31 October 2012

Tips Berjimat Ketika Melancong




Ketika melancong, mengawal perbelanjaan adalah penting. Jika berbelanja melebihi peruntukan ditetapkan, banyak masalah akan dihadapi selepas pulang bercuti.

Ketenangan yang diharapkan ketika melancong sia-sia apabila melihat bil kad kredit atau wang simpanan yang susut.


Justeru, tip melancong minggu ini memberikan beberapa panduan bagi membantu anda berjimat ketika melancong.


  • Jangan beli cenderamata berlebihan.

    Di mana juga destinasi pelancongan yang dikunjungi, kedai cenderamata memang banyak. Selain menjadi bukti kunjungan anda, cenderahati boleh dibeli untuk dihadiahkan kepada rakan atau keluarga.

    Namun, elak membeli cenderahati yang mahal. Jika mahu membeli untuk rakan atau keluarga, pastikan tidak berlebihan.

    Mahu lebih jimat, beli barangan yang dibuat sendiri penduduk tempatan di pasar atau produk yang popular seperti kopi tempatan.

  • Guna pengangkutan awam seboleh mungkin.
    Jika bercuti dalam kumpulan yang kecil, lebih baik gunakan pengangkutan awam.
    Ini kerana ia lebih menjimatkan di samping dapat merasai sendiri kehidupan masyarakat tempatan.

    Namun, jika anda melancong bersama keluarga terutama ada anak kecil, pengangkutan awam mungkin tidak sesuai.

  • Mengehadkan makan di restoran.
    Ketika melancong, anda pasti mahu menikmati makanan tempatan. Namun, cuba hadkan makan di restoran bagi mengurangkan perbelanjaan.

    Ada baiknya anda membeli atau membawa makanan sendiri seperti roti dan susu. Lagipun melancong bukan untuk makan tetapi merasai pengalaman di tempat lain.

    Tidak salah jika sesekali makan di restoran. Apa yang penting, harganya berpatutan.

  • Gunakan wang tunai.
    Penggunaan kad kredit dan debit kad kini semakin popular dan mudah. Ia juga dikatakan selamat terutama mengelakkan kes kecurian.

    Namun, ketika melancong terutama di luar negara, gunakan wang tunai kerana ia lebih menjimatkan.

    Jika menggunakan kad kredit, ia akan membebankan anda kerana terpaksa membayar faedah atau caj yang tinggi.

  • Jangan malu bertanya.
    Anda mungkin tidak mengetahui latar belakang tempat yang anda lawati. Oleh itu, usah malu bertanya dengan orang tempatan.

    Mereka mungkin boleh menunjukkan kepada anda tempat yang lebih murah untuk membeli cenderahati, penginapan dan makan.





Sumber dari akhbar harian metro



Info ni bagus untuk sesiapa yang merancang nak melancong di dalam ataupun luar negara..lagipun musim cuti sekolah pun dah tak lama lagi..mesti ramai yang merancang nak bercuti di mana2 bersama keluarga atau sahabat handai..

25 October 2012

Lebam Bawah Mata



Akibat kurang tidur, ramai di kalangan kita mengalami lebam pada bahagian bawah mata. Jika anda mengalaminya jangan risau. Ada petua untuk menghilangkannya. 

Yang perlu anda lakukan ialah ambil sebiji timun bersaiz sederhana dan hiris dengan ketebalan sederhana. Kemudian, tekapkan hirisan timun tadi pada kedua-dua belah mata selama beberapa minit. Ulanginya selama beberapa hari sehingga lebam semakin hilang. Selain timun, anda boleh juga menggunakan buah tomato. 





24 October 2012

Kelebihan Puasa Hari Arafah



Niat Puasa Hari Arafah: "Sahaja aku berpuasa sunat Hari Arafah 9 Zulhijjah kerana Allah Taala."

Selamat Puasa Sunat Hari Arafah :)





Sumber dari facebook Ustaz Don Daniyal

23 October 2012

Menu Kaya Zat Besi




Secara umumnya, kanak-kanak perlu makan sekurang-kurangnya dua atau lebih hidangan yang kaya dengan zat besi setiap hari untuk memastikan bekalan zat besi dalam tubuhnya mencukupi. Akan tetapi, ramai ibu bapa masih samar tentang apakah makanan yang kaya zat besi.  
Bayi yang baru lahir biasanya mendapatkan zat besi sepenuhnya daripada susu ibu. Namun, setelah berusia di antara empat hingga enam bulan, bayi perlukan lebih banyak zat besi. Oleh itu, mereka perlu dapatkannya daripada makanan pejal yang diambil setiap hari.  Jadi, adalah menjadi tanggung jawab ibu bapa memberi anak-anak mereka makanan yang kaya dengan zat besi secukupnya.  
Antara makanan kaya zat besi ialah:
  • Hati
  • Daging merah tanpa lemak
  • Makanan laut seperti tiram, salmon, udang dan tuna.
  • Kekacang
  • Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli
  • Tauhu
  • Ayam
  • Kuning telur
  • Buah-buahan kering seperti kismis, prun, kurma dan aprikot

Tahukah anda:
Selain berfungsi membentuk sel darah merah yang normal, zat besi memainkan dua lagi  peranan penting dalam tubuh manusia iaitu membawa oksigen masuk ke dalam darah dan membawa oksigen ke dalam sel-sel tubuh. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia. Anemia boleh menyebabkan keletihan, kegagalan fungsi jantung dan menjejaskan fungsi otak. Kanak-kanak anemia juga kurang fokus dan kurang berminat untuk melakukan aktiviti yang memerlukan dia menggunakan mindanya.






22 October 2012

Info buat isteri 4 perbezaan suami dulu dan sekarang




Sedar tak sedar, usia perkahwinan sudah masuk tahun ke 10. Malah dalam masa yang sama sikap para suami di luar sana pun jauh berubah mengikut peredaran masa. Berbanding dahulu, suami dilihat cukup tegas membuat keputusan. Bila diadakan sesi perbincangan, hitam katanya maka hitamlah keputusannya.

