29 March 2013

Kelebihan Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)

Assalamualaikum semua.. Salam Jumaat.. Memandangkan ari Jumaat nak berkongsi la info berkaitan agama skit.. Mesti masih ramai di antara kita kurang mengetahui kelebihan istighfar ini.. Meh kita baca dan cuba amalkan selagi mampu.. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dariNya..



 



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّـهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖنُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" (At-Tahrim 66 : 8)

 
Antara zikir Rasulullah saw yang dibaca pada setiap pagi dan petang ialah sayyidul istighfar (penghulu istighfar) yang dijanjikan dengan syurga kepada sesiapa yang membacanya lalu dia meninggal pada hari itu sama ada pagi atau petang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

 
 
Penghulu Istighfar

LAFAZ SAYYIDUL ISTIGHFAR :

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ ،


Maksudnya :
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam gengganman-Mu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-Musekuat mampuku.
 
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau

 

WAKTU DIBACA :

Selepas subuh dan selepas asar.


KELEBIHAN SESIAPA YANG MENGAMALKANNYA :



مَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا ، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ ، قَبْلَ أَنْ يُمْسِىَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ ، وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا ، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ )

Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari ( pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam ( petang ) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga. ( riwayat Imam al-Bukhari ).







Fadhilat membaca penghulu istighfar :

Dari Syaddad bin Aus ra. dari Rasulullah saw. bersabda: Penghulu istighfar ialah "Allahumma anta……".  Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga.  Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga. (HR. Bukhari)

Terdapat banyak kelebihan istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihannya adalah:

1. Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.

2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah akan menghapuskan daripadanya sebanyak 700 dosa.

3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah ,nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasihani.(Surah An Nisa' : 110)

4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar. (Al Anfal: 33)

5. Mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat .

6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan ( Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan. Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus A.S apabila baginda ditelan oleh ikan Nun . Nabi Yunus A.S dicampakkan oleh Allah Taala ke dalam laut kerana baginda masih ada ajalat (sifat-sifat mendahului qodo' Tuhan). Allah Taala memelihara nabiNya daripada sifat-sifat ajalat ini dengan membenarkan ikan Nun menelan Nabi Yunus A.S. Nabi Yunus A.S beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah Taala iaitu :
 

Ertinya: 'Tiada Tuhan melainkan Engkau, maha suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang yang menzalimi dirinya.'(Surah Al Qalam : 87)

* Pembetulan ayat di atas adalah seperti di bawah.. Kesilapan amatlah dikesali..

 


Sel-sel nabi Yunus yang maksum kemudiannya dibersihkan daripada sifat-sifat ajalat. Selepas itu barulah doanya diperkenankan oleh Allah Taala.

Nabi Muhammad SAW yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari. Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan segala sel-selnya daripada segala rasa 'Ada Diri' atau 'Rasa Keakuan'.
 
Sesungguhnya, istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita InsyaAllah..


Alangkah ruginya kita, jka amalan yang amat mudah tapi dijanjikan dengan syurga pun masih kita tidak amalkan. Semoga Allah memberi kekuatan agar kita mampu mengamalkannya.





 

28 March 2013

Hidangan Minum Petang

Menarik jer tengok resipi nih.. Ni resipi hasil terjahan dalam laman web majalah Pa & Ma.. Boleh try nih.. 


Pai ayam
Masa: 90 minit
Hidangan:  8 biji pai kecil
Bahan-bahannya:
Untuk doh:
  • 150gm mentega
  • 280gm tepung gandum halus
  • 1 biji kuning telur (dipukul)
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
Untuk inti:
  • 1 biji kentang (dipotong dadu)
  • 100gm isi ayam (dipotong dadu)
  • ½ biji bawang besar (ditumbuk halus)
  • Minyak masak untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Sedikit serbuk lada hitam
Untuk sapuan:
  • 1 biji kuning telur
Cara membuatnya:
Untuk inti:
  1. Mula-mula, panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan isi ayam dan kacau.
  3. Selepas itu, masukkan pula kentang dan kacau lagi.
  4. Apabila kentang empuk, masukkan pula garam, gula dan serbuk lada hitam. Kacau sehingga kesemuanya mesra.
  5.  Setelah semua bahan masak, padamkan api dan sejukkan sebentar.
Untuk doh:
  1. Mula-mula campurkan tepung dengan gula dan gaul sehingga rata.
  2. Kemudian, masukkan pula mentega, kuning telur, garam dan gula. Gaul kesemuanya dan uli sehingga menjadi doh yang tidak melekat.
  3. Selepas itu, canai doh sehingga menjadi lebih kurang setebal 0.5sm.
  4. Potong doh mengikut saiz acuan pai (mangkuk pai aluminium) dan letakkannya ke dalam acuan.
  5. Kemaskan bahagian tepi doh.
  6. Letakkan pula inti pai dan tutup ataskan dengan sekeping lagi doh.
  7. Tekan bahagian tepi pai dengan garpu agar kedua-dua kepingan doh bercantum.
  8. Akhir sekali sapukan kuning telur pada permukaan atas pai dan bakar selama 30 minit atau sehingga masak pada suhu 180°C.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

