“Macam mana ni, Mama
kena pergi kursus outstation minggu depan. Seminggu pula tu,” kata
Atie kepada suami.
“Eh jangan risau. Papa
kan ada. Papa boleh uruskan Ariel,” jawab Azman penuh yakin.
“Boleh ke uruskan Ariel
yang lasak ni,”? tanya Atie tidak yakin.
Bila situasi begini
berlaku bagaimana agaknya ya?
Usah risau dan gundah
gulana wahai ibu sekalian. Percayalah kepada pasangan anda. Berilah
peluang kepadanya membuktikan bahawa dia mampu menguruskan si manja
kesayangan.
Bukankah anak tersebut
zuriat anda berdua, masakan suami hendak membiarkan si kecil tanpa
penjagaan. Hakikatnya semua papa seharusnya mempersiapkan diri
menggalas tanggungjawab mengasuh anak sejak mengetahui isteri
berbadan dua lagi.
Persiapkan diri dengan
ilmu keibubapaan yang punya 1001 macam cabang dan dugaan. Bukan sukar
untuk belajar tetapi tidak mudah juga untuk merealisasikannya. Namun
bak kata pepatah, hendak seribu daya tak nak seribu dalih.
Pembelajaran menjadi ayah
satu proses tanpa henti. Mungkin juga di dalam hati seorang bapa akan
terdetik kata-kata “Macam mana ya nak uruskan keadaan anak bila
isteri tiada di sisi. Pasti sukar. Macam-macam nak kena buat dan
belajar.”
Tetapi demi tanggungjawab
sebagai ketua keluarga, dia melupakan semua kerisauan bahkan
berfikiran positif menganggap cabaran itu amat bagus membantu diri
menjadi bapa yang lebih bertanggungjawab.
Sudah banyak cerita
tentang kehebatan si bapa menguruskan anak-anak sendirian sama ada
kerana sudah kematian isteri atau tinggal berjauhan atas urusan
pekerjaan atau melanjutkan pelajaran.
Mungkin panduan berikut
sedikit sebanyak dapat dijadikan ‘alat bantu’ dalam usaha menjaga
anak tanpa isteri di sisi atas urusan kerja.
a. Ketahui tabiat
/perangai anak
Papa patut mengambil tahu
tabiat atau perangai anak. Fahami karektor mereka dengan memerhatikan
apa yang mereka gemar lakukan. Papa kena peka dengan keadaan
sekeliling rumah dan keadaan sekitar kawasan anak bermain.. Misalnya
jika anak bawah usia setahun yang baru pandai memanjat, merangkak
atau suka bermain sewaktu kita memandikannya. Jadi, papa kenalah
lebih peka dan berhati-hati semasa mengawasi mereka agar keselamatan
anak terjamin.
b. Ambil tahu kesukaan
anak
Anak-anak yang masih
belum pandai bertutur pasti sukar difahami apa kehendak mereka.
Biasanya ibu yang lebih faham apa yang diinginkan si anak tatkala
mereka merengek. Oleh itu sentiasa ambil tahu apa yang menjadi
kesukaannya bagi memudahkan proses memujuk atau meredakan anak semasa
dia merengek atau menangis.
Misalnya ada anak yang
akan berhenti menangis apabila dipujuk melihat buku bergambar sambil
kita bercerita dengannya dan sebagainya lagi kesukaan mereka. Dengan
kata lain tidaklah papa menggelabah bila anak menangis tanpa sebab.
Tapi kalau anak anda
menangis atas sebab lain seperti sakit perut, membuang najis ataupun
tidak sihat mungkin kaedah pujukan tersebut tidak sesuai kerana
biasanya ia tidak berkesan.
c. Tahu masa makan dan
tidur
Anak-anak keci mempunyai
masa makan dan tidur yang tetap setiap hari. Jika tidak mereka akan
meragam dan menangis tanda tidak selesa. Maka papa perlulah belajar
daripada isteri tentang hal ini. Ia kelihatan remeh dan kurang
penting namun tidak apabila anda menjaga anak yang masih belum boleh
bertutur kerana mereka tidak boleh memberitahu rasa lapar atau
mengantuk. Ketika usia ini tangisan adalah cara si anak berkomunikasi
dengan papa dan mama. Jangan pula bila anak menangis papa sibuk buat
kerja lain dan suruh anak main dengan alat permainannya sahaja.
d. Ambil berat tahap
kesihatan anak
Jika anak tidak sihat
kerana demam, batuk dan selesema, maka cabaran menjaga mereka menjadi
lebih berat. Tentu sahaja ketika ini mereka rasa tidak selesa dan
asyik merengek tidak kira masa terutama semasa hendak tidur bahkan si
manja juga tidak selera makan dan minum susu. Jangan panik.
Sekiranya anak kelihatan
kurang ceria seperti biasa dan asyik merengek sahaja, periksa suhu
badannya sama ada dia demam atau tidak. Oleh itu pastikan termometer
mesti ada di rumah. Kalau suhu tinggi, bawa ke klinik dengan segera
untuk mendapatkan rawatan. Jangan fikir dia seperti kita yang punya
ketahanan badan terhadap demam selesema biasa. Tubuh badan anak dan
tubuh badan kita orang dewasa sangat lain tahap ketahanannya. Jangan
biarkan anak anda sakit terlalu lama kerana mungkin boleh menyebabkan
masalah lain seperti sawan dan jangkitan kuman pada otak jika suhu
badan terlalu tinggi.
Mungkin setiap bapa punya
cara tersendiri mengendalikan anak masing-masing. Walau apa pun
kaedah tersebut pastikan sebagai bapa anda sentiasa peka dan
bertanggungjawab menjaga anak agar dia selesa dan selamat biarpun
ibu tiada di sisi.
Sumber dari http://pama.karangkraf.com
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..