12 July 2011
Bahaya Panadol
JANGAN AMBIL PANADOL ACTIFAST / SOLUBLE LAGI (TERUTAMA MEREKA YANG ADA GASTRIK)
UNTUK PENGETAHUAN,
Ikuti sebuah kenyataan benar dari seorang yang mengalaminya...
"Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pangkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. Mereka akan menggunakan alternatif lain.
Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.
Tips Rawatan Alternatif
Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidakseimbangan elektron / ion di dalam sel oak.
Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawa isotonik dengan 2 cawan air minuman.
Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besen yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.
Panadol adalah sejenis 'painkiller', semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.
Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses bersalin melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?
Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang 'biasa' ini ke dalam mulut anda.
Sumber disunting dari http://www.omaQ.org
Dah ikut saranan agar jangan makan Panadol.. Dah lama tak makan Panadol, dari masa belajar di poli lagi selepas demam makin teruk selepas makan Panadol..
11 July 2011
30 Cara Menjimatkan Air Di Dalam dan Di Sekitar Rumah
Air atau kekurangannya telah menjadi isu yang penting di Malaysia kebelakangan ini. El Nino yang berlaku pada 1997/98 telah menunjukkan kekurangannya sumber air. Beratus ribu penduduk di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan kawasan lain Selangor, Balik Pulau di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan telah hidup dalam sengsara pemotongan bekalan air dan catuan air. TANDAS 1 Gunakan tandas yang mempunyai keupayaan curahan yang rendah (contohnya memilih sistem curahan yang berkeupayaan sebanyak 6 liter atau kurang) atau letakkan sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah. 2 Kurangkan kekerapan curahan dalam sehari. 3 Sentiasa melakaukan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang kebocoran. Masukkan pewarna ke dalam tangki curahan dan memeriksa sekiranya terdapat air berwarna yang meleleh keluar ketika dan selepas curahan. BILIK MANDI 4 Kurangkan masa mandian dan gunakan pancuran mandian bertekanan rendah. 5 Letakkan sebuah baldi berhampiran dengan pancuran ketika mandi untuk mengumpul air yang berlebihan. Air ini boleh digunakan untuk mencurah tandas atau menyiram taman. 6 Tutup pancuran mandian ketika bersabun. SINKI 7 Jangan biarkan air mengalir ketika mencuci muka, menggosok gigi atau bercukur. Cara terbaik ialah menggunakan air di dalam bekas. 8 Baiki sebarang paip yang bocor atau yang sentiasa menitiskan air. TAMAN 9 Siram taman dan pokok bunga ketika senja atau awal pagi untuk mengelakkan kehilangan air melalui penyejatan akibat daripada kepanasan. 10 Jangan menyiram pokok bunga secara berlebihan dan elakkan penyiraman ketika musim hujan. 11 Ubahsuai pemercik di taman supaya kadar air yang digunakan tidak berlebihan. Jika kawasan taman yang kecil, gunakan baldi atau salur getah. 12 Sentiasa memeriksa dan mengubah suai pemercik mengikut cuaca. 13 Elakkan penggunaan baja yang berlebihan dan gunakan baja nitrogen berasaskan air. 14 Pilih landskap taman yang tidak memerlukan air yang banyak. 15 Pastikan ketinggian rumput di taman lebih kurang 6 sm kerana rumput yang sederhana panjang dapat menyimpan air dengan lebih berkesan. 16 Gunakan penyapu untuk membersihkan kawasan luar rumah dan tepi rumah serta elakkan daripada menjirus air untuk membersihkan sampah sarap. 17 Sebaik mungkin gunakan bekas tadahan bagi menyiram taman. DAPUR 18 Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk, gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki. 19 Pastikan paip ditutup dengan ketat untuk mengelakkan air terus menitis. 20 Simpan sebotol air di dalam peti sejuk atau gunakan ais jika memerlukan air sejuk 21 Cuci sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan di dalam sinki yang berisi air dan elakkan air mengalir 22 Pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan air yang sama walaupun pakaian hanya sedikit sahaja. GARAJ 23 Gunakan baldi untuk mencuci kereta dan elakkan penggunaan salur getah. 24 Elakkan tumpahan minyak kerana minyak memerlukan air yang banyak dan sabun untuk membersihkannya. CARA-CARA MENJIMATKAN AIR YANG LAIN 25 Pastikan anda sentiasa menghadiri perjumpaan dan perbincangan mengenai air di kawasan anda. 26 Sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah untuk mengelakkan sebarang kebocoran. 27 Maklumkan sebarang kerosakkan paip kepada pihak berkuasa dengan serta merta. 28 Galakkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan penjimatan air di sekolah yang berhampiran kawasan rumah anda. 29 Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam penjimatan dan pemuliharaan air. 30 Gunakan air tadahan hujan untuk kegunaan di garaj, di taman dan sekiranya boleh untuk curahan tandas simbah. Sumber dari FOMCA |
08 July 2011
7 Cara Bersahabat Kerana Allah
Sahabat ketika gembira dan ketawa memang senang ditemui tapi berapa ramai dari kalangan sahabat kita yang sanggup menemani kita terutamanya apabila kita menghadapi kesusahan, mempunyai masalah, sanggup meluangkan masa dan tenaga demi membantu kita. Pasti tak ramai bukan. Sejujurnya bukan senang nak jadi sahabat sejati yang baik lebih-lebih lagi kita mempunyai pelbagai komitmen lain. Tapi, walau apa-apapun, kita mesti cuba untuk menjadi sahabat yang baik.