Ayam panggang
Masa: 180 minit
Hidangan:  Seisi keluarga
Bahan-bahannya:
  • 1 ekor ayam (dibersihkan dan tidak perlu dipotong)
  • Sedikit mentega
Untuk dikisar:
  • 3 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar madu
  • 2 sudu besar gula
  • 2 sudu besar herba campuran (mixed herb)
  • 1 sudu kecil garam
Cara membuatnya:
  1. Kisar kesemua bahan sehingga hancur dan sebati.
  2. Selepas itu lumurkan pada bahagian luar dan dalam ayam.
  3. Perapkan selama sekurang-kurangnya 90 minit.
  4. Sebelum dipanggang atau dibakar dalam ketuhar, sapukan sedikit mentega pada keseluruhan ayam.
  5. Akhir sekali, panggang atau bakar sehingga masak.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

Kek kukus buah-buahan
Masa: 5 jam
Hidangan:  Seisi keluarga
Bahan-bahannya:
  • 375gm buah-buahan kering
  • 250 gm mentega
  • 300gm tepung gandum
  • 1 sudu kecil sodium bikarbonat
  • 1 sudu kecil cream of tartar
  • 3 biji telur ayam gred A
  • 150gm gula kastor
Cara membuatnya:
  1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
  2. Kemudian, sapukan mentega pada loyang berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci. 
  3. Alaskan dasar loyang dengan kertas minyak. Sapukan juga mentega pada kertas minyak tersebut. Ketepikan.
  4. Masukkan tepung, cream of tartar dan sodium bikarbonat ke dalam bekas dan ayak.
  5. Kemudian, masukkan pula buah-buahan kering ke dalam tepung tersebut dan gaul rata. Ketepikan.
  6. Selepas itu, pukul mentega bersama gula kastor sehingga kembang.
  7. Masukkan telur satu persatu.
  8. Terus pukul adunan sehingga gebu.
  9. Masukkan pula campuran tepung dan buah-buahan kering tadi dan kacau sehingga bercampur rata kesemuanya.
  10. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan tutup dengan kerajang aluminium. Pastikan kerajang aluminium diikat kemas pada loyang dengan tali.
  11. Kukus selama 4 jam.


(Sumber: Majalah Pa&Ma Disember 2011)




27 March 2013

Ubati Sakit Cara Tradisional

Assalamualaikum semua.. Apa yang dipaparkan ini merupakan petua yang amat berguna yang boleh kita amalkan selain dari menggunakan ubat-ubatan moden yang boleh diperolehi menerusi farmasi dan klinik serta hospital.. Bahan-bahan ini ada yang boleh diperolehi di dalam rumah sahaja tanpa perlu ke pusat perubatan untuk mendapatkan ubat.


Sekarang ini, kita seakan sebati dengan ubat-ubatan moden sehingga terlupa bahawa banyak bahan-bahan semulajadi boleh dijadikan penawar kepada sakit yang dihadapi. Oleh itu, marilah kita amalkan petua-petua lama ini agar tidak lagi hanya bergantung kepada ubatan moden. Di luar negara juga, ada para doktor yang menyarankan pesakitnya mengamalkan bahan-bahan semulajadi sepertimana petua di bawah ini berbanding menyajikan pesakitnya dengan ubat-ubatan moden. Meh kita cuba amalkan petua-petua berikut:-
  • Gastrik
Ambil sebiji buah kurma dan campurkannya dengan sedikit susu kambing atau susu lembu asli yang segar. Kemudian, minum sebanyak dua kali sehari.
  • Melawaskan Kencing
Jika anda ada masalah ketika membuang air kecil, cubalah petua ini. Kisar dua potong nanas yang kurang masak dengan dua gelas air. Tapis dan minum airnya dua kali sehari.
  • Lelah
Bagi anda yang lelah, rebuslah beberapa biji bawang merah kecil sehingga lembut. Kisar dan tapis airnya. Minum seminggu sekali.
  • Senak perut
Jika anda berhadapan dengan masalah senak perut dan selalu sendawa angin, petuanya ialah rebus empat atau lima tangkai cili kering (tangkainya sahaja) bersama dua ulas bawang putih dan tiga cawan air. Campurkan sedikit halia bersama rebusan tersebut. Minumlah beberapa kali. Mudah-mudahan anda cepat sembuh.
  • Sakit Mulut
Sekiranya anak anda mengalami sakit mulut. Cubalah rawat dengan santan. Mula-mula masak santan dari sebiji kelapa dengan satu cawan air. Setelah santan hampir menjadi minyak, masukkan dua atau tiga tangkai daun pucuk manis sehingga warnanya putih. Angkat, sejukkan dan sapu dalam mulut anak anda.

  • Sembelit
Anda mengalami masalah sembelit iaitu sukar buang air besar? Cubalah mana-mana petua sembelit di bawah.

# Makan buah pisang atau betik selalu.

# Ambil dua biji pisang lemak manis yang cukup masak. Buang kulitnya dan kisar bersama segelas air. Amalkan minum air pisang ini dua kali sehari sehingga sembuh.

# Dapatkan akar temu lawak dan segenggam biji sawi. Masukkan ke dalam periuk dengan air secukupnya. Rebus hingga mendidih. Tutup api dan biarkan sejuk pada suhu bilik. Tapis dan minum airnya pagi dan petang setiap hari sehingga sembuh.