Tetapi sekarang tidak lagi. Suamisuami lebih mudah berkompromi dan memahami situasi isteri. Tahun yang silih berganti membuatkan mereka semakin matang untuk mentadbir urusan rumah tangga sampaikan ada di antaranya layak diberi gelaran bapa mithali dalam keluarga. Di bawah adalah beberapa contoh ketara yang boleh dilihat pada suami dahulu dan sekarang :

Dulu buat-buat lupa

Jika dilihat, tak ramai suami generasi lama yang ingat pada tarikh-tarikh penting dalam rumah tangga seperti ulang tahun perkahwinan, hari lahir isteri, anak-anak dan macam-macam lagi. Bila sudah tak ingat, jangan haraplah merasa untuk raikannya. Ketika diberitahu akan tarikh penting itu, suami dengan mudah berkata, buat apa nak raikannya. Bukankah masing-masing dah tua jadi tutup mulut pekakkan telinga sahaja.Oleh itu maka tidak hairanlah jika ramai para isteri yang makan hati dengan sikap suami yang sebegini.

Berbeza dengan suami zaman sekarang. Boleh dikatakan ramai di antaranya menjadikan tarikh-tarikh tersebut sebagai satu dari beberapa agenda penting dalam hidup mereka. Sampaikan pertemuan kali pertama pun disimpan baik dalam memori di telefon bimbit. Tidak cukup dengan itu ada pula kejutankejutan istimewa yang dilakukan oleh suami seperti mengadakan ‘surprise party’ atau mengirim bunga sebagai lambang ingatan dan cinta sejati. Menarik bukan!

Masalah romantik

Kebanyakan suami zaman dahulu juga kurang mahir untuk menambat hati isteri. Sikap yang terlalu tegas membuatkan mereka kelihatan seperti seorang ketua yang sangat garang. Bukan setakat itu sahaja, setiap arahan yang diberi perlu dilaksanakan tanpa memberikan sebarang alasan. Mungkin semua ini berlaku kerana suami bimbang jika isteri terlalu dimanjakan berlaku pula masalah ‘queen control’. Kesannya, tidak ramai isteri yang berani untuk berkongsi kasih sayang dengan suami kerana bimbang diri dikatakan buang tabiat!

Lihat pula suami zaman sekarang. Mereka bijak ‘membeli hati’ isteri tanpa menggunakan modal yang besar. Asal elok budi bahasa, manis tutur bicara maka cairlah hati dibuatnya. Dalam masa yang sama, mereka juga pengatur strategi yang hebat. Tetapi jangan sekali sekali berfikir negatif kerana apa yang dilakukan adalah sematamata untuk keharmonian rumah tangga.

Malah, waktu memberi hadiah pun tidak terikat kepada tarikh-tarikh tertentu sahaja. Kadang-kadang sebulan sekali pun ada sahaja hadiah yang diterima sekalipunharganya tidak semahal mana.

Bantu urus anak

Mendengar kisah sebahagian suami zaman dahulu, bila isteri bersalin sahaja, mereka seakan mengelak apabila diminta mendukung anak. Alasannya, anak itu masih terlalu kecil dan lembut. Bimbang jika didukung akan mencederakan bayi. Maklum sahajalah, suami terkenal dengan sikapnya yang kasar dan keras. Tertanya-tanya, adakah itu fakta atau taktik yang digunakan untuk melepaskan diri dari menjaga anak. Masakan tidak, suami rela melihat dari jauh apabila si anak menangis dari mengambil dan menenteramkannya.

Kasihan ibu dan anak zaman dahulu ya. Suami sekarang pula sedikit berbeza. Mereka boleh dikategorikan sebagai super hero, malah ada yang meletakkan label sebagai Mr Mama. Walaupun zahirnya nampak keras dan tegas tetapi batinnya mereka lembut dan bijak menangani karenah anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, kerja-kerja mengasuh, mendodoikan anak,menukar lampin malah menjaga anak ketika isteri masih berada dalam pantang pun mampu dilakukan.

Berkemungkinan besar mereka sudah memahami tanggungjawab suami isteri. Lagipun, tak hilang macho seorang suami jika menjadi seperti suri rumah malah mereka akan lebih dihormati di atas apa yang dilakukan.

Buat kerja rumah

Rata-rata suami dahulu cukup payah membantu isteri membuat kerja rumah. Balik sahaja daripada bekerja, terus berehat sambil minta dihidangkan secawan kopi sebagai penghilang dahaga. Langsung tidak ditanya bagaimana keadaan isteri di rumah. Mungkin mereka rasakan bahawa kerja-kerja di rumah adalah hak mutlak isteri jadi sama ada suka atau tidak, mereka perlu lakukannya.

Sudahlah begitu, apabila isteri comot dan tidak terurus, pandai pula beri komen yang macam-macam sedangkan kerjakerja tersebut langsung tidak mendapat bantuan darinya. Berbeza sungguh dengan suami zaman sekarang. Memang ramai yang rajin-rajin belaka. Maklumlah sayang isteri. Sampaikan ada di antaranya yang sanggup buat kejutan dengan memasak makanan kegemaran isteri pada hari-hari istimewa.
Tidak dinafikan, setiap lelaki ada egonya yang tersendiri tetapijanganlah keterlaluan. Bukannya berfaedah pun. Fikirlah, demi kebahagiaan rumah tangga apa salahnya jika diketepikan seketika ego yang ada. Bukankah manis apabila kerja rumah dilakukan bersama-sama.



sumber dari majalah mingguan wanita - http://www.mingguanwanita.com.my/utama/

19 October 2012

17 October 2012

Konflik Suami Isteri Tentang Anak




Perkahwinan adalah impian setiap pasangan. Malah zuriat kelahiran adalah penyambung kasih sayang. Namun bukan semua pasangan bersedia untuk memiliki anak dalam masa terdekat terutama lelaki kerana mereka merasakan masih belum bersedia untuk bangun di tengah malam dan sebagainya. Bagaimana anda menghadapi situasi ini tatkala pasangan mahu anak sedangkan anda belum bersedia. Semua ini menjadi konflik dalam perkahwinan anda.