7 Cara Bersahabat Kerana Allah
1 Memberitahu temannya bahawa dia kasih dan suka kepadanya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Jika seseorang kasih kepada seseorang maka hendaklah dia memberitahu temannya'
(HR Abu Daud)
2 Apabila berpisah dengan seseorang maka hendaklah dia mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya'
(HR Muslim)
3 Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa sahabatnya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun , sekalipun dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria'
(HR Muslim)
4 Segera bersalaman ketika bertemu dengan temannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah'
(HR Abu Daud)
5 Amalan ziarah-menziarahi
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu menziarahi sesekali nescaya akan menambah kasih sayang antara kamu'
6 Memberi Hadiah
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang'
(HR Thabrani)
7 Membantu sahabat-sahabatnya dalam kesusahan
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama 2 bulan'
(HR Hakim)
Sumber dari Ukhuwah Islamiah (Dr Abdullah Nasir Ulwan)
06 July 2011
Hidung Berdarah
Dalam kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan situasi-situasi yang mencemaskan.
Tidak kira sama ada ia menimpa diri sendiri, ahli keluarga atau jiran tetangga kita. Sebagai ahli sebuah masyarakat penyayang, biasanya ramai yang akan tampil kehadapan untuk membantu.
Namun, pada kebanyakan masa, niat luhur ini hanya terkubur sebagai hasrat semata-mata. Sumbangan kebanyakan daripada kita berakhir dengan menjadi penonton sahaja disebabkan tidak tahu apa yang sepatutnya dibuat atau kita sendiri berada dalam keadaan terkejut apabila berhadapan dengan situasi berkenaan.
Apa lebih membimbangkan ialah jika sesuatu langkah yang diambil, pada mata kasarnya nampak seolah-olah ingin membantu tetapi sebenarnya ia amat berbahaya kepada pesakit atau mangsa yang berada dalam keadaan kecemasan itu sendiri.
Salah satu senario yang mencemaskan ialah apabila melihat darah keluar melalui hidung atau mulut.
Lebih mengejutkan ialah jika ibu bapa melihat tompokan darah yang besar pada bantal atau cadar anak kesayangan mereka sebaik sahaja anak mereka bangun dari tidur.
Gejala hidung berdarah merupakan suatu situasi yang sering mencemaskan, sebagaimana yang sering ditonjolkan dalam drama dan filem di kaca televisyen.
Apatah lagi jika ia berlaku pada mereka yang belum pernah mengalaminya. Situasi menjadi bertambah cemas jika pendarahan berlaku dalam kuantiti yang banyak.
Pendarahan hidung sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak lelaki yang aktif bermain. Namun, gejala ini sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia.
Oleh sebab itu, setiap satunya memerlukan pemeriksaan lanjut dan langkah-langkah pencegahan yang sesuai, terutamanya terhadap punca yang telah dikenalpasti.
Pendarahan hidung sebenarnya ialah satu gejala atau tanda kepada sesuatu penyakit dan ia sendiri bukanlah sejenis penyakit. Ia berlaku apabila salur darah yang berada di dalam rongga hidung pecah.
Ada kalanya, ia boleh berhenti dengan sendiri di rumah, namun tidak kurang juga bilangan mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau harus dimasukkan ke wad akibat pendarahan yang banyak dan sukar berhenti.
