31 July 2013

Khasiat Badam Dan Kismis

Assalamualaikum semua.. Sedapkan makan badam dan kismis.. Tapi kita jarang menjadikanya jajan kita.. Kita lebih suka makan snek malah amalan ni turut sama dikongsi bersama kanak-kanak.. Meh kita baca tentang khasiat yang ada pada badam dan kismis.. Banyak khasiatnya yang bagus untuk kita amalkan untuk snek pada petang nih..
 

 


Biasanya kebanyakan kita suka memberikan snek makanan ringan untuk kanak-kanak, seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan coklat.

Tahukah anda terdapat pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi.

Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah pemberian snek makanan kepada anak-anak iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat seperti kismis dan badam.


Kismis

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Kismis bukan hanya terhad sebagai bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Sebanyak 60% berat kismis terdiri daripada gula, di mana separuh daripadanya adalah fruktosa dan separuh lagi adalah glukosa. Kismis sangat tinggi kandungan antioksidannya berbanding buah prun dan aprikot.

Kismis telah lama digunakan sebagai sumber diet bagi mendapatkan asid lemak perlu dan tokoferol sebagai antioksidan.

Antara lain-lain khasiat kismis adalah :


1. Menguatkan daya ingatan

2. Mengubati penyakit lupa

3. Mencerdaskan minda

4. Memutuskan balgham

5. Membersihkan hati

6. Mencerahkan mata


Badam

Badam penting untuk kesihatan kerana khasiatnya yang pelbagai, ia boleh dimakan mentah, dikukus seperti kekacang atau dijadikan bahan campuran makanan seperti kuih dan sebagainya.

Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yang tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain.

Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalam telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju.

Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran minda mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka.


Badam untuk Wanita Hamil

Kandungan folate yang tinggi di dalam badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah bahan penting bagi mengelakkan berlaku kecacatan kepada bayi ketika hamil.
 
 
 
 
 
 

30 July 2013

Kaedah Untuk Anak Kecil Menyukai Sayur

Assalamualaikum.. Mesti para ibu di luar sana mempunyai masalah untuk menyajikan hidangan sayur kepada anak kecil.. Bukan apa selalunya mereka akan menolak hidangan yang berbentuk sayur nih..

Saya pun tidak ketinggalan sukar untuk menyajikan anak saya yang kedua dengan sayur, berbanding anak yang sulung tidak mempunyai masalah memakan sayur, malahan ulam-ulaman pun dia makan macam saya jugak.. Anak yang kedua kebelakangan ni saja baru nampak mengemari sayur.. Apapun meh kita mencuba alternatif yang ada dalam menghidangkan mereka dengan sayur..

 

Bertuahnya kalau anak-anak meminta hidangan sayur ketika waktu makan. Jarang sekali kanak-kanak gemar makan sayur. Bagimana caranya untuk membuat si kecil gemarkan sayur?
 
Sayur-sayuran seakan menjadi musuh utama kanak-kanak. Para ibu janganlah putus asa untuk terus menambat hati anak suka akan sayur.
 
Membiasakan anak makan sayur-sayur sejak kecil akan membantu mereka menggemari sayur-sayuran apabila besar kelak. Namun begitu, anda perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan hidangan sayur-sayuran tersebut.

 
 
Cara alternatif menghidangkan sayur-sayuran kepada anak
 
*Sup

Sayur-sayuran seperti bayam, sawi, seleri dan kubis sangat sesuai dibuat sup. Untuk merangsang selera anak, campurkan dengan sedikit isi ayam atau telur.


*Goreng

Jika memilih untuk menggoreng sayur, pastikan anda menggunakan sedikit minyak sahaja dan jangan goreng terlalu lama untuk mengelakkan khasiatnya hilang.


*Celur

Anda boleh juga mencelur sayur-sayuran yang sesuai untuk anak makan bersama sos.


*Kukus

Jika mengukus sayur-sayuran, jangan terlalu lama kerana sayur tersebut akan menjadi lembik dan tidak sedap dimakan.


*Stew

Untuk kelainan, anda boleh juga membuat stew sayur-sayuran.


*Salad

Ia cara paling mudah menghidangkan sayur-sayuran. Tambahkan sedikit sos seperti thousand island dan sebagainya untuk membangkitkan selera.


*Kek dan roti

Sekiranya anak adalah penggemar roti atau kek, anda boleh menyediakan kek atau roti berperisa sayur-sayuran seperti kek lobak merah atau roti kentang.


*Jus

Jangan terkejut kerana sayur-sayuran juga boleh dijadikan jus. Apa kata sekali-skala hidangkan anak jus timun dan lobak merah yang dicampur dengan yogurt atau susu. Pasti dia menggemarinya.






Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/mama-nak-makan-sayur-1.158408





29 July 2013

Petua Cuci Kerang





Pada bulan puasa, ramai yang suka makan kerang rebus dan kerang bakar. Ada yang makan di kedai dan ada juga ibu-ibu buat sendiri di rumah untuk dijamu bersama keluarga tersayang.
 
Namun, kadang-kala ada ibu-ibu yang berdepan dengan masalah sewaktu mencuci kerang. Ini kerana kerang sukar dibersihkan kerana berpasir. Bagaimanapun ada petua untuk membersihkannya. Sangat mudah.
 
