31 March 2011

Punca Mengantuk Di Siang Hari


Hampir setiap orang mengalami rasa mengantuk pada hari tertentu. Bagaimana pun, mengantuk yang keterlaluan boleh menggangu tugas harian terutamanya pada waktu kerja dan melakukan aktiviti santai. Keadaan ini dikenali sebagai hipersomia iaitu rasa mengantuk yang berulang-ulang hingga membuatkan seseorang ingin tidur siang hari bermula pada malam hari sebelumnya. Tidur yang terganggu atau kurang tidur beberapa malam boleh mengakibatkan anda menjadi lesu dan pasif. Menurut satu kajian oleh Avelino Verceles, MD, di University of maryland School of Medicine, seseorang yang sering mengantuk pada siang hari harus memberi perhatian pada katil tempat anda tidur dan melakukan seks. Anda tidak sepatutnya membaca, menonton televisyen, bermain permainan video atau menggunakan komputer riba di atas katil. Tambahnya lagi, perbincangan atau pertelingkahan di atas katil juga boleh menyebabkan gangguan tidur dan mengantuk pada keesokan harinya.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

30 March 2011

Minyak Masak Kitar Semula Tidak Halal?


Pernahkah kita terfikir minyak masak yang kita gunakan setiap hari sebenarnya tidak halal? Kita mungkin bernasib baik sekiranya kita memilih minyak masak dari jenama yang disahkan tulen dan suci. Tetapi bagaimana pula dengan minyak masak kitar semula? Dari mana sumbernya dan bagaimana ia diproses semula sebelum dijual dengan harga jauh lebih murah kepada para pengguna.


Orang ramai biasanya tidak ambil kisah soal ini kerana lebih mementingkan soal harganya yang murah. Tentu ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa minyak masak yang digunakan saban hari itu sebenarnya tidak asli dan di kitar semula. Apatah lagi jika minyak masak tersebut dijual dengan harga yang agak murah dan boleh didapati di pasar malam mahupun kedai runcit. Minyak masak kitar semula ini dikatakan diproses dengan mencampurkan minyak terpakai yang telah dibersihkan bersama minyak baru.


Minyak masak terpakai diperolehi menerusi hotel, restoran mahupun pengusaha makanan lain. Bekalan minyak masak terpakai ini kemudian dibawa ke kilang untuk menjalani proses pembersihan dan penulenan. Agar nampak lebih asli, minyak ini akan dicampurkan bersama minyak masak tulen. Bagi mengaburi mata pengguna, minyak terpakai ini kemudian dibungkus menggunakan pelbagai jenama termasuk jenama terkenal dan terus diedarkan di pasaran.


Boleh cetus kanser & penyakit hati


Tidak seperti minyak masak asli yang diakui kaya dengan khasiat tertentu, minyak kitar semula ini dikhuatiri boleh memberi bahana buruk terhadap kesihatan. Seperti yang kita ketahui, minyak masak yang digunakan berulang kali akan mengalami tindak balas oksidasi dan boleh mendatangkan bahaya kepada tubuh.


Minyak yang teroksidasi akan cepat berbau tengik. Minyak ini juga akan menjadi tempat pembiakan kulat aflatoksi yang boleh menghasilkan racun penyebab pelbagai penyakit terutamanya penyakit hati. Minyak tersebut juga boleh menghasilkan sejenis bahan yang dinamakan akrolein yang mengakibatkan rasa gatal pada tekak.


Minyak masak yang digunakan berulang kali dan dipanaskan pada suhu yang tinggi boleh menyebabkan asid lemak tidak tepu akan rosak dan hanya meninggalkan asid lemak tepu. Risikonya akan meningkatkan kolesterol dalam darah. Selain itu, vitamin yang terkandung di dalamnya seperti vitamin A,D, E dan K juga akan rosak. Akibatnya, nutrisinya akan hilang dan memberi kesan negatif pada kesihatan.


Sumber diragui



Minyak terpakai yang diperoleh di hotel mahupun restoran ini dikhuatiri digunakan untuk menggoreng makanan tidak halal dan ini pasti memberi kesan terhadap pengguna Islam. Tiada kaedah tertentu yang boleh menguraikan minyak ini menjadi status halal.


Selain itu, kita juga perlu mengetahui bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan dalam tempoh jangka masa panjang. Ia boleh menghasilkan pelbagai penyakit seperti kanser usus, keradangan perut, bebanan pada hati serta limpa dan banyak lagi. Di negara-negara maju, mereka akan membuangnya selepas dua atau tiga kali penggunaan.




Pengguna dinasihati agar tidak membeli minyak yang diragui akan ketulenannya. Selain itu, elakkan daripada menggunakan minyak masak berulang kali. Pilihlah makanan yang sihat untuk jaminan kesihatan.



Sumber disunting dari majalah harmoni


29 March 2011

Menangani Anak Yang Suka Melawan Kata



Sepatah yang diucap, 10 patah dijawab. Tentunya ramai ibu bapa yang berasa sakit hati bila anak melawan kata-kata. Lebih memeningkan bila sikap tersebut sebati dengan diri mereka.

Pasti memalukan bila perkara ini terjadi di hadapan orang ramai, tentu ibu bapa dianggap tidak mengajar anak adab sopan. Bagi menghindari sikap negatif ini dari berterusan hingga dewasa anda boleh mengambil pendekatan berikut:-


Katakan sekali sahaja
Praktikkan dengan menggunakan kes anda sebagai contoh dan kemudian jangan mengungkit lagi. Biarkan sahaj komen kurang enak daripada anak anda. Jika perlu, tinggalkan situasi itu. Biarkan anak menyesuaikan diri dengan perkataan - Sudah!


Berikan mereka peluang merungut sendiri
Asalkan segalanya dilakukan tanpa melampaui batas, anda boleh memberinya peluang menyuarakan perasaannya. Pada kebiasaannya, dia mungkin akan berkata: 'Mengapa perlu saya buat begitu?' Namun, ingatlah bahawa persoalan itu tidak semestinya dijawab.

Lazimnya, bebelan si anak sebenarnya bermakna: "Saya akan buat walaupun saya sebenarnya tidak suka melakukannya."



