Ketika hamil, wanita perlukan nutrien secukupnya agar diri dan bayi dalam
kandungan sihat. Kekurangan sesetengah nutrien penting boleh menyebabkan
kandungan bermasalah. Antara yang perlu diambil berat ialah tentang pengambilan
iodin. Ikuti kupasan lanjut tentang hal ini oleh Profesor Creswell J. Eastman,
Perunding Perubatan Endokrinologi dari Universiti Sydney, Australia.
Menurut Prof. Eastman, iodin penting bagi wanita hamil untuk
mengelakkan bayi dalam kandungan mengalami masalah. Katanya, iodin perlu untuk
perkembangan otak dan sistem saraf bayi yang normal terutamanya ketika masih
dalam kandungan. Dan keperluan ini berlanjutan sehinggalah kanak-kanak tersebut
berusia dua hingga tiga tahun.
Tambah beliau lagi, wanita hamil dan bayi memerlukan iodin
untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon inilah yang akan menyokong pertumbuhan
dan perkembangan kanak-kanak pada tahap yang normal. Selain itu, hormon tiroid
ini dapat membantu mengekalkan tahap metabolisme badan.
Kekurangan iodin juga boleh menyebabkan paras tiroksin rendah
yang akan merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak. Jadi, sangat
penting memastikan bayi dalam kandungan dan kanak-kanak mendapat iodin
secukupnya. Untuk pengetahuan, lazimnya, iodin tidak disimpan dalam tubuh dan
perlu diambil setiap hari. Makanan yang mengandungi iodin ialah seperti makanan
laut, susu dan produk tenusu. Bagi wanita hamil yang ‘vegetarian’, pengambilan
susu yang secukupnya penting bagi memastikan kuantiti iodin yang mereka dapat
menampung keperluan harian.
“Wanita hamil dan wanita yang menyusukan perlukan iodin lebih
banyak daripada orang biasa,” kata Prof. Eastman yang turut bekerjasama dengan
Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam
menghasilkan kajian mengenai Kekurangan Iodin dalam Kanak-kanak (IDD).
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, kekurangan iodin akan
menyebabkan pelbagai masalah kepada bayi yang baru lahir. Antaranya ialah
terencat akal, pembesaran terbantut, pekak, bisu dan lemah anggota badan. Oleh
sebab itu, pengambilan iodin sepanjang tempoh kehamilan sangat penting.
Ketahuilah bahawa tubuh hanya perlukan sedikit iodin dan bahan ini wujud dalam
kebanyakan makanan.
INFO:
Iodin merupakan nutrien penting bagi manusia untuk merangsang
proses tumbesaran, perkembangan saraf dan pembentukan sel otak bayi dalam
kandungan dan kanak-kanak. Pun begitu, kuantiti yang diperlukan sangat sedikit
iaitu sebanyak 150mikrogram (µg) setiap hari bagi orang dewasa. Majlis
Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Negara dan Kementerian Kesihatan New
Zealand menyarankan agar wanita hamil mengambil sebanyak 220µg iodin setiap
hari. Manakala bagi wanita yang menyusukan bayi, dicadangkan agar mengambil
sebanyak 270µg setiap hari.
Kekurangan iodin bagi wanita hamil boleh mengakibatkan:
- Gangguan terhadap perkembangan otak bayi dalam kandungan
- Keguguran
- Kematian bayi dalam kandungan
- Mati semasa dilahirkan
- Kelahiran anak yang juga kurang iodin
Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/pentingnya-iodin-semasa-hamil-1.136608
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..