Showing posts with label dekorasi. Show all posts
Showing posts with label dekorasi. Show all posts

07 October 2013

Cipta Kelainan Dengan Kertas Dinding




Kertas dinding atau wallpaper sangat popular dalam kalangan pemilik kediaman masa kini. Baik di luar negara mahupun di dalam negara, pemilihan kertas dinding pada ruang kediaman seperti ruang tamu, ruang bilik tidur dan sesekali melakukan kelainan pada ruang dapur menjadi trend yang semakin berkembang luas.
 
Namun sekiranya tersalah pilih, pasti membuatkan kediaman tampak pelik. Jadi kali ini dikongsikan tip pemilihan kertas dinding pada kediaman.
 
  • Sebelum memutuskan untuk memasang kertas dinding di bilik tidur, anda harus fikirkan siapa yang menggunakan bilik tersebut pada tempoh masa yang lama.

  • Andai ruang sempit, pilih motif kertas dinding bergaris horizontal supaya memberi kesan luas. Pilih motif yang sederhana agar ruangan tidak terkesan ramai dan semakin sempit.

  • Andai memilih kertas dinding dengan motif, sebaiknya memasangnya pada satu bahagian dinding sahaja seperti bahagian atas kepala bilik tidur.

  • Hati-hati dalam pemasangan kertas dinding dan sebaiknya menggunakan pakar supaya hasilnya memuaskan. Ia penting supaya kertas dinding tidak cepat mengelupas dan jauhi kertas dinding daripada rembesan air.

  • Sesuaikan warna kertas dinding dengan perabot dalam sesuatu ruangan. Misalnya jika anda ingin memasang kertas dinding pada ruang tamu, maka sesuaikan dengan warna sofa ruang tamu. Harmonikan ruangan akan nampak cantik.





Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/kertas-dinding-cipta-kelainan-1.206944

27 May 2013

Hiasan Ruang Makan

Assalamualaikum semua.. Hari nih saya nak berkongsi mengenai hiasan ruang makan.. Ruang ini merupakan ruang kedua yang kita titik beratkan selepas ruang tamu.. Ini kerana kita adakalanya menyediakan minuman dan makanan kepada tetamu kita di meja makan iaitu di ruang makan..

Bagi yang ruang makan berkembar dengan ruang tamu memang ruang ini perlu diriaskan dengan baik.. Bagi yang ruang makannya berasingan mungkin untuk minum petang, hanya di meja kopi di ruang tamu saja dihidangkan minuman dan hidangan petang.. Apapun ruang ini tetap dinamakan ruang makan.. Meh kita baca serba sedikit info yang diperoleh nih..


 
 
Ilham penataan ruang makan memberikan kesan keseluruhan dekorasi kediaman anda. Ruang yang sering menjadi tumpuan keluarga dan tetamu itu perlu dihias sempurna supaya sentiasa menarik dan menjanjikan keselesaan ketika menjamu selera.

Namun, masih ada yang buntu untuk menentukan reka letak sempurna ruang berkenaan.
Melantik pakar hiasan dalaman antara langkah terbaik dan ketengahkan kreativiti anda kerana ia lebih memberikan kepuasan.


Kehadiran set meja makan menjadi pelengkap utama ruang berkenaan dan kesesuaiannya perlu diambil kira.







Berikut beberapa panduan berkenaan pilihan dan reka letak sesuai meja makan:

1  Menentukan jumlah kerusi meja makan



  • Perhatikan dan kira jumlah penghuni yang ada
  • Jika mempunyai keluarga kecil, meja makan sederhana sudah mencukupi
  • Lazimnya meja makan mempunyai dua hingga lapan kerusi
  • kehadiran tetamu ramai serentak memerlukan ruang makan selesa.
  • Bagi mengatasi masalah itu, ruang dapur selesa dan ringkas dapat membantu.

    2  Cara mengatasi kerusi makan yang tidak mencukupi
  • Beli kerusi lipat
  • Simpan di stor jika tidak memerlukan.
  • Penyediaan makanan secara bufet amat sesuai.

    3  Cara sesuai menghidupkan suasana di ruang makan
  • Pastikan meja makan sesuai dengan konsep kediaman.
  • Perkakasan penting seperti pinggan mangkuk boleh diletakkan secara teratur untuk kegunaan dan hiasan.
  • Hiasi dengan lampu gantung atau candelier.
  • Pastikan lampu itu sesuai dengan konsep dekorasi.

