Showing posts with label diet. Show all posts
Showing posts with label diet. Show all posts

11 August 2014

Tip Diet : Makan Sarapan Pagi Secepat Mungkin


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.. Selamat bertugas kembali bagi yang bekerja.. Yelah dah cuti dua hari kan dihujung minggu..

Ada sesiapa yang nak diet selepas raya? Mesti ada kan? Mana taknya, asyik berkunjung ke rumah sanak saudara beraya dan memenuhi majlis rumah terbuka sini sana.. Mungkin ada yang berasakan ada peningkatan berat badan.. Rasa nak kurangkan dengan berdiet, tapi tak tahu caranya..

Meh saya berkongsi hasil pembacaan di fb milik Kevin Zahri.. Mungkin berguna buat korang..



Okeylah selamat berdiet ya.. Harap-harap ianya berguna ya..


23 September 2013

Atasi Nafsu Makan




Jika anda tidak mengawal nafsu makan yang berlebihan, segala usaha untuk menurunkan berat badan hanya sia-sia. Ini kerana jumlah kalori yang masuk ke dalam badan lebih banyak daripada yang dikeluarkan. Untuk atasi nafsu makan yang berlebihan, cubalah tip ini:

 

Tetapkan tujuan diet anda

Tentukan berapa lama masa yang anda perlu untuk mencapai target program diet yang anda lakukan. Anda juga boleh memastikan target anda boleh Berjaya dalam jangka masa pendek.

 

Sarapan

Jika anda melewatkan waktu sarapan, badan akan kekurangan glukosa yang diperlukan untuk melakukan aktiviti atau senaman. Biasanya, seseorang akan mengambil minuman soda atau mengandungi karbohidrat yang tinggi setelah mereka melewatkan sarapan.

 

Tunggu seketika

Perut anda mengambil masa selama 10-20 minit untuk member isyarat kepada otak bahawa anda kekenyangan. Oleh itu, sebelum makan minumlah segelas air putih dan sudah tentu anda hanya menghabiskan satu hidangan kecil makanan sahaja.

 

Lakukan aktiviti selepas makan

Aktiviti  ringan mampu mengelakkan keinginan untuk makan. Cukuplah aktiviti ringan ini seperti menelefon klien, mencari bahan di internet atau menyelesaikan tugasan kerja di pejabat yang tertunda. Ini boleh membuatkan anda fokus dan lebih peka. 






Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/atasi-nafsu-makan-1.198258


06 October 2011

6 Langkah Elak Makan Berlebihan


Jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulu, kita terlalu mudah mendapatkan segala macam jenis makanan di sekeliling kita. Sebut sahaja apa jenis makanan pun, pasti kita tahu di mana untuk mendapatkannya. Selain itu, tekak dan perut seolah-olah selalu ‘meminta-minta’ agar diisi walaupun baru seketika selepas kita menikmati hidangan yang lazat.


Jika anda ingin menurunkan berat badan untuk mendapatkan badan yang sihat dan cantik, anda perlu mengetahui isyarat-isyarat yang terdapat pada badan anda. Anda juga perlu mengawal isyarat-isyarat ini supaya anda tidak menerima isyarat yang salah. Jika anda sudah mengenali isyarat-isyarat ini, anda akan berjaya mengawal minda dan tekak anda dalam pemilihan dan corak pemakanan harian anda.

Berikut dikongsikan 6 tips untuk mengenali rasa lapar anda supaya anda boleh mengawal kalori yang anda ambil dan mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan:

 1  Gunakan skala kelaparan

Adakah anda benar-benar tahu bagaimana rasa lapar yang sebenar? Adakah setiap kali anda berasa lapar anda terus mencari makanan? Anda perlu mengenali isyarat fizikal pada badan anda yang menunjukkan keperluan sebenar badan anda. Sebelum anda makan, cuba anda menilai skala kelaparan untuk mengetahui keperluan makanan yang sebenar seperti berikut:
  • Rasa tidak selesa, tidak boleh fokus dan ditambah dengan rasa sakit kepala atau rasa gelisah. Ini disebabkan kandungan gula dalam badan yang rendah kesan daripada kurangnya pengambilan makanan. Situasi ini boleh mendorong anda untuk makan dengan jumlah yang banyak.
  • Anda sudah fikir apa makanan yang anda ingin makan selepas ini. Jika anda tidak makan dalam masa sejam pada waktu tersebut, anda mungkin akan masuk ke dalam tahap ‘sangat lapar’ seperti di atas.
  • Perut anda mula berbunyi dan anda sudah memikirkan untuk mengisi perut anda yang kosong itu. Ini adalah masa yang terbaik untuk anda makan.
  • Anda berasa kenyang; bukan terlalu kenyang dan tidak berasa lapar. Anda rasa tenang dan selesa dan tidak terfikir tentang snek atau minum petang.
  • Jika anda masih lagi makan pada waktu ini, anda telah makan di luar rasa lapar dan keperluan anda. Perut anda akan berasa penuh dan rasa makanan yang anda suapkan ke mulut itu tidak lagi sesedap seperti suapan pertama anda
  • Anda berasa tidak selesa dan rasa pedih ulu hati berpunca dari asid perut yang menganggu kawasan esofagus anda.

