Tetapi sekarang tidak lagi. Suamisuami lebih mudah berkompromi dan memahami situasi isteri. Tahun yang silih berganti membuatkan mereka semakin matang untuk mentadbir urusan rumah tangga sampaikan ada di antaranya layak diberi gelaran bapa mithali dalam keluarga. Di bawah adalah beberapa contoh ketara yang boleh dilihat pada suami dahulu dan sekarang :
Dulu buat-buat lupa
Jika dilihat, tak ramai suami generasi lama yang ingat pada tarikh-tarikh penting dalam rumah tangga seperti ulang tahun perkahwinan, hari lahir isteri, anak-anak dan macam-macam lagi. Bila sudah tak ingat, jangan haraplah merasa untuk raikannya. Ketika diberitahu akan tarikh penting itu, suami dengan mudah berkata, buat apa nak raikannya. Bukankah masing-masing dah tua jadi tutup mulut pekakkan telinga sahaja.Oleh itu maka tidak hairanlah jika ramai para isteri yang makan hati dengan sikap suami yang sebegini.
Berbeza dengan suami zaman sekarang. Boleh dikatakan ramai di antaranya menjadikan tarikh-tarikh tersebut sebagai satu dari beberapa agenda penting dalam hidup mereka. Sampaikan pertemuan kali pertama pun disimpan baik dalam memori di telefon bimbit. Tidak cukup dengan itu ada pula kejutankejutan istimewa yang dilakukan oleh suami seperti mengadakan ‘surprise party’ atau mengirim bunga sebagai lambang ingatan dan cinta sejati. Menarik bukan!
Masalah romantik
Kebanyakan suami zaman dahulu juga kurang mahir untuk menambat hati isteri. Sikap yang terlalu tegas membuatkan mereka kelihatan seperti seorang ketua yang sangat garang. Bukan setakat itu sahaja, setiap arahan yang diberi perlu dilaksanakan tanpa memberikan sebarang alasan. Mungkin semua ini berlaku kerana suami bimbang jika isteri terlalu dimanjakan berlaku pula masalah ‘queen control’. Kesannya, tidak ramai isteri yang berani untuk berkongsi kasih sayang dengan suami kerana bimbang diri dikatakan buang tabiat!
Lihat pula suami zaman sekarang. Mereka bijak ‘membeli hati’ isteri tanpa menggunakan modal yang besar. Asal elok budi bahasa, manis tutur bicara maka cairlah hati dibuatnya. Dalam masa yang sama, mereka juga pengatur strategi yang hebat. Tetapi jangan sekali sekali berfikir negatif kerana apa yang dilakukan adalah sematamata untuk keharmonian rumah tangga.
Malah, waktu memberi hadiah pun tidak terikat kepada tarikh-tarikh tertentu sahaja. Kadang-kadang sebulan sekali pun ada sahaja hadiah yang diterima sekalipunharganya tidak semahal mana.
Bantu urus anak
Mendengar kisah sebahagian suami zaman dahulu, bila isteri bersalin sahaja, mereka seakan mengelak apabila diminta mendukung anak. Alasannya, anak itu masih terlalu kecil dan lembut. Bimbang jika didukung akan mencederakan bayi. Maklum sahajalah, suami terkenal dengan sikapnya yang kasar dan keras. Tertanya-tanya, adakah itu fakta atau taktik yang digunakan untuk melepaskan diri dari menjaga anak. Masakan tidak, suami rela melihat dari jauh apabila si anak menangis dari mengambil dan menenteramkannya.
Kasihan ibu dan anak zaman dahulu ya. Suami sekarang pula sedikit berbeza. Mereka boleh dikategorikan sebagai super hero, malah ada yang meletakkan label sebagai Mr Mama. Walaupun zahirnya nampak keras dan tegas tetapi batinnya mereka lembut dan bijak menangani karenah anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, kerja-kerja mengasuh, mendodoikan anak,menukar lampin malah menjaga anak ketika isteri masih berada dalam pantang pun mampu dilakukan.
Berkemungkinan besar mereka sudah memahami tanggungjawab suami isteri. Lagipun, tak hilang macho seorang suami jika menjadi seperti suri rumah malah mereka akan lebih dihormati di atas apa yang dilakukan.
Buat kerja rumah
Rata-rata suami dahulu cukup payah membantu isteri membuat kerja rumah. Balik sahaja daripada bekerja, terus berehat sambil minta dihidangkan secawan kopi sebagai penghilang dahaga. Langsung tidak ditanya bagaimana keadaan isteri di rumah. Mungkin mereka rasakan bahawa kerja-kerja di rumah adalah hak mutlak isteri jadi sama ada suka atau tidak, mereka perlu lakukannya.
Sudahlah begitu, apabila isteri comot dan tidak terurus, pandai pula beri komen yang macam-macam sedangkan kerjakerja tersebut langsung tidak mendapat bantuan darinya. Berbeza sungguh dengan suami zaman sekarang. Memang ramai yang rajin-rajin belaka. Maklumlah sayang isteri. Sampaikan ada di antaranya yang sanggup buat kejutan dengan memasak makanan kegemaran isteri pada hari-hari istimewa.
Tidak dinafikan, setiap lelaki ada egonya yang tersendiri tetapijanganlah keterlaluan. Bukannya berfaedah pun. Fikirlah, demi kebahagiaan rumah tangga apa salahnya jika diketepikan seketika ego yang ada. Bukankah manis apabila kerja rumah dilakukan bersama-sama.
sumber dari majalah mingguan wanita - http://www.mingguanwanita.com.my/utama/
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..