31 January 2012

10 Tabiat Lelaki Malas


Sifat semula jadi atau jejaka enggan berubah sekalipun tahu amalan negatif

RUMAH bersepah, malas membasuh pakaian dan penampilan selekeh adalah perkara yang selalu dikaitkan dengan lelaki. Tabiat ini walaupun tidak semua lelaki menggemarinya, secara tidak langsungnya mencerminkan lelaki adalah insan pemalas berbanding wanita.

Sikap pemalas lelaki ini boleh dikatakan bertitik tolak dari sifat semula jadi lelaki yang sentiasa mengambil mudah sesuatu perkara dan tidak suka melakukan perkara yang remeh dan bersikap kewanitaan.

Namun tidak semua lelaki digambarkan sebagai pemalas kerana ada juga lelaki yang mementingkan semua ini dan teliti dalam banyak perkara. Minggu ini kita akan mengintai 10 habit lelaki pemalas secara am berdasarkan pemerhatian dan pengamatan sisipan XY - Ikon Lelaki.

1. TIDAK MENCUCI PAKAIAN

Rata-rata lelaki zaman sekarang lebih senang menghantar pakaian kotor ke dobi. Tidak kurang juga yang membasuh pakaian sendiri tetapi hanya selepas persalinan bersih dalam almari berkurangan.

Seeloknya pakaian perlu dicuci setiap tiga hari bagi mengelak bau yang kurang menyenangkan dan kemungkinan menjadi sarang bakteria atau kuman.


2. MENGEMAS RUMAH

Percaya atau tidak, hampir kebanyakan lelaki bujang tidak mengemas rumah selama berbulan-bulan lamanya. Ini kerana mereka tidak mengambil kira mengenai kebersihan rumah kerana bagi mereka rumah hanya sebagai tempat untuk melelapkan mata.

3. TIDAK MENCUCI PINGGAN

Sampai berulat dan berbau busuk barulah jejaka mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun dalam sink rumah. Tidak cukup dengan itu, kadang kala sampah juga tidak dibuang.

Bagi lelaki sebegini adalah elok jika makan di luar atau menggunakan pinggan mangkuk pakai buang saja. Lebih ekstrem, ada lelaki membuang pinggan kotor semata-mata malas menyentalnya dan esok beli pinggan mangkuk lain pula.

4. MENGGOSOK BAJU

Pasti semua pernah melakukan habit ini, pakai saja baju tanpa digosok! Mungkin kerana tidak cukup waktu kerana sudah terlambat atau memang lelaki malas untuk menggosok baju.

Seharusnya, lelaki mengambil sedikit ruang pada waktu malam atau lapang untuk menggosok semua baju yang perlu dipakai terutamanya untuk ke pejabat. Sesekali, apa salahnya melakukan ‘senaman’ dan mengeluarkan peluh sambil menggosok baju.

5. BERCUKUR

Bukan menjadi masalah untuk tidak bercukur kerana ada yang beranggapan lelaki berjambang dan bermisai lebih menarik perhatian. Cuma perlulah dijaga kebersihan diri dan jika ingin menyimpan jambang atau misai sekalipun, kemaskan lah sedikit.

6. RAMBUT KUSUT

Jika suatu masa dulu penjagaan rambut amat dititik beratkan dan rambut harus disisip rapi dan kemas. Namun kini rambut kusut adalah satu trend. Perlulah sesuai dengan diri dan jangan terlalu kusut hingga merimaskan mata memandang.

7. TIDAK DATANG KE PEJABAT @ KULIAH

Sikap sebegini paling banyak dikesan di kalangan lelaki. Kadang kala tiada sebab tertentu, lelaki cukup malas untuk bergerak dan melakukan kerja di pejabat atau kuliah. Ini perlu diatasi kerana setiap manusia perlu bekerja dan belajar.

Tanamkan sikap dan perasaan untuk mempelajari ilmu baru atau meningkatkan prestasi kerjaya.

8. MENCUCI KENDERAAN

Bagi lelaki yang ada bajet, mereka boleh mencuci kenderaan mereka di pusat mencuci kereta jika malas melakukannya sendiri. Jika tidak alamatnya, air hujan sajalah yang dapat membersihkan kekotoran pada kenderaan mereka.

BANGUN AWAL PAGI
Lelaki jika sudah tidur, seolah-olah tidak mahu bangun selama-lamanya. Apatah lagi jika perlu bangkit untuk bekerja atau menghadiri kuliah pagi. Apa yang dibayangkan mereka hanyalah soal kesesakan lalu lintas pada pagi hari selain malas bersiap-siap untuk keluar rumah.

9. MENJAGA PENAMPILAN DIRI

Walaupun kelihatan seperti suatu rutin, namun ada perkara yang sering lelaki terlepas pandang. Dari segi penjagaan muka hingga seluruh badan, ia seharusnya diambil kira lelaki.

Jangan malas untuk mencuci muka, memotong kuku dan memakai wangian. Walaupun nampak remeh dan sedikit kewanitaan, mereka perlu tahu wanita sukakan lelaki yang bersih.

10. MEMBACA

Jika mengikut perangkaan, wanita adalah golongan yang paling banyak membaca walaupun corak pembacaan mereka agak berbeza dengan lelaki. Namun dari kecil hingga dewasa lelaki adalah insan yang paling malas untuk membaca - apatah lagi membeli bahan bacaan.