 1  Bayangkan Keseronokan Menjadi AyahTahukah anda, bukan semua lelaki mampu memberikan zuriat untuk pasangannya. Begitu juga hal dengan wanita kerana bukan semua wanita mampu melahirkan anak dengan pelbagai sebab. Jika pasangan mahukan anak, anda perlu membayangkan betapa seronoknya bila si kecil mula memanggil anda dengan panggilan “ayah”, “daddy”, “papa” dan sebagainya.

Anda patut bertanya di dalam hati, adakah anda boleh melakukannya, adakah anda menyayangi seorang kanak-kanak, kalau aku tiada anak, bagaimana hari tua dan sebagainya. Secara logiknya, tiada siapa dapat membayangkan hari-hari tuanya tanpa seorang anak di sisi. Ini kerana ketika tua, kudrat sudah tidak berdaya seperti anda ketika muda. Hal-hal inilah yang harus anda fikirkan kerana sifat seorang lelaki sudah pasti berubah bila punya anak dan keluarga yang bahagia di sisinya. Namun persoalannya ialah anda belum bersedia sedangkan pasangan mahukannya. Justeru itu, anda perlu fikirkannya.

 2  Menjadi Seorang Yang Lebih BertanggungjawabMemiliki anak bermakna komitmen anda sebagai lelaki bertambah. Ketika bujang, anda mungkin boleh makan apa seadanya namun tatkala punya isteri, anda perlu menyediakan segala kelengkapan berdua dan sudah pasti kosnya bertambah. Kalau anda boros bermakna, anda akan menanggung beban hutang yang banyak.

Namun bayangkan bila anda sudah bertiga, empat dan sebagainya dan semua ini akan menjadikan anda lebih bertanggungjawab. Anak adalah amanah dari Allah dan anda perlu menjaga, mendidik dan melakukan segalanya dengan sempurna. Jangan sesekali meletakkan tanggungjawab ini di bahu seorang isteri kerana wanita dijadikan dari tulang rusuk anda sahaja. Sebaiknya menjaga amanah Allah ini dipikul oleh anda.

Pernah anda melihat, mendengar cerita bagaimana seorang lelaki yang suka bersosial dan apabila berkahwin dan punya anak, mereka lebih bertanggungjawab kepada keluarga hanya kerana kehadiran seorang bayi kecil. Malah anda mungkin pernah membaca bahawa lelaki lebih menghargai ibu yang melahirkan mereka selepas menyaksikan kelahiran anak sendiri. Inilah kelebihan kelahiran anak kerana ia mampu mengubah segala-galanya dalam kehidupan lelaki.

 3  Hari Sepi Tanpa Tangisan AnakCerita bagaimana pasangan bergaduh kerana tidak punya anak sudah biasa didengar. Begitu juga ada lelaki yang sanggup menceraikan isterinya bila mana isteri diketahui tidak mampu melahirkan anak. Bayangkan betapa pentingnya kehadiran zuriat ini dalam kehidupan berkeluarga. Melihatkan keletah anak-anak yang kadang-kala mampu membuatkan anda pening kepala, mudah naik darah dan sebagainya adalah satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli di mana-mana pasar raya. Percayalah, hari-hari tua anda akan sepi jika anda menolak faktor mahu punya anak cepat atau menangguhkan dahulu soal si kecil ini. Seorang suami yang sudah terbiasa dengan tangisan anak, biasanya akan seperti kehilangan jika tidak mendengar suara tangisan ini. Jadi fikir-fikirkanlah.

 4  Satu Faktor PengikatBagi pihak isteri pula, anak adalah penyambung kasih anda dan pasangan. Jika bergaduh suami isteri pun, kecomelan anak akan jadi penyelamatnya bila anda memandang mata si kecil yang tidak berdosa. Bagi isteri pula, mempunyai anak adalah satu jaminan bahawa suami akan memikirkan tindakannya lebih mendalam jika anda tidak serasi bersama kerana baik bagi suami mahu pun isteri, kasih sayang yang mendalam pada anak-anak membuatkan mereka memikirkan risiko perceraian. Justeru itu, anak adalah pengikat kasih sayang dan anda tidak perlu ragu-ragu memilikinya dengan segera. Tolak ketepi soal tidak bersedia kerana pabila anda memilih untuk berkahwin, anda juga tidak menolak untuk dikurniakan zuriat.




sumber dari majalah mingguan wanita - http://www.mingguanwanita.com.my/lelaki/dunia/

16 October 2012

Petua untuk mengatasi senggugut



Ada sebahagian kaum wanita akan mengalami senggugut sama ada 'biasa-biasa saja' atau senggugut yang teruk sehinggakan ada yang terbaring di atas katil kerana terlalu sakit. Ada yang mengamalkan memeakan ubat tahan sakit. Ubat ini hanya akan menyebabkan kita perlu memakannya setiap kali datang bulan. Berikut adalah petua untuk mengatasi senggugut :-

Atasi sakit senggugut :
Bagi wanita yang mengalami senggugut, ikuti petua ini untuk mengurangkan kesakitan. Campurkan serbuk halia atau halia yang ditumbuk lumat dengan serbuk lada hitam. Kuantiti sama banyak antara kedua-dua bahan. Isikan dalam kapsul kosong. Makan dua biji selepas makan tengah hari dan malam. Amalkan seminggu sebelum haid.


sumber dari majalah mingguan wanita

15 October 2012

Petua Untuk Menjadi Isteri Yang Terbaik

 1  Isteri yang cerdik - Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami.

 2  Pembantu dalam pengurusan kewangan keluarga - Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping sahaja. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

 3  Pengurus dalam segala hal - Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘pengurus’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, dia akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

 4  Selalu di belakang suami - Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

 5  Menjaga perut suami dan anak-anak - Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak, mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

 6  Pandai jaga diri - Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Ketika suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain, maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

 7  Perunding imej - Kalau suami anda nampak kacak di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus imej diri. Jangan hanya nampak cantik etika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

 8  Menjaga keluarga mertua - Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.
sumber dari facebook sha

12 October 2012

11 October 2012

20 Kisah Kalsium



Kalsium merupakan nutrien penting untuk pembentukan tulang, pembinaan sel-sel dan perjalanan sistem tubuh manusia. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan bersama 20 cerita menarik tentang kalsium ini.

