02 May 2012

Pastikan Rehat dan Tidur Cukup



Panduan sekiranya anda jatuh sakit ketika melancong.

# Maklumkan keadaan anda kepada pramugari.
Jika anda berasa sejuk dalam penerbangan ketika ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu memberitahu pramugari anda tidak sedap badan. Ini dapat membantu kerana pramugari kana memberikan anda bantal, selimut atau ubat supaya anda rasa lebih selesa.

# Banyakkan minum air kosong
Usahakan untuk meminum air kosong satu gelas setiap 15 minit. Ia cara terbaik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak. Apabila air kurang dalam badan, kita mudah diserang penyakit terutama selesema, batuk dan demam.

# Rehat yang cukup
Berehatlah selama beberapa jam ketika anda berasa kurang sihat. Jangan memaksa diri kerana percutian anda akan menjadi sia-sia jika badan terasa sakit. Keadaan mungkin akan semakin teruk kerana kedegilan anda dan anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau dalam perjalanan.

# Tidur
Tidur sangat baik untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Ini kerana selepas bangun daripada tidur yang cukup, anda akan berasa lebih sihat. Jika anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala dialami, minum ubat selesema atau demam sebelum tidur.

# Beritahu pihak hotel
Pastikan pihak hotel penginapan anda mengetahui keadaaan kesihatan anda yang sedang sakit. Ini kerana pihak hotel boleh membantu dari pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

# Sediakan ubat-ubatan
Ketika melancong, bawalah ubat-ubatan untuk mengubati sakit yang sering menyerang ketika melancong seperti ubat selesema, batuk, demam, ubat antimabuk dan yang bersesuaian. Pastikan anda membawa baju panas atau jaket walaupun bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini antara langkah berjaga-jaga terutama apabila anda selesema. Ini kerana, badan biasanya menggigil ketika selesema walaupun tempat dikunjungi tu mempunyai suhu panas.

# Berjumpa doktor
Apabila semua sudah dicuba seperti banyak minum air kosong, rehat dan tidur cukup serta mengambil ubat yang perlu tetapi masih juga tidak sihat, berjumpalah dengan doktor. Dengan pemeriksaan doktor, anda pasti mendapat ubat yang sesuai dan terbaik untuk sakit dialami. Anda juga boleh mencegah sakit dialami berlarutan, sekaligus merosakkan keseluruhan percutian idaman anda.

# Kebaikan insurans perjalanan
Insuran perjalanan biasanya sering diabaikan kerana ramai beranggapan ia tidak penting. Namun, apabila sakit ketika bercuti, ketika itulah perkhidmatan insurans sangat diperlukan. Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung.



Sumber dari akhbar harian metro

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..