Ambil beberapa batang serai lalu ditumbuk tetapi jangan hingga hancur. Rendam dengan air sama cukup dengan kerang. Gaul dengan tangan. Biarkan selama 10 minit dan tos. Anda akan dapati kulit kerang akan lebih bersih. Selamat mencuba! 






Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/petua-cuci-kerang-1.185501


 

28 July 2013

Resepi French Toast Mentega Kacang

Assalamualaikum semua.. Dah banyak ari berpuasa dan bersahur nih, mungkin ada di antara kita dah tak tahu nak makan apa untuk sahur nanti.. Boleh cuba resepi yang disediakan nih.. Ianya juga boleh bagi sesiapa yang bangun lewat untuk menyediakan sahur.. Boleh saja mencuba resepi yang simple nih..
 
Selain itu, bahan sapuan di dalam roti juga boleh diubah mengikut kegemaran masing-masing.. Yelah mungkin ada yang kurang meminati mentega kacang boleh ditukarkan dengan butter dan sekaya.. 
 

 


Makanan jejari atau finger food patut diberi kepada anak yang berusia setahun ke atas. Ia sesuai dijadikan snek enak yang berkhasiat. 
 
Masa:  15 minit
 
Hidangan: 3 orang
 
Bahan-bahannya:
 
6 keping roti
3 biji telur
3 sudu makan mentega kacang
2 sudu makan jem strawberi
 
Cara menyediakannya:
 
1. Potong roti tadi menjadi segitiga dan sapukan kepingan pertama dengan mentega kacang. Tutup dengan roti sekeping lagi.
 
2. Sapukan roti kedua dengan jem dan ditutup dengan roti ketiga.
 
3. Pukul telur dengan sedikit garam dan celupkan roti tadi.
 
4. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng hingga kekuningan.





Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/french-toast-mentega-kacang-1.184429




27 July 2013

Petua Atasi Gatal Keladi





Selalu kalau masak gulai keladi kadang-kadang terasa gatal di lidah. Jadi di sini dikongsikan dengan wanita-wanita di luar sana petua untuk 'menghapuskan' gatal keladi dengan betul.

  

Bagi mengelakkan rasa gatal, anda hanya perlu memasukkan tiga atau empat keping hirisan pinang ke dalam masakan.

 

Ada juga yang kesannya sampai gatal di tangan. Untuk menghilangkan rasa gatal pada tangan pula, lumurkan tangan anda dengan minyak masak. Insya-Allah, gatal akan beransur kurang.

 

Selamat mencuba, ya! 
 
 
  
 
 
 
 
 
 
 

26 July 2013

Petua Bayi Berkulit Bersih

Assalamualaikum semua.. Hari ni nak berkongsi petua bagi bakal-bakal ibu yang inginkan kulit bayi kelihatan bersih.. Alhamdulillah semasa mengandungkan kedua-dua anak, saya amalkan petua ini sekitar bulan ke-7 kehamilan sehingga bersalin.. Hasilnya, kulit anak saya kelihatan bersih.. Petua ini saya perolehi dari isteri kawan suami dulu.. Ini saya kredit dari web Pa & Ma.. Tetiba muncul idea untuk kongsi pengalaman saya juga yang pernah mengamalkan meminum air kelapa.. Meh baca skit apa yang Pa & Ma paparkan..

 
 
 
Semua ibu bapa mahu memiliki bayi yang mempunyai kulit bersih dan mulus. Ia boleh dimiliki dengan mengamalkan petua tradisional sejak mengandung lagi.
 
Amalan minum air kelapa ketika kandungan memasuki trimester ketiga amatlah digalakkan. Amalkan minum air kelapa seminggu sekali. Air kelapa dikatakan berkhasiat untuk membersihkan kulit bayi. Dengan itu apabila bayi dilahirkan, dia akan memiliki kulit bersih tanpa kesan yang biasa dialami oleh bayi lain yang baru lahir. In Shaa Allah sepanjang usia bayinya, anak jarang menghadapi masalah berkaitan kulit.
 
 
 
 

25 July 2013

Khasiat Memakan Ikan

 
 

Haiwan yang satu ini memang menjadi kegemaran ramai. Namun ada juga yang tidak suka memakannya. Ikan, ia adalah makanan sumber penting membekalkan asid lemak omega-3.

 

Ikan baik untuk tambahan diet kerana kaya dengan vitamin, mineral dan keperluan khasiat yang diperlukan oleh manusia untuk sihat dan cerdas.

 

Berikut ini adalah beberapa khasiat yang dapat diperolehi dengan memakan ikan.
 
1. Kesihatan kardiovaskular

 

Asid lemak omega-3 yang ada dalam ikan telah terbukti memberi kebaikan kepada jantung, arteri, dan vena yang membentuk sistem kardiovaskular anda.

 

2. Menurunkan tekanan darah

 

Minyak ikan sangat berguna untuk menurunkan tekanan darah, tetapi peranannya dalam pencegahan belum terbukti.

 

3. Menurunkan berat badan

 

Menurut kajian yang dilakukan di University of Georgia, minyak ikan dengan DHA membantu menghentikan penukaran pra sel lemak ke dalam sel lemak sehingga mengurangkan pengumpulan lemak secara keseluruhan.