# Rebus daun gelenggang dan jadikan ulaman makan bersama nasi setiap hari.



 


26 March 2013

Lelaki Cemburu Uji Kesabaran

Pastinya ada di antara kita pernah mengalami situasi di mana lelaki kuat cemburu.. Cemburu ini tak salah kerana ia mengambarkan sayangnya lelaki itu terhadap diri kita sebagai kekasih ataupun isteri.. Tapi bila perasaan terlalu cemburu memang akan menguji kesabaran kita sebagai perempuan atau wanita khasnya.. Meh kita baca ciri-ciri yang ada pada lelaki cemburu ini..




Kaki siasat
Awal perkenalan, pasangan mungkin ditatang bagai minyak yang penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun sejak kebelakangan lama kelamaan ada sahaja yang tidak kena. Kalau boleh dia cuba mengawal setiap pergerakan. Ke mana, dengan siapa bersama dan yang paling penting ada atau tidak lelaki bersama anda. Jika ada, anda akan disiasatnya dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan pasangan mengalahkan pihak berkuasa. Anda mungkin berasa seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan.

Sentiasa curiga
Lelaki kaki cemburu akan sentiasa menganggap pasangannya berlaku curang. Kenapa? Kerana dia tidak yakin dengan kesetiaan wanita. Sukar baginya untuk mempercayai, tambahan pula apabila pasangan sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka yang mengganggu itu adalah kerana terpikat dek kecantikan wanita pujaannya. Walaupun tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu, dia tetap merasakan yang pasangan cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu dan bersalah dalam hal ini. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah bersabar dan makan hati.

Panas baran
Ini merupakan salah satu ciri si kaki cemburu. Suami atau teman lelaki yang anda kenali dengan lebih mendalam mungkin mempunyai perangai yang suka marah. Salah sedikit sahaja tapi kemarahannya bukan main lagi. Sakit hati bukan? Panas baran ini kalau tidak ditangani dengan baik mungkin akan mendatangkan padah, silap hari bulan tangan boleh naik ke muka.

Tidak pernah puas
Betul atau tidak dia individu seperti ini? Sudah tentu kamu mengatakan “ya”. Si kaki cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada sahaja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar kesalahan. Susah untuk memuaskan hatinya. Sikap ini akan membuatkan pasangan berfikir, kenapa si dia harus begini dan apakah salah anda. Pada satu tahap pasangan akan berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak diterimanya malah air mata menjadi peneman setia setiap hari.

Kuat mengongkong
Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa sahaja yang anda suka tapi sekarang tidak lagi. Semua perkara yang anda lakukan perlulah mendapat kebenarannya terlebih dahulu. Anda tidak boleh melakukan sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan si dia. Seolah-olah kehidupan anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut. Jadi fikir-fikirkanlah.

Ambil kesempatan
Ini memberi maksud si dia mengambil kesempatan di atas kelemahan kamu. Memandangkan anda tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya perlu diikuti tanpa ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu. Setiap kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan tujuan untuk melihat mesej-mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si dia akan mengambil tahu banyak perkara tentang diri anda. Ini akan digunakan agar anda tidak dapat lari daripadanya.

 

 
 

 
 

25 March 2013

Snek Sihat Buat Si Manja

Assalamualaikum semua.. Bagi ibu-ibu yang mempunyai anak kecil yang semakin membesar ada kalanya mereka kerap makan.. Pastinya ada di antara kita akan memberi si kecil ini biskut untuk dijamah di antara waktu makan bagi mengenyangkan perut si kecil.. Di sini disertakan info yang mungkin boleh mempelbagaikan lagi kudapan si kecil..



Penting bagi ibu bapa tahu apa kudapan atau snek yang berkhasiat dan bermanfaat untuk anak-anak. Kesilapan memilih snek yang betul untuk anak boleh menjejaskan kesihatan mereka. Teruskan bersama membaca artikel ini untuk mengetahui snek apa yang sesuai untuk anak anda.
  • Potongan buah-buahan segar
  • Buah-buahan kering seperti buah prun, kurma dan kismis
  • Biskut oat bersama mentega kacang
  • Potongan lobak merah dan timun
  • Sandwic
  • Biskut lemak dengan jem buah-buahan
  • Kek
  • Yogurt
  • Bertih jagung
  • Keju
  • Bar bijirin (Cereal bars)
Kudapan yang perlu dielak:
  • Terlalu manis
Biskut yang ada di pasaran biasanya tidak mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan kanak-kanak. Tetapi, jika biskut itu terlalu manis seperti biskut gula, elakkanlah. Seeloknya, kandungan gula yang terkandung dalam makanan untuk anak perlulah seminimum yang boleh.
  • Garam
Pastikan anda tidak biasakan anak dengan makanan bergaram terutamanya bagi anak yang masih kecil. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan makanan ringan yang menjadi kegemaran kanak-kanak mengandungi dua kali ganda garam melebihi kadar yang selamat untuk orang dewasa. Kanak-kanak menanggung risiko kesihatan lebih besar kerana tubuh mereka lebih sukar menyingkirkan natrium berbanding dengan orang dewasa.

Info tambahan:
Selain daripada kudapan, air yang anak anda minum juga perlu diperhatikan. Ramai kanak-kanak suka minum minuman berkarbonat kerana rasanya yang manis. Inilah yang perlu dielakkan. Sebaiknya, beri anak anda minum air kosong, susu atau pun jus perahan buah-buahan segar.