Punca Pendarahan
Pendarahan hidung boleh tercetus akibat pelbagai punca. Ia boleh dibahagikan kepada faktor lokal atau setempat (masalah di dalam hidung) dan faktor umum atau sistemik, yang melibatkan sistem badan gagal mengawal proses pembekuan darah sewaktu pendarahan.
Sungguhpun begitu, tidak kurang juga jumlah keadaan di mana punca pendarahan itu tidak dapat dikenalpasti walaupun pelbagai kaedah penyiasatan dilakukan. Keadaan ini disebut pendarahan hidung jenis idiopatik.
Faktor-faktor lokal di dalam hidung sendiri yang boleh menyebabkan pendarahan ialah seperti trauma atau luka yang berpunca daripada kemalangan, pembedahan dan jangkitan kuman dalam hidung atau rongga sinus seperti sinusitis dan barotrauma (trauma disebabkan perbezaan tekanan dalam sinus dan atmosfera).
Benda asing yang termasuk ke dalam hidung pula, terutamanya di kalangan kanak-kanak, jika dibiarkan begitu sahaja tanpa dibuang boleh mengeras menjadi seperti batu (rhinolith).
Apabila keadaan ini berlaku, bahan keras yang mempunyai permukaan kesat ini boleh mengakibatkan pergeseran dan pendarahan kepada lapisan mukosa hidung yang sensitif.
Selain itu, struktur abnormal dalam hidung itu sendiri seperti tulang tengah hidung yang bengkok boleh mencetuskan pendarahan.
Walaupun ramai antara kita yang mempunyai tulang hidung tengah yang tidak lurus, namun tidak semestinya ia mengakibatkan pendarahan.
Pendarahan boleh berlaku akibat bahagian yang bengkok itu tersentuh dengan bahagian hidung lain lantas menyebabkan iritasi.
Jika pendarahan berlaku terutamanya di kalangan orang dewasa atau golongan di usia emas, ketumbuhan dalam hidung adalah salah satu daripada puncanya.
Biasanya pendarahan yang berpunca daripada ketumbuhan ini akan disertai dengan gejala-gejala lain seperti tersumbat sebelah hidung, kesakitan dalam rongga hidung, kebengkakan pada kelenjar limfa di leher, kurang dengar pada sebelah telinga dan sebagainya.
Namun begitu, ada juga pesakit yang mempunyai ketumbuhan dalam hidung yang datang hanya dengan simptom pendarahan.
Faktor Penyumbang
Faktor-faktor umum yang boleh menyumbang kepada gejala ini adalah seperti masalah kegagalan sistem pembekuan darah di kalangan pesakit sama ada berpunca daripada penyakit hati, ginjal atau kanser yang melibatkan sel-sel darah seperti leukemia dan limfoma.
Mereka yang mempunyai masalah jantung dan mengambil ubat untuk mencairkan darah juga terdedah untuk mengalami gejala pendarahan hidung.
Disebabkan itulah pesakit dinasihatkan supaya mengambil ubat dalam dos yang betul dan sentiasa patuh kepada temujanji susulan untuk pemeriksaan darah.
Tekanan darah tinggi yang kronik juga boleh menyebabkan struktur dinding salur darah menjadi lemah dan tidak tahan kepada tekanan darah lantas apabila pecah akan mengakibatkan terjadinya pendarahan.
Kajian perubatan menunjukkan salur darah mereka yang telah meningkat umurnya atau yang mengalami hipertensi kronik turut mempunyai deposit plak kolestrol (ateroskelorosis).
Keadaan ini menyebabkan dinding salur darah menjadi tidak kuat untuk mengecut (vasokonstriksi) sekiranya pendarahan berlaku (untuk mengurang dan menghentikan pendarahan).
Selain itu, ada pendapat juga mengatakan bahawa faktor paras tekanan itu sendiri yang jika terlalu tinggi akan menjadikan keadaan bertambah teruk.
Jenis Pendarahan Hidung
Pendarahan hidung secara amnya boleh dibahagikan kepada dua jenis, bergantung kepada di kawasan mana salur darah dalam hidung yang pecah.
Jenis-jenisnya ialah pendarahan hidung hadapan (anterior epistaxis) dan pendarahan hidung bahagian belakang (posterior epistaxis). Kedua-dua jenis ini agak berbeza daripada beberapa aspek. Pendarahan hidung bahagian hadapan biasanya lebih kerap berlaku, terutamanya di kalangan kanak-kanak atau golongan belia.