 

 2  Makan setiap 4 jam

Masih tidak boleh meneka bagaimana rasa lapar yang sebenar? Cuba setkan jam anda. Kebiasaanya, rasa sederhana lapar bertukar kepada terlalu lapar berlaku dalam tempoh 4 – 5 jam selepas anda menikmati makanan yang seimbang. Jika anda menunggu terlalu lama untuk makan, ia boleh menyebabkan anda berasa terlalu lapar dan terburu-buru mencari makanan. Ini boleh menjejaskan pemilihan makanan anda pada waktu itu. Makan pada waktu yang tetap akan membuatkan tahap gula dalam darah dan tenaga anda sentiasa berada dalam keadaan stabil.


Jika anda berasa lapar di antara waktu makan anda, makan snek 150 kalori boleh membantu anda untuk menghilangkan rasa lapar anda itu. Anda boleh mencuba makan makanan serat penuh seperti buah-buahan dan kekacang tanpa garam. Makanan seperti ini mengandungi kandungan fiber dan air yang membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh yang panjang.

 

 3  Tidak skip sarapan

Kajian terhadap 900 orang dewasa mendapati mereka yang makan sarapan yang seimbang mengandungi lemak, protein, dan karbohidrat di waktu pagi berasa selesa dan tidak mudah lapar sepanjang hari berbanding mereka yang meninggalkan sarapan pagi.


Jika anda berasa sangat lapar sebelum waktu tengahari, ia mungkin disebabkan oleh tidak bersarapan. Oleh itu anda perlu makan sekurang-kurangnya makanan yang mempunyai 250 kalori setiap pagi dengan beberapa cara mudah:
  • Sediakan sarapan sebelum anda tidur. Anda perlu merancang sarapan anda supaya anda boleh membelinya dengan lebih awal seperti roti serat penuh, buah-buahan, dan lain-lain.
  • Sediakan sekotak bijirin atau sebungkus oat dengan susu rendah lemak atau susu soya di tempat kerja anda sekiranya anda tidak sempat bersarapan di rumah.
  • Makan sarapan sedikit lewat jika perut anda tidak boleh menerima makanan di awal pagi. Sarapan pada pukul 9 atau 10 pagi masih boleh membantu anda untuk sentiasa bertenaga dan selesa sepanjang hari.

 

 4  Makan makanan rendah kalori

Makanan yang mengandungi kandungan air yang tinggi boleh membantu anda mengelakkan rasa lapar dengan cepat. Di dalam satu kajian mendapati seseorang yang makan makanan yang mengandungi cecair yang tinggi akan makan kurang 21% berbanding mereka yang makan makanan yang rendah kandungan cecairnya.


Anda boleh mencuba corak pemakanan yang dicadangkan seperti di berikut:
  • Untuk makan malam, anda disarankan untuk menambah pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran bersama hidangan makan malam anda. Daging putih seperti ikan juga sangat baik untuk badan anda.
  • Pilih buah-buahan segar berbanding buah-buahan yang dikeringkan. Kalori kedua-dua jenis buahan ini adalah sama, tetapi dengan makan buah-buahan segar yang kandungan airnya tinggi, ia seperti anda telah minum secawan penuh jus anggur. Anda akan berasa lebih kenyang berbanding makan makanan kering dalam jumlah yang sama.

 

 5  Makan snek yang kaya dengan fiber

Fiber boleh membantu anda untuk berasa kenyang dengan cepat dan untuk jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana badan anda perlu memproses makanan yang tinggi fiber ini dengan lebih perlahan. Ini menyebabkan anda akan berasa kenyang hampir sepanjang hari. Makanan yang kaya dengan fiber ini juga mengandungi kandungan kalori yang rendah.  Selain itu, antara kebaikan fiber juga ia dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes dan penyakit jantung.


Anda boleh mencuba makan sekurang-kurangnya 25g fiber setiap hari seperti tips berikut:
  • Masukkan buah-buahan seperti epal dan lobak merah yang kaya dengan fiber ke dalam makanan dan snek anda.
  • Cuba gantikan makanan yang anda selalu makan seperti roti dan nasi dengan makanan yang mempunyai serat penuh seperti roti serat penuh dan bijirin penuh.

 6  Tambahkan protein sihat ke dalam makanan harian


Kajian terhadap 46 orang wanita yang sedang berdiet mendapati, 30% atau 18% daripada kalori yang diambil dari makanan adalah dari sumber protein. Makanan yang kaya dengan protein ini sebenarnya juga boleh membantu mengenyangkan dan mengurangkan rasa lapar. Selain itu, selepas 12 minggu, wanita-wanita ini akan meperolehi bentuk badan yang cantik hasil dari diet sihat mereka.


