29 November 2012

Redakan Senak Perut

 

Jika anda berhadapan dengan masalah senak perut dan selalu sendawa angin, petuanya tradisional ini mungkin dapat membantu.

Caranya ialah dengan merebus empat atau lima tangkai cili kering (tangkainya sahaja) bersama dua ulas bawang putih dan tiga cawan air. Campurkan sedikit halia bersama rebusan tersebut. Minumlah beberapa kali. Mudah-mudahan anda cepat sembuh. 







boleh try cuba nih..salah makan ja mesti nak berangin ja perut nih..tak boleh langsung makan makanan yang berangin mesti jadi..

26 November 2012

Rehat Selepas Bersalin


Proses melahirkan memang memenatkan. Oleh yang demikian, rehat yang cukup sangat diperlukan.

Diakui, pada hari-hari pertama selepas bersalin, anda kurang tenaga. Walaupun melakukan kerja-kerja yang ringan, anda akan cepat penat. Kehilangan banyak tenaga semasa proses kelahiran menyebabkan anda lesu dan tidak bermaya. Untuk menggantikan tenaga yang hilang itu, anda perlukan masa yang agak panjang. Jadi, bersabarlah.

Disebabkan oleh keadaan fizikal yang masih lemah, jangan sesekali anda memaksa diri membuat pelbagai kerja rumah. Gunakan masa yang ada untuk berehat dan mengembalikan tenaga yang hilang. Anda dinasihatkan agar cukup tidur. Maknanya ketika bayi tidur, anda pun kena tidur dan bukan membuat kerja-kerja rumah.

Sekiranya ada pembantu rumah, tentu hal urusan rumah tangga tidak akan mendatangkan masalah. Semuanya ada orang yang bereskan. Tetapi, bagi yang tidak ada pembantu, janganlah malu untuk meminta bantuan suami, keluarga atau saudara-mara. Mereka tentu faham.

Setelah beberapa minggu bersalin, anda pasti sudah semakin sihat dan bertenaga. Namun, ini bukanlah bererti anda boleh terus bekerja sesuka hati. Anda masih tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Lakukan kerja secara berperingkat-peringkat. Akan tetapi, jangan mengangkat barang-barang yang berat atau yang memerlukan tenaga yang banyak dalam tempoh enam minggu selepas bersalin. Ikut kata tubuh. Jika penat berhenti dan jangan memaksa diri.

Kesihatan emosi
Kehadiran cahaya mata sememangnya menggembirakan. Lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun menanti. Namun, di sebalik kegembiraan itu, wujud pelbagai perasan. Antaranya rasa bimbang. Bimbang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya. Rasa tertekan pula muncul setelah berhadapan dengan suasana baru yang pada tentunya sedikit kelam-kabut dan mengundang macam-macam masalah. Akibatnya, diri mulalah dibelenggu kemurungan. Semua ini ada kaitannya dengan mainan emosi. Tahu kah anda bahawa semasa dalam pantang, emosi perlu dijaga. Ketika inilah bantuan seluruh ahli keluarga diperlukan. Suami mesti sentiasa berada di sisi membantu melaksanakan tanggung jawab baru bersama-sama.

Makanan berkhasiat
Selain rehat yang cukup, aspek pemakanan perlu dijaga. Pengambilan makanan yang kaya khasiat pada minggu-minggu awal selepas bersalin penting untuk mengembalikan kecergasan diri dan menyembuhkan luka. Selain makanan, ibu dalam pantang turut disarankan agar minum banyak air bagi menggantikan cecair yang hilang dari tubuh dan membekalkan susu yang mencukupi untuk bayi.  

Info tambahan:
Secara umumnya, anda perlukan di antara empat hingga enam minggu untuk rasa segar semula. 




12 November 2012

Pasangan Anda Curang???


Tiada siapa yang layak untuk disakiti tetapi kecurangan boleh berlaku pada sesiapa atau pada bila-bila masa tidak kira anda pasangan baru atau lama. Bagaimana anda menghadapinya? Ya, anda boleh menjerit dan menangis tetapi pastikan anda bertindak rasional juga! 

