30 December 2011

Keutamaan Solat Dalam Kehidupan
















 
Tuntutan sembahyang dalam Islam mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada umat yang menunaikannya samada di dunia mahupun di akhirat. Keutamaannya dalam suasana kehidupan harian jelas tertera dalam ayat-ayat Allah (S.W.T) dan berikut ini disalinkan beberapa darinya agar dapat dijadikan iktibar dan pelajaran.

1 SEMBAHYANG MENJANJIKAN KETENANGAN HIDUP

Iman, amal, sembahyang dan zakat adalah antara 4 perkara yang jikalau disempurnakan tuntutannya oleh seorang muslim akan memberikannya ketenangan serta kemudahan suasana kehidupan. Firman Allah:-

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” - Surah Al-Baqarah (2):277

2 SEMBAHYANG MENJANJIKAN KEJAYAAN HIDUP

Sembahyang yang didirikan dengan penuh kesempurnaan dan kekhusyu’kan akan mengarah seseorang itu kepada kejayaan yang hakiki, iaitu kejayaan yang diredhai Allah (S.W.T). Dia menerangkan hakikat ini dengan firman Nya:-

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya” - Surah Al-Mu’minun (23):1-2

3 SEMBAHYANG MENGUATKAN JIWA DAN PENDIRIAN

Melatih diri dengan tetap bersembahyang lima kali sehari dapat membina sebuah jiwa yang kuat lagi berprinsip, apabila susah ia tetap dalam ketenangan dan apabila ia senang ia tetap juga dalam ketenangan, tidak resah, tidak runsing, tidak bongkak dan tidak sombong. Begitulah sifat yang dimiliki oleh orang yang tetap menjaga sembahyangnya, sebagaimana terang Allah dalam ayat berikut:-

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan berta’biat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut, kecuali orangorang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang” - Surah Al-Maarij (70):19-23

4 SEMBAHYANG MENJEMPUT RAHMAT ALLAH

Orang yang bersembahyang dan menjemput agar orangorang lain turut serta, mereka dijanjikan Allah (S.W.T) akan Rahmat Nya dan tiadalah dapat tertulis apakah itu Rahmat Allah kerana keluasannya yang amat tidak terhingga. Hayatilah firman Allah berikut ini:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka ta’at kepada Allah dan Rasul Nya. Mereka itu akan diberi Rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” - Surah At-Taubah (9):71

5 SEMBAHYANG MENGHINDARKAN DARI PERBUATAN KEJI DAN MUNGKAR

Orang yang melazimkan dirinya selalu bersembahyang akan terhindar dari perbuatan yang jahat lagi keji. Ada dua sebab dia berjaya sedemikian, pertama ialah kerana pemiliharaan Allah (S.W.T) kepada hamba Nya itu kerana sememangnya Rahmat Allah bersama orang yang bersembahyang; kedua ialah kesedaran orang yang bersembahyang itu sendiri, sudah tentu dia enggan mencemari amal ibadah dirinya dengan kotoran kemaksiatan.

Jikalau kemaksiatan dan amal sembahyang masih bercampur aduk bagi seseorang itu maka perlu diperiksa sembahyangnya itu samaada ia bertepatan dengan kaedah yang diajar oleh Nabi (s.a.w) atau perlu juga diperiksa dirinya sendiri kerana mungkin sahaja kemaksiatan itu sengaja dikehendaki oleh dirinya sendiri. Keberhasilan sembahyang menghindar kejahatan dinyatakan oleh Allah (S.W.T) dalam firman Nya:-

“Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar” - Surah Al-Ankabuut (29):45

6 SEMBAHYANG MENJANJIKAN DOA DIKABUL OLEH ALLAH (S.W.T)

Sembahyang dan doa kepada Allah amat kuat berhubungkait, memberikan gambaran bahawa antara dua itu tidak boleh dipisahkan. Seseorang yang tetap bersembahyang, doanya mudah dan cepat dijawab oleh Allah (S.W.T) asal sahaja disertai kesabaran, manakala orang yang meremehkan sembahyang, Allah akan meremehkan doanya.