Tetapkan peraturan untuk berdebat
Sesetengah kanak-kanak sebenarnya suka berdebat tentang sesuatu isu. Jika anak anda suka idea ini, pastikan peratura ditetapkan tentang bila dan bagaimana isu ini boleh didebatkan.

Misalnya, larangan meninggikan suara, tidak memanggil dengan nama yang bukan-bukan dan mendengar pandangan orang lain secara senyap. Syarat-syarat itu sebenarnya menjadi latihan terbaik untuk anak belajar bagaimana membuat pilihan dalam hidup pada masa hadapan.

Selain itu, anda juga perlu memahami kebenaran bahawa terdapat sesetengah perkara yang tidak boleh diperdebatkan. Ia menjadi hak mutlak atau sesuatu yang lebih baik untuk membiarkan ibu bapa membuat keputusan. Ibu bapa juga perlu memberikan satu jawapan standard andainya segelintir isi tidak boleh diperdebatkan. Contohnya, memberi jawapan seperti 'perkara ini tidak harus dibincangkan'.


Berikan pilihan
Daripada sekadar memberi anak arahan, cuba tawarkan anak untuk membuat pilihan atau alternatif. Anak yang suka berdebat biasanya tidak akan mempunyai banyak peluang untuk berlatih kemahiran tersebut jika anda menawarkannya pilihan.

Misalnya, elakkan daripada berkata: "Buat kerja rumah awak sekarang juga." Sebaliknya, anda boleh memberikan alternatif kepada anak dengan berkata: "Adakah awak mahu buat ulang kaji atau membasuh pinggan mangkuk dahulu?' Jika jawapan yang diberikan adalah "Bukan kedua-duanya", mungkin anda boleh memberi senyuman manis dengan berkata: "Jadi, tiada satu pun antara dua pilihan itu yang awak mahu?"


Fikir balik
Anak yang melawan cakap ibu sekali sekala besar kemungkinan akan terus melakukan perkara perkara yang sama atau keadaannya boleh bertambah teruk. Jadi, jika ibu bapa memberi maklum balas secara tenang dan dengan autoriti, tabiat burk itu akan berhenti dengan sendirinya.


Jelaskan harapan anda
Luangkan masa untuk membincangkan perkara ini dengan anak. Beritahu anak tentang akibat yang bakal dihadapinya jika berlaku cakap-cakap di belakang. Antara akibat itu adalah anak hilang keistimewaan yang dinikmatinya sekarang seperti penggunaan telefon, menonton televisyen atau peluang melawat kawan.


Jangan biarkan
Bila-bila sahaja anak melawan kata-kata anda, hentikanlah perbualan itu dengan serta-merta. Jika perlu, keluarlah dari bilik atau tinggalkan anak sebentar. Sekiranya anak mengekori anda, jadilah seorang yang tenang tetapi tegas dan beritahunya bahawa anda tidak dapat bertoleransi terhadap sikapnya yang tidak menghormati anda. Apabila berada dalam keadaan tenang, anda boleh memutuskan akibat atau hukuman yang setimpal untuk anak-anak yang melawan cakap anda.


Didik
Jika anak anda yang biasanya menunjukkan rasa hormat tiba-tiba berubah sikap, renung matanya dengan bersungguh-sungguh dan berkata, "Apa yang awak sedang lakukan ialah melawan cakap dan ini tidak sesekali dibenarkan!"

Teruskan perbualan itu jika dia tidak melawan kata dan pastikan anak memenuhi permintaan anda. Sebaliknya, elakkan daripada berdebat mengenainya.






Sumber dari majalah mingguan wanita


 

28 March 2011

Fakta Mengenai Perfume



Minyak wangi adalah campuran wangian berasaskan minyak atau alkohol serta campuran aroma dan pelarut yang digunakan untuk memberi kesegaran kepada tubuh. Setiap perfume mempunyai ketahanan yang berbeza bergantung pada campuran yang terdapat di dalamnya. Label pada perfume menunjukkan kadar ketahanan bagi sesuatu perfume.


  • Eau de Cologne (EDC) - jenis campuran pekatan minyak wangi terendah sekitar 2-5% yang aromanya tahan sehingga 3 jam. Umumnya, ia sering ditemui pada produk-produk minyak wangi untuk wanita.

  • Eau de Toilette (EDT) - jenis campuran pekatan minyak wangi sekitar 4-10%, lebih sedikit jika dibandingkan dengan EDC dan aromanya tahan sekitar 3-4 jam. Minyak wangi jenis ini banyak dihasilkan untuk lelaki.

  • Eau de Parfum (EDP) - jenis campuran pekatan minyak wanginya yang banyak iaitu 10%-20%. Minyak wangi jenis ini biasanya banyak untuk wanita dan harganya agak mahal. EDP sekitar yang mempunyai kadar ketahanan sehingga 3-4 jam.

  • Cologne, Parfum Classic atau Pure Perfume - jenis campuran pekatan minyak wangi yang tinggi jika dibandingkan dengan yang lain iaitu 15%-30%. Ia mempunyai kadar ketahanan aromanya lebih dari 6 jam.


Untuk menjadikan haruman wangian perfume tahan dengan lebih lama, semburkan wangian perfume tersebut pada kulit. Kulit adalah lebih panas pada bahagian denyutan nadi yang membantu keberkesanan bauanya untuk menyerlah. Antara bahagian badan yang sesuai untuk menyemburkan haruman adalah seperti berikut:-


  • Belakang telinga

  • Di bawah leher

  • Bahagian siku

  • Pelipat lengan

  • Bahagian pergelangan tangan dan dada

# Tidak digalakkan menyembur perfume pada baju kerana ianya boleh merosakkan pakaian dan boleh meninggalkan kesan tompok pada pakaian.


Secara umumnya, perfume yang belum dibuka boleh disimpan sehingga 3 tahun. Tetapi apabila sudah dibuka, ianya boleh disimpan dalam tempoh 6-18 bulan. Perfume juga mempunyai 3 kelemahan iaitu cahaya, suhu yang tinggi dam kelembapan.

Cara terbaik untuk menyimpan perfume adalah di dalam kotak asalnya terutamanya jika ianya jarang digunakan. Apabila disimpan di luar kotak, kualiti perfume akan sedikit terjejas kerana terdedah pada cahaya. Jangan simpan di dalam bilik air. Tempat yang terbaik bagi menyimpan perfume adalah di dalam almari berlaci. Tutup botol perfume dengan ketat supaya baunya kekal.