22 March 2013

Waktu Mustajab Agar Doa Dimakbulkan



Kita seringkali berdoa selalunya selesai solat. Dengan harapan doa kita dimakbulkan. Tahukah kita bahawa ada waktu dan keadaan yang doa kita mustajab dan dimakbulkan?? Di sini saya berkongsi sedikit sebanyak dari hasil pembacaan saya. Sebenarnya saya telah membaca buku ini hampir 6 bulan lepas. Baru hari ini saya teringat untuk berkongsi bahan tersebut. Yelah, saya hanya rakam melalui gambar ja hasil pembacaan ini. Berikut merupakan senarai waktu mustajab memohon doa.

# Waktu pagi sebelum terbit matahari iaitu setelah selesai menunaikan solat Subuh.

# Setiap lepas solat fardu.

# Di antara zohor dan asar. Juga di antara asar dan maghrib.

# Waktu di antara azan dan iqamat.

# Ketika bangun tidur.

# Semasa solat, iaitu sebelum salam (selepas membaca tasyahud akhir).

# Ketika hendak masuk dan keluar masjid.

# Pada masa takbir solat hari raya (sela masa di antara takbir semasa solat).

# Waktu di antara dua khutbah (khutbah Jumaat dan khutbah hari raya).

# Waktu menziarahi makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Madinah.

# Waktu melakukan urusan penting.

# Waktu membaca doa qunut pada solat Subuh.

# Pada masa mengadakan majlis dan upacara (yang bukan berbentuk maksiat).

# Waktu ditimpa kesulitan, kecewa dan hati tidak tenteram.

# Waktu bertemu kembali dengan sanak saudara atau sahabat yang lama terpisah.

# Waktu hujan turun.

# Waktu hendak memulakan solat dan setelah selesai solat.

# Waktu selesai khatam 30 juz al-Quran atau selepas selesai membaca mana-mana ayat al-Quran.

# Sewaktu sujud.


Kita seringkali berdoa dengan harapan doa kita dimakbulkan oleh Allah. Tapi adalah kita ketahui bahawa doa-doa yang selalunya dimakbulkan Allah ialah apabila kita berada dalam keadaan seperti berikut:-

* Orang yang terdesak

* Orang yang dizalimi

* Anak yang diredhai oleh ibu bapanya.

* Ibu bapa yang disayangi oleh anak-anak.

* Orang yang suka bertaubat.

* Pemimpin yang adil.

* Orang yang berpuasa dan sepanjang tempohnyasebelum waktu berbuka.

* Orang yang bermusafir.


Info ini sekadar untuk berkongsi dengan para pembaca diluar sana, sebahagian dari pembacaan buku Mudahnya Menjemput Rezeki oleh Fathuri Salehuddin. Banyak info yang berguna boleh kita temui di dalam buku ini. Saya cuma berkongsi sebahagian dari hasil pembacaan sahaja.




Inilah buku yang dimaksudkan.. Dapatkan dipasaran harganya cuma RM18. Gambar ni kredit dari google jer..

21 March 2013

Bercuti Jangan Sampai Terleka

Cuti sekolah datang lagi.. Mungkin ada di antara kita bercadang untuk membawa anak-anak untuk bercuti bersama keluarga.. Tak kurang yang merancang bercuti bersama kawan-kawan atau sebagainya.. Di bawah ini ada beberapa perkara yang boleh kita ikuti dan amalkan..
 
 



“Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.”- (Surah Muhammad, ayat 10)

Berjalan dan bersiar-siar bersama keluarga sememangnya dianjurkan oleh Islam. Di samping mengeratkan hubungan dan mempelajari sesuatu yang baru, bercuti bersama keluarga juga menjadi salah satu cara untuk menguatkan keimanan kepada Allah SWT dengan melihat tanda-tanda kebesaran-Nya serta menjadikan hati semakin tunduk kepada perintah-Nya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah, berjalanlah kamu di muka bumi lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa,”-Surah Al-Naml, ayat 69.

Pun begitu, dalam keghairahan melancong dan menikmati keseronokan, jangan sesekali kita melupakan suruhan Allah SWT dalam mengerjakan apa yang diperintah dan meninggalkan atau mengelakkan apa yang dilarang-Nya. Jangan lupa ibadah dan melakukan amalan sunah yang pastinya menjadikan perjalanan anda dirahmati dan menjadi pendinding kepada kemaksiatan dan kemungkaran.

Pada zaman Rasulullah SAW, melancong ini mungkin boleh kita tafsirkan sebagai bermusafir ke jalan Allah SWT.  Menggembirakan hati suami atau isteri dan anak-anak adalah sebahagian daripada tuntutan-Nya. Pertama sekali kita perlulah memperbetulkan niat kita keluar rumah bersama-sama keluarga bukan untuk berseronok atau berbuat maksiat tetapi niatkanlah ia sebagai ibadah ke jalan Allah SWT. Berikut disenaraikan cara bermusafir mengikut sunah yang boleh diamalkan moga-moga dengan cara ini kehidupan dan setiap langkah yang diatur ke destinasi mendapat rahmat dan diberkati Allah SWT.

1. NIAT YANG BAIK
Abu Hurairah r.a meriwayatkan seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW berdoa, “Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”  (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi).

