Cuti sekolah datang lagi.. Mungkin ada di antara kita bercadang untuk membawa anak-anak untuk bercuti bersama keluarga.. Tak kurang yang merancang bercuti bersama kawan-kawan atau sebagainya.. Di bawah ini ada beberapa perkara yang boleh kita ikuti dan amalkan..
 
 



“Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.”- (Surah Muhammad, ayat 10)

Berjalan dan bersiar-siar bersama keluarga sememangnya dianjurkan oleh Islam. Di samping mengeratkan hubungan dan mempelajari sesuatu yang baru, bercuti bersama keluarga juga menjadi salah satu cara untuk menguatkan keimanan kepada Allah SWT dengan melihat tanda-tanda kebesaran-Nya serta menjadikan hati semakin tunduk kepada perintah-Nya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah, berjalanlah kamu di muka bumi lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa,”-Surah Al-Naml, ayat 69.

Pun begitu, dalam keghairahan melancong dan menikmati keseronokan, jangan sesekali kita melupakan suruhan Allah SWT dalam mengerjakan apa yang diperintah dan meninggalkan atau mengelakkan apa yang dilarang-Nya. Jangan lupa ibadah dan melakukan amalan sunah yang pastinya menjadikan perjalanan anda dirahmati dan menjadi pendinding kepada kemaksiatan dan kemungkaran.

Pada zaman Rasulullah SAW, melancong ini mungkin boleh kita tafsirkan sebagai bermusafir ke jalan Allah SWT.  Menggembirakan hati suami atau isteri dan anak-anak adalah sebahagian daripada tuntutan-Nya. Pertama sekali kita perlulah memperbetulkan niat kita keluar rumah bersama-sama keluarga bukan untuk berseronok atau berbuat maksiat tetapi niatkanlah ia sebagai ibadah ke jalan Allah SWT. Berikut disenaraikan cara bermusafir mengikut sunah yang boleh diamalkan moga-moga dengan cara ini kehidupan dan setiap langkah yang diatur ke destinasi mendapat rahmat dan diberkati Allah SWT.

1. NIAT YANG BAIK
Abu Hurairah r.a meriwayatkan seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW berdoa, “Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”  (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi).

2. SOLAT SUNAT DUA RAKAAT
Dirikan solat sunat dua rakaat sebelum keluar rumah dan berdoalah agar Allah SWT memudahkan segala urusan serta memohon keselamatan ahli keluarga yang ditinggalkan. “Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik daripada dua rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir.” (Hadis diriwayatkan oleh Tabrani)

3. MULAKAN MUSAFIR SELAIN HARI JUMAAT
Rancanglah percutian anda dan elakkan memulakan musafir selain dari hari Jumaat supaya tidak terlepas Solat Jumaat. “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah suka memulai perjalanannya pada Khamis.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

4. BAWA BEG BERISI KEPERLUAN DIRI
Membawa beg kecil yang berisi keperluan diri seperti yang diamalkan Rasulullah SAW sendiri yang membawa beg kecil berisi kayu sugi, celak, sikat, minyak wangi, cermin dan lain-lain yang digunakan untuk merias diri agar sentiasa kemas dan bersih.

5. MEMINTA IZIN DAN MENGUCAPKAN SELAMAT TINGGAL
Sebelum berangkat, ucapkanlah selamat tinggal kepada keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan seperti yang dipetik dari kitab al-Azkar Imam Nawawi ini: "Apabila seseorang daripada kamu akan bermusafir , hendaklah meminta izin kepada saudara-saudaranya, sebab sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan pada doa mereka."

6. MEMULAKAN PERJALANAN PADA WAKTU MALAM
“Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud). Perjalanan pada waktu malam dapat menjimatkan masa atau memendekkan masa perjalanan kerana malam lebih tenang dan aman. Semoga kita dan ahli keluarga kita sentiasa selamat di dalam jagaan Allah SWT.

7. JANGAN LUPA BERDOA
Bercuti bersama keluarga memang menyeronokkan, tetapi jangan kita lupa kepada amalan sunah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW setiap kali keluar mengembara. Oleh itu, bacalah doa sebelum  memulakan perjalanan atau bermusafir. Di samping itu, jangan lupa amalkan membaca doa naik kenderaan, doa ketika memasuki kawasan atau tempat orang.

8. BERTAKBIR DAN BERTASBIH
Rasulullah SAW bertakbir bila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi. Sama juga halnya jika anda menaiki kapal terbang, sunat bagi kita untuk bertasbih ketika pesawat mula terbang dan ketika pesawat mendarat. Dari Jabir r.a. dia berkata: “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

9. BERZIKIR DAN BERZANJI
Rasulullah suka perjalanan yg menenangkan. Zikir dan berzanji adalah hiburan yang boleh dilakukan ketika dalam perjalanan supaya perjalanan yang jauh sentiasa di bawah rahmat keberkatannya, menghindari maksiat dan dalam masa yang sama menghiburkan hati.


10. BELI BUAH TANGAN
Belilah buah tangan untuk dibawa pulang. Kebanyakan daripada kita selalu membeli buah tangan untuk dibawa pulang, tapi sayangnya kita lakukan tanpa mengetahui bahawa ia sebahagian daripada sunnah Rasulullah yang mana bila kita melakukannya kita akan mendapat pahala yang berganda.

 
INFO
Islam itu mudah lagi memudahkan. Bagi perjalanan ke lokasi percutian yang melebihi dua marhalah iaitu 89km, anda dan keluarga boleh memendekkan solat kepada solat Qasar dan Jama’.



 

(Sumber disunting dari Majalah Pa&Ma Disember 2012)