Setujukah anda sekiranya
dikatakan kebanyakan ibu bapa masa kini gemar menyerahkan urusan
‘penjagaan’ anak kecil mereka kepada televisyen atau komputer
tablet. Ia bagaikan memberi magis kepada papa dan mama dalam usaha
memujuk anak-anak yang meragam.
Gajet tersebut mampu
membuatkan si manja duduk diam dan tidak mengganggu urusan ibu bapa
sama ada ketika di rumah atau di luar rumah. Selain daripada itu
alasan mendidik anak-anak menggunakan medium teknologi tersebut turut
menjadi faktor utama.
Namun, benarkah gajet
boleh mendidik anak-anak? Apakah kesannya sekiranya anak kecil yang
masih memerlukan bimbingan dibiarkan menonton televisyen sehingga
lewat malam ataupun bermain permainan komputer tanpa batasan.
Malahan ada ibu bapa yang
berasa bangga dengan kebolehan si anak membuat carian di youtube
tanpa pantauan mereka. Kononnya anak yang masih berusia bawah enam
tahun itu sudah terlalu bijak!
Hakikatnya mereka tidak
perasan ada kesan buruk di sebalik ‘pencapaian’ tersebut.
Bayangkan jika si kecil terjumpa gambar atau video yang tidak
sepatutnya dalam carian mereka. Boleh pengsan ibu bapa dibuatnya.
Sebenarnya tiada bukti
saintifik boleh menyokong pendapat mengatakan kononnya menonton
rancangan kartun atau bermain permainan video mampu membantu
perkembangan minda anak-anak.
Mungkin ada program yang
ditonton dapat memberi kesan positif tetapi biasanya kanak-kanak
tidak gemar menonton program sedemikian. Justeru, sebenarnya lebih
banyak keburukan daripada kebaikan
Televisyen atau komputer
tablet adalah komunikasi satu hala. Walaupun mungkin ada perkataan
baru yang dipelajari namun ia tidak sama dengan ‘bercakap’ dan
berkomunikasi. Anak-anak yang membesar memerlukan kehadiran ‘orang’,
berkomunikasi dengan ‘orang’ bukan imej di kaca televisyen dan
komputer tablet.
Kesan buruk
Bukan bermakna papa dan
mama langsung tidak boleh mendedahkan teknologi gajet kepada
anak-anak tetapi janganlah sampai melampau. Apa pun yang kita beri
kepada anak-anak perlu ada batasan dan kawalan.
Membiarkan anak-anak
kecil terdedah kepada televisyen terlalu lama boleh menjadikan mereka
tidak keruan. Emosi mereka turun naik akibat menonton sesuatu cerita.
Jika tidak diberi rehat dengan aktviti bermain yang aktif, boleh
menyebabkan mereka menjadi lembab, malas atau perangai tidak keruan.
Jika kita perhatikan
keadaan anak-anak yang sedang menonton televisyen atau komputer
tablet, posisi mereka seperti anak patung yang tidak bergerak-gerak.
Mereka tekun dan fokus dengan apa yang ditonton atau dimainkan.
Sebenarnya ia bukan
menjadikan mereka seorang yang fokus sebaliknya mengurangkan daya
konsentrasi akibat gambar yang sering bertukar setiap beberapa saat.
Cuba suruh mereka berhenti daripada menonton, kita akan mendapati
kanak-kanak ini hilang fokus dan tidak boleh duduk diam.
Jika disuruh membaca,
mereka berupaya untuk bertahan seketika sahaja. Ia menyukarkan mereka
menumpukan perhatian kepada sesuatu pembelajaran.
Selain daripada itu
televisyen turut menyekat kanak-kanak menggunakan ‘otak’ mereka
untuk berimaginasi. Ini amat berbeza dengan aktiviti membaca buku.
Tatkala membaca, imaginasi mereka melayang jauh dan selama mana yang
mungkin- tiada had tertentu, dan inilah yang kita mahukan.
Ini kerana kanak-kanak
dan ada daya berimaginasi tinggi akan merangsang perkembangan minda
mereka lebih positif dan kreatif. Malah ada kajian menunjukan bahawa
terlalu banyak menonton televisyen menyebabkan prestasi akademik
anak-anak merosot. Maka disarankan lebih baik papa dan mama
menghabiskan masa berbual dan bermain dengan anak-anak daripada
membiarkan mereka menonton televisyen ataupun bermain tablet.
Cara kawal
Membiarkan si kecil
menonton drama-drama yang kadang kala mempunyai mesej tidak baik
boleh mempengaruhi mereka dan kemudiannya meniru aksi tersebut. Oleh
itu ibu bapa perlu ambil masa dan meninjau serta memantau lalu
memastikan rancangan mana yang menimbulkan kesan baik dan yang mana
tidak kepada anak-anak.
Bagaimanapun tidak
semestinya rancangan itu baik, kita biarkan anak-anak kecil
menontonnya terlalu lama kerana akibat lain mungkin timbul pula,
misalnya kesan buruk kepada mata.
Bagaimana cara menangani
masalah anak suka menonton televisyen atau tablet?
* Disiplinkan anak-anak
etika menonton televisyen atau bermain tablet.
* Pilih program yang
beri kesan positif kepada anak-anak sahaja.
* Lakukan jadual dan
pastikan dia mengikut jadual itu. Ada masa bermain aktif, ada masa
melukis, ada masa bercerita dan membaca buku, ada masa menonton
televisyen atau bermain komputer.
* Selepas menonton
wujudkan masa untuk dia bercerita apa yang dia tontoni agar membantu
perkembangannya. Misalnya dengan menonton program pendidikan, anak
dapat kaitkan dengan kehidupan seharian. Bukankah ia satu
pembelajaran!
Kesimpulannya, bukan
semuanya buruk dan bukan semuanya baik. Televisyen atau komputer
adalah alat yang menjadi berfaedah jika kita bijak menggunakannya.
Sumber disunting dari majalah Pa&Ma
Sumber disunting dari majalah Pa&Ma
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..