    4  Aksesori lain yang perlu ada
  • Paling penting cermin hiasan pada latar dindingnya.
  • Saiz cermin tidak terhad
  • Anda bebas meletakkan cermin di keseluruhan ruang berkenaan atau bersaiz 2 kaki x 2 kaki.
  • Antara aksesori lain ialah bingkai gambar atau lukisan sesuai.








  • Sumber disunting dari http://senihiasyaiza.blogspot.com/2012/11/hiasan-ruang-makan.html dan gambar kredit dari mr.google..


     

    25 April 2013

    Perabot Sesuai Dalam Taman




    Semua orang mempunyai impian untuk mempunyai taman sendiri di halaman rumah.. Bagi yang tinggal di pangsapuri dan seangkatan dengannya, impian ini tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.. bagi yang tinggal di rumah teres, mungkin dapat merealisasikan sebahagian dari impian.. Bagi yang tinggal di rumah berkembar dan banglo atau sesebuah ini, sekurang-kurangnya impian untuk mempunyai taman sendiri boleh direaisasikan.. Tapi adakah anda tahu jenis perabot yang sesuai dengan lokasinya sendiri??? Di bawah ini ada sedikit tips yang boleh dikongsikan bersama..

    Dalam keghairahan mewujudkan taman sempurna yang memenuhi cita rasa anda dan keluarga, pastikan perabot yang dibeli tidak tersalah pilih.

    Ini kerana tidak semua perabot taman yang ada di pasaran mempunyai ciri-ciri tahan daripada cuaca panas, hujan atau embun.

    Ada yang hanya sesuai di tempat berbumbung seperti dekoratif gazebo atau wakaf.

    Bagaimanapun, material perabot itu sendiri yang menjadi faktor utama ketahanannya.


    Sebelum membeli, pastikan lokasi, reka bentuk, kesesuaian, bajet dan aspek penyelenggaraan.


    Paling utama kesesuaian perabot perlu diselarikan dengan konsep taman supaya idea yang anda ingin zahirkan lebih menyeluruh.

    Bagi kerusi santai umpamanya, persekitaran sesuai perlu diwujudkan supaya fungsinya boleh dipelbagaikan.


    Dalam meraikan tetamu dan mewujudkan tempat bersembang, kehadiran kerusi yang mempunyai pemegang dengan meja kopi di tengahnya.

    Sementara ruang istirahat pula memerlukan kesesuaian dan reka letak seperti kerusi malas atau kerusi goyang.

    Seterusnya, bajet perlu selari dengan kemampuan anda bagi mengelakkan pembaziran atau tersalah beli perabot.

    Jika bercadang untuk membeli perabot kegunaan minum petang, pastikan jumlah kerusi atau keluasan meja.

    Tentukan lokasi sama ada berbumbung atau sebaliknya.

    Elak meletakkan kusyen atau hiasan fabrik untuk ruang terbuka bagi menghindari kepudaran warna atau terkena hujan.

    Dari segi penjagaan perabot taman pula, berikut dikongsi beberapa petua:



    Panduan penjagaan perabot taman

  • Guna penyapu debu berasaskan bulu ayam bagi menanggalkan debu di celah rotan yang sukar dimasuki tangan.
  • Dapatkan kain bersih untuk mencuci perabot selain menyembur pengilat perabot untuk mengekalkan serinya.
  • Letakkan perabot di tempat teduh seperti beranda ketika matahari terik.
  • Ini kerana pancaran cahaya secara berterusan boleh melunturkan warna asal rotan atau buluh.
  • Elak meninggalkan perabot taman di luar ketika hujan kerana ia menyerap air dan menyebabkan kurang daya ketahanan.


  • Panduan mengekalkan warna kayu

  • Bagi kayu jati, gunakan bahan perlindungan sesuai bagi mengelakkan ia cepat pudar.
  • Perabot taman perlu berada dalam keadaan kering sebelum membuat rawatan atau dicat pelindung.
  • Perabot taman yang dilengkapi payung boleh melindungi kepudaran dan mengekalkan daya ketahanannya.
  • Ia juga bagi memastikan tidak terkena sinaran ultra ungu secara terus atau hujan kerana ia boleh memudarkan warna perabot.
  • Elak perabot diserang serangga perosak yang boleh mencacatkan keindahan perabot.