Perlu diingatkan, jika ingin berjaya dalam kehidupan kita perlu banyak membaca. Jika boleh, corak atau genre pembacaan lelaki biarlah pelbagai.



Sumber dari akhbar berita harian

30 January 2012

Bagaimana Anda Tidur?



Foetus
Golongan wanita dikatakan dua kali lebih berkemungkinan untuk tidur dalam posisi ini dan ia telah disenaraikan sebagai posisi yang paling biasa dilakukan. Mereka yang tidur dengan posisi ini dikatakan mempunyai personaliti yang 'keras' di luar selain berperwatakan sensitif dan pemalu.

Log
Tidur mengiring dengan kedua-dua belah tangan ke bawah. Menunjukkan anda seorang yang sosial dan mudah percaya pada orang lain sehingga satu tahap anda mudah diperdaya.

Yearner
Tidur mengiring dengan kedua-dua belah tangan ke hadapan. Gaya tidur seperti ini dikatakan orangnya berfikiran terbuka namun sinis, mencurigakan dan tetap dengan keputusan yang telah dibuat.

Soldier
Tidur terlentang dengan kedua-dua belah tangan ke bawah dan rapat ke badan. Tidak banyak bercakap, pendiam, tidak suka membuat kecoh. Namun posisi tidur seperti ini lebih mudah untuk berdengkur dan mendapat tidur yang kurang nyenyak.

Freefall
Mereka ini suka berkawan tetapi dalam masa yang sama agak kurang ajar. Selalu membuat keputusan terburu-buru, peramah dan tidak selesa dengan kritikan.

Starfish
Mereka yang tidur gaya macam ini, ramai orang suka berkawan dengan dia sebab golongan ini suka mendengar masalah orang lain dan suka bagi bantuan apabila orang lain memerlukan. Mereka tidak suka menjadi tumpuan. Orang yang tidur dalam keadaan ini lebih cenderung untuk berdengkur dan mendapat tidur yang kurang berkualiti.



Sumber dari billyinfo.blogspot.com dan akhbar the sun

19 January 2012

Asal Usul Kalendar


Objek astronomi seperti matahari atau bulan jadi penentu tarikh
Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.
Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.


Kalendar Gregorian
TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari.

Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.

Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.
Kalendar Islam
KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina
KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.

Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.
Kalendar Julian
KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi.

Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.



INFO
  • Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

    Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.

    Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

    Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).

    Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).
  • Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.


Kalendar sudah pupus
  • Kalendar Aztec
  • Takwim Maya
  • Takwim Positivist
  • Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582.
  • Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408.
  • Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.
  • Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.


Sumber dari akhbar berita harian

18 January 2012

Khasiat Daun Selasih Dalam Merawat Penyakit

Daun selasih atau nama lainnya ruku-ruku merupakan sejenis ulam yang berkhasiat. Anda boleh memakannya secara mentah ataupun setelah direndam dengan air panas. Kedua-dua cara tersebut mempunyai kebaikan dari sudut kesihatan.


Daun selasih(Ocimum Sanctum) - Wikipedia

Khasiat selasih ni terletak pada daunnya. Jika anda memakan daun selasih ni mentah-mentah, ia boleh merawat masalah usus (gastrik).

Manakala penyakit-penyakit lain seperti:-


demam


penyakit kulit


sakit telinga


sakit kepala

boleh dirawat dengan cara;

1 Merendamkan beberapa helai daun selasih yang masih segar dengan air panas.

2 Tapisnya ke dalam gelas dan biarkannya suam.

3 Minumlah airnya secara perlahan-lahan.

Sebagai tambahan, anda juga boleh menggunakan air rendaman selasih tu untuk kegunaan luar. Iaitu bagi menyembuhkan sakit sendi. Khusus buat kaum ibu yang menyusukan anak pula, ia berfungsi menambah air susu anda.

Selamat Mencuba!


17 January 2012

Sarapan Penting Untuk Kanak-kanak


SARAPAN pagi perlu untuk semua kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
INFO: Sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baru, tetapi banyak faedah untuk kesihatan termasuk kawalan berat badan dan prestasi yang lebih baik.
  • Pemakanan berkhasiat dan lengkap, kaya nutrien, vitamin dan mineral memberikan tenaga kepada tubuh badan.
  • Dapat memberi lebih tumpuan serta prestasi di dalam kelas
  • Lebih tenaga atau kudrat untuk terbabit dalam aktiviti dalam kelas atau di atas padang
  • Membantu merendahkan tahap kolesterol.

Jenis sarapan:
  • Roti bakar dan susu, roti dan keju atau nasi goreng atau mi goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan.
  • Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Kurangkan makanan terproses kerana makanan seperti ini adalah tinggi lemak dan garam. Yang paling penting adalah pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan.
  • Makanan yang tinggi lemak dan gula sekiranya diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan rasa mengantuk.



