07 May 2013

Khasiat Perencah

Setiap kali ke dapur untuk memasak, kita pastinya akan memastikan bahan untuk membuat ‘bumbu’ atau perencah ada dalam simpanan.

Tanpanya, pasti hida­ngan yang disediakan tidak enak dan kurang membangkitkan aroma menyelerakan. Untuk menghasilkan hidangan yang enak, bahan untuk membuat bumbu mestilah banyak.

Justeru, tidak hairanlah masakan yang dihasilkan ibu sememangnya sedap walaupun dinikmati setiap hari.


Dalam menikmati keenakan hidangan, barangkali ramai yang tidak sedar mengenai khasiat bahan yang digunakan untuk membuat bumbu itu.






Bawang merah

Bawang merah mengandungi khasiat yang berguna untuk tubuh badan seperti vitamin C, potasium, serat, asid folik, kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Menerusi penyelidikan mengenai khasiat bawang merah kepada kesihatan manusia, ia didapati mengandungi dua sebatian utama. Sebatian berkenaan ialah sulfur seperti allyl propyl disulphida dan flavonoid seperti quercetin.

Flavonoid dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis kerana ia mempunyai unsur antikanser, antibakteria, antikuman, antialahan dan antibengkak.

Bawang juga boleh membantu hati membuang toksin daripada badan selain mengandungi saponin untuk menghalang sel kanser.

Memakan bawang merah setiap hari boleh membantu proses pertumbuhan tisu tulang dan mengurang­kan risiko osteoporosis sehingga 20 peratus.

Kandungan sulfurnya juga boleh membantu kulit kelihatan muda. Selain itu, bawang merah didapati boleh membantu mengelakkan daripada terkena kanser perut.

Membantu meningkatkan fungsi otak sekali gus mengurangkan risiko penyakit Alzheimer, Bawang merah dipercayai membantu untuk menurunkan tahap gula bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis dengan mengehadkan keberkesanan insulin dan meninggikan metabolisme glukosa.

Pengkaji dari India pula mendapati, lebih banyak makan bawang merah semakin rendah gula dalam darah. Mereka mendapati, tiada perbezaan bawang merah mentah dan bawang merah yang direbus.






Bawang putih

Bawang putih digunakan sebagai makanan dan perubatan sejak beribu tahun lalu malah terus berkembang hingga ke hari ini.

Masyarakat Mesir purba percaya bawang putih boleh membantu merawat masalah cacing, jantung dan sakit kepala.

Jika dicampurkan bawang putih bersama minyak kelapa, ia boleh digunakan sebagai minyak urut yang baik dan ia banyak digunakan oleh orang Melayu.

Ada juga yang berpendapat, bawang putih boleh membantu membuang angin dalam badan dan mengurangkan panas selain menambah ke­enakan rasa dalam masakan.

Kajian vitro mendapati bawang putih mempu­nyai ciri-ciri antibakteria, antikuman dan antikulat.

Ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit jantung, masalah kolesterol yang tinggi, tekanan darah ting­gi dan kanser.

Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika melaporkan, bawang putih dapat membantu menurunkan tahap kolesterol.

Pengambilan 7.2 gram pati bawang putih setiap hari selama enam bulan oleh 56 lelaki yang memiliki tahap kolesterol tinggi berjaya menurunkan tahap kolesterol mereka sehingga tujuh peratus.

Apabila ditumbuk, bawang putih akan menge­luarkan sejenis enzim dipanggil allinase yang menukarkan alliin kepada allicin, sejenis antibiotik yang mengandungi tindakan antibakteria bersamaan satu peratus penisilin.

Disebabkan itu, bawang putih dikatakan sesuai untuk merawat luka manakala memakan bawang putih dengan kadar yang tetap memberi perubahan yang besar kepada pesakit jantung.

Selain itu, bawang putih yang kaya dengan protein, vitamin A, C, tiamin dan galian seperti tembaga, zink, kalsium, potasium, sulfur, germanium dan selenium, sangat baik untuk mereka yang menghidap selesema.




Halia

Mahu awet muda? Halia muda mungkin dapat membantu.

Halia memang banyak khasiatnya. Selain mengurangkan gejala demam, batuk, sesak dada, migrain, senggugut, sakit kepala, sakit gigi dan sakit tulang, ia juga membantu mereka yang sakit perut.

Selain itu, ia juga membantu untuk meningkatkan pengaliran darah dengan lebih baik. Disebabkan mengandungi sejenis minyak bersifat antibakteria, ia boleh digunakan untuk memanaskan badan.

