26 March 2012

Cirit-birit - Penyebab dan Penyembuh


Cirit-birit berlaku apabila pembuangan air besar adalah cair dan berair hingga tiga atau lebih kali sehari, atau keadaan yang tidak normal bagi seseorang individu. Cirit-birit adalah masalah biasa, dan dalam kebanyakan kes, ia boleh berlarutan selama 2 hingga 3 hari. Cirit-birit boleh disembuhkan dengan ubat tanpa preskripsi. Cirit-birit biasanya tidak teruk, dan berhenti dengan cepat tanpa banyak komplikasi dalam kalangan dewasa. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kes cirit-birit yang serius adalah mustahil, dan janganlah mengabaikan gejala atau tanda serius yang mungkin timbul.

Cirit-birit biasanya adalah satu tanda jangkitan gastrousus, yang boleh berpunca daripada pelbagai sebab, termasuk:
- Makanan dan minuman yang tidak bersih – dicemari bakteria, dan kuman lain.
- Makanan yang tidak dimasak dengan betul, seperti daging, makanan laut, atau produk tenusu (telur) yang tidak dimasak dengan betul.
- Makanan yang tidak disimpan dengan kaedah yang betul, seperti susu atau makanan sudah dimasak.
Ubat seperti antibiotik, yang membunuh bakteria baik dan bakteria jahat, menyebabkan ketidakseimbangan mikroflora dalam usus sehingga mengakibatkan cirit-birit.

Penyakit yang boleh menjejaskan perut, usus kecil, atau kolon seperti penyakit Crohn’s dan sindrom iritasi usus (IBS).

Cirit-birit tidak bermakna anda tidak boleh makan apa-apa sepanjang masa 24 jam pertama. Anda perlu berhati-hati dengan apa yang anda makan, dan mengelakkan jenis makanan tertentu. Makan makanan tawar seperti nasi kosong atau bubur, kentang rebus atau lenyek, pisang, roti bakar dan biskut tawar.

Untuk merawat ciri-birit, anda perlu menggantikan bendalir dan garam yang hilang. Minum banyak air kosong, atau minuman lain seperti jus buah-buahan tulen. Dalam kes cirit-birit sederhana hingga teruk, rumusan elektrolit, seperti rumusan rehidrasi oral atau minuman isotonik hendaklah diambil.

Elak makanan dan minuman:
- Susu dan produk tenusu, seperti aiskrim, keju.
- Minuman mengandungi kafeina, seperti kopi, teh.
- Makanan berminyak dan makanan bergoreng seperti mi goreng, ayam goreng.
- Makanan berserat tinggi, seperti buah-buahan sitrus.
- Makanan manis, seperti kek, biskut, kuih-muih tempatan.



Gejala Cirit Birit
Kebanyakan kes cirit-birit adalah sederhana dan tidak berpanjangan, jadi pesakit biasanya tidak perlu berjumpa doktor. Bagaimanapun, anda patut mendapatkan rawatan doktor jika mengalami gejala berikut:
- Demam panas, dengan suhu 38°C dan ke atas.
- Cirit-birit berlarutan selama lebih 2 hari.
- Sakit sederhana atau teruk pada bahagian abdomen atau rektum.
- Najis berdarah, atau bernanah.
Najis berwarna hitam seperti tar.
- Tanda nyahhidrat, yang mungkin termasuk kelesuan atau kelemahan, gayat, dan/atau air kencing berwarna gelap.

Cara terbaik untuk mengurangkan risiko anda mendapat cirit-birit ialah dengan menjaga kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap, terutama sekali selepas menggunakan tandas, kerana kuman mudah tersebar menerusi sentuhan.

Amalkan tabiat menjaga kebersihan apabila mengendalikan makanan, sentiasa basuh tangan dengan bersih selepas mengendalikan makanan, terutama daging mentah atau makanan lain yang belum dimasak. Daging dan ayam hendaklah dimasak dengan betul untuk membunuh sebarang bakteria, dan buah-buahan dan sayuran yang dimakan mentah hendaklah dibasuh dengan betul menggunakan air bersih.

Ramai antara kita biasa mengalami cirit-birit, tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh membawa komplikasi.




Sumber dari Utusan malaysia

2 comments:

  1. selalunya bab kebersihan ni yg memeningkan orang tuk pikir....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan pening2 memikirkan bab kebersihan.. Yang pastinya sebelum menyediakan makanan dan minuman terutamanya di rumah, pastikan tangan kita dibersihkan terlebih dahulu.. Kita hanya boleh mengelakkan atau mengurangkan risiko cirit nih jika kita dah memastikan langkah kebersihan diambil..

      Delete

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..