Bagaimana berhadapan dengan pasangan curang?
  • Buktikan
Jika anda rasa pasangan ada hubungan sulit, buktikan. Cari gambar, emel, surat, sms dan lain-lain yang berkaitan untuk dijadikan bukti kerana mudah bagi pasangan anda untuk menafikannya jika tiada bukti kecurangan mereka.
  • Bersemuka
Setelah mendapat bukti, anda perlulah bersemuka dengan pasangan. Terpulanglah pada anda untuk memilih lokasi yang sesuai bagi meluahkan yang anda rasa. Yang pentingnya dia tahu perasaan anda.
  • Berbincang
Kemudian, tanya padanya mengapa hal ini boleh berlaku. Suruh dia nyatakan sebab-sebab mengapa dia memilih untuk curang kepada anda. Dengar segala penjelasannya. Pastikan anda bertenang ketika ini.
  • Berfikir dengan tenang
Setelah mendengar penjelasan pasangan, bertenang. Jangan cepat marah. Tarik nafas panjang-panjang. Jika anda bekerja, ambil cuti dan pergilah ke tempat yang boleh memberikan ketenangan pada anda. Gunakan masa tersebut untuk memikirkan kembali setiap kata-kata yang  diucapkan oleh pasangan tentang kelemahan anda. Berfikir secara rasional dan bukan ikut perasaan.
  • Cari jalan penyelesaian
Berusahalah untuk mencari penyelesaian masalah tersebut. Akan tetapi sekiranya anda gagal mencari penyelesaian sendiri, mintalah bantuan individu yang anda percaya. Seeloknya biarkan orang itu bersifat neutral iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak.
  • Buat keputusan
Setelah mendapat cara untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu, berbincang kembali dengan pasangan. Tanya pendapatnya pula. Sebaiknya cubalah untuk selamatkan rumah tangga anda yang telah dibina bersama.


Dia ada orang lain?

7 tanda pasangan anda mungkin ada orang lain.

1 Lihat dirinya. Adakah wujud sebarang perubahan? Bagaimanakah cara dia melayan anda? Lebih romantik daripada biasa atau sama seperti dahulu. Kalau bertambah romantik, memang bagus. Tapi, mungkin juga rasa itu timbul akibat rasa bersalahnya terhadap anda kerana dia telah menjalinkan hubungan lebih daripada sepatutnya dengan orang lain.

2 Selain berubah menjadi lebih romantik, pasangan anda juga mula pandai memberi anda hadiah. Kalau dulu, belikan jambangan bunga dianggap membazir, kini tidak lagi. Katanya sebagai tanda sayang dan bunga tu kan cantik. Jika ini berlaku, maka cuba-cubalah cari mana yang tak kena.

3 Sekiranya pasangan anda sudah mula balik lewat dan sering ke luar daerah. Belajarlah untuk meragui semua tindakannya itu. Sebaik-baiknya telefon tempat kerjanya dan bertanyakan jadual kerjanya. Benar kah dia ditugaskan ke luar daerah. Jika betul, syukurlah kerana dia memang buat kerja. Tapi, jika tidak, selidiklah lebih dalam. Ke mana dia sebenarnya?

4 Untuk kepastian dia tidak mempunyai hubungan ‘gelap’ di luar, sekali-sekala periksalah telefon bimbitnya. Lihat semua panggilan yang dibuat dan diterima. Lihat juga sistem pesanan ringkasnya. Ada tak mesej yang boleh diragui? Sebenarnya, perlakuan seperti ini tidak elok kerana anda mengganggu hak peribadi seseorang. Tapi, harus diingat, orang itu adalah pasangan anda yang sah. Jadi, apa salahnya. Semua ini ada lah untuk memastikan kebahagiaan rumah tangga yang telah dibina atas keinginan kedua-dua belah pihak.    

5 Anda juga perlu khuatir jika kebelakangan ini dia sering kehabisan duit gajinya walaupun bulan belum ke penghujungnya. Cari jalan untuk tahu ke mana dia membelanjakan wangnya itu.

6 Kalau pasangan anda sudah mula ‘pasang badan’ pun anda perlu selidik. Kalau benar berubah untuk anda, baguslah. Tapi, kalau untuk orang lain, berhati-hatilah. Buatlah apa yang anda rasakan perlu.

7 Jadilah lebih teliti semasa mencuci pakaian. Perhatikan pada pakaian pasangan, ada tak tanda-tanda yang boleh menimbulkan syak wasangka seperti tanda-tanda gincu bibir atau bau-bauan yang lain daripada biasa.




sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/pasangan-anda-curang-1.84605

08 November 2012

5 Info Atasi Tidur Lena Bagi Ibu Mengandung




 1  Jika kaki kejang, tekan kaki pada dinding. Selain itu, pastikan anda mendapat cukup kalsium agar masalah ini dapat dikurangkan.

 2  Posisi terbaik untuk tidur mengiring dengan lutut separuh membengkok. Ini membolehkan jantung anda bekerja dengan lebih baik agar berat janin tidak menekan pembuluh darah utama.