Sumber dari akhbar berita harian


16 January 2012

Kemurungan


INFO: Simptom kemurungan
  • Perasaan sedih dan kosong
  • Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran
  • Cepat letih
  • Menganggap diri tidak berguna
  • Kurang bertenaga
  • Mudah berputus asa
  • Hilang selera makan
  • Mengalami gangguan tidur
  • Penurunan berat badan
  • Kerap marah
  • Perasaan tidak tenteram
  • Menganggap mati lebih baik daripada hidup
  • Kurang fokus
  • Sukar membuat keputusan

Kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan
  • Perubahan Mood Harian
    Kemurungan di waktu pagi dan keadaan mood yang tidak normal
  • Corak Aktiviti Siang Hari
    Kurang bertenaga, tumpuan rendah, waktu makan tidak teratur
  • Pengurusan Malam Hari
    Sukar tidur, gangguan ketika tidur kerana kerap terjaga serta bangun awal 
  • Konsentrasi Terjejas
    Keletihan pada siang hari dan mengantuk.


 

Sumber dari akhbar berita harian

13 January 2012

6 Kelebihan Hari Jumaat


Berikut adalah 6 kelebihan Jumaat. Semoga Jumaat kali ini menjadikan kita lebih berjaya, lebih cemerlang! 

1 Berlakunya hari kiamat.
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

2 Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.
Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

3 Penghulu segala hari.
Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.

Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

4 Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.”

Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

5 Kebaikan dengan memotong kuku.
Peliharalah kebersihan anda. Kalau boleh, Jumaat ni bagi lebih-lebih lagi. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Bagi kemas sikit. Kalau kuku dah rasa mula nak panjang, potonglah.

Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

6 Makbulnya doa di antara dua khutbah.
Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya tu. Ya, kan?

Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.

Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Marilah kita jadikan Jumaat kita kali ini lebih bererti. Bukannya apa, untuk kebaikan kita juga. Semua kelebihan yang ada pada Jumaat ini sebenarnya merupakan ruang dan peluang untuk  kita rebut.

Kita mengaku kita orang Islam. Kita pun mengaku bahawa kita ni mengamalkan segala suruhan agama. Jadi, apalah salahnya sedikit amalan yang nampak macam tak seberapa ini kita rebut.

Kalau rasa-rasa selalunya macam malas nak selawat, macam tak ada mood nak berzikir, maka jadikanlah hari Jumaat untuk anda lebih bersemangat unttuk berselawat, berzikir, istighfar dan sebagainya.

Nabi sendiri ada menyebut barangsiapa yang banyak beristihfar, Allah akan bagi jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapinya.

Mari kita jadi lebih baik, sedikit pun tak apa. Asal kita jadi lebih baik. Kita usaha, kita cuba betul-betul. Mana tahu andai Allah juga bakal tarik nyawa kita di hari Sayidul aiyam ini. Subhanallah…



Sumber dari sangmentari.wordpress.com


12 January 2012

Cara Penjagaan Sistem Brek



1 Setiap sebulan sekali, periksa paras minyak brek kereta anda (botol minyak depan vacum pam). Pastikan minyak berada diparas antara minimum dan maksimum. JANGAN SEKALI-KALI MEMANDU SEKIRANYA PARAS MINYAK BREK BERADA DI BAWAH PARAS MINIMUM.

2 Setiap 6 bulan semasa kita hendak merotate tayar kereta kita, periksa pelapik brek. Pastikan lapisan pencengkam masih tebal. Sekira kita dapati pencengkam 'makan' tidak sama antara kiri dan kanan, minta mekanik periksa sistem saluran minyak brek atau sistem tekanan brek kerana kemungkinanatekana yang dikenakan ke atas kedua-dua brek tidak sama dan ini sangat merbahaya kepada pemanduan terutama membrek semasa kelajuan tinggi. Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada brek drum.

3 Sekiranya terdapat kesan lelehan minyak brek (kelihatan cat atau apa-apa bahan berasal dari petroleum mencair) pada mana-mana bahagian, minta mekanik memeriksanya. Jangan ambil mudah perkara ini kerana kebocoran ini mungkin keci tapi akan menjadi besar semasa membrek kerana tekanan yang dikenakan ke atasnya.

4 Semasa menambah minyak brek, pastikan minyak brek yang betul spesifikasinya. Dot 3 untuk kegunaan biasa (biasanya kereta yang mempunyai disk di depan dan drum di belakang) dan Dot 4 untuk kegunaan berat (untuk kereta yang mempunyai sistem 4 roda disk dan kereta berkuasa tinggi). Jika tidak pasti tanya mekanik kerana kesilapan minyak brek boleh menyebabkan keseluruhan sistem brek kita akan mengalami kerosakan terutama pada seal yang diperbuat daripada getah.

5 Sekiranya terdapat kesan calar pada disk atau pada drum, minta mekanik menilai samada boleh pakai lagi atau tidak. Jika kita hendak menukar pelapik brek, saya cadangkan asah kembali disk atau tukar drum kepada yang lebih baik. Kesan calar ini boleh menjadi penghalang pelapik brek mencengkam disk atau drum. Hasilnya, brek akan kurang berkesan.

6 Kerosakan yang selalu berlaku adalah brek 'jam'. Keadaan ini berlaku kerana pelapik brek tidak kembali terapung apabila kita lepaskan brek dan terus mencengkam disk. Kerosakan adalah pada angkup yang mengawal pelapik brek.

7 Untuk kereta auto, pelapik brek hadapan akan lebih cepat haus daripada belakang (biasanya dua kali ganda cepatnya), pastikan anda lebih kerap memeriksa pelapik brek hadapan.

