Assalamualaikum semua.. Ada di antara kita suka makan buah beri dan tidak kurang juga tidak suka makan buah beri kerana rasanya yang sedikit masam.. Apa kata hari nih kita cuba mulakan memakan buah beri, banyak khasiat yang kita boleh perolehi darinya..
 
 
 
Biarpun saiznya kecil namun khasiat buah beri sangat banyak kepada si pemakan. Buah beri mengandungi antosanin dan paras antioksida yang tinggi.
 

Ia juga kaya dengan sumber fiber untuk membantu sistem penghadaman yang sihat serta Vitamin C yang bukan sahaja membantu meningkatkan sistem imunisasi, malah membuatkan kulit anda sihat berseri.
 

Berikut adalah beberapa kategori buah beri serta kebaikannya.
 
 
Acai Beri

Buah unik ini berasal dari hutan hujan Amazon, dipercayai sebagai salah satu makanan yang paling berkhasiat di dunia. Ia kaya dengan antosanin malahan acai beri dianggap sebagai wira di kalangan buah beri kerana mampu meningkatkan tahap tenaga, kesihatan mental dan sistem imunisasi. Ia juga membantu menambahbaik penghadaman, peredaran darah dan tidur di samping membantu mengurangkan berat badan, menjana jantung yang sihat dan kulit yang berseri-seri.
 
 
Blueberi

Pigmen yang terdapat di dalam buah ini kaya dengan khasiat antioksida, Vitamin C dan E. Buah ini juga mengandungi kepekatan pati antosanin yang tinggi iaitu sejenis sebatian yang membantu melindungi daripada sakit jantung, kanser dan gejala penyakit berkaitan usia seperti kabur penglihatan dan hilang daya ingatan jangka pendek.
 
 
Mulberi

Kelebihan mulberi kerana ia merupakan sumber 'resveratrol' yang baik, iaitu satu bahan yang dipercayai dapat membantu mencegah kanser dan memanjangkan usia. Ia kaya dengan Vitamin C dan biasanya digunakan untuk mengubati demam dan selesema.
 

Mulberi juga digunakan sebagai ramuan dalam ubatan Cina untuk membersihkan darah dan hati, menguatkan buah pinggang serta pendengaran dan juga penglihatan. Memandangkan mulberi mempunyai kandungan zat besi yang tinggi, ia juga digunakan untuk merawat gejala penyakit anemia.
 
 
Rasberi

Terkenal dengan identiti manis, wangi dan kaya dengan vitamin dan fiber. Rasberi membantu memperlahankan proses penghadaman dan mengekalkan kadar metabolisme yang tinggi dan seterusnya membantu tubuh membakar lemak. Rasberi juga terkenal dengan khasiat anti-kanser yang handal.
 
 
Kranberi

Buah ini kaya dengan Vitamin C, kranberi digunakan untuk merawat jangkitan terutamanya jangkitan pada saluran kencing. Selain daripada kaya dengan antioksida yang mampu mencegah penyakit jantung, ulser dan kanser dengan berkesan, buah ini juga membantu merawat serangan asma, mengurangkan kolesterol dan melindungi otak daripada kerosakan saraf berkaitan dengan usia.