2. SOLAT SUNAT DUA RAKAAT
Dirikan solat sunat dua rakaat sebelum keluar rumah dan berdoalah agar Allah SWT memudahkan segala urusan serta memohon keselamatan ahli keluarga yang ditinggalkan. “Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik daripada dua rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir.” (Hadis diriwayatkan oleh Tabrani)

3. MULAKAN MUSAFIR SELAIN HARI JUMAAT
Rancanglah percutian anda dan elakkan memulakan musafir selain dari hari Jumaat supaya tidak terlepas Solat Jumaat. “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah suka memulai perjalanannya pada Khamis.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

4. BAWA BEG BERISI KEPERLUAN DIRI
Membawa beg kecil yang berisi keperluan diri seperti yang diamalkan Rasulullah SAW sendiri yang membawa beg kecil berisi kayu sugi, celak, sikat, minyak wangi, cermin dan lain-lain yang digunakan untuk merias diri agar sentiasa kemas dan bersih.

5. MEMINTA IZIN DAN MENGUCAPKAN SELAMAT TINGGAL
Sebelum berangkat, ucapkanlah selamat tinggal kepada keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan seperti yang dipetik dari kitab al-Azkar Imam Nawawi ini: "Apabila seseorang daripada kamu akan bermusafir , hendaklah meminta izin kepada saudara-saudaranya, sebab sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan pada doa mereka."

6. MEMULAKAN PERJALANAN PADA WAKTU MALAM
“Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud). Perjalanan pada waktu malam dapat menjimatkan masa atau memendekkan masa perjalanan kerana malam lebih tenang dan aman. Semoga kita dan ahli keluarga kita sentiasa selamat di dalam jagaan Allah SWT.

7. JANGAN LUPA BERDOA
Bercuti bersama keluarga memang menyeronokkan, tetapi jangan kita lupa kepada amalan sunah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW setiap kali keluar mengembara. Oleh itu, bacalah doa sebelum  memulakan perjalanan atau bermusafir. Di samping itu, jangan lupa amalkan membaca doa naik kenderaan, doa ketika memasuki kawasan atau tempat orang.

8. BERTAKBIR DAN BERTASBIH
Rasulullah SAW bertakbir bila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi. Sama juga halnya jika anda menaiki kapal terbang, sunat bagi kita untuk bertasbih ketika pesawat mula terbang dan ketika pesawat mendarat. Dari Jabir r.a. dia berkata: “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

9. BERZIKIR DAN BERZANJI
Rasulullah suka perjalanan yg menenangkan. Zikir dan berzanji adalah hiburan yang boleh dilakukan ketika dalam perjalanan supaya perjalanan yang jauh sentiasa di bawah rahmat keberkatannya, menghindari maksiat dan dalam masa yang sama menghiburkan hati.


10. BELI BUAH TANGAN
Belilah buah tangan untuk dibawa pulang. Kebanyakan daripada kita selalu membeli buah tangan untuk dibawa pulang, tapi sayangnya kita lakukan tanpa mengetahui bahawa ia sebahagian daripada sunnah Rasulullah yang mana bila kita melakukannya kita akan mendapat pahala yang berganda.

 
INFO
Islam itu mudah lagi memudahkan. Bagi perjalanan ke lokasi percutian yang melebihi dua marhalah iaitu 89km, anda dan keluarga boleh memendekkan solat kepada solat Qasar dan Jama’.



 

(Sumber disunting dari Majalah Pa&Ma Disember 2012) 


 

HaRi SiNdRoM DoWn SeDuNiA

 

Saban tahun tanggal 21 Mac tidak pernah dilupakan kepada insan yang dilahirkan sindrom down (SD) apabila seluruh dunia menyambut bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap golongan berkenaan.

Sempena Hari Sindrom Down Sedunia, sejauh mana kesedaran orang ramai terhadap insan istimewa ini? Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Wan Mohd Hanizan Wan Ramlan, berkata di Malaysia, kefahaman masyarakat umum mengenai anak SD masih terlalu rendah.

Atas faktor itu juga anak SD seperti dinafikan hak dari segi pendidikan dan menikmati kehidupan lebih baik.

“Anak SD dilabel sebagai individu lemah pembelajaran bagaimanapun mereka sebenarnya mampu belajar. 
Berbeza di negara maju mempunyai tenaga pengajar khusus untuk mendidik anak OKU, justeru, ia pasti boleh dipraktikkan di negara ini.

Atas kesedaran itu, PSDM menganjurkan kelas khas anak SD bermula peringkat bayi termasuk menyediakan terapi pekerjaan, pertuturan dan fisioterapi. 
 
Selain itu, ramai anak SD ini dihina dan dipinggirkan dari masyarakat.. Pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap mereka.. Kehadiran mereka dipandang sepi oleh masyarakat kita.. Apapun mulai hari ini cubalah kita menerima insan yang bergelar sindrom down seadanya.. Kerana mereka juga makhluk ciptaan Allah.. Apapun mari mengenali ciri-ciri insan istimewa ini..





Ciri-ciri SD:


  • Kanak-kanak SD terbahagi kepada tiga kategori iaitu trisomi, translocation dan mosaic.

  • Mereka mempunyai wajah hampir serupa.

  • Ciri fizikal termasuk mempunyai satu garis pada telapak tangan, mata berbentuk badam, anggota lebih pendek dan otot lemah.

  • Masalah sering dihadapi kanak-kanak SD ialah jantung berlubang, mudah mendapat selesema, radang tenggorok, radang paru-paru, kurang pendengaran dan penglihatan serta bermasalah pertuturan.