1 Kalsium merupakan mineral penting dalam tubuh dan hampir semua kalsium (99%) terdapat pada tulang. Bahagian badan lain seperti gigi, plasma darah, cecair selular dan tisu lembut turut mengandungi kalsium.

2 Kalsium perlu untuk proses pembekuan darah, penghantaran tindak balas saraf, membekalkan tenaga untuk jantung dan untuk kontraksi otot.

3 Keperluan kalsium tinggi semasa di peringkat baligh dan remaja seseorang.

4 Pengambilan kalsium yang tidak mencukupi, penyerapan kalsium yang rendah dan kehilangan kalsium boleh mengurangkan pemendapan mineral pada tulang seterusnya menyebabkan kekurangan jisim tulang.

5 Bagi kanak-kanak, keperluan kalsium sangat penting untuk pembentukan dan menguatkan gigi serta kuku.

6 Pengambilan kalsium yang mencukupi juga perlu untuk membina asas tulang yang kuat dan mengurangkan risiko osteoporosis di kemudian hari kelak.

7 Kanak-kanak berusia di antara satu hingga tiga tahun disarankan agar mengambil lebih kurang 500mg kalsium setiap hari. Manakala, bagi kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, mereka memerlukan kira-kira 800gm kalsium sehari.

8 Oleh kerana susu kaya dengan kalsium, kanak-kanak perlu minum susu secukupnya setiap hari agar dapat memenuhi keperluan kalsium hariannya.

9 Pengambilan kalsium terbaik ialah dengan minum susu. Keadaan semula jadinya dalam bentuk cecair memudahkannya diserap oleh tubuh.

10 Segelas susu boleh memberikan anak anda kira-kira 250mg hingga 500mg kalsium. Jadi, pastikan anak anda minum dua gelas susu sehari untuk memberikan mereka kalsium yang mencukupi setiap hari.

11 Bagi kanak-kanak yang tidak gemar minum susu, ibu bapa perlulah mencari alternatif lain yang dapat membekalkan kalsium pada anak.

12 Makanan yang kaya dengan kalsium selain susu ialah keju, yogurt, tauhu, brokoli, roti gandum penuh dan susu soya.

13 Kini, ada banyak makanan seperti bijirin sarapan pagi dan biskut telah diperkaya dengan kalsium. Lihatlah label makanan tersebut untuk mengenal pasti kandungan kalsium yang ada di dalamnya.

14 Untuk penyerapan maksimum ke dalam tulang, kalsium hendaklah diambil bersama vitamin D.

15 Kekurangan kalsium pada kanak-kanak boleh menyebabkan penyakit ‘rickets’.

16 Kalsium tidak digalakkan diambil bersama produk yang tinggi lemak seperti coklat kerana asid ‘oxalic’ yang ada dalam coklat akan bertindak balas dengan kalsium lalu membentuk batu karang.

17 Tahu kah anda bahawa secawan susu kambing mengandungi 327mg kalsium.

18 Kalsium dalam tulang tidak sentiasa kekal di dalamnya. Sel-sel tulang sentiasa melakukan proses penggantian kalsium. Kalsium dalam tulang turut diambil sekiranya badan tidak memperolehnya daripada sumber makanan.

19 Kalsium yang dikunyah atau dicairkan akan lebih mudah diserap.

20 Untuk kekalkan tulang dan gigi yang kuat pada anak, berikan mereka snek yang kaya dengan kalsium dan hidangkanlah makanan bersama susu.



sumber dari majalah pa&ma - http://pama.karangkraf.com

10 October 2012

Anak Jejaskan Hubungan Intim?



Keletihan dan komitmen baru isteri setelah bergelar ibu membuatkan suami terabai. Akibatnya, bahang asmara semakin suam. Jadi, anda sebagai suami cubalah bantu isteri untuk menghangatkannya kembali. Untuk itu, marilah dapatkan tip berkesan.
Kehadiran anak mengubah segalanya. Bagi ibu baru, memang sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Dalam kesakitan, keletihan dan emosi yang tidak stabil, dia masih perlu berikan perhatian pada si kecil. Jadi, tidak hairanlah jika mereka terlepas pandang pada anda yang bergelar suami.
Bagi ramai wanita, mengadakan hubungan intim dengan suami boleh jadi sangat mencabar selepas ada anak. Kehadiran anak menjadikan mereka hampir tidak ada masa untuk pasangan. Setiap detik hanyalah untuk anak. Lebih-lebih pada peringkat awal bergelar ibu. Keadaan bertambah kronik jika anda sebagai suami tidak membantu. Seperti yang kita semua ketahui, bayi sangat-sangat perlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya. Jadi, ringan-ringankanlah tangan sekiranya anda mendapati isteri kelam-kabut menguruskan anak dan rumah tangga sendirian. Apabila isteri sudah kurang sibuk, pasti dia ada masa untuk anda. Betul tak?
Bersama-sama ini ada beberapa idea bagaimana untuk terus bermesra dengan isteri selepas ada anak:
  • Berbincang
Lazimnya, anak membuatkan pasangan isteri terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti dengan anak. Langsung tidak ada masa untuk anda. Cara terbaik bagi memastikan aktiviti seksual tidak terganggu ialah dengan menetapkan masa untuk bersama. Berbincanglah bersama isteri dan cari waktu yang sesuai yang boleh anda luangkan bersama. Diakui bukan mudah untuk mencari masa luang lebih-lebih lagi jika ada anak kecil. Tapi percayalah. Mesti ada jalan. Yang pentingnya kemahuan. Tepuk dada tanya selera.
 
