Assalamualaikum semua.. Ada yang baru disahkan hamil??? Mengalami alahan atau morning sickness??? Selalunya ia dikaitkan ketika trimester pertama.. Tapi ada yang berlarutan lebih dari trimester kedua dan ketiga.. Maknanya ada yang hampir sepanjang mengandung mengalami morning sickness.. Bagi yang tidak mengalami masalah ini alhamdulillah..
 
Bagi yang mengalaminya ada sedikit panduan yang terbaca baru-baru nih dalam web majalah Pa & Ma.. Majalah atau laman web Pa & Ma nih memang amat sesuai bagi ibu-ibu baru yang mengandung dan juga keluarga yang mempunyai anak kecil.. Banyak info yang berguna boleh didapati di dalam laman web ini boleh dijadikan sebagai panduan kita..
 

 
 
 
Alahan yang melanda wanita hamil di awal usia kehamilan dikenali sebagai morning sickness. Bagaimanapun tidak bermakna alahan ini hanya datang pada waktu pagi sahaja.
 

Ada juga wanita yang mengalami morning sickness pada waktu malam bahkan ada juga yang terpaksa melaluinya sepanjang hari. Biasanya mabuk mengandung ini akan berakhir sebaik bakal ibu masuk ke usia trimester kedua.
 

Tetapi jangan terkejut kerana ada juga wanita hamil yang terpaksa menanggungnya sehingga ke saat melahirkan bayi. Pakar perubatan masih belum dapat mengenal pasti penyebab sebenar masalah ini.
 

Namun kebanyakan mengaitkan morning sickness dengan perubahan hormon estrogen yang meningkatkan fungsi deria bau sekali gus menimbulkan rasa mual dan loya.
 

Bagi mengatasi ketidakselesaan yang dialami, ikuti panduan berikut yang mungkin sedikit sebanyak membantu anda.
 

Langkah 1

Sekiranya mengalami morning sickness sebaik bangun daripada tidur, jangan terburu-buru untuk bangun. Cuba duduk terlebih dahulu kemudian bangun dan berdiri. Sediakan biskut rangup berhampiran tempat tidur kerana memakan biskut rangup membantu mengurangkan rasa loya.
 

Langkah 2

Setiap wanita hamil perlukan tambahan 300-500 kalori sehari. Bagi memenuhi keperluan ini, digalakkan makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Mengambil makanan yang banyak dalam satu hidangan hanya membuatkan anda mual.
 

Langkah 3

Elakkan makanan yang menimbulkan loya seperti berempah, berlemak, berminyak, pedas dan tinggi kandungan asid.
 

Langkah 4

Peppermintatau halia membantu mengurangkan morning sickness. Nikmati teh peppermint atau halia bahkan boleh mencuba biskut berasakan perasa itu. Ia meninggalkan kesan melegakan ke atas perut anda.
 

Langkah 5

Minum air dalam jumlah yang mencukupi bagi menghindarkan dehidrasi akibat terlalu kerap muntah. Elakkan minuman berkafein atau berkarbonat.
 

Langkah 6

Makan makanan tinggi protein sebelum tidur. Ia membantu meningkatkan paras gula dalam darah dan mengatasi rasa mual.
 

Langkah 7

Elakkan daripada amalkan dan minum secara serentak. Makanan dan minuman yang bercampur di dalam perut secara tidak langsung meningkatkan rasa loya.
 

Langkah 8

Rehat seketika! Tenaga yang dicas semula ketika berehat dapat melegakan rasa loya yang dialami. Stres hanya akan menambahkan masalah loya yang dirasai.
 

Langkah 9

Vitamin B6 sangat efektif untuk mengurangkan rasa mual. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik di barat mendapati wanita yang mengambil multivitamin khusus untuk wanita hamil sebelum mengandung boleh mengurangkan simptom morning sickness daripada lebih teruk.
 

Langkah 10

Kadang kala bau masakan boleh menyebabkan rasa loya. Jadi semasa memasak pastikan pengudaraan di kawasan dapur adalah baik bagi mengelakkan rasa loya dan mual.