Showing posts with label perihal si kecil. Show all posts
Showing posts with label perihal si kecil. Show all posts

28 April 2014

Info 3 Minit Pa&Ma: Tersedak Susu

Assalamualaikum semua.. Isu kematian bayi disebabkan tersedak susu banyak diperkatakan sejak akhir2 ini.. Di sini ada beberapa info yang boleh digunakan bagi mengelakkan kejadian ini..




Info

* Selepas disusukan, baringkan bayi itu dengan kepala sedikit terangkat (45 darjah) untuk mengelakkan bayi itu muntah dalam tidur.

* Posisi tidur yang paling bagus adalah dalam keadaan mengiring. Jika bayi itu muntah, susu yang dimuntahkan boleh terus keluar dan tidak terkumpul di dalam mulut. Ini juga boleh membuatkan bayi tersedak di dalam tidur.




Sumber dari Youtube Pa & Ma

16 April 2014

Info 3 Minit Pa&Ma - Batuk & Selesema

Assalamualaikum semua.. Lama tak cari tips untuk penyakit bagi bayi dan kanak-kanak.. Tadi masa ushar Facebook, ternampak laa Youtube nih kat page Pa & Ma.. 
 
Tips yang berguna untuk para ibu bapa yang mempunyai anak yang baru lahir sehingga usia 6 tahun.. Bagi yang mengidap batuk dan selesema.. Meh dengar apa kata doktor ye..


 

Info

# Ubat batuk sirap tidak dibenarkan kepada kanak-kanak terutama yang berusia di bawah 2 tahun kerana ia mempunyai kesan sampingan yang boleh membahayakan kanak-kanak

# Elakkan membawa anak berumur 6 tahun ke bawah pergi ke tenpat-tempat terbuka yang terlalu ramai orang terutama kanak-kanak yang pramatang (contohnya pasaraya atau hypermarket)

# Bawa anak untuk mendapatkan suntikan imunisasi berjadual kerana ia mempunyai vaksin untuk mengelak jangkitan kuman dan virus..





Sumber dari Pa & Ma


15 January 2014

Petua Hilangkan Selesema

Assalamualaikum semua.. Hari nih nak berkongsi petua yang mungkin dapat membantu ibu2 diluar sana yang mempunyai bayi yang selesema.. Pastinya bayi kurang selesa dengan keadaan hidung tersumbat nih..


 Kerisauan seorang ibu semakin menjadi apabila bayi kecilnya sudah beberapa hari mengalami selesema yang tidak reda. Merengek dan enggan menyusu membuatkan ibu semakin bimbang.
Amalkan petua untuk menghilangkan selesema di kalangan bayi. Mungkin anda boleh cuba petua ini, mana tahu ia serasi dengan bayi anda.
1 Guna kapur sirih dengan kunyit. Ambil kunyit hidup dan digesekkan dengan kapur makan. Sapu sepanjang batang hidung bayi.
2 Madu membantu mengeringkan kahak. Campurkan madu dengan susu bayi atau beri mereka minum madu sedikit setiap hari.
3 Daun sirih juga boleh digunakan untuk tujuan ini. Ambil beberapa helai daun sirih, ramas atau tekan menggunakan tangan dan ambil lendirnya. Sapu lendir sirih tersebut pada sepanjang batang hidung bayi.


 

Sumber dari http://pama.karangkraf.com/petua/petua-hilangkan-selsema-1.239255


13 September 2013

4 Tahap Mendidik Anak Mengikut Sunnah Rasulullah

Assalamualaikum semua.. Pastinya ada para ibu bapa di luar sana yang menghadapi masalah dalam mendidik anak-anak terutamanya yang semakin membesar nih.. Ada saja kerenah yang perlu di layan.. Ada kalanya kenakalan yang memang mencabar diri.. Saya pun tak terkecuali berhadapan dengan masalah tuh terutamanya dengan anak yang kecik.. Memang susah nak nasihat.. Pandai sungguh menjawab.. Rasa macam nak jer rotan..


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


29 August 2013

Bijirin vs Nasi

 
 
"Mama nak makan cornflakes," pinta Aiman semasa waktu makan tengahari. Pernahkah anda berhadapan situasi begitu? Geramnya rasa hati bila anak menolak hidangan nasi.
 
Selepas ibu berhempas pulas menyediakan hidangan makan tengahari, si anak meminta bijirin pula. Pasti sahaja ibu menolak permintaan anak. Bukan kedekut tetapi bimbang anak tidak mendapat khasiat secukupnya untuk membesar.
 
Memang lumrah, kebanyakan ibu inginkan anak mereka makan nasi, alasannya supaya si manja membesar dengan sihat. Tetapi tahukah anda bahawa satu auns bijirin adalah bersamaan dengan setengah cawan nasi?
 
Malah, satu auns bijirin juga dianggarkan bersamaan dengan sekeping roti. Jadi, jika anak anda tidak mahu makan nasi, biarkan sahaja dia memilih bijirin sebagai menu kerana dia tetap mendapat khasiat yang diperlukan untuk membesar sihat.
 
 
 
 
 
 

28 August 2013

Panduan Penjagaan Kulit Bayi

Assalamualaikum.. Semua orang yang mempunyai bayi kecil semestinya berkehendakan kulit bayi yang cantik, gebu dan 'chubby' skit.. Boleh la nak gomoi skit..




Melihat bayi yang berkulit putih gebu, pasti rasa geram seperti hendak mencubitnya sahaja. Namun bukan semua bayi dikurniakan kulit secantik dan seputih salju.

Bagaimana hendak mendapatkan kulit bayi yang bebas daripada cela? Mungkin tip berikut boleh dijadikan panduan untuk menjaga kulit bayi sihat dan bersih.

1      Pilih pakaian dan kelengkapan tempat tidur yang diperbuat daripada kain kapas. Ia membantu kulit bernafas seterusnya membuatkan bayi selesa.