  • Sumber disunting dari akhbar harian metro



    15 April 2013

    Memilih Perabot Ruang Tamu

     



    Assalamualaikum semua.. Bagi yang baru memasuki rumah baru pastinya tercari-cari set perabot yang baru bagi ruang tamu.. Ini kerana ruang pertama yang akan dilihat oleh tetamu yang mengunjungi rumah kita adalah ruang tamu.. Oleh itu, kita dengan sedaya upaya menginginkan ruang tamu yang cantik dan selesa untuk diduduki..

    Memang seronok apabila berpeluang membeli set perabot baru untuk ruang tamu namun ia memerlukan perbelanjaan agak besar terutama bagi yang berpendapatan sederhana. Mengenangkan itu, wajarlah kita bersikap cerewet sebelum membuat keputusan memiliki sesuatu perabot.

    Sebelum melangkah ke kedai perabot, pastikan anda dilengkapi beberapa panduan yang boleh membantu memiliki baik ruang tamu bersih dan kemas mahupun sekadar selesa namun berfungsi. Perlu diingatkan, harga mahal tidak semestinya barang berkualiti. Manakala, perabot murah mungkin memerlukan anda menukarnya semula dalam tempoh singkat penggunaan.

    Beberapa ciri yang perlu diambil tahu pembeli dan pengguna ketika membuat pilihan dan membeli perabot antaranya:


    1 Tahap Kegunaan

    Mengenal pasti tahap kegunaan perabot di ruang tamu. Misalnya, adakah sofa itu untuk kegunaan keluarga beristirehat dan menonton TV atau perabot berkenaan jarang digunakan. Jika kerap digunakan, pastikan sofa dipilih tahan lasak bagi menerima apa juga bebanan yang dikenakan ke atasnya. Ukuran sesuai adalah yang boleh menampung berat pelbagai saiz dan kumpulan manusia.
    Sofa warna terang menarik tumpuan.


     
    2 Kesesuaian Gaya

    Anda perlu mengenal pasti gaya yang sesuai dengan keperluan konsep reka bentuk ruang anda. Pilihan sofa yang bertepatan dengan gaya yang dipilih antaranya:

    i. Gaya moden menampil gaya sofa rendah dan rata selain nampak bersih dan minimal

    ii. Gaya klasik menampilkan gaya sofa melengkung, berukir dan berukuran besar
    Rangka kayu keras tahan lama.


    iii. Gaya tradisional menampilkan gaya tradisi etnik tertentu yang menggunakan bahan kayu

    iv. Gaya resort dan kedesaan menampilkan sofa daripada anyaman serta bahan semula jadi


    3 Keselesaan

    # Tahap keselesaan sofa bergantung kepada keanjalan dan kelembutan kusyen. Tentukan sama ada hendak memilih jenis kusyen yang melekat atau terasing.

    # Ukuran sofa dari segi keselesaan antropometrik dan ergonomik dapat diketahui dengan dengan cara duduk di atas sofa berkenaan bagi bagi menguji tahap keselesaannya.

    # Kenal pasti bahan digunakan sama ada ia campuran bahan berbusa (foam), gentian atau kekabu. Pengisian bahan berbusa adalah terbaik kerana dapat mengekalkan bentuk selain memberi sokongan yang kuat.


    4 Pilihan Warna

    # Pilihan warna terang digalakkan kerana ia mampu menarik tumpuan.

    # Warna semula jadi adalah pilihan sempurna kerana mudah digabungkan dengan perabot lain.

    # Cara terbaik adalah sofa utama mengekalkan warna sama manakala aksesori dan hiasan sampingan seperti kusyen boleh dalam berbilang corak dan warna.

    # Kelebihan mengetengahkan upholsteri bercorak bukan saja merangsangkan suasana ruang tamu tetapi mampu menutup kekotoran di sofa.


    5 Kesesuaian Ruang

    # Satu kesilapan utama membeli perabot ialah kerana tertarik dengan tawaran jualan murah tanpa membuat perbandingan kesesuaian dengan luas ruang rumah.

    # Yang menyedihkan apabila saiz perabot tidak boleh muat walaupun pada pintu rumah.

    # Pastikan saiz dan dimensi serta ukuran lebar, tinggi dan panjang perabot diketahui bersama dengan ukuran maksimum ruang rumah anda.


