19 October 2011

Melawan 'Kuasa' Kafein


Adakah anda sedar kesan sebenar kafein dalam badan? Kafein adalah sejenis dadah yang terhasil secara semula jadi dalam daun dan biji beberapa jenis tumbuh-tumbuhan. Ia juga dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan penambah atau perisa di dalam sesetengah makanan. Penggemar kopi selalunya memerlukan pengambilan yang tinggi untuk mencapai tahap kenikmatannya. Maka, anda perlu amalkan beberapa langkah berkesan ini untuk melawan kuasa hebat kafein tersebut.

Suasana Nyaman
Asingkan semua barang yang mengganggu waktu tidur anda seperti komputer, novel dan permainan video. Suasana romantik akan timbul secara automatik. Pasti mata anda tidak tertahan lagi pada waktu itu. Paling mudah, anda boleh mengambil bahan bacaan yang membosankan. Ulangi bacaan berulang kali sudah tentu anda akan terlelap dengan mudah.

Senaman Ringan
Aktiviti santai ini bukan sahaja perlu dilakukan di siang hari malah digalakkan juga pada waktu malam. Terutamanya jika anda susah hendak tidur. Curi sedikit masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk membuat regangan ringan seperti sit-up, push-up atau pun yoga sambil berbaring. Apabila badan sudah penat, ia akan melepaskan hormon serotonin (merangsang rasa mengantuk) tanpa menaikkan suhu tubuh terlalu tinggi. Cubalah! Pasti ia berkesan membantu masalah tidur anda.

Minum Susu Panas
Jangan sesekali mengambil jalan mudah dengan menelan pil tidur. Tanpa pengetahuan yang mendalam, ia akan mendatangkan kemudaratan pada kesihatan tubuh badan anda. Lebih baik anda minum susu panas atau pun suam bagi melawan kesan kafein tersebut. Sumber vitamin pada susu sebenarnya mampu menimbulkan rasa mengantuk anda. Malah, kualiti tidur anda juga semakin baik. Apabila terjaga keesokannya, anda tidak berasa penat dan pening kepala.

Tenangkan Minda
Jika semua tip di atas tidak berkesan, anda perlu lakukan langkah terakhir iaitu kosongkan minda sebelum tidur. Baring dalam keadaan yang amat selesa dan mulakan 'perjalanan' minda anda berfikir mengenai tempat-tempat yang indah dan menenangkan. Bersama bunyi-bunyian yang mengasyikkan sambil melelapkan mata. Tidak berapa lama selepas itu pasti anda akan tertidur dengan nyenyak.


INFO TAMBAHAN
Kajian telah membuktikan, pengambilan pada dos 250 hingga 750 mg kafein (dua hingga tujuh cawan kopi) boleh menyebabkan seseorang itu mengalami situasi cemas, letih, tidak nyenyak tidur, sakit kepala dan sakit perut. Jika kafein diambil lebih dari 750mg (tujuh cawan kopi) sehari akan menyebabkan sakit kepala, lekas marah, timbulnya rasa takut dan tidak dapat tidur (insomnia). Pengambilan dos yang tinggi juga akan menyebabkan kekejangan dan mungkin diikuti dengan maut.




Sumber dari majalah dara.com

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..