Anda juga boleh mencuba menambahkan pengambilan protein seperti berikut:
  • Tambahkan sehidang makanan protein sihat seperi putih telur atau tuna atau sepotong ayam tanpa kulit di setiap waktu makan anda. Anda boleh minum bersama susu soya yang rendah lemak dan tinggi kandungan fiber dan proteinnya.



Sumber dari http://kevinzahri.com

29 September 2011

10 Fakta Diet


Tubuh yang langsing merupakan igauan setiap gadis.Tapi adakah impian itu akan terlaksana sekiranya kamu menahan diri dari makan.10 tips penting untuk memiliki tubuh yang cantik dan langsing.




*  1) Minum air sebelum pengambilan makanan .Kamu akan merasa cepat kenyang dan tidak perlu lagi makan lebih banyak.

*  2) Lakukan sesuatu! Gunting gambar baju yang kamu sukai.Dan jadikan ia sebagai inspirasi untuk kamu menguruskan badan.Tanamkan dalam diri kamu bahawa baju yang kamu sukai itu akan dapat kamu pakai.


*   3) Belajar untuk menggemari pelbagai jenis rempah ratus seperti halia, cili api, cili merah, dan lada hitam kerana kesemuanya mendorong pembakaran lemak sehingga 25%.    


*   4) Tidur cukup membuatkan kamu akan terasa kurang makan. University of Chicago, baru-baru ini merumuskan bahawa metabolisme wanita meningkat 40% jika tidur dengan cukup.

*   5) Jangan lupa membuat catatan saat membeli-belah untuk mencegah pembelian barang-barang yang tak diperlukan. Dengan cara ini keinginanmu akan terbatas dan kamu tidak perlu lagi membeli sebarang makanan ringan yang boleh menaikkan berat badanmu.

*   6) Hindari karbohidrat kompleks. Jangan sentuh alkohol, roti dan karbohidrat kompleks.



*   7) Hindari makan ketika malam.Para pakar diet mengatakan ruangan gelap dan kegelapan malam boleh membuatkan kiat makan berlebihan. Cubalah tidur lebih awal. Nyalakan lampu yang terang ,ini akan membuatkan kamu menjadi riang.

*   8) Jangan lupa sarapan. Kamu perlukan tenaga yang lebih untuk bekerja di siang hari. Jangan biarkan perut kamu lapar kerana ia akan menyebabkan kamu makan secara berlebihan.

*  9) Kurangkan makan makanan ringan dan aiskrim yang boleh membuatkan kamu ketagih untuk mengunyah.

*  10) Makan dalam pinggan yang kecil dan belajar makan dalam jumlah yang sedikit.  
 



Sumber dari http://sitirokiah.tripod.com



  


12 September 2011

Diet mengikut jenis darah


Diet berdasarkan golongan darah pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Peter J.D´Adamo yang menjalankan penelitian pada setiap jenis darah yang menunjukkan kesan fisiologi berlaku terhadap lektin yang masuk dalam tubuh badan. Lektin adalah protein yang terdapat pada makanan, khususnya tumbuhan kekacang. Setiap protein makanan yang diserap tubuh, menurutnya hanya sesuai dengan jenis darah tertentu.


Dalam bukunya, “Eat Right For Your Type” yang diterbitkan pada tahun 1996 menerusi kajian yang dijalankan bertahun-tahun itu menjelaskan bahawa setiap individu memiliki tindakbalas yang berbeza terhadap makanan berdasarkan jenis darah yang dimiliki. Menurutnya, diet yang tidak berjaya berkait rapat dengan perkaitan ini dengan menambah bahawa lektin makanan yang tidak serasi dengan jenis darah tertentu akan membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan individu antaranya penggumpalan sel darah merah dan pelbagai komplikasi lain.


Ini berbeza dengan pengambilan makanan yang sesuai dengan jenis darah kerana ia memberikan kesan positif antaranya keadaan emosi yang lebih stabil, mudah mengatasi tekanan dan peningkatan daya tahan lawan penyakit. Selain itu pengambilan makanan yang bersesuaian dengan jenis darah juga dipercayai dapat mengembalikan fungsi sistem tubuh dan memperbaiki metabolisma tubuh.



Darah terdiri daripada empat jenis iaitu A, B, AB dan O.



DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘A’
Dr. Peter J.D´Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit. Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain. Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan.


Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas. Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya. Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.


Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.


Ciri khas individu jenis darah A:
• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
• Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
• Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
• Cukup beristirehat


Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan : Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
Snek: Jus anggur / kopi
Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
Makan Malam : Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba



DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘B’
Berbeza dengan individu darah jenis A, individu darah jenis B lebih fleksibel. Teori Dr. Peter J.D’Adamo menyarankan golongan jenis darah ini menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.


Ciri khas golongan darah B:
• Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
• Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
• Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi.
• Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.

Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.


Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali ‘blue chesse’ dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.

Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.


Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak
Snek: Jus anggur
Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba
Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba
Makan Malam : Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba



DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘AB’
Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan darah jenis A dan B. Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan. Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk.