  • Mesti kreatif
Ramai pasangan enggan melakukan hubungan kelamin kerana bimbang anak akan nampak atau dengar apa yang mereka lakukan. Jika hal ini menjadi masalah anda dan isteri, ada beberapa perkara boleh anda lakukan. Lakukannya di dalam bilik tetapi jangan lupa mengunci pintu. Selain itu, ajar anak mengetuk dahulu pintu bilik sebelum masuk. Anda boleh juga melakukannya pada waktu malam tatkala anak sedang tidur. Tapi, pastikan jangan terlalu bising hingga mengganggu tidur mereka. Kalau susah sangat, waktu mandi pun boleh.
  • Timbulkan rasa seronok
Setelah berjaya meluangkan masa bersama isteri, berseronoklah dan nikmati saat itu sebaiknya. Sebaik-baiknya, elakkan daripada bercerita tentang anak-anak. Lupakan mereka buat sementara. Ketahuilah bahawa masa bersama isteri tidak seharusnya untuk hubungan intim semata-mata. Banyak perkara boleh anda lakukan selain itu. Misalnya, bermanja-manja, menonton filem menarik dan mandi bersama.
Patut papa lakukan:
  • Aturkan percutian romantik bersama isteri untuk kembalikan kehangatan cinta semalam.
  • Lakukan perkara-perkara romantik bersama isteri seperti yang biasa anda lakukan dahulu.
  • Belajar untuk fahami perubahan fizikal dan emosi isteri setelah bergelar ibu.
  • Tawarkan diri untuk menjaga anak agar isteri ada masa untuk dirinya sendiri.
  • Berikan isteri hadiah yang boleh menggembirakan hatinya.
  • Sentiasa memuji kecantikan isteri. Tetapi pastikan anda ikhlas.
  • Luahkan apa yang anda rasa padanya. Tidak kiralah sama ada yang positif mahupun negatif. Semua ini untuk keharmonian rumah tangga anda berdua.
Jangan buat:
  • Merungut padanya tentang kehidupan anda berdua yang sudah jauh berbeza.
  • Memaksa dia dapatkan kembali susuk tubuh seperti ketika baru berkahwin dahulu.
  • Memandang remeh susah payah isteri menjaga keluarga.
  • Asyik hendak berkepit dengan isteri tanpa memikirkan yang dia bukan milik anda seorang.
  • Memaksa dia memperuntukkan masa untuk anda sedangkan anda tidak membantunya menguruskan anak-anak.

Tip segarkan dunia seksual anda
1. Pengertian makna seksual sebenar
Beritahu diri bahawa seks bukanlah hubungan intim semata-mata. Malah, lebih daripada itu. Oleh itu, para suami luang sedikit masa di pagi hari untuk membelai mesra rambut isteri sebagai tanpa kasih dan sayang anda pada isteri.
2. Kisah cinta anda berdua
Cubalah elakkan daripada bercerita tentang anak-anak tatkala anda sedang berdua-duaan dengan isteri. Berceritalah tentang kisah cinta anda berdua dan impian pada masa hadapan. Pasti lebih menyeronokkan.
3. Jadi lebih kreatif
Untuk bermesra dengan isteri, tidak semestinya di rumah. Ada banyak tempat yang boleh anda pilih. Misalnya di hotel. Fikirlah sendiri mana yang sesuai dengan cita rasa anda berdua. Yang pentingnya anda berdua rasa gembira.
4. Aksi spontan
Hubungan kelamin bukan hanya di bilik. Banyak lagi ruang di rumah anda yang boleh dijelajah untuk berikan kelainan. Tapi, sebelum itu, pastikan tidak ada yang perasaan aktiviti anda berdua. Terutamanya anak-anak.
5. Lebih realistik
Jangan malu-malu minta pada isteri jika anda ‘mahu’ kerana isteri tidak tahu apa yang ada dalam fikiran anda. Lebih baik berterus-terang. Kalau tidak ada yang tidur tak nyenyak. 


sumber dari majalah pa&ma - http://pama.karangkraf.com

09 October 2012

Resepi Ayam Masak Merah Madu




BAHAN-BAHAN :1/2 ekor ayam-dipotong kecil
5 tangkai cili kering
1 sm halia
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 biji tomato-dipotong dadu
2 helai daun pandan
Sedikit daun ketumbar
1/2 cawan sos tomato
2 sudu madu
Garam dan kunyit secukupnya

CARA MEMASAK :1. Perap ayam dengan garam dan kunyit. Goreng setengah masak.
2. Tumis bahan kisar kecuali sos tomato, tomato dan madu sehingga naik bau. Kemudian barulah masukkan sos dan buah tomato.
3. Tumis sehingga naik minyak.
4. Masukkan ayam dan biar kuah menjadi pekat.
5. Setelah itu masukkan madu kacau dan terus angkat.



~ Resepi oleh Chef Zainal Mohamed Saad dari AFS Cita Rasa Chef Zainal

Sumber dari majalah mingguan wanita - http://www.mingguanwanita.com.my

08 October 2012

Jangan Kerana Rupa Paras, Rumah Tangga Porak Peranda



Hanya manusia biasa, itulah kita. Dari hari ke hari, pastinya fizikal berubah mengikut peredaran waktu. Tuntutan tanggungjawab menyebabkan kita tiada masa untuk menjaga penampilan. Ia sukar dielakkan, namun ia berprestasi menggugat keharmonian rumah tangga. Jangan jadikan paras rupa sebagai taruhan menyulam cinta dan kebahagiaan rumah tangga. Ikuti tip berikut.

1. Imbas Kembali
Ya, setiap daripada kita mengimpikan pasangan punyai paras rupa menawan. Namun, ‘kesempurnaan’ itu ada kalanya tidak kekal, sehinggakan sedikit sebanyak memberi kesan dalam kelangsungan rumah tangga seperti perasaan jemu dan seterusnya pengabaian emosi masing-masing.

Oleh itu, jika cinta anda berdua ikhlas dan bukan berpaksikan rupa semata-mata, imbaslah semula kenangan dan memori ketika bercinta dulu serta pengorbanan yang pernah dilaksanakan. Nescaya, anda berdua akan kekal selamanya.

