07 March 2013

10 Makanan Terbaik Untuk Otak

Sebenarnya entry kali ni tercetus dari pembacaan akhbar berita harian dalam beberapa minggu yang lepas.. Disebabkan entry dalam blog ni majoritinya dah disetkan ke auto publish mengikut schedule yang dibuat.. Makanya hari ni ler baru terpublish entry nih.. Apapun selamat membaca dengan entry yang agak berguna untuk pengetahuan kita.. 
 
 

Otak kita merupakan anugerah yang terindah di dalam hidup ini. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang dikurniakan, kita hendaklah menjaga dan melindunginya dengan sebaik mungkin. Mengikut fakta, berat otak manusia dewasa adalah sekitar 1.5kg serta mempunyai isipadu sekitar 1130cm3 bagi wanita dan 1260 cm3 bagi lelaki. Fungsi utama otak adalah untuk mengawal segala perlakuan yang dilakukan oleh tubuh badan termasuklah pergerakan, postur badan dan keseimbangan. Cuba anda bayangkan jika kita dilahirkan tanpa otak yang sempurna, pasti pelbagai masalah yang akan dihadapi. Tanpa otak yang sihat dan cergas juga kita tidak dapat berfikir dengan waras. Jadi sebagai manusia kita perlulah melakukan sesuatu yang dapat merangsangkan otak serta mengaktifkannya kembali dengan memberikan sumber makanan yang terbaik untuknya. Antara makanan terbaik untuk otak adalah:


Kekacang dan Bijian

Kekacang dan bijian merupakan snek ataupun makanan ringan yang mengandungi protein, tinggi dengan fiber serta kaya dengan pelbagai vitamin serta mineral seperti vitamin A, vitamin B, vitamin E, magnesium, kalsium dan sebagainya. Sumber vitamin E di dalam kekacang juga dapat membantu dalam proses mental yang merangkumi aspek memori, perhatian, pemahaman, pembelajaran, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Sungguh menarikkan. Dan suka diingatkan disini, elakkan daripada mengambil kekacang yang telah ditambahkan dengan garam. Ingat ya!


Buah Beri


Buah beri memang amat baik untuk otak kita. Mengikut sumber dari Journal of Agricultural and Food Chemistery, satu kajian klinikal telah dijalankan dan mereka telah berjaya mengenal pasti manfaat buah beri terhadap saraf neuro di dalam otak manusia. Hebatkan!


Kismis


Kismis adalah salah satu buah-buahan kering yang amat baik. Antara vitamin-vitamin yang terkandung di dalam kismis adalah vitamin K, C, E, dan B. Vitamin K yang terdapat di dalam kismis telah terbukti penting dalam membantu sistem saraf manusia. Jadi amalkanlah memakan kismis untuk mendapatkan manfaat yang baik daripadanya. Ianya juga boleh dijadikan sebagai makanan ringan di kala anda kelaparan di malam hari.


Coklat

Anda membenci coklat? Jangan! Coklat selalu sahaja dikaitkan dengan kegemukan tetapi tidak ramai yang tahu coklat bukan sahaja boleh menceriakan mood seseorang itu, malahan dapat mengurangkan stress. Di dalam coklat juga terkandung bahan-bahan yang bersifat sebagai antioksida di mana, ianya dapat membantu meningkatkan aliran darah ke dalam otak kita. Penyelidikan di Sweden mendapati mengambil satu bar coklat sekali seminggu dapat mengurangkan risiko terjadinya strok sebanyak 17%. Ini merupakan satu fakta yang menarik bagi penggemar coklat di dunia. Walau bagaimanapun, penyelidikan ini masih diteruskan lagi. Bagi sesiapa yang tidak tahu strok adalah serangan ke atas otak apabila bekalan darah di sebahagian otak terputus disebabkan oleh saluran arteri yang semakin mengecil dan mengeras. Jadi lebih baik kita mencegahnya sebelum terlambat.


Tomato

Antara sayur-sayuran yang baik untuk otak kita adalah tomato. Selain buah-buahan sitrus, tomato juga mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi. Vitamin C berfungsi sebagai bahan antioksida yang mampu menghapuskan radikal bebas dari tubuh badan. Radikal bebas ini boleh menyerang dan merosakkan sel-sel otak di samping mengganggu penyerapan oksigen ke dalam otak. Tomato bukan sahaja senang dicari di mana-mana sahaja malahan harganya sangat murah dan tahan lama.

 

Madu

  Madu mempunyai 1001 khasiat yang kadang-kala kita sendiri tidak menyedarinya. Selain daripada rasanya yang manis, madu juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Madu berfungsi untuk meningkatkan daya ketahanan tubuh serta melancarkan fungsi otak manusia. Minumlah sesudu besar setiap hari bagi meningkatkan tenaga dan daya kreatif anda. Antara vitamin-vitamin yang terdapat dalam madu adalah vitamin A, B, C, D dan K.

Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah : Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu, keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat ubat yang boleh meyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkannya. Surah al-Nahl (ayat 65-69)


Ikan

Ikan salmon, tuna dan ikan tenggiri mengandungi asid lemak Omega 3 yang tinggi. Omega 3 ini sangat penting untuk kesihatan manusia tetapi tidak dapat dihasilkan oleh tubuh badan kita sendiri. Ianya memainkan peranan yang penting dalam fungsi otak serta pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Menurut kajian bayi yang tidak mendapat sumber Omega 3 yang mencukupi semasa berada di dalam kandungan akan menghadapi risiko dalam masalah pembangunan saraf. Juga terkenal kerana dapat menurunkan risiko menghidapi sakit jantung. Tanda-tanda tubuh badan kita mengalami kekurangan Omega 3 adalah termasuk daya ingatan yang lemah, sering keletihan, kulit kering atau kemurungan. Jadi perbanyakkanlah pengambilam sumber-sumber makanan yang tinggi nilai Omega 3 sekurang-kurangnya dua kali seminggu.


Tiram

 
Pernahkah anda melihat tiram? Tiram adalah sejenis makanan laut yang bercengkerang yang kaya dengan khasiatnya. Tiram juga sama seperti coklat yang boleh membangkitkan mood seseorang itu. Tiram juga kaya dengan selenium, protein dan magnesium yang penting untuk kesihatan otak. Selenium selalunya digabungkan bersama protein yang mengahsilkan selenoprotein yang merupakan enzim antioksida yang penting yang dapat menghalang radikal bebas.



Kacang soya

Kacang soya juga merupakan salah satu sumber makanan yang baik dalam membantu dalam perkembangan otak. Kacang soya kaya dengan zat besi, fosforus, magnesium dan vitamin-vitamin lain. Fungsi magnesium adalah untuk membantu mendapatkan gigi dan tulang yang kuat, fungsi sistem saraf yang betul serta membekalkan tenaga. Antara produk-produk yang berasaskan kacang soya adalah susu soya, tauhu, tofu, tempe dan sebagainya.


Telur

Telur juga seperti ikan salmon yang mengandungi Omega 3. Selain itu, telur juga mengandungi protein serta lemak yang amat baik utuk membekalkan tenaga kepada otak selama berjam-jam.

Sebenarnya, terdapat bermacam-macam lagi makanan yang sangat baik untuk otak kita yang jarang-jarang kita ketahui.





Sumber dari http://media.cun.my/10-makanan-terbaik-untuk-otak/

Rujukan :
Journal of Agricultural and Food Chemistry 2012 - "Berry Friut Enhances Beneficial Signaling in the Brain - http://www.health-alternatives.com

The American Heart Association - http://www.heart.org

United Kigdom Store Association - http://www.stroke.org.uk



No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..