2      Pilih fabrik semulajadi seperti kain kapas untuk pakaian bayi anda kerana ia kurang merengsakan kulit mereka.

3      Elakkan penggunaan buih mandi yang beralkali kerana boleh mengeringkan kulit bayi. Sebaiknya titikkan beberapa titisan krim mandian susu ke dalam besen mandian. Selepas mandi, sapukan losyen pada badan bayi.

4      Simpan pakaian bayi dalam bekas yang bertutup untuk mengelakkan daripada habuk dan hama yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi.

5      Kerap membasuh sarung bantal, tilam dan permainan lembut bayi bagi mengelakkan pembiakan kuman.

6      Pastikan anda kerap menukar lampin pakai buang bayi terutama bila dia asyik membuang air kecil. Sebelum memakaikan lampin yang baru, sapukan krim perlindungan pada punggungnya untuk memberikan kulit bayi perlindungan tambahan.

7      Air mandian bayi hendaklah suam-suam kuku dan bukan panas supaya kulit bayi tidak mudah mengalami kerengsaan.

8      Jangan memandikan bayi dalam masa yang lama untuk mengelakkan kulit bayi daripada berkedut.

9      Penggunaan losyen pelembap turut membantu mengekalkan kelembutan dan kekuatan kulit bayi. Gunakan pelembap yang tidak mengandungi alpha hydroxyl acids atau pelindung cahaya.

10  Kuku bayi sangat tajam, nipis dan memanjang dengan cepat. Anda perlu kerap merapikan kukunya iaitu dua kali seminggu. Ia untuk mengelakkan kuku bayi baru lahir boleh mencakar kulit muka mereka sendiri.
 
 
 
 
 
 

19 August 2013

Kanak-Kanak Obes Berisiko Menghidapi Penyakit Kronik

 


Ketika ini sedarkah anda masalah obesiti menjadi semakin serius di kalangan kanak-kanak dan remaja terutamanya di negara membangun? Masalah obes kalangan kanak-kanak sebenarnya mendedahkan mereka kepada serangan penyakit lebih awal. Mengapa obesiti kalangan kanak-kanak ini berlaku. Berikut antara puncanya.



Pemakanan

  • Ia merupakan antara faktor utama obes. Ibu bapa perlu mendidik anak daripada kecil supaya mengamalkan pemakanan sihat dan hindari makan segera dan berkalori tinggi.

  • Semakin pesat sesebuah negara, semakin banyak kemudahan yang disediakan. Segalanya berada di hujung jari. Makanan segera sewenang-wenangnya boleh dipesan dan dihantar terus ke rumah.

  • Restoran makanan segera yang boleh didapati dengan mudah mendorong anak-anak untuk mengunjunginya.

  • Makanan yang masuk tidak sepadan dengan jumlah kalori yang keluar.



Genetik

  • Faktor genetik bukanlah punca kanak-kanak obes 100 peratus.

  • Selalunya kanak-kanak yang obes mempunyai ibu, bapa atau kedua-duanya sekali yang turut mengalami masalah tersebut.



Gaya hidup

  • Perkembangan arus teknologi menggalakkan anak-anak untuk duduk sahaja di rumah. Mereka lebih selesa bermain permainan komputer dan menghadap gajet-gajet yang disediakan ibu bapa.

  • Berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya. Mereka lebih suka keluar beriadah bersama teman di taman dan bersukan bersama-sama.



Psikologi

  • Secara umumnya golongan dewasa dan juga kanak-kanak yang mengalami tekanan akan makan dengan lebih banyak dan secara tidak langsung menyebabkan obesiti.

  • Keadaan ini juga sama bagi kanak-kanak yang mengalami masalah kemurungan.



Metabolisme

  • Ini disebabkan metabolisme yang rendah. Oleh itu penggunaan kalori yang rendah menyebabkan lebih banyak lemak terbentuk dan secara langsung menjadikan kanak-kanak itu obes. Di antara masalah metabolisme adalah hormon tiroid, berlebihan hormon kortisol dan sekarang ini kekurangan hormon leptin.
 
  • Selain itu, tanggapan masyarakat bahawa gemuk itu comel dan sihat semasa kanak-kanak harus ditepis kerana keadaan itu boleh berlarutan sehingga anak dewasa. Gemuk dan tembam tidak bermakna jika anak tidak sihat!
 
  • Obesiti kalangan kanak-kanak khususnya berusia bawah tujuh tahun mungkin kelihatan comel. Namun apabila mereka mula memasuki alam persekolahan, ia boleh memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan sosial mereka apabila diejek rakan sekelas. Malah anak juga mungkin kurang ceria dan tidak bersemangat mengikuti pelbagai aktiviti di sekolah lantaran selalu diejek.



Peranan ibu bapa

  • Jangan kerana sayangkan anak, anda serahkan segala pilihan kepada mereka. Jangan takut untuk berkata “tidak”. Mungkin perasaan kasihan timbul dalam diri tetapi percayalah ia akan menjadi kebiasaan. Lambat laun mereka akan faham dengan keadaan tersebut.
 
  • Anak-anak perlu mendapat makanan harian yang berkhasiat. Pastikan mereka bersarapan di rumah terlebih dahulu kerana anda tahu apa yang mereka makan. Oat bersama susu pun sudah mencukupi.
 
  • Tanya anak setiap hari apa yang mereka makan di sekolah. Jika makanan ringan ada dalam senarai mereka, pujuk dan gunakan pendekatan psikologi dengan mengatakan ia tidak sihat untuk badan.
 
  • Proses pengurangan berat badan bukan berlaku sekelip mata tetapi memerlukan masa dan dorongan keluarga. Jangan sekali-kali mengurangkan makanan kanak-kanak tetapi berikan makanan lebih sihat seperti sayuran dan buahan.
 
  • Pujian akan menambah sikap positif kanak-kanak dan ini memudahkan lagi proses pengurangan berat badan. Oleh itu, seringlah memuji mereka.

  • Ubah sedikit demi sedikit menu makanan harian di rumah. Jangan sesekali anda mengasingkan menu anak yang obes. Pastikan menu yang dimakan adalah sama dengan ahli keluarga yang lain sebagai tanda sokongan dan mengelakkan mereka rasa disisihkan.
 