2. Saling Menasihati
Dalam mengharungi arus hidup berkongsi, pastinya banyak perkara yang perlu difikirkan. Namun, anda dan pasangan perlulah sentiasa peka dengan persekitaran serta sentiasa nasihat-menasihati agar diri masing-masing tampil menarik. Elakkan daripada membiarkan diri kusut dengan masalah rumah tangga yang menimpa. Tampil segar sentiasa di mata sanak saudara, rakan mahupun jiran tetangga.

3. Terbuka Terima Ketidaksempurnaan
Ini perlu untuk memupuk hubungan baik antara suami dan isteri. Masing-masing perlulah menerima kenyataan bahawa kecantikan luaran akan pudar, namun tidak kecantikan dalam diri. Oleh itu, bersedia untuk menerima sebarang ketidaksempurnaan dan perbaikilah imej diri.

4. Berfikiran Matang
Ya, tidak semua bertuah memiliki raut idaman. Namun, jangan jadikan ia satu kelemahan dalam diri mahu pun dalam sebuah institusi kekeluargaan. Jadilah seorang yang matang dalam menjalani kehidupan. Nescaya kematangan anda akan menyerlahkan kewibawaan serta persona diri.

5. Bawa Ke Pusat Perapian Diri
Kulit kasar dan berminyak, perut buncit, muka berjerawat, selulit dan pelbagai lagi kondisi mencela penampilan anda. Jika pasangan anda dilihat kurang menjaga aspek luaran, pancinglah hati si dia dengan membawanya ke spa mahu pun pusat perapian diri bagi menyerlahkan sisi perawannya.


TIP
* Jangan memerli mahupun memandang enteng jika pasangan anda kelihatan tidak menarik lagi. Berikannya semangat serta dorongan untuk berubah ke kondisi yang lebih baik.
* Anda boleh hadiahkan set produk kecantikan, namun jangan sampai si dia terkecil hati dengan tindakan anda itu.
* Sebagai ketua keluarga, perlulah anda memantau segala keperluan perapian diri / kosmetik si isteri. Biar dia tahu anda juga ambil peduli akan hal-hal sedemikian.
* Anda pula jangan terlalu mengharapkan si dia tampil berbeza dan menarik mengikut kemahuan anda. Hargai segala usahanya untuk tampil cantik di mata anda.




sumber dari majalah mingguan wanita

05 October 2012

13 Perkara Wanita Islam Perlu Jaga





 1  Bulu kening
Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

 2  Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah ….

 3  Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

 4  Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

 5  Gigi
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

 6  Muka dan Leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

 7  Muka dan Tangan
Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

 8  Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

 9  Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10 Mulut (suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11 Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12 Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13 Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.




sumber dari CahayaIslam.net

03 October 2012

Kaedah Banyakkan Susu Ibu




  • Bunga melur dan daun pucuk manis
Giling daun bunga melur atau daun pucuk manis sehingga halus dan tampal di sekeliling payu dara pada waktu pagi sebelum mandi. Pastikan anda cuci bersih kawasan payu dara sebelum menyusukan bayi.
  • Kacang tanah
Kacang tanah mengandungi kandungan protein yang tinggi, zat besi, vitamin E, kalsium, vitamin B kompleks, dan fosforus. Kandungan protein dalam kacang tanah lebih tinggi daripada daging, telur dan kacang soya. Kandungan asid aminonya pun tinggi. Bagi menambahkan penghasilan susu badan, anda digalakkan mengambil kacang tanah yang dipanggang bersama susu kambing
  • Longan kering
Rebus segenggam longan kering yang telah dibasuh bersih dengan 3 cawan air sehingga kembang. Minum airnya.
  • Daun sirih
Sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian, layurkan pada api sehingga layu. Setelah suam, tekapkan pada payu dara. Lakukan setiap hari sehingga susu badan menjadi banyak.
  • Halba dan jintan hitam
Cuci halba atau jintan hitam bersih-bersih. Selepas itu keringkan dan simpan dalam bekas bertutup. Cara menggunakannya, rendamkan 1 sudu halba atau jintan manis  dalam segelas air panas selama 15 minit. Kemudian tapis dan minum airnya.
  • Susu
Banyakkan minum susu. Seelok-eloknya mengambil hidangan susu sebanyak 3 hingga 4 hidangan sehari.
  • Lobak merah
Ambil sebatang lobak putih bersaiz sederhana. Cuci bersih dan kemudian potong kecil-kecil. Kisar sehingga halus. Selepas itu, campurkan dengan segelas air suam. Minumlah sebanyak 2 kali sehari.
  • Nasi panas, halia muda dan air asam
Makanlah nasi panas bersama halia muda yang ditumbuk halus dan dicampurkan dengan air asam.
  • Daun betik muda
Ambil beberapa helai daun betik sederhana muda. Cuci bersih dan rebus sehingga mendidih. Minum air rebusan tersebut 2 hingga 3 kali sehari. 


sumber dari majalah pama - http://pama.karangkraf.com


02 October 2012

Co-Sleeping Asuhan Positif



Co-sleeping atau tidur bersama anak banyak manfaatnya kepada ibu dan anak. Sebagai salah satu metode asuhan semula jadi, co–sleeping perlu diamalkan oleh semua ibu bapa tanpa ragu-ragu.  

Tidur adalah rutin harian yang amat penting di dalam kehidupan anak di mana ia otaknya akan berkembang ketika mereka sedang lena. Badan juga dalam keadaan rehat sepanjang tempoh tidur yang mengambil masa lapan hingga sembilan jam sehari bagi bayi peringkat usia kurang dari setahun. Kurang tidur mengakibatkan sistem keimunan menjadi lemah dan proses tumbesaran terganggu. Co-sleeping atau tidur sekatil dengan anak adalah idea terbaik agar keluarga yang sejahtera dapat dibentuk dengan cara yang lebih alami.

Kenapa co-sleeping disarankan? 