25 March 2011

Tip Berfesyen Yang Betul


1 Tudung mestilah labuh dan menutup dada serta tidak jarang.


2 Baju mestilah labuh dan longgar.


3 Lengan baju panjang sehingga ke pergelangan tangan.


4 Kain atau seluar yang dipakai mestilah panjang atau labuh hingga ke buku lali.


5 Digalakkan untuk memakai sarung kaki.


6 Tidak memakai kasut tumit tinggi yang berbunyi tatkala berjalan. Sekiranya ingin memakai kasut yang bertumit, pastikan ia diperbuat daripada getah.









Sumber dari majalah mingguan wanita


24 March 2011

8 Kesalahan Ketika Memakai Tudung

1 Ada muslimah memakai tudung hanya kerana mahu menutup bahagian rambut sahaja sedangkan bahagian lain tidak ditutup.
2
Bertudung tetapi memakai kemeja T berlengan pendek.
3
Bertudung tetapi baju yang dipakai mengikut bentuk tubuh selain terbelah kainnya
4
Bertudung tetapi baju atau seluar sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah 'menggoda'.
5
Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambut.
6
Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasar raya dan sebagainya.
7
Bertudung tetapi tudungnya diikat ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
8 Bertudung tetapi dengan tudung yang dipakai amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya. Sebahagian wanita menyangka bahawa menutup aurat itu adalah menutup bahagian rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.







Sumber dari majalah mingguan wanita


23 March 2011

Tip Agar Waktu Kerja Tidak Ganggu Waktu Privasi



Semakin tinggi pangkat anda bermakna semakin besarlah tanggungjawab yang dipikul. Ini juga bermakna anda juga akan semakin sibuk sehingga masa untuk keluarga mahupun rakan-rakan juga semakin terhad. Namun semuanya demi karier dan masa depan anda.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda harus mengabaikan privasi anda bersama keluarga dan rakan-rakan. Anda sebenarnya hanya perlu cuba menyeimbangkan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi. Jika tidak, anda mungkin anda mengalami gangguan emosi dan keletihan fizikal yang akan mempengaruhi produktiviti kerja. Manakala hubungan peribadi anda dengan keluarga dan rakan-rakan juga akan turut terganggu kerana terlalu sibuk bekerja. Berikut merupakan tip-tip yang perlu anda aplikasikan dalam diri dan kehidupan anda di rumah dan di pejabat:-


Membuat prioriti
Lihat kembali jadual aktiviti anda dalam satu minggu, sama ada aktiviti pekerjaan ataupun personal. Buat keutamaan daripada aktiviti yang penting sehingga yang tidak penting berdasarkan aktiviti mana yang lebih memberikan kepuasan atau kesenangan bagi anda. Jika kedudukan anda dalam satu organisasi itu cukup kuat, serahkan sebahagian tugas-tugas di pejabat kepada pekerja bawahan. Aguhkan tugasan supaya ia tidak hanya membebankan anda seorang. Dengan cara itu, anda masih berpeluang menikmati waktu privasi.


Kawal waktu kerja
Waktu kerja yang terkawal dapat mengurangi kadar stres anda. Bincang bersama rakan sekerja tentang jadual kerja serta pembahagian tugas masing-masing. Ketahui waktu bila yang memerlukan anda dan rakan sekerja perlu duduk bersama melakukan kerja secara berkumpulan di pejabat. Hal ini akan membuatkan semua aktiviti anda tersusun rapi termasuk mengetahui bila waktu lapang anda.


Belajar berkata 'tidak'
Anda tidak perlu mengiakan semua permintaan, baik di pejabat mahupun dalam kehidupan peribadi anda. Ada waktunya anda perlu menolak pelbagai permintaan yang sebenarnya bukan tanggungjawab anda. Berhenti melakukan kerja yang hanya membuatkan anda rasa bersalah. Berikan waktu pada diri sendiri untuk isterirehat sambil menikmati masa itu dengan aktiviti yang memberikan kesenangan kepada anda.


Lupakan komputer riba dan telefon bimbit ketika bersama keluarga
Teknologi menciptakan interaksi tanpa batasan. Atas sebab itu, telefon bimbit dan komputer riba selalu ada bersama anda untuk memudahkan semua urusan pekerjaan. Namun buatlah batasan ketika anda berada di rumah. Pekerjaan adalah urusan anda di pejabat. Apabila anda sedang berada di rumah dan berkumpul bersama keluarga, singkirkan sementara urusan pekerjaan. Matikan telefon bimbit anda. Berikan waktu dan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga.


Pengurusan waktu yang betul
Mengurus masa dengan efisyen akan membuat kerja anda berjalan lebih lancar. Buat jadual kerja harian bagi memudahkan anda di pejabat. Ketika di rumah pula, buat senarai dan jadual aktiviti harian. Contohnya, tetapkan masa untuk cuci pakaian dua hari sekali ataupun hantar ke pusat dobi. Tetapkan jadual tuisyen anak-anak dan sebagainya. Anda juga perlu berkomunikasi dengan lebih terbuka dengan anggota keluarga yang lain supaya tidak berlaku salah faham yang akan menjejaskan waktu nada. Pengurusan waktu yang betul perlu diterapkan di rumah mahupun di pejabat supaya anda tidak kelam-kabut.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

22 March 2011

Detoks Cara Mudah

Perkataan detoks sudah tidak asing lagi di kalangan kita semua. Malah, ramai juga yang mengakui tertarik dengan proses pembersihan tubuh secara semula jadi begini. Jika tidak, masakan pelbagai produk yang membantu tubuh untuk melakukan detoks ini semakin mendapat sambutan. Sebenarnya, bukanlah mudah untuk melakukannya, apatah lagi yang ingin melakukannya secara semula jadi.

Ini kerana, untuk menjalani proses detoks sekalipun, kita perlu minum banyak air atau makan makanan yang mungkin tidak digemari seperti jus campuran sayur dan buah yang aromanya kurang enak. Jika anda rasa tidak mungkin mahu makan makanan seperti itu, tip di bawah mungkin boleh dijadikan panduan sebagai proses detoksifikasi mudah:-


Ingat serat
Ambil makanan yang banyak mengandungi serat seperti nasi merah, sayur dan buah-buahan segar supaya pencernaan bersih dan lancar.


