Anak kecil anda kini semakin lincah dan bertenaga. Dia semakin aktif bergerak ke sana sini. Juga mula pandai bercakap dua atau tiga perkataan. Ingin tahu selanjutnya perkembangan satu tahun si manja anda, jom teruskan membaca artikel ini.

Langkah pertama
Dia boleh seimbangkan badan dengan berjalan perlahan-lahan berdekatan dengan perabot untuk memegang supaya tidak jatuh. Kadang kala akan melepaskan tangan untuk mencapai permainan yang berdekatan dengannya. Pada peringkat permulaan dia mungkin berjalan satu atau dua langkah sebelum terjatuh. Pegang tangannya untuk menggalakkan dia berjalan dengan baik.

Menyuap makanan
Sesuatu yang membuatkan anda gembira apabila anak kecil anda sudah boleh menyuapkan makanan sendiri.  Dia sudah mempunyai kemahiran menggunakan tangan dengan baik termasuk menyuapkan makanan sendiri. Walaupun suapannya itu akan menyebabkan mulut dan baju kotor, biarkan saja! Namun pastikan anda mengawal apa yang dimakan untuk mengelak berlaku risiko tercekik makanan keras pada anak kecil ini.

Melontar
Pada usia ini, dia suka mengambil objek yang berada berhampiran dengannya. Manakala sikap suka memasukkan objek ke dalam mulut bukan lagi aktiviti kegemarannya. Pada masa ini juga, dia sudah mempunyai kemahiran melontar setelah tahu  untuk melepaskan sesuatu. Berikan anak anda bola, pastikan dia akan melontar bola dengan sekuat hatinya.

Sikap berdikari
Pada usia ini, hubungan anak kecil ini dengan anda sangat mesra. Dia mahu anda memberikan pelukan dan ciuman padanya. Pada masa ini sikap berdikarinya semakin bertambah dan keinginan meneroka kepada persekitaran akan membutakan anak kecil anda tidak duduk diam.

Hubungan sosial
Inilah masanya untuk anda perkenalkan anak anda kepada rakan sebayanya. Walaupun dia kelihatan gembira bermain dengan kanak-kanak kecil lain di kawasan permainan, dia secara umumnya akan menganggap semua alat permainan miliknya. Istilah kongsi sukar difahami pada usia satu atau dua tahun ini.

Peniruan
Pada usia ini dia akan mula melakukan peniruan pada apa yang dilihat di sekelilingnya. Jadi tunjukkan tingkah laku positif kepadanya. Walaupun anak kecil ini masih belum pandai bercakap, dia boleh meniru tingkah laku yang mudah seperti lambai selamat tinggal, salam tangan dan pelukan.

Perkataan pertama
Ada sesetengah bayi boleh bercakap dua atau tiga perkataan apabila menjangkau usia satu tahun. Biasanya hanya difahami oleh ahli keluarga yang rapat dengannya. Anak kecil belajar bercakap melalui pemerhatian dan mendengar apa yang diucapkan oleh orang di sekelilingnya. Oleh itu, pastikan percakapan anda kepada anak banyak berunsur positif.

Ingatan
Anak kecil suka mendengar cerita. Biarkan dia di riba anda semasa anda membacakan cerita pendek kepadanya. Jika dibaca berulang kali secara berterusan, ia akan membantu anak kecil belajar memberi tumpuan yang akan membantu ingatan menjadi lebih baik.

INFO TAMBAHAN
Namun apa jua kemajuan fizikal bayi adalah bergantung kepada anak kecil itu dan setiap perkembangan anak itu adalah berbeza-beza. Oleh itu , jangan bimbang jika anda tidak menunjukkan kemajuan lagi. Jika ia kelihatan agak ketara, dapatkan nasihat doktor mengenai perkembangannya.



(Sumber: Majalah Pa&Ma Januari 2013)