8 Sekiranya anda ingin mengubahsuai sistem brek kereta anda, pastikan anda mendapat kebenaran bertulis daripada JPJ kerana adalah menjadi kesalahan dan syarikat insuran kita akan melindungi anda sekira kemalangan berlaku disebabkan sistem brek dan sistem brek anda telah ditukar tanap kebenaran JPJ.

9 Semasa memandu elakkan kaki daripada sentiasa berada di atas padel brek. Ini dapat menjimatkan penggunaan pelapik brek.

10 Semasa menuruni bukit yang curam, jangan gunakan brek, sebaliknya gunakan brek injin (gear rendah) untuk mengawal kelajuan kereta anda.

11 Sekiranya anda suka memandu laju dan secara aggresive, tukar pelapik brek kereta anda kepada yang lebih tahan panas seperti project U. Pastikan anda menukar juga sistem saluran minyak brek anda kepada saluran bersalut steel. Ini bagi memastikan sistem brek kereta anda dapat berfungsi dalam keadaan tekanan dan suhu dan tinggi dan tindakbalas brek anda akan lebih cepat apabila padel ditekan.

Akhir sekali, cuma pastikan setiap kali anda hantar kereta anda untuk ditukar minyak injin, minta mekanik memeriksa juga minyak brek, minyak gear box, pelapik brek, lampu brek ketiga, aras padel brek dan clucth, tekanan angin tayar, aligment tayar, spark plug, penapis angin, penapis petrol dan sebagainya. Jangan cuma tukar minyak hitam saja kerana peralatan lain perlu juga selalu diperiksa. Jangan tertipu dengan mekanik yang cuma menukar minyak hitam dan penapis minyak hitam apabila kita menghantar kereta untuk di servis dan kita dikenakan bayaran yang tinggi untuk upahnya.



Sumber dari http://www.kereta2u.blogdrive.com/

11 January 2012

Penyakit Osteoporosis atau Rapuh Tulang

Penyakit Osteoporosis atau rapuh tulang ialah suatu keadaan dimana ketumpatan dan kekuatan tulang berkurangan dan menyebabkan tulang menjadi mudah patah atau reput. Osteoporosis membawa kepada tulang poros yang tidak normal yang dapat ditekan atau dimampatkan seperti span. Keadaan ini yang membawa kepada kerapuhan tulang. Osteopenia ialah keadaan dimana tulang kurang tumpat berbanding tulang yang normal tetapi tidak mencapai tahap osteoporosis.

Tulang normal terdiri daripada protein, collagen dan kalsium yang mana memberi kekuatan kepada tulang. Tulang yang telah dijangkiti osteoporosis akan mudah patah walaupun pada kecederaan kecil yang lazimnya tidak akan mengakibatkan kepatahan. Tulang belakang, tulang rusuk, tulang punggung, dan tulang pinggang merupakan tempat yang biasa mengalami retakan atau patah akibat osteoporosis.

Penyebab yang membawa kepada masalah ini ialah penurunan kadar estrogen dalam diri wanita semasa menopause dan penurunan testosterone pada lelaki. Wanita berumur 50 dan lelaki berumur 70 tahun mempunyai risiko paling tinggi untuk mendapat penyakit osteoporosis ini.

penyakit osteoporosis

SIMPTOM
Penyakit osteoporosis tidak mempunyai simptom pada peringkat awal. Simptom ini hanya mampu dikesan pada peringkat akhir penyakit iaitu:
- Kesakitan pada tulang
- Retakan dengan sedikit atau tiada trauma.
- Hilang ketinggian ( sebanyak 6 inci).
- Sakit pada bahagian bawah belakang.
- Sakit leher/tengkok.


RAWATAN
Matlamat untuk rawatan penyakit osteoporosis ini ialah untuk:
  • Mengawal kesakitan
  • Memperlahan atau memberhentikan kehilangan tulang (bone loss)
  • Mencegah retakan tulang dengan ubat menguatkan tulang.
  • Meminimumkan risiko untuk jatuh yang boleh menyebabkan retakan tulang.
Rawatan untuk penyakit osteoporosis ini boleh terbahagi kepada perubahan cara hidup dan kepelbagaian ubatan. Ubat-ubatan digunakan untuk menguatkan tulang.

BISPHOSPHONATES
Bisphosphonates ialah ubat utama yang digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit osteoporosis dalam kalangan wanita yang sudah putus haid.

CALCITONIN
Calcitonin ialah ubat yang memperlahankan kadar kehilangan tulang dan melegakan kesakitan tulang. Calcitonin kurang efektif berbanding bisphosphonates.

RALOXIFENE
Raloxifene (Evista)  digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit osteoporosis. Ia serupa dengan ubat bagi kanser payudara tamoxifen. Raloxifene boleh mengurangkan retakan tulang belakang sebanyak 50%. Walau bagaimanapun, ia tidak mampu untuk mencegah retakan tulang yang lain.
Kesan samping yang paling serius bagi pengambilan raloxifene ini ialah risiko darah tersumbat pada bahagian saraf kaki atau dalam paru-paru.

SENAMAN 
Elakkan senaman yang boleh mengakibatkan terjatuh atau impak yang kuat yang boleh menyebabkan keretakan tulang.