Ia seringkali dikaitkan dengan trauma, dan kebiasaannya lebih mudah untuk dikawal atau dihentikan.
Pendarahan jenis ini biasanya dapat dilihat apabila pesakit berada dalam posisi duduk. Darah akan kelihatan mengalir keluar dari bahagian hadapan lubang hidung.
Pendarahan hidung bahagian belakang lebih kerap dilihat dalam kalangan mereka yang lebih berusia walaupun ia adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Salur darah yang pecah berada di bahagian belakang hidung dan ini menjadikan pendarahan jenis ini lebih sukar untuk diberhentikan.
Biasanya ia dikaitkan dengan tekanan darah tinggi atau kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan pada lantai tulang tengkorak.
Pesakit akan menelan darah ini memandangkan ia akan mengalir ke bahagian belakang tekak. Apabila amaun darah yang ditelan terlalu banyak, ia tidak lagi dapat ditampung oleh isipadu perut, maka pesakit akan mengalami muntah.
Pendarahan hidung jenis belakang ini juga lebih meningkatkan risiko darah termasuk ke dalam paru-paru.
Tindakan Segera
Apabila berlaku situasi hidung berdarah, pesakit seharusnya bertenang dan jangan panik. Keadaan panik akan menyebabkan denyutan nadi dan tekanan darah meningkat. Ia akan memburukkan lagi keadaan.
Tambahan pula, pesakit akan sukar diberi arahan dan mengikut langkah-langkah bantuan yang akan diberikan.
Pesakit sepatutnya tidak disuruh baring untuk berehat. Sebaliknya, pesakit harus dinasihatkan berada dalam keadaan duduk dan sedikit tunduk ke hadapan.
Picit bahagian hadapan hidung dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk dan tunggu selama lima minit.
Pesakit akan diminta bernafas melalui mulut sementara seseorang membantunya meletakkan sedikit ais yang dimasukkan dalam plastik atau bungkusan kain pada bahagian dahi.
Jika keadaan mengizinkan, pesakit juga elok diberikan ketulan ais kecil untuk dikemam. Proses ini dapat menyejukkan bahagian dalam mulut serta rongga hidung dan ini dapat membantu proses pengecutan salur darah (vasokonstriksi).
Sekiranya kaedah ini tidak berkesan, pesakit biasanya perlu dibawa ke klinik atau hospital yang berdekatan.
Jika perlu, pegawai perubatan akan memasukkan 'ribbon gauze' atau span kecil ke dalam hidung. Span ini akan mengembang sedikit dan menghalang pendarahan daripada terus berlaku.
Biasanya, selepas dua atau tiga hari, pendarahan akan berhenti dan pesakit dibenarkan pulang ke rumah.
Dalam situasi-situasi yang jarang berlaku, kaedah intervensi susulan seperti menghentikan tempat pendarahan menggunakan sentuhan bahan kimia (cauterization), atau prosedur mengikat salur darah yang pecah mungkin dilakukan. Embolisasi untuk menyumbat salur darah yang berdarah juga merupakan salah satu kaedah rawatan yang berkesan.
Rawatan Susulan
Selepas pendarahan dihentikan, biasanya pesakit akan diminta untuk datang semula bagi mengenalpasti apakah yang menjadi punca kepada episod pendarahan tersebut.
Bagi mereka yang mengalaminya di rumah, adalah lebih baik jika mendapatkan pemeriksaan di hospital terutamanya bagi kes-kes pendarahan hidung yang berulang-ulang.
Rawatan yang sebenar dan langkah-langkah pencegahan daripada terjadinya insiden yang sama adalah bergantung kepada masalah utama yang menjadi punca berlakunya pendarahan.
Penyiasatan yang dilakukan termasuklah pemeriksaan hidung dengan menggunakan endoskop, pengambilan sampel darah untuk melihat masalah pembekuan darah, merawat masalah lokal dalam hidung dan seumpamanya.
Prosedur-prosedur penyiasatan ini amatlah mudah dan tidak menyakitkan berbanding dengan kesan pendarahan hidung itu sendiri yang ada kalanya boleh mengancam nyawa.