Ambil vitamin C
Ambil vitamin C setiap hari kerana ia boleh membantu menghasilkan sebatian hati yang mengusir racun dari dalam tubuh. Ia boleh berupa suplemen atau buah.


Minum banyak air
Air akan menjaga sel-sel tubuh dan menjaga dehidrasi. Minum dua liter air setiap hari.


Tarik nafas panjang
Biasakan diri dengan menarik nafas panjang dan dalam supaya lebih banyak oksigen dapat masuk ke dalam sistem tubuh. Cara ini dapat membuat tubuh lebih bersih.


Sauna
Berpeluh di sauna boleh mengeluarkan racun dari dalam tubuh. Mandi wap juga boleh dilakukan.






Sumber dari majalah mingguan wanita


21 March 2011

5 Perkara Agar Berat Badan Tak Kembali Naik

Proses menurunkan berat badan bukanlah suatu perkara yang mudah dan pasti mengambil masa yang agak panjang. Paling perit ialah untuk mengekalkan berat badan setelah berhempas pulas mengikut program diet sepanjang tahun. Tanpa kesabaran dan langkah berwaspada, tidak mustahil segala usaha anda selama ini menjadi sia-sia apabila berat badan kembali naik seperti sebelum ini.

Perkara inilah yang sering dialami oleh ramai individu, yang selama ini begitu gigih menjalankan program diet untuk mendapat bentuk badan idaman. Tetapi apa pula perasaan anda jika segala usaha tersebut 'dicacatkan' dengan kesalahan-kesalahan yang tidak sepatutnya anda lakukan?

Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan hanya lima peratus individu yang berjaya mempertahankan ukuran tubuh selepas menjalani program diet. Persoalan di sini, apakah rahsia individu ini sehingga mampu mempertahankannya?



LIMA PERKARA BERIKUT MERUPAKAN SEBAHAGIAN YANG MEREKA AMALKAN:-


Timbang berat seminggu sekali

Terdapat kajian yang menyatakan, menimbang berat badan secara rutin dapat membantu mengurangkan risiko penambahan berat badan secara mendadak. Jika anda dapat mengesannya dari awal, pasti lebuh mudah untuk anda melakukan program diet atau senaman, bagi menghilangkan penambahan berat yang telah dikesan. Cara terbaik, letakkan penimbang di dalam kamar tidur atau kamar mandi bagi memudahkan anda mengesan sebarang perubahan terhadap berat anda. Tetapi, jangan pula menimbang pada setiap hari. Seminggu sekali sudah memadai.


Lima sajian sayur dan buah

Berdasarkan kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC), wanita yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran sekurang-kurangnya lima sajian setiap hari, dapat mengurangkan 60 peratus risiko penambahan berat berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Ini kerana dengan mengambil buah-buahan dan sayuran, anda akan berasa kenyang dengan lebih lama berdasarkan kandungan serat dan air yang terkandung di dalamnya. Selain dijadikan sebagai salad atau dimakan mentah, anda juga boleh mengambilnya dalam bentuk jus segar tanpa gula. Makanan yang mengandungi tinggi serat memerlukan tempoh masa 24 jam untuk melalui sistem pencernaan. Oleh itu, anda tidak mudah berasa lapar.


Awasi kebiasaan harian

Lebih daripada 55 peratus individu yang gagal dalam program diet menyalahkan aktiviti atau tabiat di pejabat sebagai punca kegagalan. Mereka menyatakan, pengaruh rakan-rakan untuk mekan serta gemar menjadikan kudapan kala menyelesaikan kerja adalah punca berat semakin meningkat. Selain. itu, setiap kali berjumpa teman atau pelanggan di luar, anda juga tidak dapat mengelak daripada menjamah makanan. Bagi mengatasinya, ubah kebiasaan ini dengan tidak menyediakan sebarang kudapan atau snek di laci meja kerja anda. Begitu juga ketika bertemu pelanggan, jamah sedikit makanan misalnya buah-buahan, bagi mengahalang anda makan di luar sedar ketika sedang berurusan dengan pelanggan.


Manfaatkan setengah jam

Selain penjagaan makanan secara terkawal, senaman secara rutin juga mampu mengekalkan berat badan seimbang. Luangkan setengah atau satu jam sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk bersenam bagi mengeluarkan peluh. Jika anda melakukan senaman secara rutin, anda mungkin boleh menjadikan makanan manis seperti kuih-muih, aiskrim dan coklat sebagai makanan yang diambil sekali-sekala.


Elakkan makanan segera

Ramai individu yang mengakui, menjauhi diri daripada makanan segera adalah kaedah yang lebih berkesan mengekalkan berat badan berbanding mereka yang mengambilnya. Jika dibandingkan dengan makanan segera, makanan yang dimasak sendiri akan memudahkan anda mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahan perasa tambahan atau pewarna yang tidak sepatutnya. Bagi memudahkan kerja memasak, rujuk buku masakan yang menyajikan resipi sihat, rendah lemak tetapi mempunyai khasiat yang tinggi. Selain. itu, kaedah penyajiannya juga dapat dikawal dengan cara menggunakan minyak sedikit, memanggang, rebus dan sebagainya.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

18 March 2011

Bawang..Ingat khasiat, pedulikan baunya!

Hidangan sate tidak lengkap jika tidak disertai hidangan iringan seperti nasi impit, timun dan bawang. Tapi gara-gara bimbang nafas berbau, ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan yang mengandungi banyak bawang. Tidak hanya bawang merah atau bawang besar, bawang putih terutamanya antara yang menyebabkan nafas paling berbau yang tidak menyenangkan.

Walaupun begitu, khasiat bawang jauh lebih baik mengatasi kekurangannya yang menyebabkan nafas berbau. Bawang putih misalnya, terbukti secara ilmiah membantu menghindari dari segala jenis kanser seperti kanser payudara, perut, usus dan kulit. Jadi, bagaimana mahu mendapatkan kebaikan bawang tanpa perlu bimbang dengan kesan nafas berbau? Ikuti tip di bawah:-


Makan epal, bayam dan kemangi
Menurut hasil kajian, makanan-makanan di atas kaya dengan fenol dan mampu menghilangkan aroma bawang. Kandungan polifenolnya berfungsi seakan antioksidan yang mampu memecahkan kandungan sulfur pada bawang penyebab nafas berbau.