Ada juga yang mereneh halia di dalam air kira-kira 10 minit untuk diminum setiap pagi bagi membantu menyembuh­kan penyakit.

Hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia pula mendapati halia sesuai untuk membuang angin dalam badan, melawaskan pembuangan air kecil dan besar, membantu penghadaman, mengecutkan otot termasuk rahim, merangsang pergerakan otot serta antikulat pada kulit seperti panau.

Walaupun secara umumnya halia diiktiraf sebagai sumber selamat, ia boleh menimbulkan alahan untuk sesetengah orang misalnya ruam, pedih ulu hati, kembung, sendawa dan loya.






Kunyit

Kunyit hidup sering digunakan untuk memberikan warna kuning pada masakan.

Ia terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India kerana khasiatnya selain dijadikan ubat pembersih dalaman badan serta mencantikkan kulit.

Bukan hanya buah­nya saja yang menjadi perhatian malah daun­nya dimanfaatkan sebagai ulam dan membangkitkan aroma wangi dalam masakan.

Kunyit banyak digunakan wanita selepas bersalin selain menghilangkan selesema dan sakit perut yang dihidapi oleh kanak-kanak atau dewasa.

Digunakan sebagai ubat antigatal dan antikejang, ia juga dapat mengurangkan bengkak serta selaput lendir di dalam mulut menerusi jus kunyit.

Berdasarkan perubatan tradisional Cina, akar kunyit digunakan sebagai ubat untuk sakit dada, perut, lengan dan sakit ketika datang haid serta luka.

Bagi mereka yang mengalami masalah haid tidak teratur, ada yang menggunakan kunyit hidup sebagai penawar kerana ia membantu untuk melancarkan aliran darah dan melarutkan darah yang bergumpal.

Kajian yang dilakukan mendapati kunyit mempunyai sejenis bahan aktif dikenali sebagai curcumin dan jika diambil dalam dos yang tinggi, ia memberi kesan terapeutik untuk menentang keradangan.

Kajian di India pula menunjukkan kunyit dapat membantu perokok mengurangkan bahan penggalak barah (carcinogen) yang terdapat dalam air kencingnya.





Asam jawa

Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan. Selain di Malaysia, ia tumbuh secara semula jadi di benua Afrika.

Terdapat dua jenis buah asam jawa iaitu manis dan masam. Kandu­ngan utama dalam asam jawa ialah asid, gula, vitamin B dan kalsium yang tinggi.

Untuk tujuan komersial, didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung.

Sama ada dimakan begitu saja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa berkesan dalam membantu mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi) menyebabkan ia sering diamalkan di beberapa negara seperti India.

Buah asam jawa boleh dimakan segar atau dijadikan jus minuman segar yang dicampur bersama air gula.

Selain itu, asam jawa juga bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, acar, pembuatan sos dan bahan awet.

Bukan itu saja, asam jawa turut digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan atau bahan kumur mulut bagi mengurangkan sakit
tekak.

Daun asam jawa sama ada yang kering atau direbus juga boleh digunakan untuk merawat bisul,
bengkak sendi dan terseliuh.





Lengkuas

Rupanya yang hampir sama seperti halia kadangkala mengelirukan. Namun, ia dapat dibezakan melalui bau yang lebih lembut serta teksturnya keras sedikit.

Ia juga sering digunakan dalam masakan seperti rendang, kari atau gulai untuk menghilangkan bau hanyir ikan, ayam dan daging.

Lengkuas banyak digunakan dalam masakan untuk wanita yang berpantang kerana dikatakan dapat membantu menghilangkan angin dan merangsang peredaran darah.

Selain itu, ia juga membantu menambah selera makan, membersihkan darah, mencairkan kahak dan merangsang otot.

Kandungan antioksidan di dalam lengkuas membantu mengurangkan kerosakan disebabkan radikal bebas dan racun lain di dalam badan.






Cili padi

Rasanya amat pedas namun ia disukai kerana dapat membangkitkan selera apatah lagi jika dibuat sambal, masak lemak, rendang, kerabu dan nasi goreng.

Walaupun pedas, ia juga mempunyai khasiat yang jarang diketahui seperti kaya dengan vitamin A, B, C kompleks dan komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat serta karotin.

Tidak ramai yang tahu, cili padi juga boleh digunakan bagi menghilangkan bau hangit nasi yang menjadi petua nenek moyang.

Bukan hanya buahnya saja yang menjadi penyedap dalam masakan, daun dan akarnya juga memiliki khasiat untuk membantu menyembuhkan bisul, luka, sakit sendi, sengal otot, bengkak, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merawat cirit-birit.





Sumber disunting dari akhbar harian metro


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..