 3  Sekiranya anda sakit belakang, letakkan lebih bantal semasa berbaring. Letakkan satu bantal di bawah perut, celah kedua-dua kaki, bahagian bawah belakang dan satu lagi di bahagian kepala.

 4  Mengurangkan minum air terutamanya yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi sebelum masuk tidur dapat mengelakkan anda kerap bangun tidur untuk membuang air kecil.

 5  Cuba tidur secara mengiring ke sebelah kiri untuk membantu pengaliran darah dan oksigen ke plasenta.




07 November 2012

Agenda Cuti Sekolah



Cuti sekolah datang lagi. Mana lebih baik jika anda suami isteri bekerja? Hantar anak ke nurseri atau tinggalkan dia di rumah bersama pembantu rumah atau tinggalkan di kampung untuk dijaga oleh nenek atau datuk? Tidak tahu mana satu yang ingin dipilih? Ketahuilah pro dan kontranya.
 
Nurseri
Kebaikan:
  • Masa anak-anak pasti terisi dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama rakan sebaya.
  • Aktiviti-aktiviti yang dijalankan lebih sistematik di bawah tunjuk ajar guru yang bertauliah.
  • Keselamatan anak terjamin kerana mereka dikawal rapi pengasuh terlatih.
  • Anak-anak lebih berdisiplin kerana jadual harian mereka telah diaturkan.
 Keburukan:
  • Anak akan rasa bosan kerana masih perlu ke nurseri setiap hari walaupun waktu cuti sekolah.
  • Mudah diserang penyakit biasa kanak-kanak seperti selesema, batuk dan demam.
  • Anak-anak akan mudah terpengaruh dengan perangai buruk rakan sebaya.
  • Anak mungkin akan rasa sedikit tertekan kerana tidak semua rakannya datang ke nurseri ketika cuti sekolah.

Di rumah bersama pembantu rumah
Kebaikan:
  • Anda tidak perlu tergesa-gesa keluar rumah awal untuk ke tempat kerja kerana tidak menghantar anak ke nurseri.
  • Anak juga tidak perlu bangun awal untuk ke nurseri.
  • Kesihatan anak akan lebih terjamin kerana dia tidak terdedah kepada persekitaran yang tidak menentu.
  • Anak anda akan dapat perhatian khusus daripada pembantu kerana tidak perlu berkongsi dengan kanak-kanak lain seperti yang berlaku di nurseri.
Keburukan:
  • Anak pasti akan rasa bosan kerana tidak ada aktiviti tertentu yang dapat mereka lakukan.
  • Mereka juga mungkin rasa terkongkong kerana tidak dapat keluar rumah.
  • Biasanya, masa mereka akan dipenuhi dengan hanya menonton televisyen atau bermain permainan video.
  • Dia juga berpotensi menjadi seorang pemarah atau ‘moody’ kerana tidak suka tinggal di rumah tanpa kawan-kawan untuk bermain.
  • Dikhuatiri anak didera oleh pembantu rumah.

Tinggal di kampung
Kebaikan:
  • Anak tidak akan rasa bosan kerana banyak aktiviti baru dapat dilakukannya.
  • Anak dapat belajar gaya hidup masyarakat kampung.
  • Anak belajar berdikari kerana berjauhan dengan ibu bapa.
Keburukan:
  • Dikhuatiri kehadiran akan menyusahkan datuk dan nenek di kampung.
  • Keadaan persekitaran kampung yang agak luas menyukarkan datuk dan nenek mengawasi mereka sepanjang masa.
  • Anak akan berbuat sesuka hati kerana tahu datuk dan nenek tidak akan memarahi mereka.


Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/agenda-musim-cuti-sekolah-1.99711