Susu

Sebuah kajian terbaru mendapati bahawa susu mungkin lebih efektif untuk menghilangkan bau bawang, lebih-lebih lagi jika anda meminumnya sebelum anda makan bawang putih. Pengkaji mendapati bahawa susu memiliki kemampuan lebih baik untuk mengurangi bau bawang.



Teh hijau
Minum teh hijau sebelum atau sambil menikmati makanan mengandungi bawang juga boleh mengurangkan aroma bawang pada mulut. Ini kerana, kandungan polifenol di dalamnya yang dapat memecahkan sulfur, sama seperti pada bayam, epal dan kemangi.






Sumber dari majalah mingguan wanita


Banyak juga khasiat bawang tanpa kita sedari.. Kita seringkali menghindari memakan bawang kerana baunya yang kurang menyenangkan.. Menyebabkan kita merasa malu untuk berbicara sekiranya kita baru mengunyah bawang..

17 March 2011

Dosa mengumpat



Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.

Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan Biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.

Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.




Sumber dari berita harian


Kita ni secara tak sengaja memang suka mengumpat pasal orang lain.. Dah menjadi fitrah manusia.. Dalam sedar tak sedar, kita telah melakukan dosa mengumpat.. Astafirullah..

16 March 2011

Senaman di tempat kerja

MELAKUKAN senaman membolehkan kita membakar kalori dengan baik dan menjadikan diri lebih sihat. Namun, bagi yang sibuk dengan rutin kerja setiap hari sering memberi alasan tidak mempunyai masa untuk melakukan senaman.

Walaupun sibuk mana sekalipun, jangan hanya duduk sepanjang masa di pejabat. Ini kerana duduk mengadap komputer sepanjang hari bukan saja membuatkan badan berasa letih dan mengantuk tetapi boleh membuatkan emosi dan fizikal berasa tertekan.

Adalah lebih baik anda berjalan-jalan seketika di sekeliling bangunan di pejabat anda ketika waktu makan tengahari atau masa rehat. Ini akan membantu anda membakar kalori berbanding jika anda duduk dan memakan snek semata-mata.

Tahukah anda, dalam kesibukan bekerja seseorang itu masih boleh lagi melakukan senaman bagi menyegarkan tubuh? Selain mampu menyihatkan badan, senaman juga mampu mengurangkan tekanan ketika bekerja. Berikut adalah antara senaman atau gerakan yang anda boleh cuba ketika berada di pejabat.

* Duduk di kerusi, angkat kaki kiri anda kira-kira lima sentimeter dari permukaan lantai. Luruskan kaki ke hadapan kemudian turunkan kembali ke posisi asal. Ulang sebanyak 12 kali. Kemudian, gantikan pula dengan kaki kanan.

* Duduk tegak di atas kerusi, tarik nafas dalam-dalam sambil menahan perut selama kira-kira 10 saat. Lepaskan. Kemudian ulang sebanyak 12 kali. Senaman ini sangat berkesan jika ia dijadikan rutin harian di pejabat.

* Duduk tegak sambil kedua kaki menapak lantai. Letakkan kedua belah tangan anda ke sisi meja. Tekan belakang anda sekuat-kuatnya, tahan untuk beberapa saat kemudian lepaskan. Ulang sehingga kiraaan 12.



Sumber disunting dari berita harian

15 March 2011

Pemikiran Negatif


Fikiran Negatif ada Power Tersendiri Sehebat Gelombang Tsunami

Fikiran negatif punya power tersendiri. Pasti Anda pernah terdengar sebuah buku bertajuk The Power Of Positive Thinking. Buku ini menerangkan tentang kesan amalan berfikiran positif dalam kehidupan – kerjaya, kekeluargaan, perniagaan, perhubungan, tabiat dan mindset. Anda perlu sedar, setiap perkara yang ada di dunia ini ada lawannya. Positif lawannya negatif. Ada sebuah buku ditulis dengan tajuk Power Of Negatif Thinking, tugasnya menerangkan tentang kesan pemikiran negatif dalam kehidupan. Fikiran negatif juga ada powernya. Nak jadi cemerlang, seboleh mungkin elakkan berfikiran negatif.


Fikiran negatif kerjanya memusnahkan, fikiran positif kerjanya membina. Membina sesuatu agak lama, sedangkan memusnahkannya sekelip mata saja. Lihat bencana Tsunami. Datangnya sekali dalam puluhan tahun, namun impaknya besar sekali. Tsunami memusnahkan kota yang dibina bertahun-tahun lamanya.


Fikiran negatif jika ada pada Anda, ia akan menjadi pemusnah sehebat Tsunami, memusnahkan harapan Anda dan menguburkan impian Anda yang Anda sudah bina bertahun-tahun. Amat bahaya jika Anda berfikiran negatif. Anda susah nak maju, susah nak bergaul, susah nak cemerlang dalam apa jua yang Anda lakukan.


Fikiran negatif ada pada setiap orang kerana setiap orang ada ketidaksukaan pada seseorang yang lain. Setiap orang ada kebencian dan kebusukhatian masing-masing, cuma dalam kuantiti berbeza. Orang yang benar-benar berfikiran positif adalah orang yang tidak ada hasad dengki, tidak ada benci hatta sakit hati sedikitpun. Orang sebegini tidak pandai marah dan mukanya lembut saja. Dia mungkin lurus bendul tapi ketahuilah hatinya sangat bersih. Ada lagi ke orang sebegini? Andalah penentu hidup Anda. Semuanya bermula dari fikiran. Ketenangan hidup, kebahagiaan dan kejayaan, semuanya bermula di minda di pandu oleh ilham dari Yang Maha Esa. Minda bertindak ibarat sebuah doa. Apa yang kita doakan selalu, itulah yang akan kita dapat sama ada cepat atau lambat saja.



Cara Terbaik Untuk Elak Diri Dijangkiti Pemikiran Negatif Dari Orang Sekeliling


Bila Anda berada di persekitaran yang dikelilingi oleh orang-orang bermindset negatif dan mereka sedang mengatakan sesuatu yang negatif, sebenarnya Anda sedang menyediakan diri Anda untuk dijangkiti pemikiran negatif. Anda akan terjangkit pemikiran negatif mereka, Anda akan terbawa-bawa oleh cakapan negatif mereka sebab Anda rasa seronok bercakap begitu seperti mereka.


