Kejayaan penyusuan
eksklusif tanpa makanan pelengkap, susu formula dan air kosong selama
enam bulan oleh para ibu bekerjaya banyak bergantung kepada beberapa
faktor sampingan. Berikut disenaraikan
faktor-faktor tersebut dengan bantuan kaunselor laktasi, Aishah Mariam.
1 Timba ilmu sepanjang
masa
Sebaik-baiknya sejak dari
awal usia kehamilan, anda sudahpun memasang niat untuk menyusukan
bayi sejurus selepas kelahirannya. Dalam masa yang sama, anda dan
suami digalakkan untuk menyertai mana-mana kelas persediaan penyusuan
susu ibu yang kini banyak dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor
laktasi bertauliah.
Setelah selamat
melahirkan bayi, anda perlu menanam sikap rajin membaca bahan bacaan
berkaitan dan melayari laman web atau forum yang banyak mendedahkan
maklumat penting tentang penyusuan susu ibu seperti La Leche League
Leader (LLLL) atau Kellymom.
Sekiranya anda mengalami
apa-apa masalah berkaitan, dapatkanlah pandangan dan penjelasan bagi
menjawab apa jua kemusykilan yang dihadapi daripada kaunselor dan
pakar laktasi yang diiktiraf. Anda boleh merujuk kepada rangkaian
Malaysian Breastfeeding Peer Counselor untuk menimba ilmu penyusuan
ibu.
2 Mulakan dengan betul
Dalam usaha menyusukan
bayi, anda perlu belajar dan mempraktikkan ilmu yang diperolehi.
Untuk itu, keraplah menyusukan bayi. Hal ini penting untuk membantu
anda mengaplikasikan posisi penyusuan yang selesa dan pada masa yang
dapat memastikan bayi melekap dengan betul.
Ingatlah, bahawa salah
satu intipati kejayaan penyusuan susu ibu bergantung kepada kekerapan
penyusuan. Untuk itu, anda harus menyusukan bayi mengikut
keperluannya. Selanjutnya, anda digalakkan untuk tidur bersama bayi
(co-sleeping) sepanjang tempoh penyusuan agar berupaya untuk
menyusukan bayi pada masa-masa yang diinginkannya.
Sementara itu, anda
diingatkan agar tidak menggunakan puting kosong dalam usaha
menenangkan bayi yang meragam. Hal ini secara tidak langsung akan
menyebabkan bayi mengalami masalah keliru puting. Sama juga halnya
dengan penggunaan botol ketika menyusukan bayi. Alternatifnya, anda
boleh menggunakan picagari, sudu atau cawan khas bagi membolehkan
bayi meneruskan penyusuan susu ibu ketika anda tidak berada di
dengannya sepanjang tempoh bekerja.
3 Simpan stok susu
Bagi memastikan bayi
mendapat susu mencukupi sepanjang ketiadaan anda ketika bekerja,
pastikan stok perahan susu ibu yang ada memenuhi keperluannya.
Sewaktu berada di tempat kerja anda perlu menjalankan rutin memerah
susu supaya anda dapat menyimpan stok perahan susu ibu yang bukan
sahaja cukup untuk keperluannya esok hari malah untuk tempoh jangka
masa yang lebih panjang.
Dalam pada itu, anda
lebih disyorkan untuk memerah susu ibu menggunakan tangan menerusi
aplikasi teknik Marmet. Namun, jika kesuntukan masa dan/atau masih
belum mahir untuk melakukan teknik ini, anda boleh menggunakan pam
payu dara yang bersesuaian.
4 Peralatan penyusuan
berkaitan
Anda tidak perlu
membazirkan wang yang ada untuk membeli peralatan penyusuan tertentu
yang kadang kala tidak diperlukan langsung. Lebih baik wang itu
diperuntukkan untuk kegunaan lain yang lebih penting. Jika keliru
tentang peralatan penyusuan yang benar-benar perlu dimiliki, anda
boleh bertanya dan merujuk kepada para ibu lain yang telah berjaya
menyusukan bayi masing-masing. Kongsi pengalaman mereka dan jadikan
ia panduan untuk anda membuat keputusan yang tepat untuk diri dan si
manja.
5 Bincang dengan majikan
Amat penting untuk anda
mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan pihak majikan bagi
membolehkan anda menggunakan sedikit waktu daripada masa kerja untuk
melakukan rutin memerah payu dara. Ini bagi mengelakkan sebarang isu
tidak puas hati antara kedua-dua belah pihak.
Pada masa yang sama, anda
boleh mengutarakan pandangan kepada majikan untuk menyediakan ruangan
khas bagi membolehkan anda dan rakan-rakan lain yang turut sama
mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk memerah susu
ibu. Jika pandangan anda diterima baik oleh majikan, sudah pasti anda
dan yang lain boleh melakukan rutin harian itu dengan tenang yang
secara tidak langsung membantu pengeluaran susu yang lancar dan
berkesan.
6 Perah susu di pejabat
Anda amat digalakkan
untuk memahirkan diri mengamalkan teknik Marmet ketika memerah payu
dara. Namun, jika pam payu dara menjadi pilihan, gunakan pam yang
bersesuaian dengan corak kerja anda. Hal ini penting untuk memastikan
rutin mengumpul stok perahan susu ibu berjalan lancar tanpa perlu
menghadapi banyak masalah.
Sekiranya bekerja 8 jam
sehari, anda digalakkan untuk memerah payu dara sekurang-kurangnya 2
hingga 3 kali sepanjang tempoh berkenaan. Bagi yang perlu bekerja
untuk tempoh masa yang lebih lama daripada itu pula, tingkatkan
kekerapan sesi memerah payu dara.
7 Kurangkan tekanan
Sememangnya tugasan
pejabat agak melelahkan dan boleh membuatkan anda tertekan dan boleh
menyebabkan penghasilan susu ibu terjejas. Dengan melakukan rutin
memerah payu dara, anda akan lebih tenang! Ini kerana hormon yang
dirembeskan ketika itu menimbulkan ketenangan. Pasti prestasi kerja
anda lebih efektif apabila kembali melakukan tugasan pejabat. Tambah
tenang lagi jika sewaktu memerah payu dara, anda memandang potret
gambar si manja.
Antara lain, anda juga
boleh menutup lampu ketika melakukan rutin itu. Saat ini, bayangkan
bayi sedang menyusu sambil menutup mata. Anda pasti dapat mengumpul
amaun susu yang lebih banyak daripada biasa.
8 Makan secara sihat
Salah satu faktor
kejayaan penyusuan susu ibu secara eksklusif ialah menjaga dengan
teliti corak pemakanan seharian. Oleh itu, jangan sesekali
mengetepikan waktu makan utama iaitu sarapan, tengah hari dan malam.
Makanlah dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Anda digalakkan
untuk makan di atara waktu makan utama dengan mengambil snek
berkhasiat seperti buah-buahan segar dan sebagainya.
9 Ikut keperluan bayi
Dalam apa jua amalan yang
ingin dipraktikkan, pasti akan timbul masalah. Jangan khuatir. Setiap
masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Jika anda berhadapan dengan
masalah susu semakin berkurangan, ambil cuti dan luang lebih banyak
masa untuk menyusukan bayi secara eksklusif.
Jika sukar mengambil
cuti, anda perlu meningkatkan sesi memerah payu dara di pejabat. Di
rumah pun, anda perlu memerah payu dara untuk merangsang penghasilan
susu selain lebih kerap menyusukan bayi mengikut keperluannya.
Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..