Pernahkah kita terfikir minyak masak yang kita gunakan setiap hari sebenarnya tidak halal? Kita mungkin bernasib baik sekiranya kita memilih minyak masak dari jenama yang disahkan tulen dan suci. Tetapi bagaimana pula dengan minyak masak kitar semula? Dari mana sumbernya dan bagaimana ia diproses semula sebelum dijual dengan harga jauh lebih murah kepada para pengguna.
Orang ramai biasanya tidak ambil kisah soal ini kerana lebih mementingkan soal harganya yang murah. Tentu ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa minyak masak yang digunakan saban hari itu sebenarnya tidak asli dan di kitar semula. Apatah lagi jika minyak masak tersebut dijual dengan harga yang agak murah dan boleh didapati di pasar malam mahupun kedai runcit. Minyak masak kitar semula ini dikatakan diproses dengan mencampurkan minyak terpakai yang telah dibersihkan bersama minyak baru.
Minyak masak terpakai diperolehi menerusi hotel, restoran mahupun pengusaha makanan lain. Bekalan minyak masak terpakai ini kemudian dibawa ke kilang untuk menjalani proses pembersihan dan penulenan. Agar nampak lebih asli, minyak ini akan dicampurkan bersama minyak masak tulen. Bagi mengaburi mata pengguna, minyak terpakai ini kemudian dibungkus menggunakan pelbagai jenama termasuk jenama terkenal dan terus diedarkan di pasaran.
Boleh cetus kanser & penyakit hati
Tidak seperti minyak masak asli yang diakui kaya dengan khasiat tertentu, minyak kitar semula ini dikhuatiri boleh memberi bahana buruk terhadap kesihatan. Seperti yang kita ketahui, minyak masak yang digunakan berulang kali akan mengalami tindak balas oksidasi dan boleh mendatangkan bahaya kepada tubuh.
Minyak yang teroksidasi akan cepat berbau tengik. Minyak ini juga akan menjadi tempat pembiakan kulat aflatoksi yang boleh menghasilkan racun penyebab pelbagai penyakit terutamanya penyakit hati. Minyak tersebut juga boleh menghasilkan sejenis bahan yang dinamakan akrolein yang mengakibatkan rasa gatal pada tekak.
Minyak masak yang digunakan berulang kali dan dipanaskan pada suhu yang tinggi boleh menyebabkan asid lemak tidak tepu akan rosak dan hanya meninggalkan asid lemak tepu. Risikonya akan meningkatkan kolesterol dalam darah. Selain itu, vitamin yang terkandung di dalamnya seperti vitamin A,D, E dan K juga akan rosak. Akibatnya, nutrisinya akan hilang dan memberi kesan negatif pada kesihatan.
Sumber diragui
Minyak terpakai yang diperoleh di hotel mahupun restoran ini dikhuatiri digunakan untuk menggoreng makanan tidak halal dan ini pasti memberi kesan terhadap pengguna Islam. Tiada kaedah tertentu yang boleh menguraikan minyak ini menjadi status halal.
Selain itu, kita juga perlu mengetahui bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan dalam tempoh jangka masa panjang. Ia boleh menghasilkan pelbagai penyakit seperti kanser usus, keradangan perut, bebanan pada hati serta limpa dan banyak lagi. Di negara-negara maju, mereka akan membuangnya selepas dua atau tiga kali penggunaan.
Pengguna dinasihati agar tidak membeli minyak yang diragui akan ketulenannya. Selain itu, elakkan daripada menggunakan minyak masak berulang kali. Pilihlah makanan yang sihat untuk jaminan kesihatan.
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..