Jangan tersilap memilih warna kerana ia boleh mempengaruhi
psikologi anak yang sedang membesar. Jadi, papa dan mama perlu peka terhadap
warna yang dipilih untuk menjadi latar dinding kamar tidur anak.
Disarankan memilih warna-warna cerah kerana ia dapat merangsang
kreativiti, menguatkan daya imaginasi, memberi semangat, mempengaruhi rasa
estetika dan menguatkan rangsangan motor.
Kesan warna universal
Merah:Dinamik, bersemangat, merangsang, aktif,
kuat, hangat, agresif.
Terlalu banyak warna ini dapat menimbulkan kemarahan, tekanan,
ketidaksabaran, ugutan, dendam dan suasana kelam kabut.
Warna ini tidak sesuai untuk bilik bayi berusia di bawah
setahun.
Kuning: Susah ditangkap mata, ceria, hangat
dan bertenaga.
Warna ini kurang sesuai untuk bilik tidur anak kerana terlalu
terang akan menyebabkan silau dan sukar untuk beristirehat.
Biru: Paling nyaman untuk mata, menenangkan,
aman, menerima, sabar.
Terlalu banyak warna biru dipercayai dapat menyebabkan rasa
dingin dan membuat anak menjadi pasif. Jika ingin menggunakan warna biru, pilih
yang warnanya tidak terlalu pucat sehingga terasa kesan ‘dinginnya’.
Hijau: Rileks, sepi, semula jadi, menenangkan
dan kelihatan pemalu.
Jika terlalu banyak hijau, ia akan menjadikan anak seorang yang
malas. Untuk mengurangkan kesan negatifnya, hijau perlu digabungkan dengan merah
atau oren.
Oren: Percaya diri, ramah, penuh
keceriaan.
Pemilihan warna oren di bilik tidur membuatkan anak selalu
terjaga, sebaiknya ia harus dikombinasikan dengan warna lain. Jika terlalu
banyak oren, ia boleh menjadikan ruangan terlalu gelap sehingga memerlukan
banyak cahaya perlu masuk.
Ungu: Boleh meningkatkan imaginasi anak dan
kreativiti.
Tetapi jika terlalu banyak terdedah pada warna ungu juga boleh
membuat mood anak terganggu dan menyebabkan anak terlalu ingin berkuasa.
Lilac:Menyentuh spiritual.
Jangan gunakan rona lilac di bilik tidur anak lelaki kerana
boleh membangkitkan sifat feminin. Untuk mengelakkan rasa hambar, padukan ia
dengan warna hitam atau perak.
Warna untuk anak hiperaktif
Oleh sebab anak hiperaktif bermasalah untuk memberi tumpuan
kepada sesuatu perkara maka terapi warna adalah salah satu cara
mengatasinya.
Bilik mereka sesuai dicat dengan warna-warna sejuk atau dingin
seperti biru muda, hijau dan ungu.
Warna untuk anak autisme
Jika anak anda menghadapi masalah autisme, psikologi warna yang
boleh menstimulasi mereka adalah warna-warna hangat atau panas seperti oren,
kuning dan merah.