09 May 2013

Kemurungan




 
 
Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa saja, baik lelaki, perempuan, muda, tua, dewasa atau kanak-kanak. Walaupun masih ada yang memandang remeh perkara ini tetapi ketahuilah bahawa kemurungan adalah satu penyakit serius dan perlukan rawatan sewajarnya.
 
Kemurungan disebabkan berlakunya gangguan pada keseimbangan bahan kimia otak (serotonin dan norepinefrin) yang mengawal emosi kita.

Biasanya kemurungan disebabkan gabungan beberapa faktor. Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemurungan ialah faktor psikologi (tekanan daripada sesuatu peristiwa atau persekitaran) dan faktor genetik (rasa rendah diri atau menghidap penyakit fizikal yang kronik).


Kesedihan kemurungan tidak sama dengan kesedihan biasa yang dialami kebanyakan orang. Kesedihan biasa akan hilang dalam masa dua atau tiga hari tetapi kesedihan kemurungan boleh berlarutan melebihi dua minggu dan bagi kes serius, ia menyebabkan individu murung berasa dirinya tidak berguna serta hilang keinginan untuk meneruskan hidup.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah bentuk gangguan emosi paling biasa dan ia menjadi penyakit keempat paling serius di dunia yang boleh melumpuhkan jiwa seseorang.

Di negara kita saja sudah banyak kes kemurungan dilaporkan di akhbar sehingga ada yang nekad membunuh diri. Jadi sudah tiba masanya untuk kita memberi lebih perhatian kepada isteri, suami, anak-anak atau ahli keluarga lain jika mereka menunjukkan tanda kemurungan.

Kemurungan dialami lelaki berbeza dengan kemurungan wanita kerana tekanan hidup tidak sama. Lelaki murung biasanya bersikap pemarah, agresif dan mudah terganggu. Wanita murung pula menunjukkan emosi tidak stabil, menjadi pendiam, mengasingkan diri dan memendam perasaan.



Bagaimanapun, secara amnya tanda umum yang disenaraikan di bawah boleh dijadikan panduan iaitu:
  • Emosi negatif dan rasa sedih berpanjangan.
  • Perasaan tidak menentu, sensitif, resah dan keliru.
  • Hilang minat dan rasa seronok.
  • Hilang minat terhadap hubungan seks.
  • Sentiasa berasa letih.
  • Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.
  • Mengalami gangguan tidur (sama ada sukar tidur atau terlalu banyak tidur).
  • Sukar menumpukan perhatian.
  • Rasa kesunyian.
  • Ada perasaan negatif iaitu hilang harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin membunuh diri.
  • Alami gejala fizikal seperti sakit belakang dan kepala, pening, masalah perut, dada berdebar dan seluruh badan terasa sakit.


    Senarai di atas juga boleh dijadikan panduan untuk melihat perubahan tingkah laku pada anak-anak kita kerana kajian mendapati semakin ramai golongan muda (remaja dan kanak-kanak) turut dilanda kemurungan. Masih ingatkah anda kisah seorang murid sekolah rendah yang menggantung diri kerana terlalu tertekan selepas mendapati keputusan peperiksaannya tidak seperti yang diharapkan? Tiada siapa yang mahu kisah sedih dan tragik seperti ini berulang, khususnya dalam keluarga kita.

    Kenapa kemurungan perlu dirawat segera? Kemurungan memberi kesan negatif pada psikologi dan fisiologi. Ia menjejaskan emosi, pemikiran dan perlakuan seseorang. Ia menjejaskan hubungan seseorang sama ada di tempat kerja dan di rumah, menghapuskan kegembiraan, memberi kesan pada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan. Malah pada kes yang serius dan paling membimbangkan, ada yang nekad membunuh diri.


  • Kemurungan adalah satu masalah yang boleh berulang, terutama jika tidak mendapat rawatan sewajarnya. Antara prinsip untuk membantu memecahkan kitaran kemurungan:
  • Terima kenyataan. Kemurungan adalah penyakit serius dan ubat antikemurungan adalah komponen penting dalam rawatan.
  • Berbincang dengan doktor mengenai perasaan dan kemajuan rawatan. Jangan takut untuk bertanya.
  • Fahami simptom kemurungan melalui rawatan. Berfikiran positif dan meminta bantuan apabila perlu adalah konsep penting dalam proses mengatasi kemurungan.
  • Setiap orang mempunyai gerak balas rawatan yang berbeza. Sesetengah individu melihat keberkesanan rawatan selepas beberapa minggu dan ada yang akan mengalami kesan sampingan.
  • Kemurungan akan berulang jika rawatan tidak betul. Anda hanya boleh pasti kemurungan tidak berulang jika objektif menghapuskan simptom kemurungan berjaya dicapai.
  • Berkomunikasi adalah kunci kejayaan rawatan. Berkomunikasi secara terbuka dengan doktor boleh memaksimumkan kejayaan rawatan manakala berbicara dengan ahli keluarga dan kawan mampu menghapuskan bayangan kemurungan dan menguatkan sistem sokongan anda.
  • Ubat antikemurungan terbukti berkesan dan tidak menyebabkan ketagihan.
  • Usah berhenti mengambil ubat kecuali selepas mendapat nasihat doktor. Ubat antikemurungan perlu diambil dalam tempoh tertentu kerana keberkesanannya hanya dapat dilihat selepas beberapa minggu dan anda akan merasai kesan positif pada perangai dan emosi. Kesan ubat berbeza antara individu dan cara terbaik untuk mendapat manfaatnya ialah mengambil ubat seperti diarahkan doktor.


    Perkara yang perlu diingat:
  • Jangan sisih pesakit daripada menyertai perbincangan atau hal keluarga.
  • Jangan salahkan pesakit atas perubahan kelakuan mereka.
  • Jangan berulang kali menyuruh pesakit menjadi ceria.
  • Jangan lakukan segala-galanya untuk pesakit kerana membantu mereka melakukan semua pekerjaan seolah-olah menafikan kebolehan mereka.
  • Jangan takut untuk bertanya dan minta bantuan.
  • Dalam tempoh ini usah biarkan pesakit membuat keputusan penting mengenai kehidupan mereka (perkahwinan, perceraian, menukar kerjaya atau berpindah rumah sehingga mereka sihat semula).
  • Jangan biarkan pesakit meneruskan tabiat buruk ketika tempoh pemulihan.




















  • Klik pada artikel untuk kelihatan lebih besar






    Sumber disunting dari akhbar harian metro dan artikel mingguan malaysia


     



    1 comment:


    1. Artikel yang menarik mengenai kemurungan yang kian melanda rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita. Statistik ini kian meningkat disebabkan tahap sosio-ekonomi yang semakin mencabar dan hubungan kekeluargaan yang tidak rapat. Sebaik-baiknya masalah kemurungan ini dirawat dengan kaedah-kaedah yang tidak melibatkan penggunaan ubat psikiatrik seperti mengadakan sesi kaunseling dan sebagainya. Ubat psikiatrik hanya diberi sekiranya masalah pesakit telah menjadi serius seperti ada perasaan membunuh diri atau mencederakan orang lain dan sebagainya.

      ReplyDelete

    Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..