29 November 2012

Redakan Senak Perut

 

Jika anda berhadapan dengan masalah senak perut dan selalu sendawa angin, petuanya tradisional ini mungkin dapat membantu.

Caranya ialah dengan merebus empat atau lima tangkai cili kering (tangkainya sahaja) bersama dua ulas bawang putih dan tiga cawan air. Campurkan sedikit halia bersama rebusan tersebut. Minumlah beberapa kali. Mudah-mudahan anda cepat sembuh. 







boleh try cuba nih..salah makan ja mesti nak berangin ja perut nih..tak boleh langsung makan makanan yang berangin mesti jadi..

26 November 2012

Rehat Selepas Bersalin


Proses melahirkan memang memenatkan. Oleh yang demikian, rehat yang cukup sangat diperlukan.

Diakui, pada hari-hari pertama selepas bersalin, anda kurang tenaga. Walaupun melakukan kerja-kerja yang ringan, anda akan cepat penat. Kehilangan banyak tenaga semasa proses kelahiran menyebabkan anda lesu dan tidak bermaya. Untuk menggantikan tenaga yang hilang itu, anda perlukan masa yang agak panjang. Jadi, bersabarlah.

Disebabkan oleh keadaan fizikal yang masih lemah, jangan sesekali anda memaksa diri membuat pelbagai kerja rumah. Gunakan masa yang ada untuk berehat dan mengembalikan tenaga yang hilang. Anda dinasihatkan agar cukup tidur. Maknanya ketika bayi tidur, anda pun kena tidur dan bukan membuat kerja-kerja rumah.

Sekiranya ada pembantu rumah, tentu hal urusan rumah tangga tidak akan mendatangkan masalah. Semuanya ada orang yang bereskan. Tetapi, bagi yang tidak ada pembantu, janganlah malu untuk meminta bantuan suami, keluarga atau saudara-mara. Mereka tentu faham.

Setelah beberapa minggu bersalin, anda pasti sudah semakin sihat dan bertenaga. Namun, ini bukanlah bererti anda boleh terus bekerja sesuka hati. Anda masih tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Lakukan kerja secara berperingkat-peringkat. Akan tetapi, jangan mengangkat barang-barang yang berat atau yang memerlukan tenaga yang banyak dalam tempoh enam minggu selepas bersalin. Ikut kata tubuh. Jika penat berhenti dan jangan memaksa diri.

Kesihatan emosi
Kehadiran cahaya mata sememangnya menggembirakan. Lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun menanti. Namun, di sebalik kegembiraan itu, wujud pelbagai perasan. Antaranya rasa bimbang. Bimbang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya. Rasa tertekan pula muncul setelah berhadapan dengan suasana baru yang pada tentunya sedikit kelam-kabut dan mengundang macam-macam masalah. Akibatnya, diri mulalah dibelenggu kemurungan. Semua ini ada kaitannya dengan mainan emosi. Tahu kah anda bahawa semasa dalam pantang, emosi perlu dijaga. Ketika inilah bantuan seluruh ahli keluarga diperlukan. Suami mesti sentiasa berada di sisi membantu melaksanakan tanggung jawab baru bersama-sama.

Makanan berkhasiat
Selain rehat yang cukup, aspek pemakanan perlu dijaga. Pengambilan makanan yang kaya khasiat pada minggu-minggu awal selepas bersalin penting untuk mengembalikan kecergasan diri dan menyembuhkan luka. Selain makanan, ibu dalam pantang turut disarankan agar minum banyak air bagi menggantikan cecair yang hilang dari tubuh dan membekalkan susu yang mencukupi untuk bayi.  

Info tambahan:
Secara umumnya, anda perlukan di antara empat hingga enam minggu untuk rasa segar semula. 




12 November 2012

Pasangan Anda Curang???


Tiada siapa yang layak untuk disakiti tetapi kecurangan boleh berlaku pada sesiapa atau pada bila-bila masa tidak kira anda pasangan baru atau lama. Bagaimana anda menghadapinya? Ya, anda boleh menjerit dan menangis tetapi pastikan anda bertindak rasional juga! 