    6 Ketahanan Fizikal

    # Selain ketahanan struktur perabot, ketahanan bahan fabrik juga penting. Fabrik jenis jacquard paling tahan. Bahan pelindung fabrik pula berfungsi menjaga fabrik bukan ketahanan fabrik.

    # Periksa perabot yang hendak dibeli – ambil masa untuk memeriksa dari segi pembinaan struktur rangka perabot. Sofa tahan lama biasanya menggunakan kayu keras sebagai rangka biarpun ia menyebabkan perabot itu berat diangkat.

    # Tunggang terbalikkan perabot yang hendak dibeli untuk mengetahui kekuatan dan kestabilan sofa.

    # Duduk dan rasai sofa yang hendak dibeli seperti yang biasa dilakukan ketika di rumah kerana ia membantu anda membuat analisis mengenai tahan keselesaan dan ketahanannya. Pelawa juga keluarga untuk mencubanya.





    Sumber disunting dari http://www.senihias.com/ dan Berita Harian
     


     
     

    30 April 2012

    Simen atau konkrit?


    Kemasan simen dan konkrit


    Ia meliputi simen pasir, simen berbatu dan simen bertekstur. Ciri-ciri kemasan ini mengambil kira jumlah batuan serta pasir dihasilkan. Sama ada batuan lembut, kecil atau berpasir yang disusun pada permukaan konkrit basah, kemasannya nampak lebih menyerlah. Sebahagian konkrit ini tidak disiram air bagi menonjolkan kuantiti batunya sekali gus membuatkannya dikenali sebagai batu kecil atau batuan konkrit.


    Bagi aplikasinya, ia lazimnya mengalami proses penurapan pada bahagian dalaman dan luaran, tidak kira ia lantai kediaman atau bukan kediaman. Ia amat praktikal menahan geseran dan tidak licin menyebabkannya ditonjolkan sebagai permukaan tangga dan lantai luar seperti kolam renang dan tempat meletak kereta.

    Kelebihan


    * Mudah diselenggara kerana gunakan bahan berpatutan harganya.


    * Boleh digabungkan dengan kemasan lain membentuk corak lantai menarik khasnya diadun bentuk susunan batu.


    * Kemasan simen jenis pasir halus amat sesuai untuk ruang dalam berbanding kemasan berbatu yang menyakitkan ketika dipijak.


    * Bagi jenis kasar, ia elok dijadikan lantai luar khasnya yang menawarkan ciri tahan geseran.


    * Simen menampilkan jalinan tekstur sangat popular bagi ruang berkonsepkan Meditterranean, ala Mexico atau Amerika Latin.


    Kelebihan kemasan keras


    Bahan kemasan keras seperti lantai simen, konkrit dan lain-lain kemasan misalnya batu, jubin, dan kayu turut mempunyai kelebihan masing-masing.
    Antaranya:


    * Kekuatan dan tahan lama.


    * Tidak menyerap selain kedap haba panas serta hujan.


    * Mudah diselenggara dan dibersihkan.


    * Kekal imej klasik yang mampu bertahan lama.


    * Bergaya dan sesuai bagi kegunaan formal dan tidak formal.


    * Strukturnya mempunyai unsur dekorasi, tekstur sekali gus menyediakan kesan reka bentuk dalaman menarik.


    * Berupaya menyajikan struktur binaan sebagai kemasan lantai terbaik.


    Kekurangannya


    * Kos tinggi khasnya yang berkualiti dan tahan lama. Ini turut membabitkan pemasangan lantai sokongan.


    * Berciri tegar sekali gus mendatangkan bahaya bagi objek sekiranya jatuh di atas permukaannya.


    * Penggunaan bahan keras mendatangkan kesan bunyi bising.


    * Sejuk - keupayaan menyerap haba sejuk dengan mudah namun akan panas apabila disinari cahaya matahari.





    Sumber dari akhbar berita harian

    05 April 2012

    Rahsia Dapur Selesa


    Susun atur sinki, perkakasan memasak dan peti sejuk perlu diutama

    TANYALAH sesiapa saja mengenai akrabnya ‘hubungan’ ruang dapur dengan golongan wanita. Pasti ramai akur kerana di ruang inilah mereka menyediakan hidangan keluarga selain mencuba resipi baru.