Kajilah firman Allah dalam ayat berikut:-

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang”

Allah mengulangi firman Nya dalam sepotong ayat yang lain:-

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

7 SEMBAHYANG DAN URUSAN DUNIA SALING BERGANDINGAN

Amalan sembahyang fardhu lima kali sehari tidaklah ia bertujuan menghalang seseorang itu dari meneruskan kerja dan usaha duniawinya tetapi bermaksud sebagai satu gandingan (complement) antara satu sama lain bagi mencapai kejayaan yang sebenar-benarnya.

Allah (S.W.T) hanya mewajibkan kita menunaikan kewajipan sembahyang lima kali sehari dalam waktuwaktunya yang tertentu sahaja manakala lebih masa yang ada diharuskan bagi kita mencari rezeki di dunia.

Perhatikanlah hal ini adalah surah berikut di mana Allah hanya mewajibkan kita mendatangi sembahyang apabila masuk waktunya (dalam kes ini ialah sembahyang Jumaat) dan tidak pula Dia menghalang kita daripada apa-apa urusan lain sebelum atau selepas waktu sembahyang itu. FirmanNya:-

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”

Ayat ini adalah juga sebagai dalil bahawa Islam bukanlah agama akhirat sahaja atau agama yang membenci dunia tetapi ia adalah agama yang menekankan kehidupan dunia dan akhirat, rohani dan jasmani. Malah bahagian kedua ayat tersebut (ayat10) mengandungi suruhan yang hampir berupa perintah agar dicari dan diusahakan urusan dunia asalkan tidak lalai sehingga melupakan Allah. Orang yang dapat mengerti hakikat ini, iaitu prinsip mengimbangkan antara usaha duniawi dan ibadah ukhrawi lalu diterjemahkan kepada amal kehidupan hariannya pasti memperoleh limpah kurnia dan lebihan rezeki dari Allah yang Maha Kaya. Janji Allah kepada orang sebegini:-

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia Nya; sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dengan tidak terhitung”.

Perimbangan yang adil antara urusan duniawi dan urusan ukhrawi adalah ajaran asas agama Islam jikalau ia dihayati secara keseluruhannya. Mengutamakan yang satu lalu mengenepikan yang lain hanya akan membawa kepada sesuatu yang lain dari tujuan syari’at yang sekian lengkap lagi sempurna ini. Justeru itulah kita dapati para sahabat Nabi (s.a.w) mengimbangi antara dunia dan akhirat dengan kata-kata hikmah:-

“Kerjakanlah urusan dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan kerjakanlah urusan akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok harinya”

Malah bagi orang yang melalaikan sembahyang dan hanya terlalu sibuk dengan urusan duniawinya dia tidak boleh diamanahkan dengan apa-apa urusan orang Islam kerana diragui samada dia akan memegang amanah itu dengan sebenar-benarnya berprinsipkan Islam. Khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab (r.a) dalam salah satu surat perlembagaannya kepada para gabenor kerajaan menulis:-

“Yang paling utama dalam urusan kamu dalam perkiraan aku ialah perlaksanaan sembahyang. Barangsiapa menjaganya dan memeliharanya dengan penuh keprihatinan maka dia sebenarnya telah menjaga deen agamanya; dan barangsiapa yang melalaikannya sudah pasti dia (juga) akan melalaikan urusanurusannya yang lain”11

Berpijak dari pesanan Umar al-Khattab ini, telah berkata Imam Ibnu Taimiyyah:

“Pemilik perusahaan yang benar-benar muslim tidak boleh mengambil pekerja dari kalangan orang yang meninggalkan sembahyang sebab memperkerjakan orang seperti itu bererti membantunya menggunakan rezeki yang diberikan Allah kepadanya untuk menambah-nambah dalam perbuatan yang derhaka. Manusia yang tidak mengenal kewajipan terhadap Allah yang telah mencipta dirinya sudah tentu juga tidak akan mengenal kewajipan terhadap sesama manusia bahkan akan meremehkannya sahaja”12 dan pandangan.



Sumber dari Hafiz Firdaus Abdullah

 

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..