  • Pastikan makanan yang dipilih berserat tinggi dan kandungan lemaknya rendah.
 
  • Jika anak anda berumur lebih dua tahun, gunakan susu rendah lemak kerana ia membantu mengurangkan berat badan.

  • Pastikan anak-anak makan di atas meja makan.


Periksa Kelas BMI Anak

Anda boleh uji Indeks Jisim Badan (BMI) anak-anak untuk memastikan adakah pembesaran mereka normal. Ukurannya sama sahaja seperti golongan dewasa iaitu berdasarkan tinggi dan berat mereka. Ukuran BMI yang normal ialah di bawah paras 25. 25 hingga 30 adalah overweight manakala 30 dan ke atas sudah dikategorikan sebagai obesiti.



Ukuran BMI

Cara kiraan BMI ialah membahagikan berat badan dengan ketinggian (dalam meter) ganda dua iaitu:



Berat (kilogram)

[Tinggi (meter) x tinggi (meter)]



Namun, ukuran ini agak sukar dilakukan bagi kanak-kanak. Secara amnya, jika berat mereka 85 peratus lebih daripada kanak-kanak sebaya, maka mereka tergolong dalam kategori berat badan berlebihan.



Bayi boleh obes



Konsep bayi obes adalah sesuatu perkara baru dan tidak mudah diterima. Menjadi tanggapan biasa bayi gemuk dan comel adalah sihat, tetapi ada penyelidikan menunjukkan kebanyakan golongan dewasa yang obes bermula daripada bayi yang mempunyai berat badan berlebihan. Memulakan makanan pejal yang berkarbohidrat tinggi pada usia terlalu awal dan minuman yang mempunyai kandungan gula seperti jus memberi kesan pada berat bayi.



Banyak kajian yang dijalankan mendakwa faktor genetik bukanlah satu-satunya punca utama obesiti. Ia sebenarnya boleh diatasi dengan mewujudkan programsihat iaitu melalui pemakanan, malah boleh dididik sejak bayi lagi di mana kaum ibu boleh memulakannya dengan penyusuan badan.



Kajian menunjukkan, bayi yang diberi penyusuan badan secara eksklusif selama lima hingga enam bulan pertama kurang risiko menghidap obesiti.



Susu formula sebenarnya mengandungi tinggi protein dan berisiko untuk menyebabkan bayi tersebut membesar dengan lebih cepat daripada yang sepatutnya. Sehingga kini, tiada satu pun syarikat pengeluar susu bayi berjaya menghasilkan susu formula menyamai khasiat yang terkandung di dalam susu ibu.



Namun anda tidak perlu risau jika bayi anda minum susu dengan jumlah yang banyak kerana permintaan mereka itu sendiri sebenarnya bergantung kepada keperluan sebenar mereka dan kebiasaannya dua ke tiga jam sekali.



Bagaimana membantu kanak-kanak bersenam

  • Jangan terlalu mengharapkan aktiviti pendidikan jasmani atau ko- kurikulum di sekolah. Ia tidak mencukupi! Lebih-lebih lagi kanak-kanak obesiti. Mereka biasanya sering diketepikan daripada mengikuti acara sukan dan sebagainya.
  • Pastikan seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari. Ia bukan sahaja menyihatkan malah mereka pasti gembira melakukannya bersama-sama!
  • Kurangkan menonton televisyen.
  • Galakkan anak-anak bermain dengan kanak-kanak lain.
  • Pastikan anak anda aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.



Penyakit yang boleh menyerang kanak-kanak obesiti



Prader willi Syndrome

  • Merupakan penyakit genetik.
  • Walaupun umur masih terlalu kecil, mereka akan makan secara terus menerus sehingga mengalami masalah obesiti.
  • Perkembangan dan pertumbuhan yang lambat.
  • Lembab dalam pelajaran.



Pushing Syndrome

  • Ia merupakan sindrom ketidakseimbangan hormon dalam badan.
  • Juga berpunca daripada genetik.



Keluarga adalah pendorong utama kanak-kanak berubah kepada gaya hidup lebih sihat. Bermula daripada pemakanan sehinggalah aktiviti yang dilakukan. Bukan mudah untuk melakukan perubahan jadi lakukan ia secara berperingkat bagi mengelakkan anak-anak berasa tertekan.







Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/kanak-kanak-obes-risiko-penyakit-kronik-menanti-1.164852






12 August 2013

Mitos Vs Realiti




Tentu ibu dan bapa biasa diingatkan oleh orang tua-tua tentang pantang larang yang boleh dan tidak boleh dilakukan sejak mengandung hinggalah mempunyai anak.
 
Kadang kala pening kepala juga dibuatnya sama ada mahu mengikut atau sebaliknya tentang pantang larang tersebut terutama dalam bab membesarkan bayi.
 
Cuba kita lihat beberapa pantang larang yang biasa diberitahu oleh orang tua-tua tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak dan buat perbandingan daripada sudut pandangan pakar perubatan.
1      Bayi baru lahir perlu dipakaikan barut agar tidak kembung atau rangka dada tidak terlalu menonjol khususnya bayi perempuan.
 
Penjelasan:Dinding perut bayi masih lagi lemah ketika usia ini. Oleh yang demikian, pastikan barut dipakai pada bahagian perut sahaja dan bukan terus ke dada kerana khuatir perkembangan organ dalaman anak tidak sukar untuk berkembang dengan cepat. Jangan diikat terlalu ketat kerana dikhuatiri bayi tidak selesa. Pemakaian barut boleh membantu mengelakkan tali pusat tidak luka akibat geseran. Barut dapat membantu memanaskan tubuh bayi.
2      Setelah tali pusat tercabut, pusat bayi harus ditindih dengan kepingan syiling atau logam agar pusat tidak menonjol keluar.
 
Penjelasan:Sebenarnya, kaedah ini tidak perlu dilakukan lebih-lebih lagi jika pusat bayi memang tidak menonjol. Namun, anda boleh mengikut panduan ini jika pusat bayi menonjol asalkan logam terbabit bersih dan disteril.
3      Bayi baru lahir harus dibedung agar kakinya tidak bengkok atau bersilang.
 