Cara terbaik untuk mengelakkan Anda dijangkiti pemikiran negatif adalah dengan berdiam diri, cuma memberi respon ketika di minta atau ketika dirasakan perlu. Elakkan untuk menyertai perbincangan bersifat negatif. Elak menyertai perbualan bersifat negatif. Mengumpat, mengeji, memburuk-burukkan dan mentertawakan seseorang adalah contoh perbualan bersifat negatif. Anda tak akan dapat mengelak habis dari perbualan negatif sebab orang-orang yang menyertai perbualan sebegini adalah kawan-kawan Anda sendiri. Anda akan dianggap sombong dan membenci apabila tidak menyertai mereka. Untuk mengambil hati mereka, Anda kena join. Bila sudah join, bahayanya Anda akan jadi orang berfikiran negatif seperti mereka.


Diam adalah cara terbaik. Diam lebih baik dari bersuara untuk mengata dan dari mengutarakan rasa -tidak puas hati. Bila sudah tidak puas hati, Anda akan tidak puas hati berkali-kali untuk hari-hari seterusnya.


Sebab Bahaya Duduk Berdekatan Orang Berfikiran Negatif


Selama ni mungkin Anda tak sedar betapa bahayanya duduk berdekatan dengan orang yang fikirannya negatif. Macam mana nak kenal orang sebegini? Lihat dua perkara:

1. Percakapannya.

2. Tindakannya.

Orang berfikiran negatif banyak bercakap mengenai keburukan orang lain, dia biasanya banyak meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dia suka menceritakan kegeramannya terhadap sikap orang-orang tertentu, situasi tertentu, benda tertentu. Dia lebih banyak mem’blame’ (menyalahkan). Orang berfikiran negatif cepat memandang buruk pada sesuatu yang baru. Tindakan mereka lebih banyak mengelak dari tanggungjawab. Jika diberi tanggungjawab, orang berfikiran negatif biasanya akan buat ala kadar saja. Dalam bisnes, orang berfikiran negatif berbisnes untuk mencari duit supaya dia cepat kaya. Orang berfikiran positif pula berbisnes untuk dia menabur bakti dan membantu orang lain. Untung dan duit menjadi perkara kedua, kepuasan pelanggan lebih utama. Mindset fikiran negatif wujud tanpa Anda sedari. Jika Anda perasa Anda ada sikap-sikap negatif seperti yang diterangkan tadi, ubah cepat sebab sikap itu akan jadi penghalang untuk Anda cemerlang. Orang berfikiran negatif takkan pernah cemerlang, bahkan berusaha menghalang Anda dari jadi cemerlang.


4 Petanda Bagaimana Kenal Pasti Pemikiran Negatif Dalam Diri Seseorang

4 petanda bagaimana nak kenal pasti pemikiran negatif dalam diri seseorang:


1. Lihat pada kata-katanya.

Orang berfikiran negatif biasanya suka merendah-rendahkan, mengetawakan kesilapan, membanding-banding, bercakap penuh ego. Dia tidak ada empati (memahami orang lain) dan tidak ada sikap merendah diri (humble). Dia banyak menjadikan dirinya sebagai contoh rujukan untuk menampakkan dia lebih bagus, sedangkan dia masih lum mencapai apa-apa kejayaan hebat.


2. Lihat pada perbuataannya.

Biasanya dia lebih banyak cakap dari buat. Dia akan banyak berlagak hanya kerana dia tidak mahu kalah pada pencapaian orang yang jauh lebih bagus. Dia banyak mempertikaikan, kurang berusaha membaguskan pencapaiannya. Dia suka mengomen, mengomplen dan mengkritik.


3.Lihat pada hidupnya.

Pemikiran negatif menjadikan dia tak ada inisiatif nak mencapai kejayaan, kebahagiaan juga ketenangan. Orang berpemikiran negatif masih tak dapat mencapai apa-apa sebab dia terlalu sibuk mengambil tahu hal orang lain dari sibuk memajukan diri sendiri. Hidupnya bermasalah, dengan pasangan hidupnya ada saja yang tak kena.


4. Bila di tegur, dia melenting pula.

Orang berpemikiran negatif anggap teguran sebagai merendah-rendahkan maruah. Dia tidak akan menerima teguran sebagai benda untuk memajukan diri. Ego mendorong dia melenting pada teguran. Jika Anda dapat melihat SALAH SATU daripada 4 petanda di atas, maka orang itu ternyata ada mindset negatif.




14 March 2011

G6PD


G6PD penyakit kurang enzim'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku. Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki.

Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).

Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu.


Bagaimana masalah ini dikesan?

Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan. Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir.

Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi.

Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.

Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang. Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba. Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang.

Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria.

Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD. Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi.


Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi

Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur. Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga.


Rawatan

Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas. Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.

* Penting bagi para ibu bapa mengetahui kesihatan anak anda. Pastikan mereka mengelakkan diri daripada benda-benda yang boleh menyebabkan 'hemolisis' darah merah.

* Bahan-bahan yang boleh menyebabkan 'hemolisis' darah merah ini ada dicatatkan di dalam kad kesihatan anak yang mengidap G6PD tersebut setelah dilahirkan.

*Sila maklumkan tentang penyakit ini setiap kali menjalani rawatan di klinik dan juga hospital bagi mengelakkan menerima ubat-ubatan yang boleh menyebabkan 'hemolisis'.




11 March 2011

Hiperhidrosis


Penyakit berpeluh yang berlebihan dikenali sebagai Hiperhidrosis. Ia berlaku pada hampir 1% daripada populasi terutamanya wanita. Perpeluhan yang tidak normal ini biasanya mengganggu kehidupan pesakit dan ia boleh berlaku di tangan, ketiak, kaki atau muka.

Ada pesakit yang tidak ke masjid atau berdebar ketika hari raya menjelang tiba kerana tangan yang basah ketika bersalaman. Ada pesakit yang mengadu berpeluh menitik-nitik tanpa sebab dan kaki yang berendam di dalam kasut disebabkan perpeluhan pada kaki. Ini menyebabkan mereka berasa sulit untuk menjalani kehidupan.