  • Angka sebenar individu SD tidak diketahui kerana masih ramai belum mendaftar dengan JKM.
  • Mengikut kadar kejadian (satu kes SD bagi setiap 800 kelahiran) atau dua peratus daripada jumlah penduduk, dianggarkan ada 50,000 individu SD di negara ini.




Sumber disunting dari akhbar berita harian..



20 March 2013

Sup Pasta Untuk Anak



Sup Pasta
Masa: 20 minit
Hidangan: 2 orang
Bahan-bahan:
  • 50gm pasta yang sudah siap direbus
  • 50gm isi ayam (dipotong kecil)
  • 1 biji kentang bersaiz sederhana (dipotong kecil)
  • 1 biji lobak merah bersaiz sederhana (dipotong dadu)
  • 1 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang merah (ditumbuk)
  • 1sm halia (ditumbuk)
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya untuk membuat sup
Cara membuatnya:
  1. Masukkan air, bawang putih, bawang merah dan halia ke dalam periuk bersaiz sederhana. Biarkan mendidih.
  2. Kemudian, masukkan pula isi ayam, kentang dan lobak merah. Kacau dan biarkan sehingga kesemua bahan empuk.
  3. Selepas itu, masukkan pasta dan garam. Kacau lagi dan biarkan seketika.
  4. Siap untuk dihidangkan.


Sumber dari http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/sup-pasta-untuk-anak-1.124945

19 March 2013

Manfaat Jus Lemon Untuk Kesihatan


Tidak ramai yang menggemari rasa masam buah lemon bukan? Tetapi tahukah anda di sebalik rasanya yang masam dan kelat, jus yang terkandung di dalamnya mengandungi pelbagai khasiat yang dapat memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan kita selain dijadikan sebagai penambah perasa dalam makanan serta minuman. Antara khasiat yang terdapat di dalam buah sitrus ini adalah, ianya kaya dengan kandungan vitamin C, vitamin B, protein, karbohidrat, magnesium, asid sitrik dan fosforus bagi membantu sistem imunisasi tubuh badan manusia. Penyebab utama kenapa jus lemon ini sering digunakan dalam membantu proses merawat dan menyembuhkan pelbagai penyakit adalah kerana jus lemon mengandungi Flavonoid ataupun dikenali sebagai vitamin P yang berfungsi sebagai antioksida. Manfaat yang terdapat di dalam jus lemon ini boleh dibahagikan kepada dua, iautu manfaat untuk kesihatan dalaman dan manfaat untuk kesihatan luaran.



Kesihatan dalaman
Kandungan vitamin C yang tinggu di dalam jus lemon sangat baik bagi melawan jangkitan virus atau kuman yang menyebabkan selesema dan demam. Kenyataan daripada laman web "Health Learning Info" jus lemon dapat melegakan simtom-simtom penyakit seperti asma, sakit tekak dan juga tonsil. Selain itu, jus lemon juga boleh bertindak sebagai tonik hati serta dapat menyumbangkan ke arah sistem penghadaman yang lebih baik dan sihat. Kelebihan apabila kita mempunyai sistem penghadaman yang baik adalah ianya dapat membantu dalam proses mengurangkan berat badan. Dengan bantuan jus lemon juga, seseorang yang mengalami masalah jangkitan pada saluran kencing dan masalah asid perut dapat diselesaikan kerana jus lemon ini berkeupayaan untuk menyingkirkan toksin serta bakteria yang merbahaya keluar dari tubuh badan. Minum minuman campuran perahan jus lemon dan kopi dapat melegakan sakt kepala serta mengubati penyakit malaria. Menarik bukan fakta ini!

Kesihatan luaran
Selain dari kesihatan dalaman, jus lemon juga dapat membantu bagi memelihara kesihatan luaran manusia. Jika anda mengalami masalah pendarahan pada hidung atau gusi, anda boleh merawatnya dengan hanya merendamkan kapas ke dalam jus perahan lemon dan kemudian tekapkan kapas tersebut pada kawasan yang mengalami pendarahan. Jus lemon juga boleh digunakan sebagai rawatan bagi masalah bibir berdarah, melegakan kulit muka yang terbakar (sunburn) disebabkan oleh terdedah kepada pancaran matahari yang terik, masalah ketuat di tangan dan kaki serta membantu dalam memudarkan parut di muka dan tubuh badan.

Kegunaan lain
Menurut Info di dalam laman web "Organic Facts" , potassium yang terdapat di dalam jus lemon dapay membantu dalam mengawal tekanan darah tinggi dan masalah penyakit jantung. Selain itu, jus lemon juga boleh digunakan sebagai bahan aromaterapi bagi menenangkan  minda dan tubuh badan manusia serta dapat mencegah dari menghidapai masalah mental seperti tekanan perasaan dan kemurungan.

Jika anda mengalami masalah pening atau loya jangan bimbang, dengan meminum jus lemon dapat membantu bagi menstabilkan dan membekalkan kembali tenaga anda.

Antara rawatan lain yang menggunakan manfaat jus lemon adalah merangkumi masalah kencing manis, sembelit, kelemumur dan juga rambut gugur. Disebabkan oleh banyaknya kebaikan dan khasiat semulajadi yang terkandung di dalam jus lemon, ianya sering digunakan dalam penghasilan produk-produk kosmetik anti penuaan kerana ianya boleh bertindak sebagai bahan untuk menghilangkan kedutan di wajah. Selain itu, ianya amat berguna dalam memerangi masalah jerawat dan juga bintik-bintik hitam.

