24 July 2012

Tip Untuk Berpuasa Bagi Ibu Mengandung

 
 
Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.

Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan:
  • tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);
  • susu atau yogurt rendah lemak;
  • sup jernih.
Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi:
  • sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera;
  • protein daripada ayam, daging atau ikan, atau lentil, kacang pis atau kekacang;
  • karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh;
  • dan, banyak sayur-sayuran.
Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketakcernaan.

Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.

Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi:

  • nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari atau korma cair;
  • bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;
  • dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda ternyahhidrat.

Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh. Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.

Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan:
  • Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.
  • Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur.
  • Minum banyak air selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan nyahhidrat.




sumber dari www.babycenter.com.my




23 July 2012

Adab Ramadhan



Ilmu yang patut dikongsi bersama.. Dalam membaca artikel dalam akbar online, hati tertarik untuk berkongsi maklumat yang patut dikongsi bersama kawan-kawan..

Latihan dan pendidikan yang ada pada Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab itu ialah:

Bersahur pada waktu dinihari dan melewatkan pengambilannya.

Nabi SAW bersabda: “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari) Zaid bin Thabit pula menceritakan, “Kami pernah bersahur bersama Nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Kemudian Zaid bin Thabit disoal: Berapa lama masa antara keduanya (iaitu di antara makan sahur dan solat Subuh)? Berkata Zaid: Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)


Bersikap dermawan.
Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah orang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari)


Bertadarus al-Quran secara konsisten.

Abdullah Abbas melaporkan: “Jibril menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran dan Rasulullah lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.” (Hadis riwayat Bukhari)

Melaksanakan solat Tarawih.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, maka diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Salamah bin Abdur Rahman meriwayatkannya, sesungguhnya dia bertanya kepada Aisyah: “Bagaimana solat malam Rasulullah pada Ramadan? Aisyah menjawab: Rasulullah tidak pernah melakukan solat malam lebih daripada sebelas rakaat, baik pada bulan Ramadan atau pada bulan yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Beriktikaf terutama pada 10 terakhir Ramadan.
Aisyah berkata: “Rasulullah mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan sehinggalah Baginda wafat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Mengawal nafsu, mengelokkan perangai serta memelihara lidah.
Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, Allah SWT tidak berhajat menerima amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Hadis riwayat Bukhari)


sumber dari akbar berita harian


banyak adab yang boleh kita pelajari melalui artikel ini.. semoga bulan Ramadhan kita tahun ini adalah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.. bersama-samalah kita amalkannya sementara kita baru sahaja berpuasa pada hari ke-3 pada tahun ini..

20 July 2012

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak


Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca.. Mohon dimaafkan sekiranya ada salah dan silap sepanjang berblog nih.. Memandangkan esok kita akan berpuasa, di sini diingatkan kembali niat berpuasa. 

Lafaz niat untuk sebulan :

niat puasa sebulan

Ertinya : Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala


Lafaz niat untuk harian :

niat harian puasa ramadhan

Ertinya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala


Lafaz doa ketika hendak berbuka :

lafaz doa berbuka di bulan ramadhan

Ertinya : Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Lafaz doa selepas berbuka puasa :

 
doa selepas berbuka puasa

Ertinya : Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu.



sumber dari http://www.izwanyusof.com/ gambar kredit dari google

13 July 2012

Kisah Teladan - Peliharalah Lidah

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: “Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki…. ” nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: “Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?”

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. ” Jika ISLAM itu BENAR, tempatkan bilikku di Neraka, Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku,” katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na’uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul ‘alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan.

Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut . Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang pemilik yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t. taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan agar Dia memberikan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amin.Kisah ini dikongsikan dan diceritakan bersama oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan sana.




sumber dari facebook Norkamisyah Kasim


Peliharalah lidah jika mahu berkata-kata sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan..sesungguhnya kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku jika kita melakukan perkara yang ditegah oleh-Nya..

03 July 2012

20 Kesilapan Utama Mendidik Anak




 1  Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak

 2  Ibu bapa tidak membimbing anak-anak ke arah kebaikan dan patuhi syariat

 3  Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak

 4  Kurang melahirkan kasih sayang pada anak-anak

 5  Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak

 6  Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak

 7  Tidak pernah luangkan masa makan bersama dengan anak-anak

 8  Sering mengeluh dihadapan anak-anak

 9  Komunikasi dengan anak-anak tidak menggunakan bahasa yang betul

10 Senantiasa menunjukkan sikap negatif di hadapan anak-anak

11 Suka bertengkar di hadapan anak-anak

12 Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak

13 Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak

14 Tidak menghargai kerja anak-anak atau meraikan kejayaan anak-anak

15 Suka berleter kepada anak-anak jika mereka melakukan kesilapan

16 Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

17 Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak

18 Tidak berusaha pelbagaikan sajian untuk hidangan anak-anak

19 Tidak luangkan masa bersama berborak dengan anak-anak

20 Suka herdik, gertak dan menakutkan anak-anak




Sumber dari akhbar harian metro