21 August 2013

Seronoknya Pergi Melancong




Bercuti bersama keluarga memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila musim cuti sekolah. Selain mengeratkan hubungan keluarga, bercuti memberi pendedahan kepada anak-anak tentang dunia luar.


Bagaimanapun perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum merancang percutian adalah wang. Selain peruntukan masa, peruntukan kewangan menjadi perkara utama.


Bukan sedikit wang yang bakal dikorbankan untuk sebuah percutian terutama melibatkan ahli keluarga. Jadi, jika terfikir untuk bercuti, mulalah mengumpul dan merancang dari sekarang. Tentu tidak membebankan apabila tiba saatnya nanti.


Jom pelajari cara unik kumpul duit untuk percutian. Mana tahu ia boleh dijadikan panduan berguna seterusnya merealisasikan impian percutian anda dan keluarga.


1      Simpanan bulanan

Setelah mendapat jumlah yang diperlukan untuk percutian anda nanti, cuba bahagikan jumlah tersebut dengan jumlah bulan yang tinggal. Jumlah yang anda dapat itulah jumlah sebenar wang yang perlu disimpan setiap bulan. Untuk memastikan anda dan keluarga berjaya merealisasikan impian tersebut, ketepikan jumlah wang yang sepatutnya tanpa culas.


2      Asal barang jadi duit

Untuk membolehkan anda dan keluarga berbelanja sedikit mewah semasa percutian, apa kata jika anda semua cari duit tambahan. Perhatikan sekeliling anda. Pasti ada benda yang boleh anda gunakan untuk menjana duit. Misalnya, kertas-kertas terpakai seperti surat khabar lama. Kumpul surat khabar lama, majalah, buku ataupun kotak yang sudah tidak digunakan dan kemudian jual. Wang yang diperoleh itu simpanlah dalam dana percutian. Selain kertas, anda boleh menjual botol-botol plastik atau pun tin-tin minuman yang sudah tidak digunakan. Mudah bukan?


3      Jimatkan perbelanjaan harian

Demi untuk percutian yang sangat menyeronokkan, tak salah rasanya jika anda berjimat. Jangan terlalu boros berbelanja. Beli hanya apa yang patut. Jangan membazir. Bayangkanlah jika anda dapat berjimat RM3 sehari. Ini bermakna dalam sebulan anda dapat berjimat sebanyak RM90. Kalau sepuluh bulan, maknanya anda dapat berjimat sebanyak RM900. Wow, banyaknya!



4      Sertai pertandingan

Apa kata anda mencuba nasib dengan menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai atau percutian. Tetapi jangan sertai pertandingan yang memerlukan anda membayar yuran pertandingan yang tinggi atau melabur modal agak besar seperti pertandingan melalui sistem pesanan ringkas.


5      Jana duit daripada bakat dan minat

Jika anda berbakat dalam satu-satu bidang, janalah wang daripadanya. Misalnya, sekiranya anda pandai memasak, belajarlah menjual makanan kepada saudara-mara, rakan sepejabat atau jiran-jiran. Jika pandai menjahit, terimalah tempahan daripada yang berminat, atau jika berbakat menulis, tulislah novel atau artikel.





Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/seronoknya-pergi-melancong-1.162664

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..