 

4. Mengurangkan risiko kanser

 

Omega-3 dalam ikan telah terbukti membantu mencegah tiga jenis kanser utama, iaitu kanser payu dara, usus, dan prostat.

 

5. Meningkatkan fungsi otak

 

Asid lemak omega-3 pada ikan dapat membantu perkembangan otak anda. Pengambilan omega-3 yang tepat dapat membantu meningkatkan fokus mental kepada anak-anak dan orang dewasa.

 

7. Menyihatkan mata

 

Pengambilan ikan sangat baik kerana mempunyai kemampuan dalam memperbaiki penglihatan. Ikan dapat melawan degenerasi makula (bagian tengah retina), glaukoma, dan sindrom mata kering.

 

8. Kecantikan kulit

 

Sesiapa yang banyak makan ikan akan memiliki kulit cantik. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Lipid Research, asid lemak omega-3 EPA yang terdapat dalam minyak ikan  membantu melambatkan proses penuaan kulit. 
 
 
 
 
 
 

24 July 2013

Sup Kentang Lemak Berkrim

Assalamualaikum semua.. Sahur nanti makan roti cicah sup pun best jugak kan.. Tak pun makan roti cicah air ke tak pun mushroom soup cicah garlic bread.. Uishh yang macam kat pizza hut tuh.. Ermm terliur la plak nak makan.. Hehehe.. Apapun resepi dari majalah Pa & Ma ni pun tak kurang sedapnya.. Hampir setanding mushroom soup jugak.. Jom jengah resepi kali nih..
 
 
 
 
Kanak-kanak amat menggemari hidangan sup. Jika sudah bosan memasak sup ayam atau sup sayur-sayuran apa kata kali ini cuba buat sup kentang berkrim. Pasti digemari si kecil.


Masa: 40 minit

Hidangan: 5 orang


Bahan-bahannya:

· 250 gram kentang dipotong

· 25 gram mentega

· 1 kiub ayam

· Sedikit serbuk oregano

· Sedikit garam

· Sedikit serbuk lada hitam

· 100 ml susu cair

· Air panas dari rebusan kentang secukupnya

· Sedikit daun sup dihiris halus


Cara membuatnya:

1. Rebus kentang sehingga empuk. Kisar kentang menggunakan sedikit air rebusan hingga hancur.

2. Panaskan mentega hingga cair. Masukkan kentang yang sudah dikisar. Kacau rata lepas itu masukkan kiub ayam, baki air rebusan kentang, garam, serbuk lada hitam dan oregano.

3. Kacau rata sehingga mendidih. Masukkan susu cair, hirisan daun sup. Kacau hingga sebati dan kuah agak pekat.

4. Siap dihidang. Enak dimakan begitu sahaja atau dengan roti garlic.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

23 July 2013

Petua Redakan Sakit Gigi

Assalamualaikum semua.. Pastinya ada di antara kita sedang mengalami sakit gigi.. Kalau jadi masa klinik gigi tutup, maunya tercari-cari kaedah alternatif lain yang boleh mengurangkan rasa sakit gigi.. Bukannya apa, sakit gigi nih, memang tak tahan kalau nak dibiarkan saja.. Meh kita tengok beberapa petua yang boleh kita amalkan dirumah.. Bahan yang digunakan sebahagiannya ada di dapur kita..




Sakit gigi memang menyeksakan. Selain daripada mendapatkan rawatan perubatan dengan doktor gigi, apa kata cuba beberapa petua berikut untuk meredakan sakit gigi.


*Makan buah belimbing buluh bersama sedikit garam.


*Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Gunakan air ini untuk berkumur. Amalkan tiga kali sehari sehingga rasa sakit hilang.


*Kunyah sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit sehingga lumat. Amalkan sehingga rasa sakit gigi hilang.


*Gigit tiga kuntum bunga cengkih pada gigi yang sakit. Jika gigi berlubang, tumbuk bunga cengkih dan isikan ke dalam lubang gigi dan tutup dengan kapas.


*Untuk gigi berlubang, ambil getah pada tampuk buah betik muda dan sapukan pada gigi yang sakit dengan putik kapas.


*Untuk gigi geraham berlubang, tumbuk seulas bawang putih hingga lumat dan masukkan sedikit cuka. Masukkan bahan tadi ke dalam lubang gigi.
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 

22 July 2013

Resepi Siakap Stim




Lauk apa yang menjadi pilihan anda hari ini? Ada yang masak ikan siakap? Atau ada yang mahu masak ikan siakap tetapi tidak tahu cara. Di sini ada disediakan resepi mudah, Ikan Siakap Stim yang paling cepat dan mudah!


Bahan-bahannya:
2 inci halia
3 batang serai
6 biji cili padi
1 biji bawang Holland
1 biji tomato
2 ulas bawang putih jeruk
6 biji buah plum
1 sudu makan sos tiram
1 biji limau nipis
Gula dan garam secukup rasa

Cara membuatnya:
  • Rebus ikan sehingga separuh masak dan guna air rebusan untuk mengukus ikan.
  • Letakkan ikan di dalam bekas pengukus dan masukkan semua bahan ke dalam bekas pengukus.
  • Kukus ikan sehingga masak dan hiaskan dengan daunan segar. Siap!






Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/siakap-stim-1.176068

21 July 2013

Kurma Elak Gastrik




Gastrik dijadikan alasan untuk tidak berpuasa? Gastrik antara masalah yang biasa ketika bulan Ramadhan. 
 
Sebenarnya, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa tanpa sebarang masalah jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.
 
Namun selepas ini penghidap gastrik tidak perlu gusar melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan ini. Di sini dikongsikan petua yang dapat membantu anda.
 
Rendamkan tiga biji kurma ke dalam susu suam selama 10 minit sebelum berbuka puasa. Pada waktu berbuka, makan kurma terlebih dahulu disusuli susu.






Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/kurma-elak-gastrik-1.184422

20 July 2013

Fakta Menarik Ibu Bersalin

 


Melahirkan bayi merupakan perjuangan hidup mati seorang wanita. Kesakitan dan keperitan yang ditanggung tiada tolok bandingnya. Ketahui beberapa fakta menarik mengenai proses melahirkan bayi.

1 Hanya 5% bayi yang lahir pada tarikh EDD (Estimated Due Date) mereka. Kebanyakannya lahir antara minggu ke 37 dan 42 kehamilan.

2 Sehingga bersalin, rahim ibu akan mengembang 500 kali ganda dari saiz normal untuk menampung kandungannya.

3 Purata darah yang hilang melalui proses kelahiran normal adalah 500ml.

4 Kira-kira 80% wanita mengalami sindrom “Baby Blues” semasa dua minggu terawal selepas bersalin disebabkan oleh perubahan hormon badan.

5 Hanya 1 daripada 10 wanita mengalami pecah air ketuban sebelum proses bersalin bermula. Kebanyakan wanita hanya akan mengalaminya apabila mereka telah bersedia untuk meneran keluar bayi.

6 Badan manusia hanya mampu menanggung kesakitan sehingga 45 Del. Tetapi semasa bersalin ibu akan mengalami sehingga 57 Del yang bersamaan dengan 20 tulang dipatahkan serentak.

7 Apabila seorang ibu mula sakit hendak bersalin, tercatatlah pahala jihad baginya.

8 Apabila seorang ibu melahirkan anak, terhapuslah dosa-dosa lepas bagi wanita itu.

9 Ibu bersalin akan dapat pahala 70 tahun solat dan puasa.

10 Setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah hadiahkannya pahala menunaikan haji.






Sumber dari http://pama.karangkraf.com/fakta-menarik-ibu-bersalin-1.158599


19 July 2013

Bubur Biji Nangka

 



Kalau orang yang berasal dari negeri Kelantan, pasti tahu pemanis mulut yang paling laris di bulan puasa ini. Bubur biji nangka atau lebih dikenali dengan nama ‘Kuih Butir Nangka’ memang sedap dihidangkan waktu kita hendak berbuka puasa, tambahan pulan kalau dibiarkan sejuk dahulu di dalam peti ais sebelum makan. Resepi ini, kuih biji nangka yang dimasukkan sedikit buah nangka untuk membangkit aroma buang nangka, jadi anda mungkin boleh mencuba dengan keunikan kuih biji nangka harum ini di rumah.


Bahan-bahan kuah:
3 cawan santan pekat
2 helai daun pandan - disimpul
Gula dan garam - secukup rasa
1/2 sudu kecil Halba


Cara memasak:
  • Satukan semua bahan dalam periuk, masak dengan menggunakan api yang sederhana.
  • Untuk lebih kreatif, anda mungkin boleh masukkan sedikit buah nangka bagi membangkitkan bau harum buah nangka.
  • Sentiasa kacau supaya tidak berketul.
  • Masukkan juga lebihan air daun pandan tadi ke dalam kuah.
  • Rasakan garam dan gula. Kacau sampai menggelegak, kemudian api boleh ditutup.


Bahan-bahan biji nangka:
4 cawan tepung beras pulut
Air daun pandan – kisar daun pandan, tapis dan ambil airnya
Pewarna hijau
Sedikit air kapur
Garam


Cara membuat:
  • Sebelum menguli, panaskan dahulu air di dalam periuk (air separuh periuk).
  • Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan uli sampai sebati.
  • Masukkan air daun pandan sedikit demi sedikit sehingga tepung tidak melekat pada tangan.
  • Kemudian bentukkan seperti biji nangka (lebih kurang sebesar gula-gula).
  • Terus masukkan doh itu ke dalam periuk dengan air yang sedang menggelegak.
  • Apabila biji nangka masak, ia akan timbul di permukaan air.
  • Kemudian angkat dan masukkannya dahulu ke dalam bekas yang berisi air masak, jika kuah belum siap.

Siap! Jangan lupa cuba hidangkan menu ini sewaktu bulan puasa ni, selain itu masak untuk menu petang pun sangat sedap!
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

18 July 2013

Elak Ikan Berbau Busuk

 



Bagi mengelakkan ikan daripada busuk tanpa memasukkan ke dalam peti sejuk, siang ikan terlebih dahulu dan buang segala isi perut dan sisiknya. Namun ikan tersebut tidak boleh dibasuh. Selepas disiang, biarkan ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas surat khabar seekor demi seekor.