Penyebab penyakit hiperhidrosis ini masih belum diketahui. Walaupun begitu, ia dipercayai disebabkan oleh rangsangan saraf simpatetik yang berlebihan pada kelenjar peluh yang terlibat.

Biasanya, simptom hiperhidrosis mula kelihatan ketika sejak usia antara 10 tahun hingga 20-an. Kemungkinan berlaku di kalangan ahli keluarga adalah tinggi namun ia bukan kemestian.

Walaupun tidak menjejaskan kesihatan keseluruhan, hiperhidrosis dianggap mengganggu aktiviti sosial individu terbabit.

“Individu terbabit akan rasa tidak selesa, rendah diri dan kurang berkeyakinan untuk bertemu orang ramai. Apatah lagi bagi mereka yang banyak terlibat dengan majlis sosial,” katanya.


Rawatan

Terdapat beberapa kaedah merawat hiperhidrosis. Antaranya:

Antiperspirant

Dicadangkan kepada kes hiperhidrosis ringan dan bersifat sementara. Pemakaian perlu diulang. Pesakit serius, kaedah ini langsung tidak berkesan

Suntikan

Bagi mengurangkan aktiviti saraf simpathetik. Namun kadangkala mengganggu aktiviti simpathetik hingga berlaku masalah lain seperti sembelit, cirit-birit, rasa loya dan pengsan. Hanya bertahan antara enam hingga lapan bulan sahaja.

Pembedahan

Pembedahan invasif minimum melalui VATS paling berkesan dan selamat. Mengambil masa sekitar satu jam. Kesan serta-merta. Kejayaan hampir 100 peratus. Luka pembedahan hanya sebesar 5mm - 1sm.

Kesan sampingan

Kemungkinan untuk mengalami kesan sampingan hanya sekitar satu hingga tiga peratus sahaja dan kesakitan yang berlaku biasanya disebabkan pembedahan.

Rasa sakit seperti sengal biasa berlaku di bahagian dada dan belakang. “Ia berlaku lebih kurang dua minggu dan bersifat sementara,” katanya. Jelas beliau lagi, pesakit boleh pulang dari wad sehari selepas pembedahan dan proses penyembuhan berlaku dengan pantas.

Kesan sampingan lain pula seperti berpeluh di bahagian lain, sesak nafas dan sebagainya juga bersifat sementara. Bagi mereka yang mengalami masalah kekeringan pula boleh diatasi dengan menyapu losyen atau krim.

Maklumat mengenai hiperhidrosis




Sumber dari utusan malaysia dan internet



10 March 2011

Pengurusan stress di tempat kerja

Pendahuluan

Stress atau tekanan perasaan adalah tindakbalas tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan tuntutan dalam kehidupan. Tuntutan dan cabaran tersebut mungkin merupakan perkara-perkara yang datang dari luar, atau mungkin juga datang dari fikiran diri sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). Stress seringkali digambarkan sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun dari perspektif lain, sesungguhnya setiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.


Gejala Stress

8 gejala atau tanda-tanda stress di tempat kerja yang dapat disimpulkan iaitu:


a) Prestasi kerja menurun.

b) Semangat dan tenaga untuk bekerja menurun.

c) Komunikasi dengan orang lain terganggu.

d) Murung.

e) Cepat naik angin atau marah-marah.

f) Kurang potensi pemikiran yang bersifat kreatif dan kritis.

g) Mengambil keputusan secara mendadak.

h) Melakukan perkara selain kerja seharian seperti melepak.


Cara mengatasi

4 pendekatan yang dapat dipraktikkan untuk mengatasi stress di tempat kerja iaitu:


a) Pendekatan rohani. · Solat dengan khusyuk. Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud: Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat. Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan. Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

· Bacalah al- quran kerana sesungguhnya al-quran adalah penawar bagi hati. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)

· Sentiasa senyum. Dari Abu Dzar ra., Rasulullah SAW bersabda : "Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" (Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

· Bersendirian/ bermuhasabah diri. Hadis Qudsi yg bermaksud, "Barangsiapa yang tidak redha dengan qadha'Ku(ALLAH), dan tidak bersyukur dengan pemberianKu, dan tidak sabar dengan ujianKu, maka carilah Tuhan selainKu."

· Sentiasa berzikir. “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia." (QS: Ar-Raad: Ayat 28)

"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati." [Surah Ar-Ra'adu : ayat 28]

· Berkasih sayang. Hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda: "Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan shuhada yang menyukai mereka " (riwayat Attarmizi)


b) Pendekatan fizikal

· Tarik nafas dan bertenang.

· Bersenam.

· Mengurut.

· Hobi.

· Berehat sebentar.


c) Pendekatan individu/ organisasi

· Meluangkan masa bersama keluarga (bercuti).

· Berbincang bersama isteri atau suami, teman, rakan sekerja, ketua jabatan, atau keluarga.

· Berjumpa kaunselor, ustaz atau ustazah, atau doktor untuk mendapatkan nasihat.



Sumber dari http://www.ukm.my

09 March 2011

Kolesterol

3 cara untuk mengurangkan tahap kolesterol

1. Hadkan pengambilan makanan tinggi kolesterol

2. Kurangkan pengambilan lemak

3. Tingkatkan pengambilan serat


1. Hadkan pengambilan makanan tinggi kolesterol

* Pengambilan makanan tinggi kolesterol yang berlebihan boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL (sila rujuk jadual Kandungan kolesterol dalam makanan ).

* Pengambilan kuning telur dalam seminggu adalah sebanyak 2-3 biji sahaja.

* Organ dalaman seperti hati, limpa , jantung adalah tidak digalakkan

* Udang , sotong, ketam dan juga kerang - kerangan ( kerang , kupang , kepah , tiram ) boleh diambil secara tidak berlebihan bergantung kepada kekerapan pengambilan dan juga jumlah yang diambil .

Sekiranya terdapat masalah , sila dapatkan nasihat Pakar Pemakanan atau Pegawai Dietetik.


2. Kurangkan Pengambilan Lemak

Lemak tepu boleh meningkatkan tahap kolesterol darah.

Santan merupakan salah satu lemak tepu yang biasa diambil.

Bagi setiap masakan di rumah , pengambilan santan perlu dihadkan kepada 2 sudu besar sahaja , sebanyak dua kali seminggu.

