21 September 2011

Jangkitan Kuman di Paru-paru


Pengenalan
Sistem pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs). Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia).

Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa di kalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua.

Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadangkala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selsema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan. Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.


Tanda-tanda dan gejala
Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seseorang
kanak-kanak itu.
Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami :
Demam panas
Batuk dengan atau tanpa kahak
Sakit dada
Tiada selera makan, tidak mahu makan
Rasa tidak sihat, sering merengek
Pernafasan laju atau susah bernafas
Muntah atau cirit-birit


Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil.

Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak
yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
Pernafasan laju
Sukar untuk bernafas
Bibir menjadi biru
Batuk berdarah
Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing


Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?
Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan.

Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.

Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil. Anda boleh mencuba rawatan ini dirumah:
Paracetamol
Rehat yang secukupnya
Minum air yang banyak

Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.

Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu
dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang
lain.


Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk
mengelakkan jangkitan kuman ini?
Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik.
Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil immunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di
paru-paru. Contohnya:
Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua
kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National
Childhood Immunization Programme)
Vaksin influenza (untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah
pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan)
Vaksin pneumococcal (juga untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya
kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak
yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan)
Jika anda merasa anak anda termasuk dalam golongan kanak-kanak berisiko tinggi, sila
dapatkan nasihat doktor.




Sumber dari google



No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..