1. Menggalakkan penyusuan susu ibu
Bayi yang tidur bersama dengan ibunya akan lebih mudah disusukan. Hal ini kerana kedudukan bayi yang lebih dekat dengan ibunya. Pada bulan-bulan pertama, si kecil akan kerap terjaga untuk menyusu. Co-sleeping akan membantu ibu menyusukan bayi dengan lebih mudah tanpa perlu banyak bergerak dan turun dari katil. Ia malah mudah untuk lena semula setelah kekenyangan. 

2. Mencegah SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut)
Dengan mempraktikkan co-sleeping, ibu bapa akan sentiasa memantau posisi tidur anak. Risiko berlakunya SIDS sering kali disebabkan oleh kelalaian ibu bapa dapat dikurangkan kerana ibu bapa yang mengamalkan co-sleeping lebih kerap tersedar untuk menyusukan atau menukar lampin. 

3. Berasa lebih selamat
Anak anda akan berasa lebih selamat kerana dikelilingi ibu dan ayahnya ketika tidur. Ini menjamin kualiti tidur yang lebih baik.Ibu dan bapa juga tidak perlu risau keadaan anak kerana anak berada di depan mata. 

4. Hubungan rapat ibu dan anak
Kajian menunjukkan keluarga yang mengamalkan co-sleeping akan mempunyai hubungan yang rapat, mesra dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

5. Membentuk karakter anak yang lebih kukuh  
Co-sleeping baik untuk pembentukan karakter anak. Kajian menunjukkan anak lelaki yang tidur bersama ibu bapanya daripada lahir sehingga usia lima tahun mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi berbanding rakan-rakannya yang lain. Bagi anak perempuan pula, mereka dikenal pasti lebih berfikiran terbuka peka dan berempati pada persekitaran. 

6. Anak mempunyai kelakuan yang lebih positif
Kajian juga menunjukkan anak-anak yang mengamalkan co-sleeping akan lebih positif dan mendapat penilaian yang lebih tinggi di sekolah. Malah kajian bertajuk  Nonreactive Co-sleeping and Child Behavior: Getting a Good Night's Sleep All Night Every Nightyang dilakukan kan oleh Heron, 1994 menunjukkan anak-anak yang tidak mengamalkan co-sleeping agak sukar dikendalikan, kurang gembira, lebih mudah mengamuk dan sukar didekati. 

7. Mengurangkan masalah kesukaran untuk tidur bagi anak
Co-sleeping dapat membantu ibu bapa menyelesaikan masalah anak susah untuk tidur dengan mengajak anak tidur bersama-sama. 

8. Memberikan kepuasan mendidik dengan lebih tinggi dalam mendidik
Cara asuhan ini akan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa dan anak sentiasa bersama-sama dan tahu perkembangan anaknya daripada masa ke semasa. 

9. Ibu bapa lebih sensitif dengan keperluan anak
Co-sleeping menjalinkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak. Ini akan memberikan rasa sensitif kepada ibu dan bapa untuk memenuhi keperluan si manja mereka. 

10. Lebih selamat daripada katil bayi
Ketahuilah co-sleeping adalah lebih selamat daripada menidurkan mereka di katil bayi. Hal ini kerana anda boleh memantau anak anda dengan lebih mudah dan mengelakkan SIDS.


DO & DON’TS
  • Jika anda mempunyai bayi kecil, jarakkan ia dengan kakak atau abangnya kerana mereka lebih cenderung untuk lebih lasak dan khuatir akan menyebabkan kecederaan pada bayi.
  • Sentiasa letakkan bayi anda pada posisi berbaring untuk mengurangkan risiko SIDS.
  • Pastikan kepala anak anda terbuka semasa tidur.
  • Pastikan kepala katil anda tidak mempunyai bukaan  yang boleh memerangkap kepala bayi anda.
  • Pastikan tilam anda sesuai dengan selesa dalam bingkai katil supaya bayi anda tidak akan menjadi terperangkap di antara kerangka dan tilam.
  • Elakkan meletakkan bayi di atas permukaan yang terlalu lembut untuk tidur seperti sofa  bed yang empuk atau tilam air.
  • Usah menggunakan banyak bantal dan selimut di atas katil. Gunakan hanya satu helai selimut untuk tidur.
  • Hindari minum alkohol atau penggunaan ubat-ubatan atau dadah yang boleh membuatkan anda tidak sedar diri.

INFO

Usia yang sesuai untuk memulakan tidur berasingan ialah pada usia lima tahun.



(Sumber: Majalah Pa&Ma September 2012)

01 October 2012

Cemburukan adik baru



Menerima kehadiran orang baru dalam keluarga pasti seronok dan menggembirakan. Namun tanpa kita sedar ada hati milik si kecil yang sedang cemburu dan merasakan kehadiran ‘orang baru’ itu bakal menggugat perhatian mama dan papa terhadapnya.  Perlakuan cemburu terhadap adik baru pastinya pernah anda saksikan di dalam kalangan anak kecil. Cemburu memanglah positif kerana ia menandakan si manja telah berkembang dari segi mental. Namun jika dibiarkan berlarutan perasaan cemburu ini mungkin akan menimbulkan masalah kepada anak-anak terutama sekali bagi segi emosi.

Pada usia tiga atau empat tahun, biasanya si kakak atau si abang sudah boleh menerima kehadiran adik baru. Malah ada kanak-kanak yang meminta-minta supaya mamanya ‘membelikan’ adik di pasar raya lantaran terlalu suka melihat kecomelan bayi. Lucu bukan? Begitulah terujanya mereka ingin memiliki adik. 

Apabila ibu sedang hamil, kakak atau abangnya tidak sabar-sabar untuk melihat adik baru untuk bermain bersama-sama. Namun lain pula halnya bagi sesetengah kanak-kanak. Apabila adik telah lahir, terasa seperti segala perhatian telah beralih daripadanya kepada adik baru menyebabkan api cemburu menyala-nyala sehingga menyebabkan pelbagai tindakan agresif yang tidak diingini.