Golongan daripada jenis darah ini, harus menghadkan pengambilan daging lembu, udang dan ikan laut, susu dan semua produk susu serta daging yang diproses. Makanan berasaskan kekacang pula perlu diambil dalam kuantiti sedikit. Kurangkan pengambilan berasaskan gandum seperti roti, kek, kuih-muih dan pasta.


Ciri khas individu jenis darah AB:
• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
• Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan


Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan : Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju
Snek : Yogurt
Makan Tengahari : Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba
Snek: Kek keju dan teh herba
Makan Malam : Omelet dan salad buah serta kopi



DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘O’
Dr. Peter J.D´Adamo menyarankan agar pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum. Beliau turut menyarankan agar pemilik darah jenis ini menghadkan pengambilan buah-buahan.


Pemilik darah jenis O harus menghindari semua jenis bijirin, pasta dan nasi. Dr. Peter J.D´Adamo turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu dihindar seperti sayur brokoli, sawi, taugeh, terung, cendawan, dan kentang. Bagi pemilik darah jenis ini, telur, susu, gandum dan kekacang tidak diperlukan memandangkan tubuh telah mendapat khasiat daripada sumber daging.
Hindari jeruk kerana ia mampu mendatangkan keracunan usus kepada golongan darah jenis ini.


Ciri khas golongan darah O:
• Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
• Mudah mengadaptasi berbagai makanan
• Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
• Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
• Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian


Menu diet yang dianjurkan:
Sarapan : Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang
Snek : Teh herba
Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal
Snek : Sepotong kuih
Makan Malam : Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba


Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Peter J.D´Adamo ini adalah suatu yang baru dan masih terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat.

Pemakanan sihat hakikatnya adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian dan pada masa yang sama, mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit yang berkaitan dengan pemakanan tanpa mengira jenis darah individu. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat. Justeru, terpulanglah kepada anda sama ada ingin mengadaptasi saranan Dr. Peter J.D´Adamo ataupun tidak.



Susunan NOORZIHAN MOHAMED YIN


Sumber: http://www.iedaluvsham.com






22 June 2011

10 Tip Diet Praktis


Walau di manapun anda berada, diet tetap diet. Jangan mengabaikan diet anda gara-gara majlis makan malam atau hidangan makanan lazat yang dijamu di depan mata. Satu yang anda harus ingat, diet perlu dijadikan keutamaan. Cuba praktikkan tip diet ringkas di beberapa tempat yang anda fikirkan banyak halangannya untuk berdiet. Ketepikan semua yang membebankan anda sebelum ini dan atur diet anda dengan sempurna walau dimanapun anda berada.

DI PEJABAT

1 Lebihkan Air Kosong
banyakkan minum air terutama air kosong. Air kosong sememangnya baik untuk kesihatan dan peredaran darah. Air juga mengenyangkan perut anda yang lapar. Air secara lazimnya membantu meningkatkan metabolisme tubuh yang membantu pembakaran lemak dalam badan.

2 Rendah Lemak atau Penuh Krim?
Di pejabat anda tidak mungkin dapat melarikan diri dari minuman susu berkrim. Tambah pula ia kegemaran anda sejak dulu. Pengambilan susu adalah tepat untuk anda. namun, apa kata kali ini anda bertukar kepada susu rendah lemak pula. Ia lebih menyihatkan dan perut juga terasa lebih kenyang.


DI MAJLIS MAKAN MALAM

3 Pilihlah Dua Atau Tiga Menu Sahaja
Terpesona dengan deretan hidangan yang membangkitkan selera. Ingat! Anda masih berdiet. Tetapkan pilihan paling berkenan di hati. Pilih dua atau tiga menu sahaja dan baliklah ke tempat duduk dari membangkitkan nafsu makan lain. Pastikan pilihan menu anda sihat.

4 Hindar Makanan Berkalori Tinggi
Elakkan memilih makanan berkalori tinggi seperti daging dengan adunan keju yang sememangnya tidak sihat. Bertukarlah pada salad buah-buahan mehupun sayur yang direbus dan dimakan mentah. Anda masih boleh menikmati hidangan malam dengan berselera sekali.

5 Cegah Minuman Berkarbonat
Mahu tidak mahu dalam pesta dan makan malam sebegini, anda tidak terlepas dari minuman berkarbonat mahupun susu pekat krim dan juga kafein yang sangat tinggi. Nah, usah kaku melihat semuanya hanya gara-gara nafsu makan yang tidak mampu anda kawal. Beralihlah kepada jus buah-buahan mahupun hanya air kosong, ia membuat anda lebih sihat.


DI RUMAH

6 Santai Dengan Snek Sihat
Setiap kali menonton televisyen pastikan bekalan air kosong mahupun jus segar sentiasa bersama. Ia mendorong anda dari mengambil makanan yang bukan hanya tidak mengenyangkan tetapi juga tidak sihat. Kekacang, sandwic mahupun buah-buahan segar juga memberi kelebihan pada tubuh. Elakkan snek ringan yang kurang sihat.