Bagaimana berhadapan dengan pasangan curang?
  • Buktikan
Jika anda rasa pasangan ada hubungan sulit, buktikan. Cari gambar, emel, surat, sms dan lain-lain yang berkaitan untuk dijadikan bukti kerana mudah bagi pasangan anda untuk menafikannya jika tiada bukti kecurangan mereka.
  • Bersemuka
Setelah mendapat bukti, anda perlulah bersemuka dengan pasangan. Terpulanglah pada anda untuk memilih lokasi yang sesuai bagi meluahkan yang anda rasa. Yang pentingnya dia tahu perasaan anda.
  • Berbincang
Kemudian, tanya padanya mengapa hal ini boleh berlaku. Suruh dia nyatakan sebab-sebab mengapa dia memilih untuk curang kepada anda. Dengar segala penjelasannya. Pastikan anda bertenang ketika ini.
  • Berfikir dengan tenang
Setelah mendengar penjelasan pasangan, bertenang. Jangan cepat marah. Tarik nafas panjang-panjang. Jika anda bekerja, ambil cuti dan pergilah ke tempat yang boleh memberikan ketenangan pada anda. Gunakan masa tersebut untuk memikirkan kembali setiap kata-kata yang  diucapkan oleh pasangan tentang kelemahan anda. Berfikir secara rasional dan bukan ikut perasaan.
  • Cari jalan penyelesaian
Berusahalah untuk mencari penyelesaian masalah tersebut. Akan tetapi sekiranya anda gagal mencari penyelesaian sendiri, mintalah bantuan individu yang anda percaya. Seeloknya biarkan orang itu bersifat neutral iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak.
  • Buat keputusan
Setelah mendapat cara untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu, berbincang kembali dengan pasangan. Tanya pendapatnya pula. Sebaiknya cubalah untuk selamatkan rumah tangga anda yang telah dibina bersama.


Dia ada orang lain?

7 tanda pasangan anda mungkin ada orang lain.

1 Lihat dirinya. Adakah wujud sebarang perubahan? Bagaimanakah cara dia melayan anda? Lebih romantik daripada biasa atau sama seperti dahulu. Kalau bertambah romantik, memang bagus. Tapi, mungkin juga rasa itu timbul akibat rasa bersalahnya terhadap anda kerana dia telah menjalinkan hubungan lebih daripada sepatutnya dengan orang lain.

2 Selain berubah menjadi lebih romantik, pasangan anda juga mula pandai memberi anda hadiah. Kalau dulu, belikan jambangan bunga dianggap membazir, kini tidak lagi. Katanya sebagai tanda sayang dan bunga tu kan cantik. Jika ini berlaku, maka cuba-cubalah cari mana yang tak kena.

3 Sekiranya pasangan anda sudah mula balik lewat dan sering ke luar daerah. Belajarlah untuk meragui semua tindakannya itu. Sebaik-baiknya telefon tempat kerjanya dan bertanyakan jadual kerjanya. Benar kah dia ditugaskan ke luar daerah. Jika betul, syukurlah kerana dia memang buat kerja. Tapi, jika tidak, selidiklah lebih dalam. Ke mana dia sebenarnya?

4 Untuk kepastian dia tidak mempunyai hubungan ‘gelap’ di luar, sekali-sekala periksalah telefon bimbitnya. Lihat semua panggilan yang dibuat dan diterima. Lihat juga sistem pesanan ringkasnya. Ada tak mesej yang boleh diragui? Sebenarnya, perlakuan seperti ini tidak elok kerana anda mengganggu hak peribadi seseorang. Tapi, harus diingat, orang itu adalah pasangan anda yang sah. Jadi, apa salahnya. Semua ini ada lah untuk memastikan kebahagiaan rumah tangga yang telah dibina atas keinginan kedua-dua belah pihak.    

5 Anda juga perlu khuatir jika kebelakangan ini dia sering kehabisan duit gajinya walaupun bulan belum ke penghujungnya. Cari jalan untuk tahu ke mana dia membelanjakan wangnya itu.

6 Kalau pasangan anda sudah mula ‘pasang badan’ pun anda perlu selidik. Kalau benar berubah untuk anda, baguslah. Tapi, kalau untuk orang lain, berhati-hatilah. Buatlah apa yang anda rasakan perlu.