Penjelasan:Sebenarnya, membedung adalah untuk memberikan keselesaan kepada bayi ketika tidur. Sehingga anak berusia enam bulan, anak sering mengalami kejutan refleks. Jadi, jika dibedung, ketika berlaku kejutan refleks ini, bayi akan kurang merasa terkejut. Namun perlu diingat, bedung biasanya membuat peredaran darah anak terganggu. Ini membuatkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah. Akibatnya, anak akan kerap sakit terutama di bahagian dada khususnya di sekitar paru-paru atau rongga pernafasan.
4      Tidak elok memandikan bayi selepas jam 3 petang.
 
Penjelasan:Ibu sebenarnya bebas menentukan masa untuk memandikan bayi. Biasanya, pada bulan-bulan pertama, anak boleh dimandikan antara jam 9.30 hingga 10.00 pagi. Bila usia bayi meningkat, anda boleh memandikan anak antara jam 8.00 hingga 10.00 pagi. Manakala, pada waktu petangnya pula, bergantung pada suhu ketika itu. Paling penting jangan mandikan anak setelah diberi susu kerana selepas minum biasanya anak akan mengantuk dan mahu tidur.
5      Tangan dan kaki bayi tidak perlu selalu ditutup dengan sarung kaki dan tangan.
 
Penjelasan:Sebenarnya tiada masalah jika tangan dan kaki anak disarungkan terutama ketika suhu dingin. Pemakaian sarung tangan juga perlu untuk mengelakkan berlaku calar akibat terkena kuku. Jika di luar rumah, sebaiknya bayi tidak perlu dipakaikan sarung tangan kerana pemakaian sarung tangan akan membatasi perkembangan deria rasanya.
6      Kuku bayi tidak boleh dipotong sebelum usianya 40 hari.
 
Penjelasan:Larangan ini mungkin disebabkan khuatir akan melukakan kulit jari tangan dan kaki anak. Saiz kuku yang kecil dan nipis memang menyukarkan anda memotong kuku si kecil. Namun, jika dilakukan secara berhati-hati dan menggunakan peralatan yang khusus, kemalangan mungkin dapat dielakkan. Jadi, sebenarnya memotong kuku bayi tidak perlu menunggu sehingga usianya 40 hari asalkan berhati-hati.
7      Anak tidak boleh didukung dengan kaki dikangkangkan kerana khuatir akan terkangkang.
 
Penjelasan:Tidak benar sama sekali. Tidak menjadi hal jika anak didukung dengan cara ini asalkan kepala dan punggungnya diampu agar tidak jatuh ke belakang. Kaki anak kangkang mungkin disebabkan oleh genetik yang diterima daripada ibu atau ayah.
 
 
 
 
 
 
 

10 August 2013

Anak Bersenam

Assalamualaikum semua.. Mungkin ada di antara kita ada anak yang mempunyai masalah obesiti.. Termasuklah saya, ada anak yang mempunyai masalah obesiti nih.. Izzat memang suka makan, terutamanya nasi, lauk kekadang ikan, ayam, seafood, telur ngan macam-macam lagi.. Bab bersenam, tiap-tiap petang mesti dia keluar main ngan adik dia.. Diaorang main kat umah kawan.. Memandangkan Izzat nih tak reti naik basikal, dia banyak berlari kejar kawan-kawan dan adik dia yang naik basikal.. Tapi badan, makin hari stay makin naik.. Tak tahu nak buat macam mana lagi.. Korang ada masalah seperti saya???

 
 
 
Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak pada masa kini semakin meningkat. Dikatakan peratus kegemukan kanak-kanak semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai ibu bapa tentu kita risau dengan situasi tersebut.
 

Pelbagai faktor dikaitkan dengan kegemukan di kalangan kanak-kanak seperti gaya hidup dan pemakanan tidak terkawal. Namun memang lumrah kebanyakan kita suka melihat anak-anak kecil yang montel kerana nampak comel.
 

Tetapi janganlah dibiarkan kemontelan itu berterusan sehingga mereka dewasa kerana berisiko mendapat pelbagai masalah kesihatan selain faktor rasa rendah diri akibat kegemukan.
 

Oleh itu, ajarlah anak-anak anda bersenam dan beriadah. Jadikan amalan berekreasi bersama keluarga satu rutin yang penting. Sedikit sebanyak ia membantu anak-anak mengeluarkan peluh selain daripada menjadikan badan mereka cergas dan sihat.
 
Berikut beberapa panduan untuk mendidik kanak kanak bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat:
 

* Ajar anak konsep bersenam, keperluan dan kepentingannya. Ia adalah untuk sihat seperti mengeluarkan peluh dan ajar anak pentingnya menjaga kesihatan.
 

* Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
 

* Lakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit dan lakukan bersama anak-anak.
 

* Disiplinkan anak-anak mengikut jadual untuk menonton televisyen, bermain permainan video dan beriadah supaya mereka tidak hanya terperap di dalam rumah sahaja.
 

* Jika tidak keluar rumah untuk beriadah, mungkin anda boleh reka permainan dalam rumah yang boleh membuatkan mereka aktif bergerak. Sekurang-kurangnya mereka dapat juga mengeluarkan peluh.
 

* Beli basikal untuk anak anda dan setiap petang keluar bersama menjalankan aktiviti berbasikal. Jika tidak, anda boleh menemani mereka berbasikal di taman.
 

* Tetapkan waktu petang pada hujung minggu sebagai hari bersukan. Bawa mereka ke padang permainan, padang bola atau di sekitar rumah supaya mereka dapat aktif bermain bersama kawan-kawan sebaya.
 

* Kurangkan memberi makanan ringan atau jika boleh, jangan ajar anak anda memakan makanan ringan sejak kecil lagi.
 

* Didik anak kepentingan memakan sayur-sayuran dan buah buahan untuk kesihatan tubuh badan. Jangan terlalu mengikut selera anak apabila mereka tidak menyukai makanan tertentu seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Anda perlu kreatif dan mencuba pelbagai cara supaya anak anda dapat menerima makanan tersebut.
 