Ditulis oleh:
Dr Irfan Mohamad
Pensyarah Jabatan Otorinolaringologi,
Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my
Risau jugak aku bila gerak anak aku, tengok tompokan darah penuh tangan, tilam, bantal ngan kat hidung dia.. Pagi tadi aku just sempat cuci jer hidung dia.. Takut jugak nih, nak keja pun tak boleh.. Ingat tengahari ni nak bawak jugak dia pi klinik atau hospital.. Nak tau jugak punca hidung dia boleh berdarah, sebab tak pernah berdarah lagi nih.. Yang tau hidung dia tersumbat skit ja semalam..
05 July 2011
12 Punca Letih
Letihnya! Setiap individu pasti pernah mengeluh begini. Keletihan akibat kerja dan pelbagai urusan harian sememangnya tidak dapat dielakkan. Mungkin anda boleh cuba mengatasi masalah letih anda itu jika anda mengetahui puncanya. Berikut merupakan punca anda letih :-
1 Tidak Cukup Tidur
Apabila kita tidak cukup tidur, ia bukan sahaja membuatkan tubuh berasa letih malah fokus kita terhadap kerja dan aktiviti seharian juga akan terganggu. Lama-kelamaan jika tidak ditangani ia akan membawa kepada masalah kesihatan pula. Individu dewasa patut mendapatkan tidur berkualiti selama tujuh hingga lapan jam sehari.
ATASINYA : Jadikan waktu tidur sebagai keutamaan. Buat jadual tidur agar anda mampu masuk tidur pada waktu yang seragam setiap malam. Hindarkan sama sekali kompute riba, telefon bimbit, iPAD, dan apa jua gajet dari berada di dalam bilik tidur anda.
2 Sleep Apnea
"Aku rasa aku cukup tidur tapi kenapa asyik menguap ni..mengantuknya!", jika itu yang anda rasakan anda mungkin mengalami gangguan tidur atau 'sleep apnea'. Gejala utama pada masalah ini adalah berdengkur. Situasi tersebut membuatkan nafas anda cenderung berhenti seketika dan anda secara tiba-tiba terjaga. Selalunya anda tidak menyedari akan hal ini melainkan pasangan anda memerhatikan masalah anda. Berdengkur juga akan membuatkan tidur anda yang panjang menjadi tidak berkualiti.
ATASINYA : Kurangkan berat badan bagi yang obes, berhenti merokok dan dapatka rawatan CPAP dengan memberitahu masalah anda kepada doktor.
3 Tidak Cukup Makan
Bukan terlebih makan saja mampu membuatkan anda mengantuk, begitu juga sebaliknya. Selain itu, makan makanan yang salah juga mampu membuatkan anda mengantuk seperti makanan tinggi lemak dan tinggi gula. Untuk itu, piluhlah makanan yang seimbang serta makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Kaedah ini dapat membantu mengekalkan tahap gula dalam darah anda agar sentiasa stabil.
ATASINYA : Jangan tinggalkan sarapan. Cuba untuk memperbanyakkan makanan dari sumber protein dan karbohidrat kompleks di dalam sajian anda agar memberikan rasa kenyang dan tenaga lebih lama. Contohnya, makan sandwich bersama telur hancur, bijirin sarapan bersama susu dan emping dengan taburan madu.
4 Anemia
Kurang darah merah atau anemia adalah punca utama keletihan di kalangan wanita. Kedatangan haid yang banyak juga mampu menjadi punca kurangnya zat besi dalam darah. Sel darah merah sangat penting dalam membawa oksigen ke tisu dan organ tubuh.
ATASINYA : Bagi wanita yang mengalami anemia yang berpunca dari kurangnya zat besi, maka pengambilan suplemen adalah disarankan. Sila rujuk doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan preskripsi yang tepat. Banyakkan makan daging merah (buang lemak), hati, kekacang, bijirin gandum, brokoli dan bayam.
5 Dehidrasi
Keletihan anda juga adalah tanda bahawa tubuh anda sedang mengalami dehidrasi. Maksudnya, anda kurang minum air. Air sangat penting dalam menjamin fungsi tubuh dan memastikan suhu badan anda kekal stabil. Minum air selalu kerana apabila anda hanya minum setelah dahaga, itu tandanya tubuh anda sudah pun dehidrasi.
ATASINYA : Bawa bekalan air putih atau air kosong ke man jua anda pergi agar bekalan air anda tidak putus. Salah satu tanda lain untuk pastikan keperluan air dalam tubuh mencukupi adalah dengan memerhatikan warna air kencing anda. Jika warnanya jernih (bukan kuning pekat) maka itu tandanya air dalam badan anda mencukupi. Pastikan juga anda minum sekurang-kurangnya dua cawan air atau kira-kira 500ml satu jam sebelum memulakan sebarang bentuk senaman. Lakukan hal yang sama selepas satu jam bersenam.