06 November 2012

Anak Keras Kepala




Teori Baumrind mengatakan, ada tiga kategori menjadi ibu bapa (parenting style) yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa.
Yang pertama ‘autoritative’. Ibu bapa memberi galakan dan petunjuk kepada anak dalam apa jua perkara yang dilakukan. Ibu bapa memberikan satu garis panduan apa yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat serta mengapa itu dan ini. Ibu bapa dan anak-anak seperti kawan.
Yang kedua, ‘autoritarian’. Ibu bapa mendidik anak menggunakan kekerasan seperti rotan, arahan dan hukuman yang keras. Semua keputusan di tangan ibu bapa. Anak-anak tidak layak bersuara.
Yang ketiga, ‘permissive’. Ibu bapa memberi sepenuh kebebasan kepada anak-anak untuk melakukan apa sahaja. Ibu bapa juga tidak peduli apa yang dilakukan oleh anaknya itu sama ada ia baik atau buruk asalkan tidak mencampuri urusan mereka.
Daripada ketiga-tiga gaya keibu bapaan ini, yang pertama itu adalah lebih baik. Anak menjadi lebih hormat kepada ibu bapanya di samping berkeyakinan dalam hidupnya. Yang kedua mungkin anak menjadi orang yang berjaya tetapi tidak bahagia dalam hidupnya. Yang ketiga, mungkin anak akan berjaya, tetapi lebih banyak yang tidak berjaya dan hidup bergelandangan atau tiada arah tuju dan tidak bahagia juga.
Kekerasan bukan jawapannya (sekali sekala itu boleh). Antara contoh cara menangani sesuatu situasi adalah seperti berikut:-
Ketika memandikan adiknya, katakan sekali “Tengok adik mandi, segarkan...haa..lepas ni abang mandi pulak”. Terangkanlah mengapa perlu mandi. Jadikan juga mandi suatu aktiviti yang  menyeronokkan. Boleh juga sekali sekala mandi bersamanya menunjukkan aktiviti yang menggembirakan.
Mungkin juga kita boleh membuat tawaran seperti “ Kalau tak mandi tak boleh makan” atau “ Lepas makan baru mandi” atau “Lepas mandi baru boleh main atau tengok kartun” atau “Siapa tak mandi mama tak ajak jalan-jalan” atau sebagainya.


Sumber disunting dari majalah PA&MA - http://pama.karangkraf.com/s-j/anak-keras-kepala-1.83711

02 November 2012

Sebaik-baik Lelaki

 
 
Sebaik-Baik Lelaki...YA RASULULLAH

"Sebaik-Baik Lelaki Adalah Yang Paling Baik Dan Lemah Lembut Kepada Isterinya..." Sebahagian kisah Rasulullah SAW Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahu pun untuk dijual. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan,sambil tersenyum Baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayyidatina 'Aisyah menceritakan, "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang". Pernah Baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah Baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang entah pun tidak ada kerana Sayyidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayyidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan'). Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini", tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. Sebaliknya Baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya.

Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isteri mu?". Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteri ku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia". "Aku tidak bertanya alasan mu", sahut Nabi s.a.w., "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidur mu dan ibu kepada anak-anak mu?". Pernah Baginda bersabda, "Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya". Prihatin, sabar dan tawadhu'nya Baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika Baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan Baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh Baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayyidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?". "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar", jawab Rasulullah. "Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...", desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh Baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan,kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?", tanya Umar. Lalu Baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabat ku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasul mu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?. Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buat ku, agar umat ku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak". Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan Baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah SAW menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahu pun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda, Baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah Baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayyidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah di jamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?". Jawab Baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur". Rasulullah s.a.w. bersabda, "SAMPAIKANLAH PESAN KU WALAU PUN SEPOTONG AYAT..".
 
 
 
sumber dari facebook
 
 
 
 

01 November 2012

Amalan Mulia Rumah Tangga



Sukarnya mengekalkan kejujuran dan begitu mudah anda melampiaskan kemarahan kepada pasangan dan anak-anak? Jom kenali diri,  siapa anda dan mengapa perlu mengubah sikap mulai sekarang! 
Ramai orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi, pengalaman ini jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai kejayaan. Pengalaman buruk seperti pernah dikecewakan oleh suami pada masa lalu membuatkan kita langsung tidak percaya padanya walaupun hakikatnya dia sudah berubah. Inilah yang perlu kita sedar. Bebaskan diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif. Bantulah dia untuk berubah dan terus meninggalkan tabiat lama. 