* Untuk lebih menyeronokkan, tubuhkan satu komuniti ibu bapa yang mempunyai anak dan buat aktiviti bersukan atau beriadah. Ibu bapa juga boleh turut serta dalam menjalankan aktiviti bersenam.
 
 
 
 
 
 
 
 

05 August 2013

Biarkan Si Kecil Meneroka Alam

 
 
Merangsang perkembangan anak-anak bukan hanya tertumpu kepada fizikalnya sahaja. Kanak-kanak cepat belajar perkara baru. Banyak yang ingin diteroka termasuk keindahan alam semula jadi.
 

Walaupun tidak pandai bercakap lagi tetapi bayi juga bosan jika asyik duduk di dalam rumah sahaja. Apa kata mama atau papa bawa si kecil meneroka perkara baru. Tentu seronok kan.
 

Aktiviti mudah ini membantu merangsang perkembangan deria bau, lihat, dengar dan sentuh mereka. Selain bagus untuk perkembangan deria, ia turut merangsang koordinasi tangan dan mata yang merupakan kemahiran yang perlu diperkembangkan.
 

1      Bawa si kecil melihat pokok-pokok kecil di halaman rumah atau di taman bunga. Tunjukkan dan beritahunya, tentang pokok. Nyatakan warna pokok itu. Ia sekali gus mengajar si kecil mengenai warna. Biarkan dia menyentuh pokok itu. Jika enggan, bantunya menyentuh dan memegangnya.
 

2      Sekali-sekala biarkan anak kecil anda terdedah di bawah cahaya matahari. Seeloknya pada waktu antara pukul 9.00 sehingga 10.00 pagi iaitu tidak terlalu panas. Ia juga dapat membekalkan vitamin E untuk kulitnya. Beritahu si kecil berkenaan cahaya matahari.
 

3      Pilih pokok yang berbunga dan berwarna. Si kecil amat gemar kepada sesuatu yang menarik perhatiannya. Ia membantu anak untuk fokus kepada objek yang dilihatnya. Biarkan dia sentuh dan bau bunga tersebut. Beritahunya tentang bunga yang berbau wangi.
 

4      Si kecil selalu suka dirinya dibelai dan dimanjakan. Dakapan dan kucupan penuh kasih sayang memberikan aura positif yang membantu perkembangannya. Setelah penat berjalan dan belajar, tiba masa mama bergurau senda dengan anak. Lihat dan pandang ke wajahnya. Katakan hari ini sangat menyeronokkan kerana dapat belajar tentang alam semula jadi.
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 

31 July 2013

Khasiat Badam Dan Kismis

Assalamualaikum semua.. Sedapkan makan badam dan kismis.. Tapi kita jarang menjadikanya jajan kita.. Kita lebih suka makan snek malah amalan ni turut sama dikongsi bersama kanak-kanak.. Meh kita baca tentang khasiat yang ada pada badam dan kismis.. Banyak khasiatnya yang bagus untuk kita amalkan untuk snek pada petang nih..
 

 


Biasanya kebanyakan kita suka memberikan snek makanan ringan untuk kanak-kanak, seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan coklat.

Tahukah anda terdapat pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi.

Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah pemberian snek makanan kepada anak-anak iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat seperti kismis dan badam.


Kismis

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Kismis bukan hanya terhad sebagai bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Sebanyak 60% berat kismis terdiri daripada gula, di mana separuh daripadanya adalah fruktosa dan separuh lagi adalah glukosa. Kismis sangat tinggi kandungan antioksidannya berbanding buah prun dan aprikot.

Kismis telah lama digunakan sebagai sumber diet bagi mendapatkan asid lemak perlu dan tokoferol sebagai antioksidan.

Antara lain-lain khasiat kismis adalah :


1. Menguatkan daya ingatan

2. Mengubati penyakit lupa

3. Mencerdaskan minda

4. Memutuskan balgham

5. Membersihkan hati

6. Mencerahkan mata


Badam

Badam penting untuk kesihatan kerana khasiatnya yang pelbagai, ia boleh dimakan mentah, dikukus seperti kekacang atau dijadikan bahan campuran makanan seperti kuih dan sebagainya.

Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yang tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain.

Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalam telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju.

Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran minda mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka.


Badam untuk Wanita Hamil

Kandungan folate yang tinggi di dalam badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah bahan penting bagi mengelakkan berlaku kecacatan kepada bayi ketika hamil.
 
 
 
 
 
 

30 July 2013

Kaedah Untuk Anak Kecil Menyukai Sayur

Assalamualaikum.. Mesti para ibu di luar sana mempunyai masalah untuk menyajikan hidangan sayur kepada anak kecil.. Bukan apa selalunya mereka akan menolak hidangan yang berbentuk sayur nih..

Saya pun tidak ketinggalan sukar untuk menyajikan anak saya yang kedua dengan sayur, berbanding anak yang sulung tidak mempunyai masalah memakan sayur, malahan ulam-ulaman pun dia makan macam saya jugak.. Anak yang kedua kebelakangan ni saja baru nampak mengemari sayur.. Apapun meh kita mencuba alternatif yang ada dalam menghidangkan mereka dengan sayur..

 

Bertuahnya kalau anak-anak meminta hidangan sayur ketika waktu makan. Jarang sekali kanak-kanak gemar makan sayur. Bagimana caranya untuk membuat si kecil gemarkan sayur?
 
Sayur-sayuran seakan menjadi musuh utama kanak-kanak. Para ibu janganlah putus asa untuk terus menambat hati anak suka akan sayur.
 
Membiasakan anak makan sayur-sayur sejak kecil akan membantu mereka menggemari sayur-sayuran apabila besar kelak. Namun begitu, anda perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan hidangan sayur-sayuran tersebut.

 
 
Cara alternatif menghidangkan sayur-sayuran kepada anak
 
*Sup

Sayur-sayuran seperti bayam, sawi, seleri dan kubis sangat sesuai dibuat sup. Untuk merangsang selera anak, campurkan dengan sedikit isi ayam atau telur.