Tips

 * Minum air suam bersama perahan jus lemon setiap pagi dapat menyumbang kepada sistem penghadaman yang lebih baik.

* Rendamkan tuala di dalam air suam bersama perahan jus lemon selama beberapa minit. Kemudian lapkan di muka dan seluruh tubuh badan untuk mendapatkan kulit yang harum, sihat serta bebas dari jerawat dan bintik hitam.

* Urut dua sudu perahan jus lemon di kawasan rambut yang berkelemumur dan bilas dengan air bersih. Kemudian kacau satu sudu jus lemon dalam satu cawan air dan bilas sekali lagi pada rambut. Ulang setiap hari sehingga kelemumur beransur hilang.

* Titiskan beberapa titisan perahan jus lemon ke dalam mulut. Kemudian berkumur-kumur  untuk mendapatkan kesegaran nafas dan menghilangkan bau mulut yang tidak menyenangkan.

Kesimpulannya, untuk mencegah atau merawat sesuatu penyakit kita tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja yang besar. Gunakan manfaat bahan-bahan semulajadi yang terdapat disekeliling kita seperti jus lemon ini. Semoga info dan tips ini dapat membantu anda menjadi lebih sihat dan cantik secara semulajadi.






Pautan

*EmeBeauty - Produk Kecantikan & Pelangsingan
*101Tips Hebat - Mencegah Sakit Kepala
*Formula Diet Extreme - Kurangkan Berat Badan Anda Sekarang!


18 March 2013

Petua Mengurangkan Batuk

 

 
Assalamualaikum semua.. Dah seminggu batuk ni tak hilang-hilang lagi.. Ari ni try search dalam internet cari petua yang boleh mengurangkan batuk.. Bukan apa, nak lena pun susah..
 
Semua orang pernah mengalami batuk dalam kehidupan kita.. Kita akan kurang selesa apabila kita batuk. Sekiranya dibiarkan ianya boleh membawa mudarat lebih teruk lagi.

Oleh itu dengan mengamal petua orang tua, kita boleh mengubati dengan segera di rumah. Sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan batuk itu dari berterusan.

Antara petua yang boleh mengurangkan batuk;


  • Rendamkan sedikit kerak nasi dalam air suam. Apabila telah kembang, minum airnya pada setiap pagi.

  • Rebus beberapa biji pisang masak. Setelah lembik, campurkan santan secukupnya, sedikit garam dan perasa vanila. Kacau rata dan diminum airnya.


 

  • Tumbuk segenggam daun pegaga hingga lumat dan tapis untuk mendapatkan airnya yang pekat. Campurkan dengan gula dan embunkan selama satu malam. Air itu hendaklah diminum dua kali dalam seminggu.

  • Campurkan dua sudu teh madu lebah asli dengan air suam. Kacau sehingga sebati dan minum air tersebut tiga kali sehari.



  • Ambil dua sudu nasi panas yang baru masak. Masukkan nasi itu ke dalam cawan dan campurkan sedikit air. Embunkan nasi tersebut selama semalaman dan minum airnya pada esok paginya.

  • Ambil sebiji limau sunkist dan buatkan lubang berbentuk pangkah di bahagian tengahnya. Masukkan gula batu di lubang tersebut. Letakkan limau tersebut di dalam periuk di tengah-tengah nasi yang telah kering dan tutup periuk tersebut. Setelah nasi itu masak, ambil buah limau tadi dan makan sambil didahului dengan selawat. Ulang setiap kali memasak nasi sehingga sembuh. Selain melegakan batuk, nasi akan berbau harum.
 

  • Perah sebiji limau nipis dan campurkan dengan sedikit madu. Minum campuran ini setiap pagi sebelum sarapan. Amalkan sehingga batuk hilang.

  • Buah oren jika di stimkan bukan sahaja enak dimakan..malah sesuai bagi mereka yang mengalami batuk-batuk dengan mengamalkan oren distimkan ini mampu melegakan sakit tekak dan batuk-batuk.. Caranya:


Potong bahagian atas buah oren tu


Tambah sedikit garam


Letak semula bahagian yang dipotong tadi. Cantumkan guna tooth pick


Stimkan selama 20 minit


Itulah petua yang boleh digunakan untuk hilangkan batuk. Harap-harap batuk saya ni pun akan hilang nanti. Akan try salah stu cara kat atas nih nanti.. Harap-harap berkesan lah yer..
 
 
 
 
 
 
 
 

15 March 2013

Fadhilat Surah Al Insyirah

Fadilat surah Al Insyirah.. Selalunya kita dengar ayat ini jika diamalkan akan melapangkan jiwa yang lara, menjinakkan anak yang nakal dan menerangkan hati untuk mudah menerima pelajaran.. Aku plak dalam bulan lepas laa Mak Su ada suruh amalkan baca ayat ni pada anak agar kurang 'anginnya'.. Mak Su suruh baca di kepalanya semasa dia tidur..


 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

(1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?
 
(2) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);

(3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

(4) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

(5) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(6) Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(7) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

(8) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).