Berfikiran secara terbuka
Harus juga diingat bahawa dalam membuat apa sahaja keputusan dalam rumah tangga, anda mestilah berfikiran secara terbuka. Bukan memihak sebelah pihak sahaja. Jika rumah tangga dilanda krisis, cuba cari jalan penyelesaian terbaik. Ketahuilah bahawa sebagai manusia, kita telah dibekalkan dengan hati yang benar-benar suci. Cuma, kesucian hati itu telah ditutup oleh banyak benda negatif  sehingga kita langsung tidak sedar kewujudannya. Jadi, berusahalah untuk mencari dan menggunakannya dalam mendapatkan keredaan Allah SWT dalam setiap yang kita kerjakan.
Setiap keputusan yang dibuat juga mestilah memikirkan tentang kesan dan akibatnya pada masa akan datang dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat. Diakui, dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian, masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya memihak kepada diri sendiri. Bagi memastikan pendapat itu lahir dari hati yang suci, jernihkanlah fikiran anda. Belajarlah melihat sesuatu itu dengan lebih dalam dan bukan dari luarannya sahaja.
Apa pun, sebelum semua yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan sempurna, anda perlu sedar diri. Kenal siap diri anda. Ramai tidak sedar betapa kecilnya kita di dunia. Akibatnya, tanpa segan silu sering membangga diri membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang sebenarnya sama sahaja seperti anda.
Sejak dilahirkan anda telah ditiupkan roh yang sungguh murni. Penuh dengan sifat-sifat mulia seperti sukakan kedamaian, kecantikan, ketenangan dan banyak lagi. Lantaran itu, sanggupkah anda menidakkannya? Walau apa pun ajaran agama anda, tidak pernah diajar melakukan perkara yang buruk. Jadi, tepuk dada, tanya selera. Jika hati inginkan hanya yang baik, mengapa anda sanggup bertindak sebaliknya. Begitulah juga halnya jika anda inginkan yang baik daripada isteri, lakukanlah yang terbaik untuknya. Kalau anda senang bersamanya, pasti dia senang bersama anda.  
Ketahuilah bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika anda tidak berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud sebarang masalah, berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. 
Rata-rata, bila ditanya tentang apa yang diinginkan daripada suami atau isteri, maka  ramai tanpa waswas memilih kejujuran pada tangga teratas. Nyata, kejujuran adalah nilai utama dalam kehidupan. Akan tetapi kejujuran semata-mata tidak menjamin keharmonian rumah tangga. Perlu ada 6 lagi sifat mulia yang harus digarap dan diadun bersama agar rumah tangga idaman menjadi kenyataan. Sifat-sifat lain itu ialah bertanggung jawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin.

7 sifat mulia dalam rumah tangga
1. Jujur
Sama ada anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat penting. Elakkan diri daripada berprasangka buruk terhadap pasangan. Buang jauh-jauh sifat negatif itu dari diri. Apabila hati sudah bersih, anda pasti akan lebih sayang dan cinta padanya.
2. Bertanggung jawab
Kedua-dua belah pihak mesti tahu tanggung jawab masing-masing setelah diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, pasti tidak akan berlaku pertelingkahan. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggung jawabnya memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula, mereka bertanggungjawab mengikuti segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama.
3. Berwawasan
Semua pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan matlamat atau arah tuju keluarga. Matlamatnya haruslah sama agar perjalanan hidup lebih terarah. Dalam pada itu, masing-masing perlu sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam dunia ini dan tahu kepada siapa kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih diberkati dan diredai.
4. Disiplin
Untuk memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga haruslah berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.
5. Bekerjasama
Apa yang penting kerja sama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan bersama-sama, mesti akan jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung.
6. Adil
Tidak kira suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil dengan semua orang agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlulah memahami tentang konsep adil itu sendiri melaksanakannya. 
7. Prihatin
Rajin-rajinlah mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Selalu bertanya apa yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada yang tidak kena, perbetulkan segera. Hal ini penting bagi mengelakkan ahli keluarga anda tersasar jauh dari landasan sepatutnya yang telah ditetapkan oleh anda.

Kewajipan suami
  • Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.
  • Selain menyediakan segala kelengkapan material untuk keluarga, suami juga perlu memastikan jiwa setiap ahli keluarga diisi dengan didikan agama secukupnya. Ketahuilah bahawa didikan agama sangat penting. Oleh itu, sekiranya suami tidak mampu mengajar sendiri, maka carilah orang yang berkelayakan untuk mengajar isteri, anak-anak dan diri sendiri.
  • Dalam hal mendidik ahli keluarga, suami perlulah menggunakan konsep menjadi contoh terbaik, belas kasihan dan berakhlak mulia.

Kewajipan isteri
  • Setiap isteri perlu taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.
  • Isteri juga perlu menjaga kehormatan diri dan nama baik suami ketika keluar rumah.
  • Isteri mestilah sentiasa kemas dan kelihatan menarik di hadapan suaminya dan mampu membahagiakan suami zahir dan batin.

11 amalan mulia dalam keluarga
  1. Sentiasa bersabar dan tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang.
  2. Sentiasa memaafkan orang yang melakukan kesilapan.
  3. Saling tolong-menolong antara satu sama lain.
  4. Bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.
  5. Saling sayang-menyayangi.
  6. Boleh bertolak ansur.
  7. Bertanggungjawab dan amanah.
  8. Elakkan diri daripada sifat-sifat negatif.
  9. Sekiranya ada masalah, berbincanglah bersama ahli keluarga.
  10. Mesti bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan.
  11.  Sentiasa senyum.



sumber dari majalah pa&ma - http://pama.karangkraf.com