7 Jadilah lebih teliti semasa mencuci pakaian. Perhatikan pada pakaian pasangan, ada tak tanda-tanda yang boleh menimbulkan syak wasangka seperti tanda-tanda gincu bibir atau bau-bauan yang lain daripada biasa.




sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/pasangan-anda-curang-1.84605

08 November 2012

5 Info Atasi Tidur Lena Bagi Ibu Mengandung




 1  Jika kaki kejang, tekan kaki pada dinding. Selain itu, pastikan anda mendapat cukup kalsium agar masalah ini dapat dikurangkan.

 2  Posisi terbaik untuk tidur mengiring dengan lutut separuh membengkok. Ini membolehkan jantung anda bekerja dengan lebih baik agar berat janin tidak menekan pembuluh darah utama.

 3  Sekiranya anda sakit belakang, letakkan lebih bantal semasa berbaring. Letakkan satu bantal di bawah perut, celah kedua-dua kaki, bahagian bawah belakang dan satu lagi di bahagian kepala.

 4  Mengurangkan minum air terutamanya yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi sebelum masuk tidur dapat mengelakkan anda kerap bangun tidur untuk membuang air kecil.

 5  Cuba tidur secara mengiring ke sebelah kiri untuk membantu pengaliran darah dan oksigen ke plasenta.




07 November 2012

Agenda Cuti Sekolah



Cuti sekolah datang lagi. Mana lebih baik jika anda suami isteri bekerja? Hantar anak ke nurseri atau tinggalkan dia di rumah bersama pembantu rumah atau tinggalkan di kampung untuk dijaga oleh nenek atau datuk? Tidak tahu mana satu yang ingin dipilih? Ketahuilah pro dan kontranya.
 
Nurseri
Kebaikan:
  • Masa anak-anak pasti terisi dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama rakan sebaya.
  • Aktiviti-aktiviti yang dijalankan lebih sistematik di bawah tunjuk ajar guru yang bertauliah.
  • Keselamatan anak terjamin kerana mereka dikawal rapi pengasuh terlatih.
  • Anak-anak lebih berdisiplin kerana jadual harian mereka telah diaturkan.
 Keburukan:
  • Anak akan rasa bosan kerana masih perlu ke nurseri setiap hari walaupun waktu cuti sekolah.
  • Mudah diserang penyakit biasa kanak-kanak seperti selesema, batuk dan demam.
  • Anak-anak akan mudah terpengaruh dengan perangai buruk rakan sebaya.
  • Anak mungkin akan rasa sedikit tertekan kerana tidak semua rakannya datang ke nurseri ketika cuti sekolah.

Di rumah bersama pembantu rumah
Kebaikan:
  • Anda tidak perlu tergesa-gesa keluar rumah awal untuk ke tempat kerja kerana tidak menghantar anak ke nurseri.
  • Anak juga tidak perlu bangun awal untuk ke nurseri.
  • Kesihatan anak akan lebih terjamin kerana dia tidak terdedah kepada persekitaran yang tidak menentu.
  • Anak anda akan dapat perhatian khusus daripada pembantu kerana tidak perlu berkongsi dengan kanak-kanak lain seperti yang berlaku di nurseri.
Keburukan:
  • Anak pasti akan rasa bosan kerana tidak ada aktiviti tertentu yang dapat mereka lakukan.
  • Mereka juga mungkin rasa terkongkong kerana tidak dapat keluar rumah.
  • Biasanya, masa mereka akan dipenuhi dengan hanya menonton televisyen atau bermain permainan video.
  • Dia juga berpotensi menjadi seorang pemarah atau ‘moody’ kerana tidak suka tinggal di rumah tanpa kawan-kawan untuk bermain.
  • Dikhuatiri anak didera oleh pembantu rumah.

Tinggal di kampung
Kebaikan:
  • Anak tidak akan rasa bosan kerana banyak aktiviti baru dapat dilakukannya.
  • Anak dapat belajar gaya hidup masyarakat kampung.
  • Anak belajar berdikari kerana berjauhan dengan ibu bapa.
Keburukan:
  • Dikhuatiri kehadiran akan menyusahkan datuk dan nenek di kampung.
  • Keadaan persekitaran kampung yang agak luas menyukarkan datuk dan nenek mengawasi mereka sepanjang masa.
  • Anak akan berbuat sesuka hati kerana tahu datuk dan nenek tidak akan memarahi mereka.


Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/agenda-musim-cuti-sekolah-1.99711