Letakkan bungkusan di tempat yang teduh. Ikan akan tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.




Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/elak-ikan-bau-busuk-1.175604

Panduan Cairkan Susu Perahan

Assalamualaikum semua.. Panduan ini berguna untuk ibu-ibu baru yang ingin memastikan bayi kecil mendapat khasiat susu ibu walaupun ibu itu bekerja.. Tapi mungkin ada yang tersilap semasa mencairkan susu perahan beku sehinggakan hilang khasiat susu tersebut.. Meh kita tinjau panduan yang ada nih..




Mungkin ada di kalangan ibu-ibu berkerjaya yang menyusukan bayi menghadapi dilema bagaimana cara terbaik untuk menyimpan dan mencairkan susu beku ketika mereka bekerja.

Tidak kira sama ada anda meletakkan bayi di bawah penjagaan pengasuh atau nurseri, pastikan mereka sudah maklum tentang cara pengendalian susu perahan beku sebelum diberikan kepada bayi.

Berikut adalah garis panduan yang boleh dijadikan maklumat berguna kepada para ibu agar bayi tetap menerima khasiat susu ibu biarpun tidak menyusu secara terus dari payu dara ibu.

1      Sentiasa menggunakan susu yang paling awal diperah.

2      Letakkan susu beku yang hendak digunakan di bahagian rak bawah peti sejuk semalaman supaya mudah dicairkan.

3      Lalukan susu perahan beku di bawah aliran air paip untuk mencairkannya.

4      Bila sudah cair, rendamkan bekas berisi susu di dalam air suam (hanya panaskan kuantiti yang hendak digunakan untuk satu penyusuan sahaja).

5      Untuk lebih mudah dan menjimatkan masa, gunakan pemanas botol elektrik yang kini banyak dijual dipasaran.

6      Jangan panaskan dalam ketuhar gelombang mikro atau atas dapur kerana ia akan merosakkan khasiat susu ibu.

7      Jangan cairkan susu beku dalam suhu bilik.

8      Susu yang telah dipanaskan mestilah digunakan dalam masa satu jam (tidak boleh disimpan semula).

9      Susu yang dibekukan akan menampakkan lemak terpisah menjadi dua lapisan. Goyangkan bekas dengan perlahan-lahan untuk menggabungkan lapisan lemak yang terpisah itu.

10  Pastikan suhu susu suam dengan menitiskan beberapa titis susu di bahagian dalam pergelangan tangan sebelum diberi kepada bayi.

11  Elakkan memanaskan susu di awal pagi dan memasukkan ke dalam termos kerana susu yang dipanaskan perlu dihabiskan dalam masa 1-2 jam sahaja.

12  Susu yang sudah dicairkan tidak boleh dibekukan semula, jadi ibu kena pandai mengagak kuantiti yang diperlukan anak supaya susu perahan tidak membazir.

13  Seelok-eloknya panaskan susu sejurus sebelum memberi bayi minum.
 

Tip Penyimpanan Susu Perahan

a. Di tempat kerja

Simpan susu perahan di bahagian sejuk peti ais, jangan dibekukkan (jika ada peti sejuk). Jika tiada, simpan sahaja dalam beg penyejuk susu ibu yang banyak terdapat di pasaran. Ia untuk memastikan kandungan antibodi terpelihara dari proses pembekuan.

b. Sampai di rumah

Simpan susu perahan dari tempat kerja semaksima yang boleh di bahagian sejuk (bukan dibekukan) untuk kegunaan pada keesokan hari. Simpan susu selebihnya di bahagian beku peti ais untuk stok seterusnya.

c. Seeloknya labelkan bekas perahan susu dengan nama bayi, tarikh dan masa pemerahan sebagai memudahkan anda menggunakan susu yang awal terlebih dahulu.

d. Tinggalkan sedikit ruang udara di dalam bekas penyimpanan untuk membolehkan proses pengembangan berlaku jika susu dibekukan.

e. Jangan lupa membersihkan dan mensteril semua bekas penyimpanan susu ibu termasuk aksesori pengepam.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

17 July 2013

Resepi Daging Lada Hitam

Assalamualaikum semua.. Resepi ni nampak sedap, boleh dinikmati bila dah kekeringan idea untuk menyediakan hidangan berbuka puasa nanti.. Resepi ini juga sesuai dinikmati oleh ibu yang sedang berpantang.. Meh kita tengok resepi yang ada nih..




Daging Lada Hitam

Masa: 60 minit

Hidangan: 3 orang

Bahan-bahannya:

*250 gram daging batang pinang dihiris nipis

*1 biji bawang besar (dihiris)

*5 ulas bawang putih (dihiris)

*2 sudu minyak masak

*1 sudu besar lada hitam (ditumbuk kasar)

*1 sudu besar kicap manis

*1 sudu besar kicap masin

Cara menyediakannya:

1. Rebus daging dengan api sederhana hingga empuk. Toskan tetapi jangan dibuang air rebusan tadi.

2. Panaskan kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.

3. Masukkan daging, kicam manis, kicap masin dan lada hitam. Gaul rata dan biarkan seketika.

4. Kemudian masukkan sedikit air rebusan tadi dan biarkan sehingga pekat semula agar daging lebih lembut.

5. Taburkan lada hitam dan siap untuk dihidang.

INFO

· Daging lembu batang pinang kurang mengandungi lemak dan teksturnya lebih lembut.