DIET
Dapatkan sekurang-kurangnya 1 200 miligram kalsium setiap hari dan 800 – 1 000 vitamin D3. Vitamin D membantu badan kita menyerap kalsium.
Makanan yang tinggi kalsium antaranya ialah:
  • Keju
  • Ais-krim
  • Sayuran hijau
  • Susu rendah lemak
  • Ikan salmon
  • Ikan sardin bersama tulangnya.
  • Tauhu
  • Yogurt
Tinggalkan tabiat tidak sihat seperti merokok atau minum minuman keras.



sumber dari http://www.ncbi.nlm.nih.gov/

10 January 2012

Minyak Zaitun dan Khasiatnya


Terdapat 3 jenis minyak zaitun:

Extra Virgin Olive Oil
Merupakan minyak zaitun paling murni dengan kadar keasidan 0.5-1 peratus. Warnanya kehijau-hijauan dan sesuai untuk dijadikan sos salad.

Virgin Olive Oil
Kandungan asidnya sekitar 4 peratus. Ia berwarna hijau kekuningan. Biasa digunakan sebagai campuran masakan atau hidangan tumisan.

Olive Oil
Minyak zaitun jenis ini mengandungi tahap keasidan melebihi 4 peratus. Berwarna kekuning-kuningan dan biasanya digunakan sebagal pengganti minyak untuk menggoreng dalam masakan Itali.


Penyembuh Pelbagai Penyakit
Jeruk zaitun mungkin hanya terkenal di Eropah dan Timur Tengah sahaja, tetapi hasil minyak daripada buah zaitun terkenal di seluruh dunia. Di Itali, minyak zaitun digunakan secara meluas dalam pasta, piza dan aneka masakan lain.

Namun bukan hanya untuk masak-memasak sahaja menyebabkan buah purba ni begitu digemari. Sejak berzaman ramai yang percaya bahawa buah ini merupakan ubat kepada pelbagai jenis penyakit.

Benarkah begitu? Sejauh manakah khasiat sebenar minyak zaitun? Hasil kajian yang dijalankan oleh Ketua Jabatan Epideminologi, Universiti Harvard, Dr. Dimitnios Tnichopoulos menunjukkan bahawa penggunaan minyak zaitun dalam jumlah yang besar dapat menurunkan risiko kanser payudara sehingga 50 peratus.


Sementara Bapa Kedoktoran Moden, Socrates menyarankan agar kita mengambil jus segar zaitun bagi menyembuhkan gangguan mental dan masalah pencernaan. Selain itu banyak lagi kajian oleh pakar sains yang mengatakan bahawa minyak zaitun merupakan sejenis antioksida yang diperlukan untuk memerangi LDL kolesterol (kolesterol jahat) yang menyumbat arteri jantung, penyebab utama serangan jantung. Penelitian ini diperkuatkan lagi dengan bukti bahawa jumlah penduduk Mediterranean yang terkena serangan jantung amat kecil berbanding penduduk dunia yang lain.

Pakar kecantikan juga sepakat mengatakan bahawa minyak zaitun amat berguna untuk kecantikan. Vitamin E yang terkandung dalamnya dikatakan dapat meremajakan, menjaga kelembapan dan kekenyalan kulit. Kononnya Cleopatra, ratu Mesir purba yang jelita itu juga menggunakan minyak zaitun untuk menjaga kecantikannya.




Sumber dari www.macam-2.com

09 January 2012

Elak Kulit Cepat Berkedut


RAMAI wanita inginkan kulit yang cantik dan sihat namun mereka tidak tahu adakalanya aktiviti yang dilakukan setiap hari boleh menyumbang kepada masalah kulit.

Selain memperoleh makanan seimbang, kulit harus dijaga dengan melakukan rutin harian penjagaan seperti membersih, menyegar dan melembap. Tidak kira sama ada anda menggunakan produk perawatan wajah berjenama atau sebaliknya, tidak boleh tidak ketiga-tiga langkah ini harus dilakukan pada setiap pagi dan malam.

Selain penjagaan luaran, seperti kata pepatah hati yang bersih akan memancarkan aura keceriaan, begitu juga dengan kulit. Apabila anda tiada masalah, sentiasa tersenyum dan kurang tekanan menyebabkan kulit kurang mengendur, tidak berkedut dan tampak muda daripada usia.



  • Minum banyak air
    Tetapi bukan air gas atau berperisa kopi dan teh tetapi air suam atau mineral. Minum banyak air kosong dapat membantu membuang toksin dalam badan, menjaga kesihatan kulit dan juga membantu membakar kalori dalam badan.




  • Bersenam


  • Bersenam baik untuk kesihatan dan juga kerohanian. Berjalan di sekitar rumah adalah satu bentuk senaman yang mudah. Jangan malas bersenam. Selepas bangun tidur, cuba lakukan sedikit senaman regangan untuk melancarkan peredaran darah.


  • Jangan merokok


  • Merokok merosakkan kulit dan menjejaskan kesihatan. Ada wanita beranggapan merokok boleh menguruskan badan? Sebenarnya tidak, apabila merokok dan wanita terkena penyakit, maka badan pesakit akan kurus.


  • Tidur yang cukup


  • Waktu malam masa terbaik untuk tidur. Tidak cukup tidur akan membuatkan anda kelihatan lebih tua daripada usia.