7 Coklat Sebagai Ganti Minum Petang
Untuk elakkan snek yang tidak sihat, coklat panas mahupun jus buah-buahan paling disarankan di kala petang ketika anda sadang enak bersantai. Selain mengenyangkan perut, ia turut membekalkan karbohidrat yang sihat untuk tubuh. Namun, usah pula terlebih had.

8 Suplemen Untuk Membantu
Jika makanan menjadi masalah pada anda, ambil suplemen untuk membantu anda membakar lemak makanan yang ada. Selain menyekat kemasukan lemak berlebihan daripada makanan, ia membantu menurunkan berat badan secara sihat.


DI KAFETERIA

9 Pilih Makanan Rendah Lemak
Celaru dengan makanan kafe yang agak terhad. Hanya kerana ini jangan pula anda abaikan diet yang selama ini terjaga rapi. Berusahalah mengambil sup sayur tanpa nasi. Pilihan ikan bakar juga paling sesuai untuk anda.

10 Pesan Makanan Rebus
Jika anda punya masa lapang, ambil masa memesan makanan terlabih dahulu sebelum tiba waktunya. Pesanlah aneka makanan rebus dan bakar yang paling mudah setiap hari. Lama kelamaan, penyedia makanan anda juga sudah terbiasa dengan pesanan sebegini. Bukankah ini juga lebih memudahkan anda untuk berdiet?



Sumber dari majalah rapi

25 May 2011

Diet Secara Bajet


Lebih obses lagi apabila ada wanita kini sanggup menghabiskan ratusan ringgit semata-mata ingin kelihatan kurus. Namun tahukah anda, tanpa perlu mengeluarkan bajet yang banyak, anda tetap dapat melaksanakan diet dengan cara yang seimbang? Di sini ada beberapa tip diet secara bajet yang mungkin dapat membantu pembaca diluar sana untuk meneruskan diet secara berterusan tanpa perlu membazir. Anda pasti kelihatan langsing dan sihat selalu.


BIJIRIN OAT

Kalau selama ini anda makan pagi dengan bijirin, apa kata gantikan dengan oat? Ia lebih murah dan tahan lebih lama. Anda boleh memasaknya di rumah. Mahu lebih enak, campurkan dengan buah-buahan kering. Oat secara khusus mengandungi banyak flavonoid yang merupakan antioksidan yang amat berkesan untuk membantu mencegah penyakit jantung. Oat juga makanan yang ideal untuk semua peringkat umur. Mudah diterima sebagai makanan pepejal permulaan untuk bayi dan juga orang tua. Oat juga kerap digunakan dalam program membantu mangsa kebuluran kerana keupayaannya membekalkan khasiat pemakanan berkualiti secara tidak mahal.


MAKANAN BERSERAT

Anda perlukan serat? Jika and mahu memenuhi keperluan serat harian, ada baiknya anda makan buah-buahan yang lebih mudah didapati. Katakan anda gemarkan kiwi, ia memang kaya dengan serat tetapi harganya mahal. Gantikan dengan buah oren yang jauh lebih murah dan mudah didapati.

Untuk lebih jimat, menyiapkan jus sendiri di rumah tidaklah sukar. Anda dapat memilih sendiri buah-buahan dan sayuran yang benar-benar masak dan segar agar vitamin dan mineral lainnya masih dalam keadaan baik. Jangan tergoda membeli yang terlalu masak, sebab anda tidak akan mendapat seluruh nutrisi yang seharusnya. Anda juga dapat mengawal sendiri dengan tepat perbandingan berat buah atau sayuran yang dicampur. Kebersihan pun lebih terjamin dan tentu lebih ekonomi.


CARI TEMAN BERDIET

Lebih mudah jika anda cari teman yang sama-sama mahu berdiet, boleh berkongsi makanan. Tidak perlu membazir. Namun pastikan menu diet itu sesuai dengan teman diet anda juga.

Jadikan teman diet anda sebagai pencabar utama untuk anda kekal langsing. Dengan cara ini, anda dan rakan anda berlumba-lumba untuk terus berdiet secara betul dan sihat.

Saling menyokong antara satu sama lain. Sekiranya teman diet anda sudah berputus asa, anda harus bangkit dan memberikan sokongan yang berterusan. Begitu juga sebaliknya. Melalui cara ini anda tidak perlu membazirkan wang untuk mendapatkan nasihat daripada pakar diet yang perlu dibayar. Di sini anda sudah boleh berjimat.


BERPUASA

Anda boleh mengamalkan puasa. Cukuplah sekadar berpuasa sebanyak dua kali seminggu. Selain daripada beramal anda juga mampu melaksanakan diet secara sihat. Jimat duit dan sihat fizikal.

