Serlah personaliti, tingkatkan kesihatan
ADA orang bila dia marah, tetap tersenyum, cuma mungkin agak kelat dan ketat kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh. Sesetengah pihak pula, tanpa sebab dan alasan munasabah, tiba-tiba saja melontarkan kemanisan gerakan bibir mereka saat mata saling berpandangan sebagai tanda sapaan.
ADA orang bila dia marah, tetap tersenyum, cuma mungkin agak kelat dan ketat kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh. Sesetengah pihak pula, tanpa sebab dan alasan munasabah, tiba-tiba saja melontarkan kemanisan gerakan bibir mereka saat mata saling berpandangan sebagai tanda sapaan.
Menatap wajah yang sering terukir senyuman pastinya membuatkan hati gusar terasa tenang. Lirikan bibir juga mampu melembutkan hati hingga cair jadinya. Kecantikan wajah empunya diri juga dilihat semakin manis tatkala memperlihatkan barisan gigi hadapan tanpa mengambil kira ia tersusun rapi mahu pun sebaliknya, pastinya tetap indah.
Senyuman diibaratkan seakan kelopak bunga yang mula berkembang dan keindahannya tidak dapat diceritakan kerana ia bagaikan magnet.
Di samping memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, cukup sekadar ikhlas untuk menjadikannya manis.
Keindahan senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.
Kajian dilakukan sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan bahawa tekanan terbahagi kepada kepada dua kategori iaitu yang baik dan tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai tekanan positif manakala tekanan kurang elok akan menyebabkan tekanan kepada sistem ketahanan badan.
Kanak-kanak lebih banyak ketawa daripada orang dewasa. Si comel berumur antara empat hingga enam tahun ketawa kira-kira 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari bagi orang dewasa. Justeru, tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit atau mengalami masalah tekanan dan kemurungan dalam kehidupan harian.
Saintis mendapati senyum dan ketawa ibarat larian yang mampu merangsang seluruh sistem anggota tubuh sekali gus baik untuk mengembangkan saraf otak, termasuk hormon. Senyuman juga bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai berkaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak bagi mengurangkan kesakitan fizikal yang sering dirasai dewasa.
Kajian juga menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam menerima manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Lantas kedua-dua kadar ini menurun dengan lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
Sementara itu, pengkaji dan pengamal Barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan saja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
Kemanisan senyuman juga memberikan banyak manfaat kepada kesihatan antaranya ia mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian membuktikan tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.
Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semula jadi dalam badan turut akan bertambah selaras dengan pertambahan protein yang bertindak melawan penyakit. Selain itu, senyuman juga membuatkan kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 otot ketika mengerutkan dahi. Mungkin inilah jawapannya mengapa sesetengah individu kelihatan jauh lebih tua daripada usia sebenar mereka.
Ketawa atau senyum juga menjadi aktiviti senaman ringkas untuk wajah kerana hasilnya mampu mengurut organ dalaman tubuh, menguatkan otot, melancarkan sistem pernafasan seringan itu juga meningkatkan keupayaan minda dalam mengulang kaji pelajaran dan proses pembelajaran. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi, membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
INFO
Mitos bentuk bibir
Bibir segar dan kemerahan
Wanita yang mempunyai bibir segar dan kemerah-merahan secara semula jadi didakwa mempunyai tubuh badan sihat sekali gus pandai menjaga kesihatan diri. Mereka dianggap ceria hinggakan ramai yang suka berkawan dengan wanita ini kerana pandai menyesuaikan diri dan ramah dalam pergaulan. Wanita ini juga mampu memberi keriangan kepada pasangannya dengan sifat keaslian wanita. Dirinya suka disayangi dan mahukan kasih sayang sepenuhnya.
Bibir yang biru (pucat)
Tidak kira apa juga bentuk bibir wanita ini, cahayanya kelihatan kebiruan. Biasanya wanita ini tidak begitu boleh diletakkan kepercayaan. Kata-katanya tidak boleh dipercayai malah selalu bersifat ingkar dan cuai terhadap tanggungjawab. Cerewet dan suka menimbulkan perselisihan dengan pasangannya. Jika anda ingin menjadi kekasihnya, anda hendaklah seorang yang boleh mengatasinya atau mengawal wanita ini.
Bibir yang tipis
Tipis bukan bererti nipis! Wanita memiliki bibir tipis pada umumnya banyak mulut dan suka berbicara. Mereka gemar melakukan sesuatu dengan caranya sendiri tanpa mempedulikan apa kata orang lain. Wanita ini pandai memujuk rayu dan tahu juga berpura-pura dalam memainkan peranan demi kepentingannya. Wanita ini juga mempunyai nafsu yang cukup besar dan memerlukan belaian yang penuh kehangatan daripada pasangannya. Wanita ini bersikap optimis dalam menjalani kehidupannya.
Bibir yang mungil
Wanita ini secara umumnya mempunyai gaya dan pesona yang mendebarkan lelaki. Selalu mempamerkan gaya keanak-anakan dan bersifat manja. Suka didampingi dan dibelai oleh pasangan. Wanita ini juga suka bergantung kepada orang lain, tidak mempunyai pendirian yang mantap lantaran selalu bersikap ragu-ragu dengan apa dilakukan mereka. Mereka boleh menjadi ibu yang baik serta suri rumah bertanggungjawab. Namun suka merungut dan berleter jika tidak mendapat apa yang diingininya.
Bibir yang tebal
Wanita ini dikatakan mempunyai nafsu yang kuat. Sukakan kemesraan dan kehangatan. Dia juga bersikap agak bebas juga terbuka apalagi jika dikaitkan dengan persoalan cinta mahupun seks. Mampu memberi keseronokan dan kesenangan kepada pasangannya, namun boleh juga menimbulkan suasana yang sebaliknya lantaran sikapnya yang suka mencemuh dan memalukan di tengah ramai. Wanita ini tidak suka sikap berpura-pura. Dia boleh menjaga rahsia dengan baik. Bagaimanapun jika dia mula membenci seseorang, kata-kata yang dihamburkan mampu menyinggung perasaan. Begitu mementingkan kecantikan dan bersolek lama dan wang dihabiskan untuk tujuan kecantikan serta bersikap boros.
Bibir sentiasa terbuka
Mempunyai keinginan yang tinggi dari segi kehidupan dan juga seks. Dalam soal kerja atau tanggungjawab, mereka cukup berdisiplin dan mencapai prestasi yang membanggakan. Ramai wanita jenis ini memperoleh kedudukan yang baik dalam kerjaya kerana mampu berjaya dalam setiap bidang yang diceburinya. Optimis dan bermatlamat. Dia juga mudah jatuh cinta dan berusaha sedaya-upaya untuk memiliki atau memenangi hati lelaki yang dicintainya. Tidak segan atau malu untuk meminta apa yang dihajati dalam perhubungan. Wanita ini juga pandai merangsang pasangan dengan gaya yang hebat dan erotik. Pandai memanfaatkan keistimewaan diri.
Sumber dipetik dari rahsiadiri.blogspot.com
Senyum merupakan senaman yang paling mudah untuk dilakukan berbanding senaman rengangan yang lain.. Manfaatnya pun banyak..
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..