  • Elak bermekap


  • Pada waktu tertentu, benarkan kulit anda berehat daripada memakai sebarang mekap. Kulit juga perlu bernafas! Jangan biarkan sisa mekap melekat pada muka ketika tidur.



  • Makanan
    Makan yang cukup tetapi bukan berlebihan. Jangan kerana ingin kurus, anda rela berlapar setiap hari. Cara baik, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Makan makanan mengikut piramid makanan. Pastikan semua menu sihat disediakan.




  • Lakukan rawatan wajah


  • Luangkan masa untuk memanjakan diri seperti membuat rawatan kulit, mencuci rambut di salun, melakukan sauna dan spa atau menikmati mandian buih di rumah. Anda boleh melakukan sendiri. Cari pelbagai jenis bunga yang wangi dan mandi. Bunga dikatakan mempunyai tenaga tersendiri untuk mencantikkan tubuh badan.

  • Elak tekanan


  • Stres mempercepatkan proses penuaan. Nikmatilah muzik lembut di bilik tidur bagi meredakan ketegangan.

  • Anggap diri hebat


  • Anggap diri sentiasa hebat dan cantik. Ramai pakar psikologi berpendapat apabila seseorang itu yakin dengan sendirinya penampilan akan menyerlah.

  • Ketawa
    Ketawa penawar duka. Sentiasa senyum kerana senyuman terapi paling mudah menghalang proses penuaan.




  • Tip kecantikan wajah:

    Sama ada lelaki atau wanita seharusnya menjaga kulit mereka daripada sebarang masalah.
    Antaranya dengan:




  • Cuci tangan sebelum menyentuh wajah anda.




  • Lakukan pembersihan kulit pada pagi dan malam kerana pada awal pagi kulit mengeluarkan lemak dan kotoran manakala pada waktu malam walaupun anda tidak memakai mekap kulit mudah menerima kotoran.




  • Pada waktu malam luangkan masa untuk membuat urutan bagi melancarkan peredaran darah dan sel baru.
    Urutan lembut selama dua minit dapat menghilangkan keletihan, menenangkan wajah dan memberi kecerahan kepada kulit.







  • Sumber dari akhbar harian metro

    06 January 2012

    Perut Punca Segala Penyakit


    Anda kerap diserang sakit perut tanpa sebab? Atau anda sering berasa tidak selesa di bahagian perut? Awas! Ia mungkin pentanda awal kepada penyakit lain yang merbahaya kepada anda. Seperti mana Sabda Rasulullah s. a. w, maksudnya: "Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan." (Riwayat ad-Dailami)


    Al-Ma'idah dalam bahasa Arabnya bermaksud perut (ventrikulus) dan dalam bahasa Inggerisnya disebut stomach. Merupakan salah satu dari organ-organ pencernaan. Perut juga merupakan salah satu dari tempat atau sarang penyakit.

    6 punca penyebab penyakit dari perut:-

    1 Cara pemakanan seharian yang tidak sistematik.


    2 Terlalu berlebihan semasa makan.


    3 Tidak berwaspada dengan makanan dan minuman yang dihinggapi serangga.


    Sabda Rasululluh s. a. w, maksudnya: "Jika ada seekor lalat jatuh ke dalam tempat minuman yang akan kamu minum, maka celuplah keseluruhan tubuh lalat tersebut ke dalam minumanmu tadi kemudian angkatlah (buanglah) lalat tersebut. Kerana sesungguhnya pada salah satu sayapnya mengandung ubat dan pada sayap yang lainnya mengandung penyakit." (Riwayat Abu Hurairah)

    4 Tidak cermat semasa meneliti isi kandungannya.


    5 Kurang kesedaran dalam menjaga kebersihan diri.

    Sabda Rasulullah s. a. w, maksudnya: "Bersiwaklah (menggosok gigilah) kamu semua, sebab bersiwaak (menggosok gigi) itu adalah membersihkan mulut dan Allah redha kepadanya. Setiap kali Jibril datang kepadaku, ia selalu berpesan untuk bersiwak
    (menggosok gigi)." (Riwayat Ibnu Majah)


    6 Kebiasaan memakan ubat tanpa nasihat doktor.

    Oleh itu jagalah cara pemakanan anda, dapatlah anda menghindari dari segala penyakit yang berbentuk kronik ataupun sebaliknya. Amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s. a. w iaitu berpuasa merupakan sebaik-baik pencegahan dan pengubatan.


    Sabda Rasulullah s. a. w, maksudnya: "Berpuasalah kamu, nescaya kamu menjadi sihat." (Riwayat Abu Hurairah)




    05 January 2012

    Kesihatan Bayi Melalui Warna Najis


    Pernahkah anda bimbang bila najis bayi bertukar warna daripada kebiasaannya warna kekuningan bertukar kelabu ataupun hijau? Apakah perubahan ini normal atau sebaliknya? Umumnya, najis bayi mungkin berubah-ubah kepada warna-warna seperti kuning, coklat, hijau, merah dan kelabu. Melalui warna-warna inilah anda mengetahui sistem pencernaan bayi normal ataupun tidak.