Semasa berpuasa, cuba rancang jenis makanan yang akan diambil semasa berbuka agar anda tetap mendapat khasiat yang secukupnya. Ambil makanan yang membekalkan karbohidrat seperti nasi, roti, mi dan ubi kerana ia akan melepaskan tenaga secara perlahan dan anda akan bertahan lapar lebih lama.


MEMASAK DI RUMAH

Memasak di rumah adalah kaedah diet yang paling menjimatkan. Anda hanya perlu memasak makanan yang perlu sahaja tanpa perlu membazirkan. Paling jimat sekiranya makanan itu masih berbaki anda masih boleh memanaskan semula makanan tersebut.

Contoh menu diet yang paling mudah disediakan ialah sandwich. Beli saja isi tuna dan salad serta roti mil penuh. Buat sendiri. Kalau beli sandwich siap sedia, ia mahal.

Variasikan menu diet anda. Tips ini anda boleh amalkan setelah anda mendapat info dan ilmu yang mencukupi daripada pembacaan anda. Anda boleh buat satu jadual, dalam seminggu apakah menu yang akan anda ambil untuk amalan pemakanan yang sihat?

pasti mudah dan jimat. Jika boleh warna-warnikan jenis makanan yang diambil terutama sayur-sayuran dan buah-buahan kerana lebih banyak makanan berwarna yang diambil, maka lebih banyak zat diperoleh oleh badan.


JOM SENAM

Lakukan aktiviti membakar kalori. Jika anda ingin menurunkan berat badan, anda harus mulakan aktiviti bersenam. Senaman penting untuk membakar kalori dalam tubuh anda. Bila anda membakar kalori jumlah penyerapan kalori oleh tubuh anda akan mula menurun. Inilah sebenarnya situasi yang membolehkan anda menurunkan berat badan anda. Tidak perlu ke gim. Tidak perlukan modal. Cukup sekadar berlari di denai larian atau tasik sambil menyedut udara segar.

Bersenam secara konsisten. Jangan sesekali bersenam sehingga boleh 'mendera' atau 'menyeksa' tubuh anda. Tidak perlu anda paksa diri untuk lakukan aktiviti senaman yang berat-berat secara mendadak. Lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda tidak pernah pun melakukan aktiviti atau amat jarang bersenam. Buat perlahan-lahan. Tetapkan matlamat sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, 20 minit setiap sesi sebagai permulaan. Selamat mencuba.



Sumber dari majalah dara.com

23 May 2011

9 Cara Rawat Selulit


Selain dari tubuh yang berisi atau gemuk, selulit adalah antara satu lagi situasi yang paling tidak digemari wanita. Sebenarnya hampir kesemua wanita tidak kira gemuk atau kurus, memiliki selulit. Lebih mengejutkan 90 peratus wanita dewasa memiliki selulit.


Selulit, tidak sesekali berkaitan dengan obesiti. Walaupun sukar untuk menghindarinya, namun masih terdapat cara untuk menguranginya. Ikuti tip-tip di bawah:



1 Banyak minum air
Minumlah air putih antara enam hingga lapan gelas sehari bagi menyingkirkan setiap lebihan natrium yang menyebabkan kehilangan cairan di dalam tubuh. Jika bosan dengan air putih, cuba teh herba atau jus buah. Kadar cairan yang tinggi menjadikan kulit lebih lembut.

2 Berhenti merokok
Mahu hilangkan selulit? Cuba berhenti merokok. Selain dapat membantu menghilangkan selulit, dapat juga membuang tabiat buruk ini. Tabiat merokok sebenarnya, memburukkan selulit yang terdapat pada kulit kerana ia menghalang perjalanan zat ke kulit sehingga akhirnya menjejaskan keadaan kulit.

3 Olahraga
Berat badan berlebihan akan lebih memburukkan selulit anda. Jika anda menggabungkan program latihan kardiovaskular bersama latihan untuk otot kaki, ia dapat membantu mengurangi selulit.

4 Gosok tubuh
Menggosok tubuh membantu membuang sel-sel kulit mati, merangsang perjalanan darah dan meningkatkan aliran limfatik anda. Hal ini dapat membantu mengurangkan selulit. Untuk hasil terbaik, gosok tubuh dua kali sehari setiap kali mandi.



5 Lembapkan kulit
Krim untuk selulit sudah semakin banyak di pasaran. Bagi memperoleh hasil yang lebih maksimum, amalkan olahraga serta makan dan minum yang sihat. Gunakan pelembap kulit dua kali sehari juga dapat membantu kulit menjadi lebih mulus dan elastik. Amalkan setiap hari.

6 Perbanyakkan asid lemak perlu
Asid lemak perlu dapat membantu memperkuat jaringan di sekitar lemak hingga membantu mengurangi selulit. Makanan yang kaya dengan asid lemak ini dapat membantu mengurangkan sel-sel lemak. Antara makanan yang mengandungi asid lemak esensial adalah minyak zaitun, minyak ikan, minyak biji beri hitam dan sebagainya.