    Bahkan, menurut petua orang tua dulu-dulu, salah satu cara memikat suami adalah melalui masakan yang lazat. Sebab itu, jika diteliti, ruang dapur khasnya di rumah kampung mempunyai ruang luas dan hanya di kawasan bandar terutama teres menyediakan ruang terhad. Begitupun, ramai cuba memaksimumkan keluasannya melalui pengubahsuaian membabitkan lebihan tanah belakang rumah.



    Perancangan dapur sempurna

    Faktor kewangan sering mengekang pengubahsuaian penuh. Sebab itu, langkah awal membabitkan penilaian secara terperinci reka bentuk ruang serta fungsinya perlu dilakukan. Selanjutnya, selesaikan masalah ruang penyimpanan kelengkapan serta barangan dapur.


    Secara asasnya, perancangan dilihat sebagai jawapan kepada persoalan perkara perlu dilakukan bagi aspek kelengkapan dan ruang penyimpanan barang. Seterusnya, difikirkan formula bagi mengimbangi keperluan ini menerusi reka bentuk ruang sedia ada.


    Tidak dinafikan, sukar mencari penyelesaian tepat kerana minat individu berbeza namun tiga faktor utama penentu proses susun atur dapur selesa iaitu kawasan menempatkan sinki, perkakasan memasak dan ketiga, peti sejuk.

    Sebaik saja kedudukan berkenaan dikenal pasti, proses susun atur ruang dijamin menjadi lebih praktikal mudah dilaksanakan. Konsep segi tiga hakikatnya mendefinisikan hubungan kerja antara satu sama lain menerusi tiga kedudukan. Namun, ia bukan bermakna susunan ruang itu kelihatan berbentuk tiga segi.


    Ketika merangka pelan, satu garis khayalan dilukis membabitkan tiga pusat kerja utama iaitu sinki, tempat memasak dan peti sejuk. Secara ergonomik, jarak antara mana-mana dua pusat kerja utama ini dipastikan tidak melebihi dua meter. Walaupun cara begini jarang dipraktikkan dalam situasi sebenar namun ia menjadi kunci kepada ruang dapur selesa.


    Apakah ruang dapur yang praktikal dan selesa? Sesetengah pendapat menyatakan bagi pembentukan ruang dapur sedemikian, yang paling utama adalah susun atur ruang kerja disediakan berfungsi menjimat masa bekerja. Ini juga mencetuskan idea reka bentuk dapur yang kecil atau kompak meskipun mempunyai kekurangan dari segi penyediaan ruang kaunter mencukupi.


    Walaupun reka bentuk kompak dapat mengurangkan langkah pergerakan namun masalah lain yang timbul berpunca aktiviti serentak ialah tidak cukup kaunter bagi menampung kerja berkenaan.


    Jika ruang kaunter tidak mencukupi bermakna ketika ketika menyediakan masakan, anda perlu mengalih dulu, membasuh serta menyimpan sesuatu perkakasan sebelum menyediakan menu lain. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi kelam kabut selain mengambil masa panjang dan tenaga bagi mencari bahan serta kelengkapan diperlukan ketika itu.


    Sebaliknya, jika kaunter terlalu panjang atau dibina berselerak dalam ruang, maka kerja yang dilakukan di dapur juga menjadi lambat dan tidak cekap.


    Justeru, bagi mengimbangi masalah ruang dapur terlalu kecil atau luas, pastikan dapur memasak, sinki, tempat simpanan dan kaunter penyediaan makanan disusun seperti berikut:


    • Tiada ruang antara dua pusat yang dinamakan tadi berjarak tiga meter antara satu sama lain.
    • Panjang keseluruhan kaunter, tidak termasuk sinki, dapur memasak dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat meter panjang.
    • Tiada kaunter kabinet yang dibina dengan lebar kurang daripada 1,200 milimeter.

    Tidak semestinya kaunter bercirikan binaan kekal sebagai mana pelan pembentukan ruang dapur moden hari ini. Sebaliknya, perlu juga mengandungi perabot mudah alih misalnya meja atau kaunter bebas. Yang penting, pertalian antara ketiga-tiga pusat kerja utama dipastikan berkait rapat kerana peranannya cukup kritikal dalam membentuk ruang dapur praktikal serta efisien.