Rupa rupanya sangat luas fadilatnya..terutama kepada kaum ibu yang mudah letih kerana membuat pelbagai kerja rumah.  Semakin meningkat usia, bermacam macam penyakit akan timbul, paling biasa ialah sakit pinggang.  Untuk menghindari diri dari sakit pinggang atau untuk menyembuhkannya "dengan diiringi doa dan izin Allah swt", InsyaAllah penyakit itu akan sembuh.  Caranya adalah dengan membaca ayat ke 3 dari surah Al Insyirah sambil menampung tangan seperti berdoa dan ulangi sebanyak 3 kali. Ttiup pada tangan tadi dan tepuk pada pinggang dan punggung sambil berdoa kepada Allah swt supaya dilindungi atau disembuhkan sakit pinggang yang dialami. Minta Allah swt jauhkan sebarang penyakit yang akan melemahkan kesihatan badan..Alhamdulillah dengan izin Allah swt..

 

Manakala ayat ke 4 dari surah Al Insyirah pula, untuk menyerikan wajah para isteri apabila dipandang suami.  Caranya dengan membaca ayat ke 4 sebanyak 7 kali, tiup pada tapak tangan dan sapu ke muka dengan doa kepada Allah swt supaya suami pandang kita lawa.

 

Wallahualam.
Info ini diperolehi dari rancangan Tanyalah Ustaz TV9, Ustaz Muhammad Hanafiah Abdul Malek membentangkan isu tentang Wanita Dominan.


Antaranya:

1. Mempermudah segala urusan dan murah rezeki. Amalkan membacanya 7 kali selepas solat fardhu.

2. Apabila ada sesuatu hajat yang penting, kerjakan solat sunat Hajat atau Tahajjud ditengah malam, dan baca surah ini 103 kali atau lebih banyak menurut kemampuan. InsyaAllah hajatnya akan tercapai.

3. Amalkan membaca surah ini, Insya Allah terjauh dari wabak penyakit panas dan penyakit berjangkit.

4. Untuk mengubati orang yang disengat serangga, baca surah ini kemudian tiupkan kepada pesakit, insyaAllah akan sembuh.

5. Barangsiapa mengamalkan surah ini, nescaya dadanya yang sempit akan dilapangkan Allah SWT.

Caranya:
Dibaca dengan meletakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri dan ditekan. Kemudian dibaca surah Al-Insyirah 3 kali dan mohonlah supaya dilapangkan dada.

6. Tuliskan surah ini pada kertas, kemudian direndam dalam air dan diminumkan airnya kepada seseorang untuk mendorongkannya supaya bertaubat dengan sesungguhnya. Elok juga di baca Asma’al Husna “AL-TAWWAB” sebanyak 300 kali selepas solat Dhuha.

7. Doa untuk menghalang anak-anak bergaduh, bacalah Al Fatihah dan selawat diikuti dengan surah Al-Insyirah sebanyak 7 kali kemudian bacakan Ayat 200 dari surah Ali Imran serta doa berikut : “Allahumma allif baina qulubihim wa ashlih zata bainihim”. Selepas itu, dihembus ke dalam air untuk diberi minum kepada anak-anak. Boleh juga dibaca dan dihembus ke ubun-ubun anak anda pada setiap malam.

8. Surah ini jika di baca pada air sebanyak 111 kali, dapat menyembuhkan penyakit batu karang. Air ini dapat menghancurkan batu kerikil tersebut.

9. Jika diamalkan surah ini sebanyak 200 x setiap terbit matahari, insyaAllah akan dibukakan kepadanya perkara-perkara yang ajaib.

10. Surah ini jika dibaca pada air kemudian diminum, insyaAllah akan hilang dukacitanya dan terpelihara dari terkejut . Jika dilakukan 7 hari berturut2, insyaAllah akan kuat daya ingatannya.


Kelebihan Surah Al-Insyirah.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda : "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku".

Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.

Sesiapa yang membacanya nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat.

Barangsiapa membaca Alam Nasyrah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.


14 March 2013

Doa Untuk Mendapatkan Anak

Assalamualaikum semua.. Entry kali ni saya tujukan buat kawan-kawan yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat.. Tersentuh hati saya bila mendengarkan ada dikalangan rakan sekerja dan sahabat-sahabat yang masih belum dikurniakan zuriat biarpun telah bertahun-tahun melayari bahtera alam perkahwinan.. Ada yang tersentuh hati bila diajukan soalan bila nak mengandung??? Sehinggakan ada yang mengambil anak angkat dengan harapan memudahkan mengandung.. Ada yang sanggup membuat pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat tak kira dari perubatan moden atau tradisional.. Apapun hal ini bukanlah dibawah kuasa kita untuk menentukan bila nak mengandung dan sebagainya.. Tapi kita sebagai umatNya, masih boleh berdoa dan berusaha.. Di bawah ini disertakan doa untuk mendapatkan anak.. Semoga dengan amalan yang dibuat, dapat memakbulkan doa anda semua.. InsyaAllah.. Amin..


 


❤Doa Untuk Mendapatkan Anak❤


رَبِّيْ لاَ تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُالْوَارِثِيْنَ
 

Maksudnya : Ya Tuhanku, janganlah biarkan aku keseorangan dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi

❤Selain tu, AMALAN-AMALAN lain yang boleh di amalkan❤:

Amalan pertama. (Selepas Fajar ataupun Solat Subuh)

●Baca Bismillah 1 kali
●Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
●Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali
●Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. (Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat)
●Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.

Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.

◕Amalan kedua.

●Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan jimak.
●Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari
●Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
●Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.

Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.

 


Sumber disunting dari ♥ Keharmoniaan Rumahtangga Dan Keluarga Muslim