7 Banyakkan makanan berprotein
Protein dapat membantu kerana ia mengandungi albumin yang membantu menyerap lebihan cairan. Cuba makan tiga hidangan ikan, kacang-kacangan dan biji-bijian setiap hari bagi mendapatkan hasil terbaik dalam mengurangi selulit anda.



8 Urutan
Menjalani rawatan urutan memberi pelbagai manfaat kepada anda. Ia dapat membantu mengurangi stres, meningkatkan perjalanan darah dan tak kurang juga dapat membantu mengurangkan selulit.

9 Kurangi stres
Stres menyebabkan perubahan hormon yang dapat mempengaruhi kulit. Kortisol merupakan hormon stres yang boleh menyebabkan kulit semakin menipis dan meningkatkan penyimpanan lemak. Malah, ia juga melambatkan pengeluaran hormon untuk pertumbuhan kulit sihat.



Sumber daripada majalah mingguan wanita


Ishh tak sangka jugak yang selulit ni boleh dialami oleh orang yang berbadan kurus jugak.. Setahunya orang yang berbadan besar atau gempal yang mengalami masalah nie.. Kena check nie kot la aku jugak termasuk dalam golongan orang yang mengalami selulit nih..

27 April 2011

8 Punca Metabolisme Tubuh Berkurangan


Ramai yang tidak sedar bahawa diet yang salah boleh menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun dan membuatkan program diet gagal dijayakan. Pengurangan kalori secara mendadak boleh menyebabkan metabolisme semakin lemah dan tubuh sukar untuk menjalankan proses pembakaran lemak dengan sebaiknya.

Biarpun anda berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh masa yang singkat, namun ia terus menjadi statik dan kemungkinan akan kembali meningkat dalam tempoh tertentu. Terdapat pelbagai kesalahan yang sering anda lakukan ketika berdiet yang boleh memperlahankan kadar metabolisme tubuh. Antaranya:-

KURANG MAKAN
Makanan penting bagi membakar kalori. Pengambilan makanan secara salah boleh memberi kesan buruk pada tubuh. Jika tubuh kekurangan bahan bakar untuk menjalankan fungsinya (sekitar 1200 kalori bagi wanita dan 1800 kalori bagi lelaki), tubuh akan menekan metabolisme. Ini akan menyebabkan pemecahan jaringan otot yang diperlukan tubuh untuk membakar kalori. Tidak perlu mengambil makanan yang banyak, cukuplah sekitar 430 kalori per waktu makan dan diselangi dengan 150 kalori kudapan untuk memastikan metabolisme tubuh berfungsi dengan sempurna.

MENGHINDARI KAFEIN
Kafein dianggap sesuatuyang membahayakan tubuh. Namun, kafein yang terdapat dalam kopi misalnya, boleh meningkatkan metabolisme sekitar 174 kalori per hari. Manakala, satu kajian yang dijalankan di Jepun menunjukkan, secawan teh hijau dapat meningkatkan metabolisme sebanyak 12 peratus. Para penyelidik percaya, zat antioksidan yang terkandung dalam teh dapat mempercepatkan metabolisme.

MENGURANGKAN PENGAMBILAN SERAT
Tidak menggemari sayuran dan buah-buahan merupakan punca metabolisme tubuh menjadi lemah. Kurangkan pengambilan karbohidrat dan tingkatkan pengambilan serat seperti roti gandum, pasta dan buah-buahan serta sayuran. kajian menunjukkan, penambahan serat boleh meningkatkan pembakaran lemak sehingga 30 peratus. Wanita yang banyak mengambil serat berupaya memperlahankan kenaikan berat badan ketika usia mulai meningkat.

KURANG MINUM AIR PUTIH
Gemar menikmati air berperisa berbanding air putih? Jika ini tabiat anda, cuba hentikan. Kajian dari Jerman menunjukkan individu yang minum sekurang-kurangnya enam gelas air putih (sekitar 1.4 liter) per hari, boleh meningkatkan metabolisme dan membakar sekitar 2.5 kilogram per tahun.

KURANG PROTEIN
Tubuh memerlukan protein bagi pembentukan otot selain bertindak sebagai molekul penting dalam proses metabolisme. tambahkan sekitar tiga auns daging bebas lemak, dua senduk makan kacang atau lapan auns yogurt rendah lemak ke dalam makanan seharian anda. Kajian membuktikan protein boleh membantu membakar kalori sekitar 35 peratus.

KURANGKAN SUMBER ZAT BESI
Makanan yang kaya dengan zat besi mampu menyebarkan oksigen ke otot. Oksigen sememangnya diperlukan untuk proses pembakaran lemak. Setiap bulan wanita akan kehilangan zat besinya sehinggalah mencapai menopaus. Jika tidak mengambil makanan yang mengandungi zat besi seperti kerang, daging tanpa lemak, bayam dan kekacang, tubuh boleh kehilangan tenaga dan menurunkan kadar metabolisme.