· Protein sangat penting untuk ibu membina semula tisu-tisu badan yang mungkin rosak sewaktu menjalani proses bersalin.




Sumber dari Pa & Ma


16 July 2013

Petua Hilangkan Urat Timbul

Assalamualaikum semua.. Hari ni saya nak berkongsi satu petua menghilangkan urat timbul.. Yelah urat yang timbul sedikit sebanyak mencacatkan penampilan diri kita.. Terutamanya para ibu yang telah melahirkan anak..


Ibu-ibu hamil sering mengalami masalah urat timbul di kaki dan ia berlarutan hingga bersalin. Ada petua tradisional yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah ini.
 
 1       Ketika tidur anda mesti meletakkan kaki lebih tinggi dari kepala atau ambil sebesen air suam, rendamkan kaki selama 15 hingga 20 minit setiap hari. Lakukan hingga anda memperolehi hasil yang memuaskan. Anda juga boleh mengurutnya perlahan-lahan dengan menggunakan minyak urut.
 

 2       Ambillah segenggam kacang hijau, rebus dengan air bersih tanpa dicampur dengan bahan lain. Rebus sampai mendidih. Sebelum kacang hijau itu pecah-pecah kulitnya, dan air rebusan tinggal segelas, angkatlah dari api. Minumlah air rebusan kacang itu bersama kacangnya setiap pagi dan malam sebelum tidur. Menjelang tidur, angkatlah kaki anda ke atas setinggi mungkin dengan bantuan alat selama lebih kurang 10 minit. Lakukan setiap malam menjelang tidur. Inshaa Allah, urta betis anda kembali semula seperti normal.





Sumber dari http://pama.karangkraf.com/petua/petua-hilangkan-urat-timbul-1.153726



15 July 2013

Panduan Pilih Pakaian Anak

Assalamualaikum semua.. Entry kali ini khas untuk para ibu bapa dalam memilih dalam membeli pakaian.. Bukan apa, kekadang pakaian yang dibeli tidak tahan lama, tak selesa, luntur dan macam-macam lagi laa.. Bagi yang baru memiliki anak pertama pastinya banyak pakaian yang akan dibeli.. Kalau dah mempunyai anak 2-3 orang mungkin yang kakak-kakak atau abang-abang masih boleh dipakai kan???.. 
 
 

Biasanya golongan ibu paling teruja membeli-belah pakaian anak. Lebih-lebih lagi yang punya anak kecil. Namun kadang kala timbul dilema dalam memilih pakaian untuk si kecil.

Lazimnya selepas bayi lahir, banyak kenalan menghadiahkan baju bayi buatnya. Selalunya baju yang diterima bersaiz kecil berbanding bayi anda yang cepat membesar. Ikuti tip berikut ketika membeli baju buat si kecil anda.

1 Mudah dibasuh dan warna tidak luntur
Dalam tempoh beberapa minggu, saiz baju bayi akan berubah. Oleh itu beli baju yang mudah dibasuh dan fabrik yang selesa. Jika beli baju yang berwarna pastikan warna tidak mudah tanggal apabila dibasuh.

2 Pengaliran udara
Umum mengetahui lima bulan pertama bayi membesar dengan cepat. Keadaan ini membuatkan baju bayi kelihatan baru kerana hanya digunakan beberapa kali sahaja. Cari baju bersaiz besar untuk memberikan keselesaan kepada si kecil ketika memakainya. Malah ia membantu pengaliran udara dengan baik dan mampu mengelak ruam.

3 Saiz besar
Kadang kala sukar mencari saiz baju bayi lelaki yang agak besar berbanding baju bayi perempuan. Apabila kesuntukan masa atau tiada pengetahuan mengenai kedai berdekatan, anda terus membeli baju si kecil sekadar ‘tangkap muat sahaja’. Akibatnya, baju si kecil hanya boleh pakai beberapa bulan sahaja. Sebaiknya beli baju bersaiz besar supaya tahan lebih lama.

4 Mudah dipakai dan ditanggalkan
Jenis baju berbutang adalah dicadangkan untuk bayi berusia lima bulan pertama. Baju jenis ini mudah dipakai dan ditanggalkan. Bagi bayi pra-matang, pastikan baju yang dibeli dilengkapi topi untuk melindungi kepalanya daripada udara sejuk.

5 Masih boleh dipakai
Jika anda merancang untuk memiliki bayi lagi, baju bayi yang tidak muat dan masih elok perlu disimpan di tempat yang kering dan dibungkus dengan kemas untuk mengelakkan daripada gigitan tikus. Jika perlu letakkan pewangi supaya baju tidak berbau ketika dalam simpanan anda



6 Kain kapas
Kulit bayi lembut dan sensitif. Pemilihan jenis fabrik iaitu jenis 100 % kain kapas membantu mengelak daripada masalah kulit kepada bayi. Jenis kain kapas yang mudah menyerap peluh memberi rasa nyaman kepada si kecil.