6 Depresi
Anda boleh menganggapnya sebagai gangguan emosi tetapi sebenarnya ia mampu menyumbang kepada pelbagai masalah fizikal lain. Letih, pening kepala dan hilang selera makan adalah di antara gejala yang dicetuskan oleh depresi.
ATASINYA : Jika masalah berlarutan dan semakin serius, silalah berjumpa doktor atau pakar psikiatrik agar anda mampu mengurangkan risiko jangka panjang.
7 Terlebih Kafein
Ya, kafein mampu membantu meningkatkan daya fokus tetapi hanya jika diambil dalam jumlah yang minima. Sekiranya kandungan kafein yang diambil berlebihan, ia kan meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah. Situasi ini akan membuatkan anda berasa tidak menentu dan mengakibatkan keletihan bagi kebanyakan individu.
ATASINYA : Kurangkan pengambilan kopi, teh, minuman coklat dan minuman berkarbonat dalam diet harian anda secara perlahan-lahan. Jangan berhenti secara mendadak kerana ini juga mampu membuatkan tubuh terkejut hinggakan anda akan berasa letih secara keterlaluan. Seeloknya, hadkan pengambilan kesemua minuman ini agar tidak melebihi tiga cawan sehari.
8 Jangkitan Pundi Kencing (UTI)
Jika anda mengalaminya, anda akan berasa sakit seperti terbakar di sekitar bawah perut dan disertai rasa mahu membuang air kecil yang tidak mampu ditahan. Keadaan yang tidak dirawat mempu mengakibatkan tubuh menjadi letih.
ATASINYA : Pengambilan antibiotik yang disarankan oleh doktor mengikut situasi diri anda adalah pilihan wajib bagi anda.
9 Masalah Tiroid
Tiroid adalah kelenjar yang mengawal metabolisme tubuh dengan menukarkan makanan dalam bentuk tenaga. Apabila kelenjar tersebut gagal berfungsi dengan baik, anda akan rasa lemah, letih dan berat badan juga mudah bertambah.
ATASINYA : Jika ujian darah mengesahkan hormon tiroid anda rendah, terapi hormon sintetik mungkin membantu.
10 Alahan Makanan
Ada doktor mempercayai bahawa alah kepada makanan juga mampu membuatkan anda berasa mengantuk. Jika keletihan itu anda rasai selepas makan, anda bolehlah memantau menu makanan anda. Alahan makanan peringkat ringan biasanya tidak akan membawa kepada ruam atau kegatalan.
ATASINYA : Cuba lakukan pemerhatian pada setiap makanan yang membuatkan anda berasa tak selesa perut dan keletihan selepas makan. Kemudian, asingkan dari senarai. Anda juga boleh mandapatkan nasihat doktor pakar berhubung masalah ini.
11 Diabetes
Bagi individu yang mengidap diabetes, kebiasaannya kandungan gula berlebihan akan kekal di dalam darah daripada memasuki sel tubuh untuk diurai sebagai tenaga. Kesannya tubuh anda akan sentiasa menghantar isyarat 'kehabisan tenaga' sedangkan anda makan. Ini juga mampu membuatkan anda semakin letih.
ATASINYA : kaedah semulajadi bagi membantu mengurangkan gejala diabetes adalah dengan mengubah gaya hidup dan pola pemakanan, meneruskan pengambilan insulin dan ubatan yang mampu membantu melancarkan proses penguraian gula dalam darah.
12 Masalah Jantung
Jika anda mudah berasa letih walaupun hanya dengan melakukan kerja rumah biasa seperti menyapu sampah atau mengelap lantai, anda perlu memantau kesihatan anda. Ini kerana itu mungkin tanda bahawa jantung anda sudah semakin lemah. Jika keadaan letih yang dirasai sangat teruk, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
ATASINYA : Ubah gaya hidup anda, berhenti merokok dan mulakan tabiat pemakanan sihat. Mencegah lebih baik dari merawat!
Sumber dari majalah rapi
Sekarang ni kerap jugak letih.. Ari minggu ja nak tido jer rasa.. Sampaikan rasa tak larat nak wat kerja lain kat umah.. Kena tengok jugak ni, kot ada perkara2 kat atas ni bersangkut paut ngan aku..
Subscribe to:
Posts (Atom)