KURANG SUMBER VITAMIN PENTING
Vitamin D penting untuk menjaga jaringan otot untuk bekerja. Kita jarang mengambil makanan yang mengandungi vitamin D padahal tubuh memerlukan sekitar 400 IU per hari. Vitamin D boleh didapati dalam tauhu, susu yang diperkaya dengan vitamin D, salmon dan telur.

KURANG AMBIL SUSU
Kekurangan kalsium juga boleh menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun. Terdapat kajian yang menunjukkan, pengambilan kalsium daripada susu tanpa lemak atau yogurt rendah lemak mampu mengurangkan penyerapan lemak daripada makanan lain.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

21 March 2011

5 Perkara Agar Berat Badan Tak Kembali Naik

Proses menurunkan berat badan bukanlah suatu perkara yang mudah dan pasti mengambil masa yang agak panjang. Paling perit ialah untuk mengekalkan berat badan setelah berhempas pulas mengikut program diet sepanjang tahun. Tanpa kesabaran dan langkah berwaspada, tidak mustahil segala usaha anda selama ini menjadi sia-sia apabila berat badan kembali naik seperti sebelum ini.

Perkara inilah yang sering dialami oleh ramai individu, yang selama ini begitu gigih menjalankan program diet untuk mendapat bentuk badan idaman. Tetapi apa pula perasaan anda jika segala usaha tersebut 'dicacatkan' dengan kesalahan-kesalahan yang tidak sepatutnya anda lakukan?

Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan hanya lima peratus individu yang berjaya mempertahankan ukuran tubuh selepas menjalani program diet. Persoalan di sini, apakah rahsia individu ini sehingga mampu mempertahankannya?



LIMA PERKARA BERIKUT MERUPAKAN SEBAHAGIAN YANG MEREKA AMALKAN:-


Timbang berat seminggu sekali

Terdapat kajian yang menyatakan, menimbang berat badan secara rutin dapat membantu mengurangkan risiko penambahan berat badan secara mendadak. Jika anda dapat mengesannya dari awal, pasti lebuh mudah untuk anda melakukan program diet atau senaman, bagi menghilangkan penambahan berat yang telah dikesan. Cara terbaik, letakkan penimbang di dalam kamar tidur atau kamar mandi bagi memudahkan anda mengesan sebarang perubahan terhadap berat anda. Tetapi, jangan pula menimbang pada setiap hari. Seminggu sekali sudah memadai.


Lima sajian sayur dan buah

Berdasarkan kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC), wanita yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran sekurang-kurangnya lima sajian setiap hari, dapat mengurangkan 60 peratus risiko penambahan berat berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Ini kerana dengan mengambil buah-buahan dan sayuran, anda akan berasa kenyang dengan lebih lama berdasarkan kandungan serat dan air yang terkandung di dalamnya. Selain dijadikan sebagai salad atau dimakan mentah, anda juga boleh mengambilnya dalam bentuk jus segar tanpa gula. Makanan yang mengandungi tinggi serat memerlukan tempoh masa 24 jam untuk melalui sistem pencernaan. Oleh itu, anda tidak mudah berasa lapar.


Awasi kebiasaan harian

Lebih daripada 55 peratus individu yang gagal dalam program diet menyalahkan aktiviti atau tabiat di pejabat sebagai punca kegagalan. Mereka menyatakan, pengaruh rakan-rakan untuk mekan serta gemar menjadikan kudapan kala menyelesaikan kerja adalah punca berat semakin meningkat. Selain. itu, setiap kali berjumpa teman atau pelanggan di luar, anda juga tidak dapat mengelak daripada menjamah makanan. Bagi mengatasinya, ubah kebiasaan ini dengan tidak menyediakan sebarang kudapan atau snek di laci meja kerja anda. Begitu juga ketika bertemu pelanggan, jamah sedikit makanan misalnya buah-buahan, bagi mengahalang anda makan di luar sedar ketika sedang berurusan dengan pelanggan.


Manfaatkan setengah jam

Selain penjagaan makanan secara terkawal, senaman secara rutin juga mampu mengekalkan berat badan seimbang. Luangkan setengah atau satu jam sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk bersenam bagi mengeluarkan peluh. Jika anda melakukan senaman secara rutin, anda mungkin boleh menjadikan makanan manis seperti kuih-muih, aiskrim dan coklat sebagai makanan yang diambil sekali-sekala.


Elakkan makanan segera

Ramai individu yang mengakui, menjauhi diri daripada makanan segera adalah kaedah yang lebih berkesan mengekalkan berat badan berbanding mereka yang mengambilnya. Jika dibandingkan dengan makanan segera, makanan yang dimasak sendiri akan memudahkan anda mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahan perasa tambahan atau pewarna yang tidak sepatutnya. Bagi memudahkan kerja memasak, rujuk buku masakan yang menyajikan resipi sihat, rendah lemak tetapi mempunyai khasiat yang tinggi. Selain. itu, kaedah penyajiannya juga dapat dikawal dengan cara menggunakan minyak sedikit, memanggang, rebus dan sebagainya.



Sumber dari majalah keluarga harmoni