KEHAMILAN merupakan suatu perubahan fisiologi wanita yang berlaku untuk tempoh sembilan bulan dan disusuli dengan tempoh berpantang.
Kebetulan masuk bulan Ramadan, wanita yang hamil juga ada kalanya ingin menjalani ibadah tersebut.
Namun, terdapat beberapa aspek perlu difahami mengenai amalan berpuasa di kalangan wanita yang sedang hamil.
Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Dr. Adilah Ahmad manusia normal juga ‘berpuasa’ pada setiap malam sewaktu tidur.
“Bezanya sewaktu tidur kita tidak melakukan aktiviti lain. Tidur malam secara purata iaitu lapan jam berterusan juga tanpa disedari menyebabkan kita berpuasa dalam tempoh tersebut.
“Penyesuaian pengambilan pemakanan yang mencukupi dalam tempoh terhad ini secara prinsipnya tidak mendatangkan masalah besar.
“Bagaimanapun, jika berpuasa dikhuatiri akan menjejaskan kehamilan, maka seseorang bolehlah untuk tidak berpuasa,” ujarnya.
Berkongsi panduan bagaimana ibu hamil yang ingin berpuasa, Dr. Adilah memberikan beberapa panduan berguna.
“Sebaik-baiknya sebelum ibu hamil mengambil keputusan untuk berpuasa, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor masing-masing sama ada boleh berpuasa atau sebaliknya.
“Wanita yang mempunyai masalah seperti kencing manis kronik, darah tinggi, masalah ulser, sistem pencernaan dan sebagainya, mungkin dinasihatkan doktor agar tidak berpuasa,’’ katanya.
Selain itu, beliau menasihatkan ibu hamil mengambil makanan dan minuman yang mengandungi keperluan zat makanan yang diperlukan seeloknya dalam kuantiti mencukupi, sama seperti sewaktu beliau tidak berpuasa.
“Cara pengambilannya sahaja yang diubah kepada tempoh sewaktu berbuka puasa sehingga waktu bersahur sahaja.
“Ini sangat penting. Penambahan berat badan yang sepatutnya juga perlu dipastikan sekitar setengah kilogram setiap minggu apabila melepasi bulan keempat.
“Seterusnya, pastikan mengambil kalori (kcal) makanan yang sihat iaitu berjumlah sekitar 25 hingga 30 kcal bagi satu kilogram berat badan individu (secara purata di antara 1,800-2,000 kcal setiap hari).
“Keperluan zat makanan pula hendaklah seimbang mengikut piramid makanan yang disarankan dengan pengambilan karbohidrat sebanyak 50 peratus, protein 30 peratus dan lemak 10 hingga 20 peratus.
“Sama ada berpuasa atau tidak, pemakanan sihat sangat mempengaruhi perkembangan janin dan bayi yang bakal dilahirkan,’’ ujarnya.
Beliau turut memberitahu, ibu hamil memerlukan air yang mencukupi, sekurang-kurangnya dua liter setiap hari (bersaiz empat botol kecil air mineral atau lapan hingga 10 gelas) bagi membantu mengurangkan dehidrasi atau kekeringan,” katanya.
Tambahnya, elakkan membeli-belah atau berjalan-jalan terutamanya di tengah panas supaya kekal segar dan tidak berlaku dehidrasi.
“Sebaiknya ambil makanan tambahan seperti pil vitamin dan kalsium pada waktu malam dan bukannya sewaktu bersahur bagi mengurangkan kesan sampingan akibat ubat seperti loya dan pening kepala.
“Ibu hamil juga disyorkan melambatkan waktu bersahur kepada jam terakhir sebelum imsak serta tidak melambat-lambatkan berbuka apabila sampai waktunya bagi membantu mengurangkan tempoh berpuasa kepada hanya perlu sahaja,” katanya.
Menurut Dr. Adilah lagi, sesetengah ibu hamil yang berpuasa mengalami ketosis iaitu masalah yang berlaku dalam keadaan kelaparan yang lazimnya terjadi apabila berpuasa melebihi 16 jam terutamanya bagi wanita yang mempunyai penyakit kencing manis ataupun penyakit kurang zat makanan.
Situasi tersebut akan menghasilkan bahan ketone yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada wanita dan perkembangan janin dikandungnya.
Tambah Dr. Adilah lagi, wanita hamil juga perlu mengenalpasti isyarat tubuh sendiri.
“Jika ibu yang hamil sedar, mereka sememangnya tidak mengambil keperluan pemakanan yang mencukupi dan tidak bermaya, atau mengalami simptom-simptom hipoglisemia iaitu kekurangan gula dalam darah dan pening kepala, berpeluh-peluh dan sebagainya, mereka dinasihatkan berbuka puasa,” pesannya.
Perubahan kehamilan untuk menyesuaikan diri ketika berpuasa.
* Trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan).
Petanda-petanda morning sickness seperti tekak loya, pening kepala dan tidak berselera makan. Pilih makanan bersesuaian dan kurang mengambil makanan berminyak serta gandakan meminum banyak air.
Pengambilan pil asid folik pula pada sebelah malam dan bukannya sewaktu bersahur supaya kesan sampingan seperti berasa loya dan bau ketika sendawa.
Petanda-petanda morning sickness seperti tekak loya, pening kepala dan tidak berselera makan. Pilih makanan bersesuaian dan kurang mengambil makanan berminyak serta gandakan meminum banyak air.
Pengambilan pil asid folik pula pada sebelah malam dan bukannya sewaktu bersahur supaya kesan sampingan seperti berasa loya dan bau ketika sendawa.
* Trimester kedua (bulan ke-4, 5 dan 6 kehamilan)
Pada waktu ini morning sickness dijangka telahpun reda, namun berlaku penurunan tekanan darah dari paras biasa menyebabkan ada yang mudah pitam terutamanya jika berdiri untuk tempoh yang lama. Minum air yang mencukupi selepas berbuka puasa serta tidak berdiri lama dapat mengurangkan masalah ini.
* Trimester ketiga (bulan ke -7 hingga kelahiran)
Wanita lebih mudah penat apabila bergerak akibat saiz kandungan yang semakin besar. Banyakkan berehat dapat membantu.
Sumber dari http://paramedik.bbfr.net/
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..