiko kencing manis
Ramai pakar kesihatan mengesyorkan agar menjadikan senaman sebagai aktiviti wajib dalam kehidupan seharian. Sekiranya amalan ini dilakukan setiap hari secara konsisten, ia mampu mengurangkan risiko menghidap penyakit kencing manis sebanyak 66 peratus.
4 Tempoh masa yang diperlukan oleh individu untuk bersenam
Untuk mendapatkan kesan legasi yang berterusan, kita sepatutnya bersenam selama 30 minit dalam sehari. Sekurang-kurangnya senaman perlu dilakukan sebanyak lima hari dalam seminggu, atau 150 minit seminggu bagi senaman yang dilakukan selang sehari.
5 Kesan sampingan yang akan dihidapi oleh pesakit kencing manis
Menurut Pengarah Yayasan jantung Malaysia, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, kencing manis yang semakin teruk akan memberi impak buruk kepada salur darah. Ini akan mengundang kepada penyakit-penyakit kronik seperti serangan jantung, strok dan masalah pada kaki (sehingga pesakit terpaksa memotong kaki mereka).
6 Perkara yang perlu diberi perhatian oleh pesakit kencing manis selain ubat-ubatan
Selain amalan bersenam, pola pemakanan juga perlu diberikan perhatian. Gaya hidup yang menjaga pemakanan dan bersenam mampu mengurangkan risiko menghidapi penyakit kencing manis. Corak pemakanan yang betul bagi mereka yang menghidapi penyakit ini adalah 1/4 sumber karbohidrat, 1/4 sumber protein dan selebihnya adalah sayur-sayuran.
Sumber disunting dari majalah iSIHAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..