    Tip

    Ruang idaman, praktikal


    • Pastikan mengandungi ruang yang cukup pada segi tiga kerja membabitkan sinki, tempat memasak dan peti sejuk.
    • Kekalkan permukaan tempat melakukan kerja dengan lantai berdekatan segi tiga kerja bersih dan lapang. Ini memudahkan pergerakan dan menyenangkan kerja anda.
    • Pelbagaikan juga ketinggian permukaan tempat bekerja di dapur. Bagi aktiviti yang memerlukan tenaga seperti menguli tepung, ia lebih sesuai dilakukan di permukaan rendah berbanding kerja memerlukan koordinasi mata serta tangan seperti memotong sayur dan herba.
    • Jika keadaan di dapur sentiasa sibuk, letakkan peti sejuk di hujung binaan kabinet.Cara begini membolehkan ahli keluarga yang lain keluar masuk ruang dapur tanpa mengganggu ’tukang masak’.
    • Ketinggian biasa permukaan unit kabinet adalah 900 milimeter dan ia sesuai bagi kerja-kerja penyediaan makanan ringan. Manakala, para atau rak kabinet yang dibina hingga 1,800 milimeter membolehkan anda mencapai barangan dengan mudah. Ketinggian seterusnya membabitkan penyimpanan barang-barang jarang digunakan.


    Sumber dari akhbar berita harian

    26 May 2011

    Mainan Warna Mampu Ceriakan Hari Anda


    Kerja-kerja di pejabat yang tidak pernah habis, kadang-kadang bersambung pula di rumah. namun, kesibukan kerja yang tidak kesudahan pasti membuatkan rumah tunggang-langgang, apatah lagi 'kemesraan' anak-anak dengan barang-barang permainan mereka.


    'Rumahku Syurgaku' Walaupun penat dengan kerja-kerja pejabat, semua ini akan hilang apabila anda berada di rumah. Dekorasi rumah yang cantik dengan warna-warna yang mendamaikan mampu memberi efek kebahagiaan pada anda sekeluarga.


    Menurut Leslie harrington, penasihat warna di Old Greenwich mengatakan apa-apa warna yang diaplikasikan di dinding rumah anda dapat dijadikan alat untuk mempengaruhi emosi dan tingkah laku.


    Sebab itulah, idea penggunaan warna dalam menciptakan rumah yang sihat adalah penting. Walaupun tidak dibuktikan secara ilmiah, anda boleh memilih warna-warna yang dominan. Jadi, bagi anda yang buntu untuk menarik mood, gunakan warna-warna ini untuk menceriakan hari anda.



    Ruang Tamu
    Warna Terbaik : Merah, Kuning, Jingga, Coklat & Krim
    • Gerbang utama rumah yang digunakan untuk menyambut tetamu. Untuk menimbulkan rasa lebih nyaman dan tenang, pilihlah warna-warna yang mampu menarik tetamu atau keluarga untuk berbual-bual.
    • Menurut Kate Smith, penasihat warna di Lorton, warna merah, kuning, jingga, coklat dan krim mampu mendorong orang untuk duduk dan berborak-borak. Malah warna-warna ini juga boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

     

    Dapur
    Warna Terbaik : Merah, Kuning, Biru & Putih
    • Menghabiskan masa di dapur bersama ibu tercinta semasa kecil dapat mengembalikan kenangan kepada anda. Warna biru dan putih adalah pilihan warna yang terbaik untuk anda dan keluarga.
    • Masih tidak tahu warna yang diinginkan. Cuba pilih warna merah atau kuning, sama seperti ruang tamu. Walau bagaimanapun, bagi anda yang sedang menjalani program diet perlu berhati-hati kerana warna ini boleh mendorong anda untuk mengunyah dengan lebih banyak. Sebab itulah, banyak restoran yang menggunakan warna merah sebagai dekorasi dinding mereka.
    • Malah, menurut Leslie Harrington, jika anda sedang berdiet, buang warna merah dari dapur anda.

     

    Ruang Makan
    Warna Terbaik : Merah
    • Jika anda elakkan ruang dapur daripada warna merah. Sebaliknya, ruang makan boleh dijadikan pilihan yang baik. Sentuhan warna merah pada ruang ini akan meningkatkan nafsu makan tetamu yang diundang.
    • Menurut Leslie Harrington, mempunyai ruang makan yang berwarna merah akan membuatkan orang atau tetamu berfikir bahawa tuan rumah mempunyai kemahiran memasak.