*Goreng

Jika memilih untuk menggoreng sayur, pastikan anda menggunakan sedikit minyak sahaja dan jangan goreng terlalu lama untuk mengelakkan khasiatnya hilang.


*Celur

Anda boleh juga mencelur sayur-sayuran yang sesuai untuk anak makan bersama sos.


*Kukus

Jika mengukus sayur-sayuran, jangan terlalu lama kerana sayur tersebut akan menjadi lembik dan tidak sedap dimakan.


*Stew

Untuk kelainan, anda boleh juga membuat stew sayur-sayuran.


*Salad

Ia cara paling mudah menghidangkan sayur-sayuran. Tambahkan sedikit sos seperti thousand island dan sebagainya untuk membangkitkan selera.


*Kek dan roti

Sekiranya anak adalah penggemar roti atau kek, anda boleh menyediakan kek atau roti berperisa sayur-sayuran seperti kek lobak merah atau roti kentang.


*Jus

Jangan terkejut kerana sayur-sayuran juga boleh dijadikan jus. Apa kata sekali-skala hidangkan anak jus timun dan lobak merah yang dicampur dengan yogurt atau susu. Pasti dia menggemarinya.






Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/mama-nak-makan-sayur-1.158408





18 July 2013

Panduan Cairkan Susu Perahan

Assalamualaikum semua.. Panduan ini berguna untuk ibu-ibu baru yang ingin memastikan bayi kecil mendapat khasiat susu ibu walaupun ibu itu bekerja.. Tapi mungkin ada yang tersilap semasa mencairkan susu perahan beku sehinggakan hilang khasiat susu tersebut.. Meh kita tinjau panduan yang ada nih..




Mungkin ada di kalangan ibu-ibu berkerjaya yang menyusukan bayi menghadapi dilema bagaimana cara terbaik untuk menyimpan dan mencairkan susu beku ketika mereka bekerja.

Tidak kira sama ada anda meletakkan bayi di bawah penjagaan pengasuh atau nurseri, pastikan mereka sudah maklum tentang cara pengendalian susu perahan beku sebelum diberikan kepada bayi.

Berikut adalah garis panduan yang boleh dijadikan maklumat berguna kepada para ibu agar bayi tetap menerima khasiat susu ibu biarpun tidak menyusu secara terus dari payu dara ibu.

1      Sentiasa menggunakan susu yang paling awal diperah.

2      Letakkan susu beku yang hendak digunakan di bahagian rak bawah peti sejuk semalaman supaya mudah dicairkan.

3      Lalukan susu perahan beku di bawah aliran air paip untuk mencairkannya.

4      Bila sudah cair, rendamkan bekas berisi susu di dalam air suam (hanya panaskan kuantiti yang hendak digunakan untuk satu penyusuan sahaja).

5      Untuk lebih mudah dan menjimatkan masa, gunakan pemanas botol elektrik yang kini banyak dijual dipasaran.

6      Jangan panaskan dalam ketuhar gelombang mikro atau atas dapur kerana ia akan merosakkan khasiat susu ibu.

7      Jangan cairkan susu beku dalam suhu bilik.

8      Susu yang telah dipanaskan mestilah digunakan dalam masa satu jam (tidak boleh disimpan semula).

9      Susu yang dibekukan akan menampakkan lemak terpisah menjadi dua lapisan. Goyangkan bekas dengan perlahan-lahan untuk menggabungkan lapisan lemak yang terpisah itu.

10  Pastikan suhu susu suam dengan menitiskan beberapa titis susu di bahagian dalam pergelangan tangan sebelum diberi kepada bayi.

11  Elakkan memanaskan susu di awal pagi dan memasukkan ke dalam termos kerana susu yang dipanaskan perlu dihabiskan dalam masa 1-2 jam sahaja.

12  Susu yang sudah dicairkan tidak boleh dibekukan semula, jadi ibu kena pandai mengagak kuantiti yang diperlukan anak supaya susu perahan tidak membazir.

13  Seelok-eloknya panaskan susu sejurus sebelum memberi bayi minum.
 

Tip Penyimpanan Susu Perahan

a. Di tempat kerja

Simpan susu perahan di bahagian sejuk peti ais, jangan dibekukkan (jika ada peti sejuk). Jika tiada, simpan sahaja dalam beg penyejuk susu ibu yang banyak terdapat di pasaran. Ia untuk memastikan kandungan antibodi terpelihara dari proses pembekuan.

b. Sampai di rumah

Simpan susu perahan dari tempat kerja semaksima yang boleh di bahagian sejuk (bukan dibekukan) untuk kegunaan pada keesokan hari. Simpan susu selebihnya di bahagian beku peti ais untuk stok seterusnya.

c. Seeloknya labelkan bekas perahan susu dengan nama bayi, tarikh dan masa pemerahan sebagai memudahkan anda menggunakan susu yang awal terlebih dahulu.

d. Tinggalkan sedikit ruang udara di dalam bekas penyimpanan untuk membolehkan proses pengembangan berlaku jika susu dibekukan.

e. Jangan lupa membersihkan dan mensteril semua bekas penyimpanan susu ibu termasuk aksesori pengepam.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

15 July 2013

Panduan Pilih Pakaian Anak

Assalamualaikum semua.. Entry kali ini khas untuk para ibu bapa dalam memilih dalam membeli pakaian.. Bukan apa, kekadang pakaian yang dibeli tidak tahan lama, tak selesa, luntur dan macam-macam lagi laa.. Bagi yang baru memiliki anak pertama pastinya banyak pakaian yang akan dibeli.. Kalau dah mempunyai anak 2-3 orang mungkin yang kakak-kakak atau abang-abang masih boleh dipakai kan???.. 
 
 

Biasanya golongan ibu paling teruja membeli-belah pakaian anak. Lebih-lebih lagi yang punya anak kecil. Namun kadang kala timbul dilema dalam memilih pakaian untuk si kecil.