    Berikut anda boleh mengenali najis bayi melalui warnanya:-


    Kuning
    Warna ini adalah normal jika bayi hanya mendapat penyusuan ibu semata-mata, tiada campuran dengan susu formula. Warna kuning disebabkan bayi mendapat susu ibu sepenuhnya dari foremik (susu bahagian hadapan payudara ibu) dan hindmik (susu dari payudara belakang ibu).

    Hijau
    Masih dikategorikan normal tetapi jika warna ini berterusan ia menunjukkan anda menyusukan bayi dengan cara tidak betul (yang dihisap oleh bayi hanya foremik). Keadaan ini berlaku kerana pengeluaran susu melimpah disebabkan bayi kerap menghisap susu bahagian hadapan terlebih dahulu yang mempunyai kandungan gula dan laktosa tetapi rendah lemak. Hal ini menyebabkan bayi cepat lapar semula dan susu bahagian belakang yang mengandungi banyak lemak akan dihisap selepas foremik habis, sedangkan hindmik bahagian belakang inilah yang menjadikan najis berwarna kuning.


    Merah
    Boleh disebabkan adanya titisan darah bersama najis. Darah ini mungkin datangnya dari bayi atau dari anda (ibu) yang terhisap semasa proses bersalin. Jika darah itu datangnya dari ibu atau anak, maka najis akan berwarna hitam dan berlaku selama sehari atau 2 hari. Jika darah tersebut bukan dari anda atau bayi sendiri, kemungkinan lain adalah alergi susu formula atau penyumbatan pada usus. Jika ini berlaku ia perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor.


    Kelabu
    Warna ini dianggap tidak normal dan anda harus segera mendapatkan pemeriksaan doktor. Warna kelabu menunjukkan terdapat gangguan serius pada hati, hempedu dan usus bayi.


    Bentuk Najis
    Selepas 2 hari dilahirkan, bentuk najis adalah lembik, kemudian sedikit bergumpal seperti jeli, padat, berbiji dan mungkin juga sedikit cair. Najis bayi yang diberi susu ibu sepenuhnya berbentuk pasta atau krim, berbiji dan agak cair.

    Kekerapan Membuang Najis
    Berbeza-beza antara seorang bayi dengan bayi lain terutamanya pada minggu keempat dan kelima yang pertama. Biasanya dalam sehari bayi mungkin buang air besar sehingga 5 kali. Bayi menghisap susu ibu sepenuhnya biasanya kerap membuang najisnya bahkan ada yang hingga 7 kali sehari. Jangan bimbang ini adalah normal jika bayi tidak mengalami masalah kesihatan.




    04 January 2012

    Khasiat Pokok Peria

    Pokok peria (Momordica Charantia L) sememangnya banyak khasiat. Baik dari segi buah, daun mahupun akarnya. Antara khasiat yang boleh anda peroleh melalui pokok peria adalah merawat darah tinggi, penyakit kencing manis, cirit birit dan menghilangkan gatal akibat campak.

    Banyak lagi sebenarnya. Tapi saya akan kongsikan satu persatu dengan anda secara terperinci di bawah nanti ya.

    Buah Peria
    Buah Peria - potomitan.info

    1. Buah Peria

    Dengan memakan mentah atau dijadikan sebagai ulam, buah peria dikatakan mampu merawat darah tinggi dan kencing manis serta mengubati cirit birit.

    Selain itu, amalan di atas turut boleh menyembuhkan gout dan penyakit asma.

    Sebagai tambahan, ia juga bertindak sebagai anti-radang. Jadi, ia berupaya menurunkan panas badan, menyegarkan tubuh serta mematikan cacing.

    Jikalau anda mengalami bisul dan nakkan ia cepat masak, boleh makan ataupun sapukan saja buahnya pada mata bisul.


    2. Daun Peria

    Daun Peria
    Daun Peria

    Sekiranya anda berasa gatal-gatal akibat campak, tumbukkan beberapa helai daun peria dan sedikit kunyit hingga lumat.

    Kemudian, sapukannya pada bahagian yang gatal. InsyaAllah rasa gatal itu akan hilang.

    Selain ditumbuk, daun peria yang direbus turut mempunyai khasiat tersendiri. Anda cuma perlukan 5 helai daun peria. Bersihkannya dan rebus sampai mendidih.

    Apabila anda meminum air rebusan ini, ia boleh mengatasi masalah kesukaran membuang air besar, membantu meningkatkan selera makan serta menambahkan air susu ibu.

    Jikalau anda nak mencantikkan rambut pun boleh. Lumurkan saja air rebusan tadi ke kepala anda sambil mengurutnya lebih kurang dalam 10 minit. Setelah itu, biarkan saja ia lagi beberapa minit. Kemudian, barulah anda membilas rambut dengan air bersih.


    3. Akar Peria

    Andainya anda sakit mata, cuba rebus akar peria hingga mendidih. Kemudian, biarkan air rebusan tadi suam-suam kuku dan jiruskan saja ia pada mata yang sakit.

    Buat sekurang-kurangnya sekali dalam sehari tau.


    Banyak betul khasiat peria ni, kan? Bolehlah anda cuba seandainya mengalami mana-mana masalah yang berkaitan.