    Bilik Tidur
    Warna Terbaik : Biru, Hijau & Warna-warna Lembut
    • Tempat untuk anda merehatkan badan dan melakukan keintiman bersama pasangan yang sah. Aplikasikan warna-warna yang lembut dan menyejukkan kerana ia membantu menciptakan kesan yang menenangkan.
    • Sebaliknya, warna-warna yang gelap akan memberi kesan yang berlawanan. Contohnya, warna merah lebih cenderung untuk meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung.

     

    Bilik Mandi
    Warna Terbaik : Putih & Warna-warna Hangat
    • Warna-warna ini sering dikaitkan dengan kebersihan. Fungsi bilik mandi bukan sahaja tempat untuk membersihkan badan tetapi tempat untuk relaks dan memanjakan diri.
    • Kebanyakan anda akan merasa lebih nyaman dengan warna biru, hijau atau hijau laut kerana warna ini akan memberikan efek bersih, segar dan menenangkan.

    Bilik Pejabat
    Warna Terbaik : Hijau
    • Warna ini boleh membangkitkan produktiviti kerja yang optimal. Sebab itulah, semakin cepat anda menyelesaikan kerja-kerja pejabat, semakin banyak waktu untuk anda menghabiskan masa bersama keluarga dan teman.
    • Warna hijau adalah pilihan yang tepat kerana ia dapat meningkatkan tumpuan semasa bekerja.

    Lebih Bertenaga Ketahui Rahsianya...

    Kerja-kerja di pejabat selama 6-8 jam setiap hari menuntut anda untuk lebih produktif dan bertenaga. Kadang-kadang waktu rehat terpaksa disingkatkan, memikirkan kerja yang menimbun. Lebih menyedihkan, mungkin badan anda kehabisan tenaga sebelum waktunya. Secawan kopi sebagai teman, belum tentu dapat menghilangkan kepenatan dan rasa mengantuk. Jadi, cuba rahsia ini. Anda mungkin boleh lakukan dalam masa 10 minit sahaja.

    'Bermain' Dengan Air
    Anda tidak perlu bersusah payah mencari kolam renang semata-mata untuk menyegarkan badan. Jika anda ingin mengembalikan kesegaran pada kulit wajah, cukuplah dengan pergi ke tandas dan percikkan air sejuk ke muka ketika rasa mengantuk mula melanda.

    'Berkawan' Dengan Matahari
    Nikmati 'sarapan pagi' dengan berjemur di bawah matahari selama 10 minit. Keadaan ini akan membuatkan fikiran anda lebih segar. Panahan sinaran matahari secara langsung juga dapat membantu badan anda dalam memperolehi vitamin D dan serotonin (hormon yang berfungsi memperbaiki mood dan membuatkan tidur anda lebih nyenyak pada waktu malam).

    Dekorasi Meja Kerja
    Pening kepala memikirkan keadaan meja kerja yang berterabur dan berselerak. Cuba ambil masa 10 minit untuk menata rias meja kerja anda. Ubah dan atur barang-barang di atas meja seperti foto keluarga, buku, telefon dan komputer. Buang segala kertas dan benda yang tidak diperlukan. Cara ini bukan sahaja untuk menenangkan hati tetapi membantu anda agar dapat bekerja dengan lebih efektif.

    Gunakan Tangga
    Menurut Christine Gerbstadt dari American Dietetic Association, melakukan aktiviti seperti naik dan turun tangga selama 10 minit dapat membantu pengaliran darah yang baik.




    Sumber dari majalah rapi


    Dah beli rumah sendiri nanti, boleh la cuba cat warna2 yang dicadangkan nih.. Menarik jugak cadangan yang diberikan.. Ada juga menggunakan warna yang agak garang dan berani..


    20 April 2011

    Tip Penting Kala Menghias Rumah


    Menghias rumah bukanlah sesenang yang disangka. Ia juga memerlukan perancangan, kajian secara terperinci serta memakan masa yang agak lama. Tugas menghias rumah samalah seperti mana kita mendandan diri. Seperti mana kita sanggup berhabis untuk kekal cantik, begitu juga dengan rumah yang kita diami.


    Persoalannya ialah bagaimana untuk menghias rumah seperti mana rumah idaman anda? Tip berikut mungkin boleh membantu anda:


    CAT YANG SESUAI
    Warna cat boleh menimbulkan persekitaran dan mood yang berbeza. Berhati-hati dalam soal pemilihan warna car terutamanya di kamar tidur anda. Pilih warna cat yang bersifat jangka panjang dan tidak menimbulkan kebosanan dalam jangka masa tertentu.