Sumber disunting dari http://pama.karangkraf.com/bayi/panduan-pilih-pakaian-anak-1.157639

14 July 2013

Resepi Ayam Percik Kelantan


 

Percik adalah antara masakan kegemaran ramai bagi orang Pantai Timur. Tambahan pula pada bulan Ramadhan, pelbagai jenis lauk percik yang akan dijual di kedai-kedai. Bagi yang rajin di dapur, percik pasti akan jadi salah satu pilihan anda dalam menu bulan Ramadhan.


Bahan untuk ayam:

1 ekor ayam - dipotong empat

4 ulas bawang putih

2 inci halia

4 batang serai } untuk menggalas periuk

Sedikit garam

 

Bahan untuk kuah percik :

2 cawan santan

2 inci halia       }dihiris halus

4 batang serai } dihiris halus

Sedikit garam dan gula

 

Cara penyediaan:

  • Kisar serai, halia dan bawang merah bersama sedikit air sehingga hancur.
  • Masukkan bahan-bahan tersebut ke dalam periuk. Tambahkan santan, garam dan gula. Kacau rata dan ketepikan kuah percik ini untuk sementara.
  • Tumbuk halia dan bawang putih sehingga hancur. Masukkan sedikit garam. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan ini.
  • Selepas itu masukkan sedikit air ke dalam periuk yang dialas serai tadi. Aturkan ayam di dalamnya. Kemudian curahkan sedikit bahan kuah percik tadi ke atas ayam tersebut.
  • Tutup periuk dan masak di atas api yang sederhana hingga ayam empuk.
  • Sambil itu, masak kuah percik tadi sehingga separa masak. Kacau sentiasa supaya santannya tidak berketul. Ketepikan.
  • Apabila ayam tadi telah empuk, angkat dan aturkan di atas penyepit untuk dibakar.
  • Panggang ayam tersebut.
  • Seterusnya curahkan kuah percik sehingga menyaluti keseluruhan ayam tersebut. Bakar lagi sehingga kuah tersebut agak kering.
  • Tuang kuah percik ke atas ayam yang siap dibakar sebelum dihidangkan.




Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/ayam-percik-kelantan-1.180551

13 July 2013

Makanan Sihat Sepanjang Puasa

Assalamualaikum semua.. Mungkin ada antara kita kurang selesa untuk bersahur.. Tapi mungkin anda boleh menjamah sedikit oat, untuk membekalkan tenaga buat diri anda sepanjang hari berpuasa.. Meh baca sedikit info yang ada..






Bangun lebih awal untuk bersahur sememangnya satu cabaran.  Kebiasaan memanaskan makanan lebihan sebelumnya adalah satu amalan yang tidak baik.  Sebaiknya, mulakan hari anda dengan mengambil makanan yang baru dimasak serta memenuhi keperluan nutrisi tubuh.

 

Antara makanan yang mudah dan memberikan kesihatan yang lebih baik untuk tubuh badan kita ialah:



  • Oat - karbohidrat daripada makanan ini adalah karbohidrat yang menyihatkan.  Ia membantu memberikan tenaga sepanjang hari
  • Telur - makanan ini memberikan sejumlah protein dan tenaga yang diperlukan tubuh  menjalani kegiatan seharian.
  • Bagi hidangan berbuka, kawal pengambilan makanan anda untuk mengelakkan makan berlebihan.
  • Minum segelas penuh air sebelum dan selepas makan bagi menggantikan cairan yang hilang dari tubuh sepanjang hari.  Selain itu, amalan ini membantu mengelakkan anda dari keinginan untuk makan snek di tengah malam.




Sumber disunting dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/makanan-sihat-sepanjang-puasa-1.180774






12 July 2013

Makanan Tidak Hadam???





Ada sesetengah orang yang sering mengalami masalah sakit perut atau sukar membuang air besar kerana makanan yang dimakan tidak hadam dengan sempurna. Jadi di sini dikongsikan sedikit petua untuk atasi masalah itu untuk meningkatkan penghadaman.
  • Elakkan daripada makan dengan gelojoh, nikmat makanan hanya dapat dirasai sepenuhnya ketika makan dengan tenang.


  • Pastikan ketika anda makan, kunyah makanan sehingga lumat, kemudian baru ditelan.


  • Makan mengikut waktu makan iaitu mengikut aturan seperti pagi, tengah hari dan berhenti makan sebelum terlalu kenyang.


  • Jangan disulami minum air ketika makan.


  • Lebih kerap mengambil makanan yang mudah dihadamkan atau tidak perlukan dikunyah seperti nestum, bubur, madu, glukos, yogurt dan lain lain.







Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/makanan-tidak-hadam-1.173731






11 July 2013

Risiko Panaskan Makanan

Assalamualaikum semua.. Selamat Berpuasa semua.. Hari ni nak share info yang baru baca nih.. Yelah, bulan puasa nih mungkin kita akan memanaskan makanan yang masih ada.. Kena plak lauk tuh simpan dalam peti ais kan.. Apapun selepas nih berhati-hatilah sekiranya memanaskan makanan terutamanya yang dimasak menggunakan santan.. Boleh menyebabkan risiko kepada kesihatan.. Meh baca info yang baru saya baca nih..