Lazimnya selepas bayi lahir, banyak kenalan menghadiahkan baju bayi buatnya. Selalunya baju yang diterima bersaiz kecil berbanding bayi anda yang cepat membesar. Ikuti tip berikut ketika membeli baju buat si kecil anda.

1 Mudah dibasuh dan warna tidak luntur
Dalam tempoh beberapa minggu, saiz baju bayi akan berubah. Oleh itu beli baju yang mudah dibasuh dan fabrik yang selesa. Jika beli baju yang berwarna pastikan warna tidak mudah tanggal apabila dibasuh.

2 Pengaliran udara
Umum mengetahui lima bulan pertama bayi membesar dengan cepat. Keadaan ini membuatkan baju bayi kelihatan baru kerana hanya digunakan beberapa kali sahaja. Cari baju bersaiz besar untuk memberikan keselesaan kepada si kecil ketika memakainya. Malah ia membantu pengaliran udara dengan baik dan mampu mengelak ruam.

3 Saiz besar
Kadang kala sukar mencari saiz baju bayi lelaki yang agak besar berbanding baju bayi perempuan. Apabila kesuntukan masa atau tiada pengetahuan mengenai kedai berdekatan, anda terus membeli baju si kecil sekadar ‘tangkap muat sahaja’. Akibatnya, baju si kecil hanya boleh pakai beberapa bulan sahaja. Sebaiknya beli baju bersaiz besar supaya tahan lebih lama.

4 Mudah dipakai dan ditanggalkan
Jenis baju berbutang adalah dicadangkan untuk bayi berusia lima bulan pertama. Baju jenis ini mudah dipakai dan ditanggalkan. Bagi bayi pra-matang, pastikan baju yang dibeli dilengkapi topi untuk melindungi kepalanya daripada udara sejuk.

5 Masih boleh dipakai
Jika anda merancang untuk memiliki bayi lagi, baju bayi yang tidak muat dan masih elok perlu disimpan di tempat yang kering dan dibungkus dengan kemas untuk mengelakkan daripada gigitan tikus. Jika perlu letakkan pewangi supaya baju tidak berbau ketika dalam simpanan anda



6 Kain kapas
Kulit bayi lembut dan sensitif. Pemilihan jenis fabrik iaitu jenis 100 % kain kapas membantu mengelak daripada masalah kulit kepada bayi. Jenis kain kapas yang mudah menyerap peluh memberi rasa nyaman kepada si kecil.






Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/bayi/panduan-pilih-pakaian-anak-1.157639

01 July 2013

Panduan Keselamatan Anak Di Rumah

Assalamualaikum semua.. Bagi yang mempunyai anak kecil di rumah pastinya inginkan anak kecil itu berada dalam keadaan selamat dan selesa di setiap penjuru ruang rumah.. Kita sebagai ibu bapa mungkin merasakan apa yang dilakukan sudah cukup selamat bagi anak kecil ini..

Tetapi dalam masa yang sama, kita mungkin sedikit terlepas pandang terhadap perkara remeh berkenaan hal ini.. Jom kita terjah info yang mungkin berguna bagi kita dalam memastikan anak kecil kita berada dalam keadaan yang selamat setiap masa di rumah..



 
Anak anda mungkin kelihatan tidak berdaya, tetapi sebenarnya mereka amat tangkas dan suka mencuba semua perkara tanpa mengetahui sama ada ia selamat atau berbahaya.

Mungkin langkah berikut membantu anda menyediakan persekitaran yang selamat untuk si kecil kesayangan keluarga.


Keselamatan semasa bermain

*Pilih permainan yang bersesuaian mengikut peringkat usia anak.

*Pastikan lantai bebas daripada sebarang alatan mainan sekiranya bayi anda tidak bermain.

*Pastikan mainan bersaiz kecil yang mudah tercekik dijauhi daripada anak.

*Jangan letak kerusi enjut bayi pada paras yang boleh dicapai oleh anak kerana ia mungkin boleh menimpa diri mereka.


Keselamatan di bilik air

*Suhu terbaik untuk memandikan bayi iaitu antara 36 C dan 38 C.

*Jangan gunakan lebih daripada 6 - 8 cm air untuk mandikan bayi dan jangan sekali-kali tinggalkan bayi mandi sendirian sementara anda mengambil tuala atau lampin walaupun dia berada dalam besen mandian yang selamat.

*Bayi boleh lemas walaupun hanya dalam air sedalam 3 cm.

*Jangan biarkan anak berdiri atau melompat ketika mandi.


Keselamatan di tempat makan

*Sterilkan semua botol dan puting botol susu anak sehingga usianya setahun.

*Jangan tinggalkan bayi makan atau minum bersendirian.

*Pastikan kerusi makannya kukuh dengan ciri-ciri keselamatan yang memuaskan hati.

*Sentiasa sisihkan sisa makanan yang tidak dimakan daripada mangkuk bayi.

*Periksa tarikh luput makanan bayi yang dibeli.

*Jangan panaskan semula makanan bayi yang anda masak lebih daripada sekali.

*Sesetengah makanan jejari bayi sangat berbahaya kerana bentuknya boleh membuatkan bayi tercekik. Anggur, sosej dan tomato ceri perlu dipotong kecil dan jangan beri si comel makan bertih jagung.


Tidur yang selamat

*Jangan merokok dalam bilik yang ada bayi sedang tidur.

*Sentiasa tidurkan bayi dalam keadaan terlentang dan bukan meniarap atau mengiring. Jika bayi tidur meniarap pastikan anda mengawasi posisinya daripada masalah tidak boleh bernafas.

*Jangan biarkan anak terlalu panas. Biarkan kepalanya tanpa bertopi atau jangan guna bantal ketika tidur.

*Jangan tidur dengan bayi di atas sofa atau kerusi malas.

*Tempat paling selamat untuk menidurkan bayi iaitu di dalam katil bayi dan bersama anda di dalam bilik ketika enam bulan pertama usianya.


Kediaman yang selamat

*Jangan tinggalkan bayi berseorangan tanpa pengawasan di atas katil walaupun hanya sesaat kerana kita tidak tahu bila mereka boleh berpusing dan akhirnya terjatuh.