    Sumber dari http://petuasejagat.blogspot.com



    03 January 2012

    Tips Penjimatan Minyak


    Langkah penggunaan bahan api paling minimum dapat menjimatkan perbelanjaan petrol. Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol kereta anda bukan semata-mata kerana harganya yang melambung tinggi ketika ini tetapi penggunaan petrol yang lebih daripada yang sepatutnya menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
    Penjimatan Petrol
    • Memandu dengan tenang. Sikap dan cara pemanduan kerana banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Jangan gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut. Misalnya ketika menuju ke plaza tol atau membelok di selekoh tajam, janganlah tiba-tiba saja menukar gear daripada gear tinggi (misalnya gear 5) kepada gear rendah dan membrek sesuka hati. 
    • Kurangkan berat/bebanan kereta. Anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa. Jadi, jangan bawa barang yang tidak perlu (kereta anda bukan stor). Perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 2 peratus).
    • Tayar diisi dengan tekanan angin yang betul. Tekanan angin mesti betul. Tekanan angin yang tidak mengikut spesifikasi mengakibatkan penggunaan minyak bertambah 5 peratus. Carta berat dan tekanan angin biasanya terpapar di tempat mengisi angin di mana-mana stesen minyak. Jangan biarkan tayar lembik dan kurang tekanan kerana ia menyebabkan kereta dipandu lebih berat dan ini tidak menjimatkan petrol.
    • Lakukan penyelenggaraan dan servis berkala. Penalaan enjin yang teruk meningkatkan penggunaan minyak hingga lebih 50 peratus. Jangan malas pastikan palam pencucuh, tali kipas dan penapis udara diperiksa secara berkala.
    • Kurangkan kelajuan tinggi. Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak digunakan (dan tidak disaman). Memandu melebihi 90 kilometer sejam (km/j) meningkatkan dengan ketara penggunaan minyak. Secara perbandingan, pada kelajuan 100 km/j, penggunaan minyak bertambah 10 peratus, 105 km/j (15 peratus) dan 110 km/j (25 peratus).
    • Matikan saja enjin kereta jika menunggu sesuatu. Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang. Menunggu suami, isteri atau kawan yang singgah di kedai runcit untuk membeli hatta satu barang kadang-kadang boleh jadi lama.  Ini kerana mungkin ada ramai orang di kedai atau tuan kedai mencari-cari duit tukar untuk memulangkan duit pelanggannya. Jadi, buka tingkap kereta dan tutup saja enjin untuk menjimatkan minyak petrol kereta anda.
    • Bijak dalam penggunaan gear. Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran minyak kerana enjin menjadi lebih pantas. Jangan malu-malu menggunakan mod ‘ekonomi’ jika kereta anda memilikinya.
    • Membrek secara beransur-ansur. Jika anda sudah tahu di mana hendak berhenti, misalnya di tol atau stesen minyak di tepi lebuhraya, perlahankan kenderaan secara beransur-ansur. Jangan brek mengejut.
    • Rancang perjalanan. Jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan mana untuk kita ikut menuju ke destinasi. Ini termasuklah rancangan perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan pilihan jalan yang tidak banyak lampu traffic, banyak bonggol (menyebabkan anda  perlu kerap menukar gear yang akhirnya tidak membantu usaha penjimatan petrol kereta anda)
    • Elakkan kesesakan lalulintas. Ini menjimatkan masa, wang dan mengelakkan tekanan. Jalan yang sesak juga menyebabkan anda mendapat kurang kilometer. Untuk penjimatan minyak, cari jalan yang kurang sesak. Jangan mengambil jalan singkat ke sesuatu destinasi jika jalan lebih jauh satu atau dua kilometer dipastikan lebih lancar.
    • Panaskan enjin kereta sebelum memulakan perjalanan. Enjin dalam keadaan panas (panas yang normal) juga boleh membantu meningkatkan perbatuan (lebih kilometer) dan prestasi kereta anda. Terutamanya pada waktu pagi, jika boleh, biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan.
    • Minimumkan perjalanan jarak dekat. Kurangkan perjalanan jarak dekat kerana ini mampu meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 40 peratus. Sebagai langkah penjimatan petrol, eloklah naik motosikal atau mungkin berbasikal (jika di kampung) untuk ke surau atau kedai berhampiran.
    • Gunakan saiz tayar dan sport rim yang sesuai. Saiz port rim perlu disesuaikan dengan keupayaan kereta. Kalau wira 1.3, dan kita hendak menggunakan sport rim, cukuplah setakat saiz rim 14 Inci, kerana jika kita menggunakan saiz 15 inci, kekuatan pecutan kereta akan menurun, speedometer tidak merekodkan bacaan yang tepat, kesemua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayatnya dan yang paling penting, minyak petrol akan lebih sedikit. Jika saiz rim dan keupayaan tidak seimbang, ini tidak membantu langkah penjimatan petrol anda.
    Barang Yang Perlu Dibawa.
    • Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan. Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar 5 peratus.
    • Harus diingatkan, jangan sekali-kali memasang karier sekiranya anda tidak bercadang membawa barang berlebihan atas bumbung kereta. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut.  
    Kesimpulannya
    Jika anda mendapati penggunaan petrol kereta anda sebulan sangat tinggi, periksalah puncanya terlebih dahulu. Ia mungkin berpunca daripada keadaan teknikal kereta atau mungkin sikap pemanduan anda. Maka, sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol di pasaran seperti eco-power compressor. eloklah anda mengamalkan tips-tips yang dinyatakan di atas.




    sumber dari google