14 June 2011
Sesuaikan Gaya & Fabrik Dengan Situasi
Pernahkah anda merasa kekok dan tidak selesa memakai tudung atau selendang semasa menghadiri sesuatu majlis? Jika ya, apakah penyebabnya? Adakah kerana gaya tudung yang dibentuk tidak cantik atau fabrik yang digunakan tidak bersesuaian dengan majlis yang anda hadiri? Sudah pasti kedua-duanya bukan?
Tip kali ini akan membantu anda untuk tampil lebih selesa dan menarik mengikut situasi dan juga acara yang anda hadiri. Tidak kiralah majlis formal atau santai mahupun hanya untuk ke pusat membeli belah. Semuanya boleh anda aplikasikan untuk keselesaan diri sendiri.
FABRIK VOILE
Tudung bawal sudah sinonim buat mereka yang bertudung di negara ini kerana kainnya yang tidak terlalu lembut atau keras dan mudah untuk dibentuk serta digayakan ke pelbagai acara. Antara acara dan tempat yang sesuai bagi pemakaian kain tudung bawal seperti ke pejabat, sesi temu duga atau ke majlis-majlis formal. Ini kerana, tudung bawal dihasilkan daripada sejenis fabrik yang nipis dan lembut yang berasal dari kapas, sutera atau rayon atau lebih dikenali sebagai fabrik voile. Bagi penggayaan untuk fabrik ini pula, anda hanya perlu melakukan gaya atau lilitan yang ringkas dan kemas tanpa penambahan aksesori yang banyak. Tetapi perlu diingat, pilih warna yang lebih lembut dan terang berbanding baju yang dipakai.
FABRIK SIFON
Anggun dan mewah adalah ciri utama fabrik sifon. Sifatnya yang mudah tercarik disebabkan kainnya yang nipis menyebabkan anda perlu berhati-hati semasa memakainya. Acara yang sesuai untuk anda menggayakan tudung yang diperbuat daripada kain sifon ini adalah acara yang tidak memerlukan anda bergerak terlalu banyak dan bukannya majlis yang glamor. Mungkin anda boleh memakai tudung dari jenis fabrik sifon ke majlis minum petang. Cara penggayaan pula, anda boleh memilih untuk melakukan sedikit lilitan dan ditambah dengan aksesori yang ringkas. Tetapi pastikan aksesori tersebut bukan jenis yang mudah tersangkut atau mengoyakkan fabrik. takut-takut nanti fabrik tudung yang anda pakai terkoyak semasa majlis berlangsung.
FABRIK LYCRA
Kebanyakkan tudung yang dihasilkan daripada fabrik lycra adalah jenis tudung segera. Fabrik lycra mempunyai ciri sejuk yang mudah dibentuk serta labuhnya jatuh dengan elok sekali. Biarpun, kebanyakan tudung segera boleh menampakkan anda lebih matang. Ia adalah fabrik tudung yang paling sesuai untuk anda melakukan aktiviti lsak, bersenam atau ke pantai. Selain itu, fabrik lycra ini juga mudah untuk dibentuk dan tidak timbul masalah tudung berubah kedudukan asalnya. Fabrik seperti ini sesuai jika anda melakukan gaya ringkas yang tidak akan mengganggu aktiviti anda. Pin sahaja di bawah dagu sematkan kerongsang pada kedua-dua bahagian hujung tudung di bahu kiri dan kanan.
FABRIK SATIN
Kini selendang kebanyakkannya dihasilkan daripada fabrik satin. Biarpun tampak cantik tetapi selendang yang dihasilkan daripada fabrik ini sukar untuk dibentuk. Tanpa penggunaan anak tudung keras, pastinya sukar untuk anda memperoleh gaya tudung yang dikehendaki. Tudung mahupun selendang yang dihasilkan daripada fabrik satin ini sangat sesuai untuk dipakai ke majlis semi-formal. Walaupun fabrik jenis ini sukar untuk dibentuk, tetapi ia sangat menarik apabila digayakan. Jadi, lakukan lilitan ringkas dan ditambah dengan aksesori yang sesuai. Jangan pula lilitan atau aksesori terlalu sarat kerana ia akan merimaskan anda akhirnya.
FABRIK SILK
Untuk ke acara glamor, mungkin anda boleh menggayakan tudung yang dihasilkan daripada fabrik silk. Ciri fabriknya yang lembut, licin dan berkilat pasti menimbulkan aura glamor pada si pemakainya. Namun, begitu harus diingat fabrik ini sukar untuk digayakan jika anda tidak tahu cara pemakaiannya yang betul. Oleh itu, jangan lupa memakai anak tudung yang mempunyai pengeras dihadapannya dan gunakanlah jarum serta kerongsang yang tajam agar tudung anda tidak tercarik.
Dengan fabrik yang glamor ini, anda boleh bergaya dengan apa jua aksesori yang anda inginkan. Yang pasti aksesori itu bersesuaian dengan baju yang dipakai. Lilitan juga boleh dilakukan secara lebih ringkas tetapi memberi impak glamor. Jika anda tidak pandai untuk menggayakan tudung dengan gaya yang lebih glamor, cukup jika melakukan lilitan biasa. Tambahkan sahaja aksesori yang lebih menyerlah pada bahagian kepala atau sanggul. Lebih baik jika aksesori jenis juraian permata.
Cara dan gaya tudung yang dikenakan harus mementingkan kekemasan dan keselesaan kepada anda kerana ia melambangkan keperibadian seseorang. Penampilan bertudung ini juga perlu diselaraskan mengikut beberapa faktor penting iaitu faktor majlis, jenis pakaian dan warna pakaian.
MAJLIS : Anda perlu memastikan sama ada majlis yang ingin dihadiri adalah majlis formal atau majlis tidak formal. Hal ini kerana dalam majlis formal anda perlu kelihatan lebih eksklusif dan tampak elegan. Manakala dalam majlis tidak formal seperti bersama teman dan keluarga, gaya pemakaian tudung sesuai jika kelihatan santai dan kemas.
JENIS PAKAIAN : Tudung yang hendak dipadankan dengan pakaian mestilah berdasarkan jenis pakaiana itu sama ada dari fabrik bercorak atau tidak. Kebiasaannya, apabila pakaian yang dikenakan tidak mempunyai corak polos, tudung yang menjadi pilihan adalah tudung yang bercorak. Begitu juga sebaliknya.
WARNA PAKAIAN : Lebih baik jika warna tudung yang dipakai lebih menyerlah daripada pakaian itu sendiri. Penampilan seorang muslimah lebih menarik jika ia dilihat pada pemilihan warna tudungnya.
Sumber dari majalah dara.com
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..