Bercuti bersama keluarga memang menyeronokkan. Apatah lagi
apabila musim cuti sekolah. Selain mengeratkan hubungan keluarga, bercuti
memberi pendedahan kepada anak-anak tentang dunia luar.
Bagaimanapun perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum
merancang percutian adalah wang. Selain peruntukan masa, peruntukan kewangan
menjadi perkara utama.
Bukan sedikit wang yang bakal dikorbankan untuk sebuah percutian terutama melibatkan ahli keluarga. Jadi, jika
terfikir untuk bercuti, mulalah mengumpul dan merancang dari sekarang. Tentu
tidak membebankan apabila tiba saatnya nanti.
Jom pelajari cara unik kumpul duit untuk percutian. Mana tahu
ia boleh dijadikan panduan berguna seterusnya merealisasikan impian percutian
anda dan keluarga.
1 Simpanan
bulanan
Setelah mendapat jumlah yang diperlukan untuk percutian anda
nanti, cuba bahagikan jumlah tersebut dengan jumlah bulan yang tinggal. Jumlah
yang anda dapat itulah jumlah sebenar wang yang perlu disimpan setiap bulan.
Untuk memastikan anda dan keluarga berjaya merealisasikan impian tersebut,
ketepikan jumlah wang yang sepatutnya tanpa culas.
2 Asal barang jadi
duit
Untuk membolehkan anda dan keluarga berbelanja sedikit mewah
semasa percutian, apa kata jika anda semua cari duit tambahan. Perhatikan
sekeliling anda. Pasti ada benda yang boleh anda gunakan untuk menjana duit.
Misalnya, kertas-kertas terpakai seperti surat khabar lama. Kumpul surat khabar
lama, majalah, buku ataupun kotak yang sudah tidak digunakan dan kemudian jual.
Wang yang diperoleh itu simpanlah dalam dana percutian. Selain kertas, anda
boleh menjual botol-botol plastik atau pun tin-tin minuman yang sudah tidak
digunakan. Mudah bukan?
3 Jimatkan perbelanjaan
harian
Demi untuk percutian yang sangat menyeronokkan, tak salah
rasanya jika anda berjimat. Jangan terlalu boros berbelanja. Beli hanya apa yang
patut. Jangan membazir. Bayangkanlah jika anda dapat berjimat RM3 sehari. Ini
bermakna dalam sebulan anda dapat berjimat sebanyak RM90. Kalau sepuluh bulan,
maknanya anda dapat berjimat sebanyak RM900. Wow, banyaknya!
4 Sertai pertandingan
Apa kata anda mencuba nasib dengan menyertai pertandingan yang
menawarkan hadiah wang tunai atau percutian. Tetapi jangan sertai pertandingan
yang memerlukan anda membayar yuran pertandingan yang tinggi atau melabur modal
agak besar seperti pertandingan melalui sistem pesanan ringkas.
5 Jana duit daripada bakat
dan minat
Jika anda berbakat dalam satu-satu bidang, janalah wang
daripadanya. Misalnya, sekiranya anda pandai memasak, belajarlah menjual makanan
kepada saudara-mara, rakan sepejabat atau jiran-jiran. Jika pandai menjahit,
terimalah tempahan daripada yang berminat, atau jika berbakat menulis, tulislah
novel atau artikel.
Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/seronoknya-pergi-melancong-1.162664