"Mama nak makan cornflakes," pinta Aiman semasa waktu makan tengahari. Pernahkah anda berhadapan situasi begitu? Geramnya rasa hati bila anak menolak hidangan nasi.
 
Selepas ibu berhempas pulas menyediakan hidangan makan tengahari, si anak meminta bijirin pula. Pasti sahaja ibu menolak permintaan anak. Bukan kedekut tetapi bimbang anak tidak mendapat khasiat secukupnya untuk membesar.
 
Memang lumrah, kebanyakan ibu inginkan anak mereka makan nasi, alasannya supaya si manja membesar dengan sihat. Tetapi tahukah anda bahawa satu auns bijirin adalah bersamaan dengan setengah cawan nasi?
 
Malah, satu auns bijirin juga dianggarkan bersamaan dengan sekeping roti. Jadi, jika anak anda tidak mahu makan nasi, biarkan sahaja dia memilih bijirin sebagai menu kerana dia tetap mendapat khasiat yang diperlukan untuk membesar sihat.