Makanan yang tidak habis akan disimpan di dalam peti ais, kemudian dipanaskan semula untuk hidangan akan datang. Mungkin juga anda suka makanan bersantan yang dipanaskan berulang kali. 
 
Bagi anda yang suka panaskan makanan, mereka menganggap semakin lama dipanaskan semakin sedap dan kena dengan selera. 
 
Namun sebenarnya kesan makanan bersantan yang dipanaskan berulangkali akan membentuk aseton, radikal bebas yang boleh membahayakan kesihatan.
 
Radikal bebas ini akan menempel pada pembuluh darah yang akan menyebabkan ia menjadi sempit dan tersumbat. Jadi, elak memanaskan makanan berulangkali. 





 
Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/risiko-panaskan-makanan-1.181001


10 July 2013

Khasiat Avocado




Mungkin buah berwarna hijau berbentuk lonjong ini kurang popular dibandingkan dengan barisan buah-buahan lain yang sering menjadi kudapan ramai.

Tetapi sebenarnya buah avocado yang juga dikenali sebagai alpukat di Indonesia, terkenal sebagai buah yang kaya dengan vitamin C, E dan K. Ia juga rendah kandungan gula serta tiada kandungan garam yang memang sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

Dari sudut perubatan, buah avocado mengandungi antioksida dan potasium untuk mengelak daripada penyakit radang sendi dan kandungan asid foliknya pula dapat mengelak serangan jantung dan kanser. Avocado juga mengandungi sumber lutein yang tinggi untuk mengawal katarak sebagai langkah awal daripada menjadi buta.

Berita baik untuk mereka yang hendak berdiet, hasil kajian oleh Wesley Medical Centre, Brisbane, Australia mendapati jika seseorang itu makan setengah atau sebiji avocado setiap hari selama sebulan akan dapat mengurangkan berat badan dan merendahkan kolesterol.

Bagi yang menjaga kecantikan, jangan jauhkan diri anda daripada buah ini kerana ia kaya dengan vitamin E yang baik untuk memperlahankan proses penuaan. Kepada ibu-ibu yang inginkan kelainan menu anak, avocado sesuai sebagai makanan bayi kerana kandungan lemak tidak tepu akan membantu proses perkembangan bayi.

Buah avocado agak lembut maka ia perlu dipegang dan disimpan dengan cermat supaya tidak mudah lebam.





Sumber dari majalah mingguan wanita



 

09 July 2013

Cara Pemakanan Bulan Puasa

Assalamualaikum semua.. Pejam celik pejam celik, sekejap jer nak berpuasa balik.. Dah nak mula solat terawih ngan bangun sahur.. Pastinya di hari pertama berpuasa, akan mengundang pelbagai rasa.. Ok la meh tengok tips berpuasa yang mungkin boleh diamalkan..


 


Puasa memberi kebaikan kepada tubuh, menjadi bulan yang terbaik untuk organ tubuh beristirahat. Perubahan waktu makan adalah perkara utama yang dirasakan ketika berpuasa.  Ikuti beberapa tip menjalani puasa yang baik bagi tubuh di bulan Ramadan ini:

 

Elakkan tidur selepas sahur

Tubuh memerlukan waktu untuk mencerna makanan, apatah lagi makanan berat yang diambil ketika bersahur.  Oleh itu, perlu ada waktu senggang yang cukup sekitar 30 minit untuk tubuh mencerna makanan selepas makan sahur.  Hal ini disarankan bagi mengelakkan proses metabolisme tubuh terganggu.

 

Hindari air sejuk dan manis

Elakkan minum air sejuk atau air ais ketika berbuka puasa.  Amalkan berbuka dengan minuman hangat.  Minum air sejuk boleh menyebabkan perut menjadi kembung kerana asid pada bahagian perut akan  meningkat.  Hindari juga minum atau makan makanan yang manis dengan kadar gula yang tinggi.

 

Menu berbuka yang manis semula jadi seperti yang terdapat pada buah kurma mahupun jus buah-buahan (tanpa gula), lebih baik kerana kandungan gula pada makanan ini boleh menaikkan kadar gula darah dengan cepat.  Ini tidak merangsang penghasilan insulin sebagaimana gula yang terdapat pada minuman dengan gula tambahan seperti sirap, teh, kopi dan sebagainya.

 

Makan sedikit ketika berbuka

Untuk mengelakkan perut terkejut, sebaiknya berbuka dengan makan makanan yang sedikit.  Anda perlu mengelakkan makan makanan utama ketika berbuka puasa.  Tubuh memerlukan ruangan yang kosong untuk mencerna makanan.  Jadi jika anda biasa makan makanan yang berat sebaik sahaja berbuka puasa, ini akan mengganggu kerja-kerja pencernaan makanan.  Mulakan makan makanan yang ringan dan sedikit.  Kunyah makanan dengan baik untuk meringankan kerja-kerja pencernaan sehingga tugas tubuh untuk mencerna makanan tidak terlalu membebankan ketika berbuka puasa.

 

Demikian beberapa tips yang perlu diamalkan pada bulan Ramadhan nanti bagi mendapat kesihatan yang baik dan cegah tubuh badan daripada rasa cepat penat.






Sumber disunting dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/cara-pemakanan-bulan-puasa-1.180045