Kesan cemburu
Cemburu kepada adik baru boleh menjadi sebab kepada pelbagai masalah. Ia boleh menjadi lebih parah sekiranya dibiarkan. Oleh sebab kemahiran komunikasi dan bahasa mereka masih belum berkembang sempurna, pada peringkat usia begini, luahan cemburu sering ditunjukkan menerusi kelakuan-kelakuan mudah mengamuk. Selain itu kencing malam, hilang selera makan juga petanda emosinya tidak tenang. Kesan cemburu juga mengakibatkan terjadi perbuatan-perbuatan yang agresif seperti memukul atau menyakitkan adiknya yang mungkin akan mendatangkan kecederaan. Oleh itu, pupuklah rasa sayang mereka kepada adik yang bakal lahir agar rasa cemburu dapat dielak.

Apa sepatutnya dilakukan?
Aimi hairan apabila mama tidak lagi mempunyai masa untuknya. Aktiviti seperti mandi, makan dan tidur kebanyakannya diuruskan oleh papa dan nenek sahaja. Jarang-jarang sekali mama akan menemani Aimi menonton, itu pun apabila adik tidur. Kenapa mama berubah? Mama sudah tidak sayang Aimi lagi kah?Aimi benar-benar cemburu, geram dan ingin memberontak. Ini semua berpunca daripada adik yang  ‘merampas’ mama dari Aimi. Sebab itulah Aimi tidak suka adik.

Pada usia tiga hingga empat tahun, itulah cara pemikiran mereka. Senario begini sering berlaku pada anak yang apabila ibu dan ayah yang tidak menyediakan minda anak untuk menempuh fasa perkembangan sebagai seorang kakak atau abang. Mempunyai adik baru bermakna dia anda bakal berkongsi kasih sayang, masa, perhatian dan ruang. Situasi ini jika muncul secara mengejut pasti akan memberikan kesan emosi yang ketara dan menyebabkan si manja rasa terabai.

Ambil langkah-langkah ini untuk mengelakkan dia cemburu pada adiknya selepas dilahirkan kelak:
  • Beritahu bakal akak atau abang tentang kehadiran adiknya tidak lama lagi sebaik sahaja anda mengetahui anda hamil. Ajaklah anak berbual dengan adiknya di dalam kandungan. Langkah ini akan menyebabkan ia tidak ketinggalan dalam penantian kelahiran adiknya dan tahu kelak dia akan menjadi kakak atau abang.
  • Cuba libatkan anak anda dalam membuat persediaan menyambut kelahiran adiknya.  Sebagai contoh ketika membeli-belah barang keperluan seperti pakaian atau mainan. Berikan ia kebebasan memilih satu barang untuk bakal adiknya. Langkah ini akan menyebabkan dia berasa seronok, teruja dan berlagak seperti abang atau kakak.
  • Terangkan padanya berulang-ulang kali bahawa adiknya nanti akan memerlukan banyak perhatian selepas dilahirkan. Sebagai contoh-“Nanti bila adik lahir, mama kena susukan adik sebab adik tak boleh makan dan minum macam Sara. Dia boleh minum susu mama sahaja. Dia tidak boleh mandi sendiri, tak boleh pakai baju sendiri. Jadi mama dan Sara kena tolong mandikan adik dan pakaikan baju. Bila adik dah besar macam Sara, adik dah boleh buat sendiri”.
  • Elakkan mengubah rutin harian anak anda selepas kelahiran adiknya. Anda sepatutnya mengubahnya sedikit demi sedikit untuk mengelakkan dia rasa anda berubah selepas melahirkan adiknya lahir. Sebagai contoh dari segi pembahagian masa  untuk mandi, siapa menemaninya makan atau mengajarnya mewarnai dan melukis mengambil alih tugas ibu. Cuba praktik jadual baru membaca dan menonton sekurang-kurangnya lima atau enam bulan sebelum adik baru menjengah dunia.
  • Minta bantuan anak anda semasa anda menguruskan adiknya. Sebagai contoh minta bawakan lampin atau tisu  lembap untuk menukarkan lampin adiknya. Ia akan membuatkan ia berasa seperti kakak atau abang yang boleh diharap dan boleh memupuk perasaan sayang kepada adiknya. 
Apa yang perlu dielakkan?
  • Memberitahu kehadiran adiknya nanti adalah sebagai teman bermainnya. Hal ini kerana  tempoh hamil sangat panjang dan selepas kelahiran adik barunya hanya akan menyusu dan tidur sahaja, tidak akan menjadi teman sepermainannya sepantas itu.
  • Melarang dia  daripada menghampiri atau menyentuh adik kerana caranya yang agak kasar. Biasanya anak pada usia ini akan memeluk adiknya dengan terlalu kuat atau mencium dengan kerap. Tindakan ini menunjukkan ia sedang keliru dengan perasaan sendiri. Sebaik-baiknya tegur dengan cara yang baik dan ajar dia cara untuk menyentuh dengan cara yang lembut.
  • Pada peringkat umur ini, anak akan mudah cemburu melihat orang lain mendapat perhatian. Ia ditunjukkan dengan pelbagai hal seperti mahu ibu memakaikan baju untuknya, mahu didukung seperti adik dan disuapkan ketika makan walhal dia sudah pandai melakukannya sendiri. Usah cepat melenting. Kawal emosi dan anggap anak anda sedang menyesuaikan diri dengan keadaaan baru.
  • Mendukung adik baru ketika memperkenalkan kepadanya. Tindakan ini akan menyebabkan anak anda berasa terpinggir dan anda lebih menyayangi adiknya.
  • Orang sekeliling lebih menumpukan perhatian kepada adiknya berbanding dirinya. Anda perlu meminta ahli keluarga atau rakan-rakan untuk tidak ketinggalan bercakap mengenai si kakak atau abang agar perhatian yang diberikan lebih seimbang. 
Tahukah anda
Jarak umur antara anak dua hingga empat tahun akan mencetuskan perasaan cemburu yang ketara kepada anak yang lebih tua. Manakala jarak umur 18 bulan atau lima tahun  ke atas mempunyai risiko yang lebih rendah.



(Sumber: Majalah Pa&Ma Ogos 2012)