13 June 2011
Tip Sebelum Bercuti
Letih rasanya otak dan tubuh apabila terlalu memberi tumpuan terhadap kerjaya. Dari satu projek ke projek yang lain menyebabkan masa lebih banyak digunakan untuk tujuan kerja hingga anda mengabaikan masa libur.
Apa kata, gunakan sedikit cuti tahunan anda untuk bercuti. namun begitu, dalam keasyikan merancang cuti, semak jadual berikut.
Merancang
Ketika anda sedang merancang untuk bercuti, jangan lupa untuk melihat sama ada jabatan anda turut merancang untuk melakukan sebarang aktiviti. Jika tarikh yang dirancang hampir waktu anda bercuti, sebaiknya anda mempertimbangkan untuk menunda percutian anda.
Rakan kerja
Carilah rakan sekerja yang boleh dan mahu menggantikan anda. Mintalah pada rakan sekerja yang boleh dipercayai untuk membantu anda sepanjang bercuti. Pihak atasan mungkin boleh membantu dalam menentukan siapa yang boleh membantu menyelesaikan tugas-tugas tertentu ketika anda bercuti.
Selain itu, berikan nama dan nombor telefon pengganti selama anda bercuti kepada pelanggan dan rakan sekerja. Nyatakan juga 'out of office' pada emel dan kotak pesanan telefon anda agar mereka yang menghubungi anda mengetahui mereka boleh merujuk kepada pihak lain selama anda tidak berada di pejabat.
Susun jadual
Pertimbangkan untuk mengatur jadual kerja dengan individu yang bakal mengganti anda. Ingatkannya mengenai tugas-tugas yang penting dan jelaskan proses dan prosedur yang relevan. Pastikan juga pengganti anda mengetahui di mana anda menyimpan dokumen-dokumen penting yang diperlukan.
Maklumat
Maklumkan kepada rakan sekerja dan pelanggan anda bahawa anda akan bercuti. maklumat ini akan memberikan masa yang cukup untuk mereka mempersiapkan sesuatu yang diperlukan selama anda tiada di pejabat.
Susun agenda
Apabila anda terlibat dalam mesyuarat rutin, pastikan anda memaklumkan pihak berkaitan mengenai cuti anda. Jika dijadualkan anda yang harus mempengerusikan mesyuarat, minta bantuan rakan sekerja untuk menggantikannya atau batalkan sahaja dan tundakan pada waktu yang lain.
Teknologi
Salah satu perkara yang membuatkan pekerja tertekan ketika kembali bekerja adalah puluhan e-mel atau surat yang menggunung. Bagi menghindarkan anda dari tugas tambahan menghapus e-mel, manfaatkan 'rules' atau kemudahan yang ada, yang membolehkan anda menapis e-mel yang masuk.
Sebahagian besar program e-mel memiliki kemudahan fungsi ini, misalnya anda memberi tanda pada e-mel daripada jabatan teknologi maklumat, mengenai maklumat terbaru untuk terus masuk ke fail 'deleted item' kerana isinya sudah tidak relevan lagi apabila anda kembali ke pejabat. Anda juga mungkin ingin mengatur 'rules' untuk mengarahkan emel dari orang-orang tertentu terus ke e-mel pengganti anda. Cara ini dapat mengurangkan risiko dalam memberikan tindakbalas sepanjang ketiadaan anda.
E-mel
Sebelum anda pergi, pastikan peti masuk e-mel anda tidak penuh sehingga tidak melampau batas penyimpanan selama anda tiada di pejabat. Ini kerana apabila peti masuk emel anda penuh, ia boleh menghalang pengiriman e-mel penting yang lain daripada masuk ke e-mel anda. Pastikan juga kata kunci yang anda gunakan tidak melewati masa berlaku. Dalam pada itu, jika anda merancang untuk terus bekerja di waktu bercuti, pastikan di lokasi tempat anda bercuti dapat menggunakan komputer riba dan mengakses maklumat yang diperlukan.
Telefon
Tapi yang sebaiknya tinggalkan sahaja komputer riba dan segala dokumen kerja anda di rumah. Jika terpaksa, hadkan pada tugas pejabat yang sangat penting sahaja. Tip terakhir yang tidak kalah pentingnya, anda harus relaks sebelum kembali masuk bekerja. Jika anda dapat mengendalikan setiap perkara yang baik, tentunya anda dapat menikmati percutian tanpa terganggu yang memberi tekanan.
Sumber dari majalah mingguan wanita
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..