*Jangan gantung gambar atau sebarang perhiasan yang berat di atas katil bayi.

*Tali pintal pada bidai boleh membahayakan si kecil terutama yang baru pandai berjalan. Pastikan mereka tidak boleh mencapainya.

*Sentiasa lekatkan barang perhiasan yang besar dan berat pada dinding.

*Jauhkan katil bayi, kerusi atau lain-lain perabot dari tingkap.

*Pilih kotak alat permainan yang mempunyai penutup melekat untuk mengelakkan penutup daripada jatuh ke atas jari atau lehernya.






Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/panduan-keselamatan-anak-1.155299



27 June 2013

Tahi Telinga Anak Keras

 
 
 
Tentu anda pernah berhadapan dengan situasi di mana anak menangis apabila dibersihkan tahi telinganya. Ada orang kata ia disebabkan tahi telinga keras seperti berhabuk.
 
Biarpun sudah dibawa berjumpa doktor dan dibekalkan ubat untuk mencairkan tahi telinga, masalah itu masih juga tidak selesai. Pastinya anda sebagai ibu bapa bimbang keadaan ini akan memberi kesan sampingan sekiranya kerap menggunakan ubat untuk memcairkan tahi telinga itu.
 
Menurut Pakar Pediatrik DEMC Medical Centre, Dr Roliza Ibrahim, telinga kanak-kanak tidak boleh dibersihkan terlalu kerap kerana ini sebenarnya boleh menyebabkan telinga dijangkiti kuman. Telinga hanya perlu dibersihkan sekali setiap satu atau dua minggu. Ini kerana tahi telinga selalunya akan mengalir keluar dan kita hanya perlu mencuci di luar sahaja.
 
Namun begitu, sesetengah kanak-kanak akan mengalami tahi telinga keras di mana tahi telinga susah untuk mengalir keluar.
 
Untuk mengatasi masalah ini, ubat selalunya digunakan untuk mencairkan tahi telinga supaya ia lebih mudah dicuci kerana tahi telinga yang keras tidak boleh dan susah untuk dikorek. Penggunaan ubat ini secara berpanjangan selalunya tidak akan mengundang masalah.
 
Namun jika tahi telinga tersebut masih tidak boleh keluar walaupun dengan penggunaan ubat, disarankan ibu bapa membawa anak berjumpa doktor supaya tahi telinga tersebut boleh disedut keluar.
 
Tahi telinga keras yang dibiarkan boleh menyebabkan telinga terasa sakit atau pendengaran agak kurang dan ia juga boleh mengundang jangkitan kuman.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

18 June 2013

Menu Untuk Anak Yang Sakit

Assalamualaikum semua.. Bagi yang mempunyai anak kecil pastinya pernah melalui keadaan di mana anak tidak sihat.. Kalau anak kecil ada 2-3 orang maunya berjangkit-jangkit terutamanya demam dan selesema..

Ketika anak kecil sedang sakit nih, macam-macam masalah yang kita lalui terutamanya anak tak berselera nak menjamah makanan.. Yelah jika anak kecil tak berselera untuk makan, macam mana nak suapkan ubat untuk mereka kan??? Apapun di bawah ini ada beberapa info yang boleh dijadikan panduan dalam mencari menu yang sesuai ketika mereka sakit..


 
Anak yang tidak sihat biasanya kurang selera menjamah makanan. Janganlah paksa mereka tetapi usah juga biarkan mereka langsung tidak makan. Carilah menu yang sesuai dan dapat terus membekalkan nutrien kepada mereka.
 
Demam
*Anak yang demam selalunya tidak lapar. Jangan paksa mereka makan sebaliknya pastikan minum banyak air kerana ketika ini tubuhnya kehilangan banyak cecair.
 
*Segera bawa anak berjumpa doktor jika suhu badan terlalu tinggi, terlalu banyak tidur dan tidak membuang air seperti biasa.
 
 
Selesema
*Anak yang dijangkiti selesema perlu minum banyak air. Berilah mereka minum air masak, jus buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.
 
*Sementara makanan yang sesuai untuk mereka pula adalah sup, dadih dan jika keadaan mereka bertambah baik, anda boleh memberi mereka susu.
 
 
Sakit tekak
*Apabila diserang sakit tekak, kanak-kanak biasanya suka makanan suam dan ada yang suka makanan sejuk.
 
*Bagi yang suka makanan suam, berilah mereka sup pasta dengan roti putih bersama minuman coklat suam atau jus epal suam.
 
*Bagi yang berselera makanan sejuk pula, hidangkan makanan seperti dadih, pisang lecek bersama aiskrim, susu kocak (milk shake) dan jus buah-buahan.
 
 
Muntah-muntah
*Jangan beri sebarang makanan atau minuman kepada anak yang diserang muntah sehingga perutnya selesa.
 
*Kira-kira satu jam selepas muntah, berikan anak sedikit air untuk membasahkan tekaknya.
 
*Beberapa jam kemudian, berikan lagi air kepadanya dalam kuantiti yang lebih daripada sebelumnya (jika dia tidak lagi muntah).
 
*Selepas keadaan pulih, berikan anak makanan yang lembut seperti bubur nasi, sup ayam dan sup kentang bersama lobak merah.
 
 
Cirit-birit
*Tahukah anda bahawa mereka yang mengalami cirit-birit telah kehilangan banyak cecair dalam badan. Oleh itu, air yang hilang perlu diganti segera.
 
*Sekiranya anak membuang air besar lebih daripada sekali dalam tempoh tiga jam, beri dia minum larutan Garam Rehidrasi Oral (ORS) untuk menggantikan cecair dan garam yang hilang dari tubuh.
 
*Sebaiknya beri anak ½ hingga 1 cawan larutan ORS setiap jam dalam tempoh 24 jam sehingga cirit-biritnya reda.
 
*Anak akan hanya berselera makan apabila dia sudah rasa selesa. Ketika itu berilah dia makan makanan yang berkhasiat. Elakkan daripada memberinya minum susu, jus epal dan makanan yang tinggi kandungan garam atau gula untuk tempoh sehari dua.