Bagi masakan di luar seperti di restoran atau gerai , pengambilan kuah santan dalam setiap masakan perlu dielakkan.

Sila rujuk Panduan Pemakanan Malaysia


3. Tingkatkan Pengambilan Serat

* Serat makanan dapat membantu menurunkan tahap kolesterol darah .

* Sumber serat yang baik adalah buah- buahan , sayur-sayuran dan hasil bijirin mil penuh.


Jenis-jenis lemak

Terdapat 2 jenis lemak dalam makanan iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu.


Lemak Tepu

* Berbentuk pepejal dan keras di bawah suhu sejuk.

* Biasanya daripada haiwan tetapi terdapat juga dalam lemak tumbuhan seperti santan kelapa.

* Pengambilan lemak tepu yang berlebihan akan meningkatkan tahap kolesterol darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung.


Lemak Tidak Tepu

* Lembut walaupun disimpan di dalam peti sejuk

* Kebiasaanya daripada tumbuhan


Terdapat 2 jenis lemak tidak tepu :

* Lemak Monounsaturated ( MUFA ) seperti minyak zaiton dan minyak kelapa

* Lemak Polyunsaturated ( PUFA ) seperti minyak bunga matahari , minyak jagung dan marjerin lembut.

Nama lain bagi lemak - trans fatty acids ( asid lemak trans ), shortening, suet (lemak yang membaluti buah pinggang pada kambing & lembu untuk dibuat bahan masakan) , marbling, cream, tallow ( lemak haiwan ), lard ( lemak babi ) dripping( lemak beku), hydrogenated fat ( lemak terhidrogen ) , cis- fatty acid.


Jadual Kandungan Kolesterol Dalam Makanan

Kandungan kolesterol dalam beberapa jenis makanan





Sumber dari http://www.infosihat.gov.my/ dan internet

08 March 2011

Hidung Tersumbat

Selesema pastinya menyeksakan. Sakit kepala, mata terasa panas, hidung berair dan tersumbat terutama ketika tidur di waktu malam antara gejala yang sering dialami mereka yang diserang selesema. Tidak kurang juga, ada yang demam, bengkak pada mata dan mengalami batuk-batuk. Biasanya pengumpulan mukus (lendir atau hingus) pada hidung akan menyebabkan hidung tersumbat.

Cara biasa yang sering kita lakukan adalah mengeluarkan kesemuanya dengan cara menghembus di tandas agar mudah untuk bernafas semula. Berulang-alik ke tandas untuk membuang kesemua hingus tadi antara salah satu 'seksa' yang terpaksa diharungi.

Untuk mengatasi masalah hidung tersumbat ini sebenarnya ada tip tersendiri. Cuba ikuti panduan di bawah.




Minum banyak air
Minum banyak air sebenarnya penting untuk menjaga cairan di dalam tubuh agar keadaan hidung kekal lembap bagi membantunya lebih kebal terhadap jangkitan. Selain itu, ketika anda mendapat tanda-tanda akan dijangkiti selesema seperti bersin yang tidak berhenti-henti, amalkan minum air suam. Ia dapat menghindari diri anda dari dijangkiti selesema.







Cari tempat hangat
Seboleh-bolehnya jauhi tempat berhawa dingin kerana ia boleh memburukkan keadaan hidung tersumbat anda. Hidung yang tersumbat teruk menyebabkan kepala semakin sakit.



Ambil vitamin C
Banyakkan pengambilan vitamin C. Tidak semestinya pada pil-pil tetapi anda boleh dapatkannya secara semula jadi dengan menikmati makanan seperti limau dan buah strawberi.



Kunyah halia
Jangan pandang rendah pada halia. Rasanya pedas dan berangin tetapi inilah yang dapat membantu anda untuk mengurangi hidung tersumbat. Makan tiga potong atau hirisan halia setiap hari ketika anda dijangkiti selesema. Ia efektif secara semulajadi mengurangi gejala hidung tersumbat.




Keluarkan hingus
Membuang hingus yang banyak di dalam hidung juga membantu, tetapi perlu ada caranya. Jangan memaksa hingus yang ada di dalam hidung untuk keluar dengan cara menghembus dengan kuat. Hembuskan nafas melalui hidung secara perlahan. Cuba agar tidak menyedut kembali hingus anda.





Sumber dari majalah mingguan wanita


07 March 2011

Jangkitan Pernafasan Oleh Adenovirus

Apakah itu Adenovirus?
Adenovirus adalah sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan. Jangkitan Adenovirus mudah berlaku di tempat-tempat yang mempunyai kepadatan manusia yang tinggi seperti pusat jagaan harian, asrama, sekolah, pusat latihan dan kem-kem seperti kem tentera. Walau bagaimanapun, ia selalunya berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Lazimnya, ia menyebabkan jangkitan ringan, namun begitu keadaan yang lebih teruk dan kematian pernah dilaporkan.


Apakah gejala virus ini?
Gejala jangkitan Adenovirus adalah serupa dengan gejala jangkitan sistem pernafasan yang lain. Antara gejala tersebut adalah demam, sakit tekak, batuk dan hidung berair. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami radang paru-paru (pneumonia), sakit mata (konjunktivitis), cirit-birit, jangkitan pundi kencing dan ruam.



Bagaimana individu boleh dijangkiti?
Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin. Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan, melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan Adenovirus?
Semua orang berisiko untuk dijangkiti virus ini. Walau bagaimanapun mereka yang mengalami masalah berikut mungkin mendapat komplikasi:

  • Tahap imuniti yang rendah
  • Masalah sistem pernafasan
  • Masalah jantung
Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?

Patuhi langkah-langkah berikut:-

  • Amalkan adab batuk yang betul (cough etiquette). Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
  • Amalkan mencuci tangan dengan betul dan lebih kerap sama ada menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer.
  • pastikan pengudaraan yang baik dalam rumah, asrama atau tempat tinggal.
  • Tidak mengunjungi tempat tumpuan orang ramai terutamanya bagi mereka yang mengalami gejala serupa selesema (Influenza Like Illness).
  • Pakai penutup mulut dan hidung (mask) sekiranya anda mempunyai gejala penyakit tersebut.



Sumber dari http://www.infosihat.gov.my/