    Kenali Fungsi Cat:
    • Warna gelap akan membuatkan ruang kelihatan lebih kecil dan ruang akan menjadi agak suram. Justeru, untuk ruang kecil, manfaatkan warna lembut atau cerah agar persekitarannya tampak lebih sejuk dan lapang.
    • Ketahui jenis cat dan kekuatannya. Bagi ruangan yang sering terdedah pada kotoran misalnya dapur atau bilik si kecil, pilih cat yang boleh dibersihkan. Biarpun harganya agak mahal, namun begitu berbaloi dalam jangka panjang.
    • Buat tinjauan sebelum membeli. Anda boleh melihat laman web atau majalah dekorasi bagi mengetahui warna yang sesuai bagi ruangan di kediaman anda. Sama ada bersifat kontras atau tidak, pastikan warnanya boleh menyumbang kepada dekorasi ruang, bukannya menenggelamkannya.


    LUASKAN RUANG KECIL
    Ruang yang kecil bukanlah alasan untuk sukar menata hias kediaman. Ciptakan dimensi yang boleh memantulkan kesan yang lebih luas. Tidak perlulah membelanjakan wang untuk memecahkan ruang kediaman, sebaliknya berinteraksilah dengan ruang terbabit.

    Caranya:
    • Jadikan cermin berukuran besar bagi mencipta visual ruang yang lebih besar. Bagi ruang makan dan ruang tamu yang berada di dalam pelan yang sama, cermin akan membantu memancarkan keseluruhan ruang tampak lapang kala mata memandang ke arah cermin tersebut.
    • Biarpun anda rambang mata melihat pelbagai perabot yang dipamerkan di kedai, namun pastikan anda tahu kesesuaiannya dengan ruang kediaman. Jangan berangan untuk memenuhkan kediaman anda dengan perabot yang besar sehingga tiada langsung ruang untuk bergerak.


    BUKAN SEMUA PERLU BARU
    Jika mahukan semua baru tentunya memerlukan perbelanjaannya yang cukup tinggi. Tidak perlu semua ini jika anda kreatif dalam mencorakkan kembali perabot lama anda. Biarpun ia kelihatan agak lusuh, apa kata cat sahaja dan baiki kerosakannya. Selain itu, gunakan kebijaksanaan anda untuk mencampurkan perabot bercita rasa moden bersama perabot lama bagi mewujudkan jalinan yang serasi.

    Antara benda lama yang boleh diperbaharui ialah:
    • Gambar hitam putih ketika usia kecil anda boleh dijadikan hiasan indah di dinding. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membingkaikannya sahaja.
    • Manfaatkan juga kerusi lama dengan memasang fabrik atau sarung baru agar dapat memancarkan imej lebih ceria.


    HIASKAN DINDING
    Dinding tanpa hiasan agak membosankan. Kecualilah jika anda menggunakan kertas dinding yang mempunyai corak yang sarat. Justeru, cuba hiaskan dinding rumah anda dengan potret keluarga, lukisan, cermin ataupun piring hiasan. Namun, sesuaikan dengan fungsi ruang terbabit. Perhatikan hiasan yang ada di pasaran dan bandingkan dengan kesesuaian kediaman anda.


    BANTUAN CAHAYA
    Tidak semua ruangan perlu diterangi dengan efek cahaya yang sama. Pastikan anda tahu bahagian mana yang boleh diserlahkan dengan bantuan cahaya. Misalnya, lukisan atau potret di dinding. Anda boleh memasang lampu sorot yang hanya memancarkan cahaya ke arah lukisan tersebut. Efeknya pasti memukau.

    Cara menyerlahkan ruang:
    • Lampu duduk atau berdiri - Kesan kabur yang dipantulkan membuatkan ruang tampak romantik. Sesuai diletakkan di ruang tamu, ruang santai dan bilik tidur.
    • Candelier - Memantulkan imej mewah terutamanya bagi menyerlahkan perabot baca, kristal dan berwarna keemasan. Sesuai diletakkan di ruang tamu dan ruang makan.
    • Lampu gantung - Memancarkan cahaya yang lebih terang dan sering dijadikan pilihan di ruang aktiviti keluarga, ruang belajar, ruang tamu dan ruang makan.




    Sumber dari majalah keluarga harmoni